Completed
238
London di waktu subuh sentiasa terasa lebih sejuk daripada apa yang digambarkan dalam filem-filem romantik. Elvina menarik nafas panjang, membiarkan wap putih keluar dari mulutnya sebaik sahaja dia melangkah keluar dari lobi hotel krew di Heathrow. Bunyi enjin pesawat yang menderu di kejauhan adalah muzik latar yang sudah sebati dengan jiwanya sejak lima tahun lalu.
Dia menyarung trench coat berwarna krim, melilit selendang sutera bercorak bunga ros di lehernya, sentuhan klasik yang dipelajari daripada Bibik di Melaka. Walaupun badannya terasa berat akibat jet lag yang tidak pernah benar-benar hilang, disiplin sebagai seorang Nyonya tetap teguh. Dia tidak akan membiarkan dirinya nampak comot atau tidak bermaya di khalayak ramai.
"Vina! Tunggulah aku!" Suara ceria Zara memecah kesunyian koridor hotel.
Elvina tersenyum kecil. Zara adalah satu-satunya sebab kenapa Elvina masih bertahan dalam industri yang meletihkan ini. Mereka seperti dua kutub yang berbeza; Elvina yang tenang dan penuh tertib, manakala Zara yang kecoh dan sentiasa mahu tahu gosip terbaru.
"Kau ni, kalau tak menjerit tak sah kan, Zara? Kita kat London, bukan kat Pasar Borong Selayang," usik Elvina sambil membetulkan beg tangannya.
"Alah, London pun Londonlah. Perut aku ni dah menyanyi lagu keroncong tahu tak? Jom kita pergi Bayswater. Aku rindu nak makan nasi lemak Pak Aiman. Sambal dia tu... uish, teringat-ingat sampai terbawa dalam mimpi!" Zara menarik lengan Elvina menuju ke stesen The Tube.
Di dalam gerabak tren yang sesak, Elvina hanya diam memerhati. Dia suka memerhati ragam manusia, seorang lelaki tua yang tekun membaca The Guardian, seorang wanita muda yang sibuk memakai maskara dalam tren yang bergoyang dan pelancong yang keliru dengan peta London.
Dia teringat kad perniagaan yang diselitkan dalam poket begnya semalam. Kad milik 'VVIP' yang cerewet itu. Dia tidak membuangnya, tapi dia juga tidak berniat untuk menghubunginya. Baginya, lelaki itu hanyalah satu lagi gangguan dalam rutin hidupnya yang sudah cukup padat.
"Vina, kau okey tak? Dari tadi aku tengok kau macam mengelamun jauh je," tegur Zara, matanya memandang tepat ke arah Elvina.
"Aku okey. Cuma fikir pasal rumah kat Melaka tu. Bibik cakap bumbung bahagian dapur tu makin teruk bocornya. Hujan lebat sikit je, habis banjir dapur tu. Aku kena cari kontraktor yang betul-betul boleh buat kerja bulan ni," Elvina melepaskan keluhan kecil.
Kehidupan sebagai pramugari nampak mewah di mata orang luar, melancong ke serata dunia, menginap di hotel lima bintang dan bergaya dengan seragam yang cantik. Namun, realitinya Elvina bekerja keras demi kelangsungan keluarganya di Melaka. Dia adalah tunjang utama sejak arwah ayahnya tiada. Setiap sen elaun terbangnya dikira dengan teliti untuk membaiki rumah warisan mereka dan memastikan adiknya, Adam, dapat menghabiskan pengajiannya.
"Sabar la, Vina. Nanti kita balik KL, aku teman kau balik Melaka cari kontraktor. Sekarang ni, jom kita layan London dulu. Kita ni layover dua hari je tahu tak? Janganlah bawa muka mendung tu sampai ke sini," Zara cuba menceriakan suasana.
Mereka sampai di Bayswater. Bau sambal tumis dan aroma santan dari restoran Malaysia di situ sedikit sebanyak mengubat rindu pada tanah air. Sambil menyuap nasi lemak, Elvina mengeluarkan sebuah buku nota kecil. Dia mula mencatat perbelanjaan dan sasaran simpanannya untuk bulan hadapan.
"Kau ni... makan pun sempat lagi buat kira-kira. Rehatlah sikit otak tu, Vina," tegur Zara sambil menyedut teh tarik panas.
"Aku tak boleh duduk diam, Zara. Kau tahu kan, impian aku nak buka kafe Nyonya kat Melaka tu? Kalau aku tak simpan sekarang, bila lagi? Aku tak nak terbang sampai umur 50 tahun. Aku nak balik, duduk kat rumah warisan tu, dan hidangkan kopi yang betul-betul sedap untuk orang kampung kita," mata Elvina bercahaya setiap kali dia bercakap tentang impiannya.
"Kopi eh? Macam mamat semalam tu? Black coffee, extra hot?" Zara mengenyit mata, sengaja mahu mengusik lagi.
Elvina menjeling tajam.
"Tu bukan kopi. Tu air pahit yang tak ada jiwa. Kopi Nyonya aku nanti lain. Ada rasa rempah, ada kasih sayang."
Selepas makan, mereka berjalan kaki menuju ke Hyde Park. Daun-daun kering yang gugur bertaburan di atas jalan raya, memberikan suasana musim luruh yang sangat syahdu. Elvina berhenti sejenak di tepi kolam, memerhati sekumpulan angsa yang sedang berenang tenang.
Dalam diam, Elvina merenung nasib diri. Adakah dia akan terus begini? Tergantung di antara awan dan bumi? Dia sayang akan pekerjaannya, dia bangga menyarung kebaya biru itu, namun ada satu ruang kosong di hatinya yang sering terasa sunyi setiap kali dia pulang ke bilik hotel yang sejuk.
Dia teringat pesan Bibik: "Vina, hidup ni macam bunga kemboja. Wangi, tapi kalau tak ada akar yang kuat, ditiup angin pun boleh luruh."
Elvina tahu akarnya adalah di Melaka. Tapi buat masa ini, dia perlu terus terbang. Dia perlu kuat.
"Vina! Jomlah! Kita pergi Oxford Street pulak. Aku nak tengok baju kat Selfridges!" jerit Zara dari jauh.
Elvina tersenyum dan melajukan langkah. Biarlah penat, biarlah rindu, dia akan terus melangkah. London mungkin besar dan asing, namun bagi Elvina, setiap langkahnya adalah untuk membawa dia pulang ke tempat yang dia panggil 'rumah'.
Malam itu, di dalam bilik hotel yang sunyi, Elvina mengeluarkan kad perniagaan Max Ryan semula. Dia membeleknya lama di bawah lampu meja yang malap. Nama itu nampak sangat berkuasa. Chief Executive. Ryan Global.
Dia mencapai telefon bimbitnya, mahu menyimpan nombor itu sebagai 'Passenger VVIP' untuk rujukan kerja jika perlu. Namun, jarinya terhenti. Dia teringat renungan mata kelabu lelaki itu. Ada sesuatu yang sangat mendalam pada mata itu, seolah-olah Max juga seorang yang sangat sunyi di sebalik segala kekayaannya.
"Tak payahlah, Vina. Jangan cari pasal," bisik Elvina pada diri sendiri. Dia mencampakkan kad itu ke dalam laci meja dan terus memadamkan lampu.
Di luar, hujan London mula turun dengan lebat, membasahi kota yang tidak pernah tidur itu. Elvina memejamkan mata, membiarkan bunyi titisan hujan membawanya ke dalam mimpi tentang rumah kayu di Melaka, bau bunga harum sundal malam dan secawan kopi panas yang dihidangkan dengan penuh jiwa.
Dia tidak sedar, bahawa esok, kehidupannya yang tenang di bumi London akan terganggu lagi. Dan kali ini, ia bukan di dalam pesawat.
* * *
Share this novel