2

Romance Completed 67310

Hari Lahir Ivy yang ke-20

SEBIJI cupcake yang dipacakkan lilin di atasnya itu cukup menggembirakan adik beradiknya. Walaupun kecil dan tidak cukup untuk ahli keluarganya yang ramai sudah cukup menggembirakan hati semua orang.

“Akak, buat lah wish cepat!” ujar Damia, adik Ivy yang paling bongsu.

“Adik, mana boleh buat wish. Berdosalah. Kitakan ada Tuhan, apa yang kita nak, kita boleh minta pada Allah. Bukannya pada sebatang lilin ni,” ujar Ivy lalu memaniskan muka.

“Kalau macam tu, tiuplah lilin tu kak.”

Ivy tersenyum lalu mengusap kepala adiknya sebelum sebatang lilin itu ditiup. Semua adik-beradiknya menepuk tangan kegembiraan.

“Bestnya kak dapat sambut birthday walaupun kek kita ni tak sebesar orang lain kan.” Ujar Damia lagi.

“Hmm. Kita kena bersyukur dengan apa yang kita ada. Memang ini je yang kita mampu buatkan?”

Damia mengangguk seraya memeluk erat pinggang akaknya.

“Ini hadiah untuk along,” ujar Puan Julia lalu sebuah kotak yang berbalut itu diserahkan kepada Ivy. Ivy menyambutnya dengan wajah yang ceria.

Apa ni mak. Susah-susah je.”

“Tak apa. Ini kan hari jadi along yang kedua puluh. Mestilah kena ada hadiahkan.”

“Tapi, mak. Duit kita kan sikit. Tak payah lah bazirkan untuk benda yang tak penting.”

Puan Julia menggelengkan kepala.

“Tak apa. Mak ada duit lebih. Jangan risau,” balas Puan Julia dengan nada yang sedikit sayu. Ada perkara penting yang dia harus beritahu anak gadisnya itu tetapi dia tidak sanggup.

“Kenapa ni mak. Kenapa mak macam sedih je?” tanya Ivy setelah menyedari wajah emaknya yang bertukar sedih.

“Hmm, mak nak cakap dengan Iv kejap.”

Ivy mengangguk seraya mengikut langkah Puan Julia ke belakang dapur.

“Apa dia mak?”

“Iv, sebenarnya, yang pasal universiti tu…”

“Kenapa mak? Iv boleh pergi ke?” tanya Ivy ceria. Kalau betullah dia dapat menyambung pelajarannya ke pengajian tinggi, tentu dia adalah orang yang paling bahagia sekali. Memang itulah impiannya sejak dari dulu.

“Sebenarnya Iv, mak dengan ayah kamu, tak cukup duit nak hantar kamu belajar. Mak harap kamu bersabarlah untuk beberapa tahun lagi ya. Nanti kita fikirkan macam mana nak dapat duit ya nak?”

Senyuman Ivy mati.

“Tapi mak dah janji! Kawan-kawan Ivy semua dah sambung belajar. Ivy seorang je belum lagi. Sampai bila Ivy nak tunggu mak? Sampai bila? Sampai Ivy umur tiga puluh ke baru Iv dapat merasa hidup senang? Iv dah tak larat dah nak hidup macam ni lagi! Iv tak larat! Iv tak peduli, Iv tetap nak sambung belajar jugak! Iv tak peduli!”

“Iv, jangan macam ni nak. Mak mintak maaf.” Puan Julia menangis teresak-esak. Dia tahu anaknya kecewa dan disebabkan dia lah juga anaknya itu tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Di dalam bilik, Ivy menangis semahu-mahunya. Dia kecewa! Sangat kecewa! Selama ini, tidak pernah dia meminta apa-apa dari mak dan ayahnya. Tapi kali ini dia hanya minta untuk menyambungkan pelajaran ke pengajian tinggi sahaja. Itu sahaja. Adakah selama ini dia doa siang malam itu hanyalah usaha yang sia-sia?

Disebabkan kemiskinan keluarga, habis hancur lebur impiannya untuk ke menara gading sedangkan hanya itu sahaja permintaannya. Air mata yang mengalir dilap menggunakan hujung baju kurung lusuh yang dipakai. Matanya terarah pada sebuah kotak hadiah yang diberikan padanya.

Pembalut hadiah dikoyakkan sebelum penutup kotak dibuka perlahan.

Kotak muzik? Penutup kotak muzik antik itu dibuka. Sebuah lagu yang halus bunyinya berkumandang sehinggalah matanya semakin kuyu, dan kuyu dan…akhirnya, terlelap. Hanya lagu dari kotak muzik itu sahaja yang berkumandang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience