Bab 2

Romance Completed 18716

Kegelapan malam menjelma. Keriuhan di rumah banglo milik Datuk Jamili makin memuncak. Malam Jumaat esok telah dipilih bagi melangsungkan acara yang telah lama dirancang dan dinanti-nantikan itu. Jelas terpancar riak sedih di wajah Qaisara walaupun hari bahagia bakal menjelma. Malam berinai ditemani rakan-rakan baik yang juga sekuliahnya dahulu. Kehadiran Kamalia, Adilah, Paula dan Farah sudah cukup untuk meriuhkan bilik pengantin.

Semuanya begitu teruja dengan pernikahan sahabat mereka. Tidak menyangka dalam mereka berlima, jodoh Qaisara yang sampai dahulu.

Pun begitu, tiada satu orang pun yang tahu apa yang menyebabkan Qaisara bersetuju kahwin awal. Bahkan, keempat-empat mereka tidak pernah mengetahui bahawa Qaisara bukannya bakal bernikah dengan sahabat lelaki yang selalu mereka temui bersama, tetapi adalah lelaki lain. Mungkin sebentar lagi mereka akan tahu.

Qaisara tidak pernah menceritakan apa-apa. Semua rahsia tersimpan kemas sehingga kini. Dia memendam rahsia bahawa dirinya dipaksa menikahi lelaki yang sepatutnya dinikahkan dengan adiknya, Ahmad Kamal.

“Dah kenapa bersedih lagi ni? Nak kahwin esok pun, tak nak senyum?”perli Adilah. Qaisara tersenyum dengan nada perli temannya itu. Sedikit pun dia tak terasa. Memang dah tiada kuasa untuk merasa apa-apa.

“Dah pakai inai terus tidur.Esok dah nak nikah.Nanti tak cantik pula pengantin baru kita ni,” kata Paula lagi mencuit hujung hidung Qaisara.

“Ha... dengar tu pengantin. Kau kena tidur awal,” Farah menepuk bahu Qaisara dengan bantal. Membuntang mata Qaisara geram. Terasa sakit dibuat begitu kasar kawannya yang seorang ini.

“Dah la cik kak. Jangan kau tambah lagi sakit pengantin kita ni. Nanti kadi run away bride nanti susah,” sebiji bantal melayang ke tubuh Farah. Berperang bantal pula sesama mereka. Persis anak kecil bermain sambil ketawa tak ingat dunia.

Di saat semua terdiam, Qaisara kembali monyok.Tiba-tiba saja air matanya mengalir. Terpempan kawan-kawannya yang lain.

"Kau okay ke tak ni Qai? Dari tadi aku tengok kau macam bersedih. Kenapa? Kau nak kahwin dah. Patutnya kau ceria." Kata Kamalia sambil memeluk bahu Qaisara diikuti yang lain-lain.

"Aku tak apa-apa. Cuma aku terharu kamu semua sanggup luang masa untuk perkahwinan aku ni. Itu saja."

"Betul ni? Kau tak apa-apa? Kalau kau ada masalah beritahu saja pada kami, " kata Adilah.

"Betul. Bagitahu je. Kalau suami kau jahat ke buat apa-apa tak baik, aku tolong kau belasah dia," Kata Farah sambil melenyek penumbuk.

"Overlah kamu semua ni!" Paula pula mencelah. Habis ketawa semua mendengar gelagat masing-masing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience