"Assalamualaikum, Maira" Faiz menyapa sebaik sahaja tiba di kedai Haji Kadir. Dia baru sahaja selesai mengulang kaji bersama rakannya, Afiq. Apabila ternampak Maira, maka dia mula memberhentikan motornya di situ.
"Wa'alaikumsalam. Hmm duduklah" Maira seolah-olah malas hendak melayan Faiz. Namun, dia tetap mempelawa Faiz untuk duduk di hadapannya walaupun ianya sekadar ajak-ajak ayam.
"Terima kasih. Awak study add maths? Bolehlah saya study sekali" Faiz masih cuba berbasa-basi dengan Maira.
"Bolehlah awak ajar saya, kan?" Faiz bersuara apabila Maira tidak memberi sebarang respon.
"Boleh" Sepatah sahaja jawapan balas dari Maira.
Tidak lama kemudian, azan mula berkumandang menandakan telah masuknya waktu solat Zohor.
"Hmm sy pergi solat dulu. Nanti saya datang balik" Faiz meninggalkan barangannya di situ kerana percaya bahawa Maira pasti akan menjaga segala barangannya. Faiz mengeluarkan kopiahnya dari dalam seluar, dan disarung ke kepalanya. Lantas, berlalu pergi.
Maira memandang Faiz yang perlahan-lahan menghilang dari pandangannya. Jauh di sudut hati, Maira merasakan bahawa Faiz seorang lelaki yang baik. Maira cuba untuk berkawan dengan Faiz. Baginya, tidak salah untuk berkawan. Lagipun, Maira belum mempunyai rakan walaupun seorang. Sikapnya yang suka menyendiri membuatkan rakan-rakan sekelasnya tidak berminat untuk mendekatinya. Apatah lagi untuk menjadi kawannya. Maira merasa agak bosan.
Maira semakin mengelamun. Dia telah lama meninggalkan solat. Jika diuji untuk membaca tahiyat awal, pasti dia tidak akan lulus dengan baik. Bukannya dia tidak mahu berubah, tetapi dia merasakan bahawa Allah pasti tidak akan menerimanya. Yalah, sudah bertahun tidak mendirikan solat. Sudahlah tidak solat, minum arak pula tu. Mamanya sahaja tidak mahu mengaku Maira ini anaknya, sudah pasti Allah juga tidak akan memandangnya.
'Ahh, sudahlah. Mama pun bukannya sayang aku. Kalau sayang, mesti mama akan meluangkan masanya untuk aku. Tapi? Setiap hari aku habiskan dengan Mak Mah.. Dengan kawan-kawan. Ya, Atikah lebih faham aku. Azura lagilah... Selalu ada masa untuk aku. Amira pun sama, selalu dengar masalah aku. Mama? Asyik busy dengan kerja. Papa? Outstation sampai tiada masa untuk aku. Setiap kali aku masuk pidato ke, syarahan ke, mama papa tak pernah pun datang. Senang cerita, aku tak pernah ada mama papa. Allah tu? Wujud ke? Kenapa Dia tak pernah bagi mama dengan papa rasa betapa aku perlukan perhatian?' Begitulah luahan hati Maira. Ditanamnya dalam-dalam rasa benci kepada mama dan papanya. Air matanya seolah-olah tiada lagi untuk mama dan papanya. Baginya, biarlah dia dengan dunianya tanpa campur tangan dari mama dan papanya. Begitulah kerasnya hati Maira.
***
"Hai, Maira. Orderlah air. Biar saya bayarkan" sapaan Faiz mematikan lamunan Maira serta-merta.
Maira hanya menurut sahaja. Dia juga berasa sedikit dahaga. Lalu dia memesan air nescafe, air kegemarannya.
"Oh, awak suka nescafe ea? Samalah macam saya" Balas Faiz bersahaja.
"Maira, awak ok ke? Kalau tak ok, kita x payah study" Faiz melihat Maira seakan-akan tiada mood untuk melayannya.
"Hmm entahlah Faiz. Saya ok sahaja" Maira membalas. Dia cuba mengukir senyuman. Itulah kali pertama Faiz menerima senyuman dari Maira.
"Hmm awak, saya tak faham yang Cikgu Fatimah ajar semalam" Faiz mengalih topik perbualannya.
"Oh, senang saja. Biar saya terangkan" Maira kemudiannya menerangkan dengan lebih teliti mengenai topik yang diajar semasa di dalam kelas.
Faiz mengangguk tanda faham dengan apa yang diajar oleh Maira.
***
Sebaik sahaja selesai menelaah matapelajaran matematik tambahan, keduanya mula berborak kosong.
Faiz teringin untuk mengetahui tentang diri Maira dengan lebih dekat lagi.
"Nama sy Nurul Humairaa. Awak boleh panggil saya Maira. Saya tak pernah ada kawan lelaki. Kawan saya masa di KL semuanya perempuan" Maira mula menceritakan serba sedikit tentang dirinya.
"Oh, cantiknya nama awak. Macam nama isteri Nabi.. Kiranya, saya jelah kawan lelaki awak?" Faiz berasa agak teruja.
"Isteri Nabi? Nabi mana ni?" Maira berasa agak pelik. Siapa pula Nabi?
"Laa isteri Nabi. Tak kenal ke isteri Nabi yang digelar Humaira tu?" Faiz tersenyum apabila melihat kekeliruan di wajah Maira.
"Tak kenal. Saya kan baru saja pindah, manalah saya tau siapa Nabi?" Maira menerangkan kedudukan situasi yang sebenar.
Faiz istighfar perlahan. Tahulah dia bahawa Maira tidak kenal junjungan besar umat Islam. Tetapi, Faiz hanya tersenyum tanpa membalas kata-kata Maira. Dia tidak mahu kata-katanya nanti akan menyinggung perasaan Maira.
"Awak pula kenalkan diri awak, Faiz" Maira bersuara setelah dilihatnya Faiz diam seperti tiada kata-kata yang ingin diluahkan.
"Nama saya Amirul Faiz, boleh panggil Faiz.." Faiz memperkenalkan dirinya.
Tidak lama kemudian, Maira meminta diri untuk pulang ke rumah.
Tinggallah Faiz di warung Haji Kadir.
'Hmm patutlah tak pakai tudung. Nabi pun dia tak kenal. Macam mana mak ayah dia jaga dia? Selama hidup ni, takkan dia tak pernah dengar sirah kot? Bijak budaknya, Kelas Science. Result tip top. Tapi, tak kenal Nabi? Ke dia saja je cakap tak kenal? Takkanlah tak kenal Nabi? Haha penipu la dia ni' Faiz tersengih sendirian mengenangkan Maira.
"Hoi!!!!!"
"Eh Afiq, kau ni kenapa? Buang tabiat nak mampus ke?" Faiz berkata tidak puas hati sebaik sahaja terkejut disergah sahabatnya, Afiq.
"Taklah, aku tengok kau sengih-sengih. Dah kenapa? Aku tak nampak sesiapa pun depan kau ni. Kau bercinta dengan bunian ke?" Afiq membalas seraya membela dirinya.
"Taklah, aku saja je nak sengih. Kau kenapa?" Faiz memberikan alasan. Walaupun dia sedar bahawa alasannya tidak logik sama sekali.
Afiq tergelak. Tanpa disuruh, dia duduk di hadapan Faiz.
Seperti biasa, mereka menonton ceramah Ustaz Azhar Idrus (UAI) di youtube dengan menggunakan komputer riba yang dibawa oleh Afiq.
"Aku fanatik betul dengan UAI ni" Faiz bersuara sebaik sahaja menonton satu video dari Ustaz Azhar Idrus.
"Itulah. UAI ni la buat aku minat untuk dengar ceramah waktu bosan-bosan. Kelakar. Bagi aku, UAI ni kreatif. Dia menghiburkan dan dalam masa yang sama, dia juga menyampaikan ilmu yang bermanfaat." Afiq membalas kenyataan Faiz.
Begitulah mereka setiap kali melepak di warung Haji Kadir. Menonton ceramah Ustaz Azhar Idrus bersama-sama. Mereka juga sangat dikenali oleh penduduk kampung kerana sikap mereka yang mudah mesra di samping ringan tulang.
Share this novel