“Assalamualaikum! Ayah Nurul dah balik ni.” jerit Nurul yang berada di depan pintu sambil membuka kasut sekolahnya kepada ayahnya. Nurul memang selalu begitu apabila balik sekolah untuk mengingatkan ayahnya jika dia ada latihan hari ini.
“Nurul cepat bersiap. Malam ni ada latihan untuk konsert kamu malam Sabtu nanti.” ayahnya sentiasa kelam kabut menguruskan Nurul sebagai penyanyi misteri Sha. Sha seorang penyanyi yang memakai topeng untuk merahsiakan identitinya. Dia tidak bersedia lagi untuk mendedahkan identiti sebenar kerana ingin fokus terhadap peperiksaan yang akan dilaluinya tahun ini. Cuma dirinya, ayahnya dan Kamal yang tahu tentang rahsia ini. Nurul tidak pernah memberitahu sesiapa walaupun Wiya sebagai kawan karibnya kerana takut rahsia itu akan terbongkar.
“Ayah janganlah kelam kabut sangat. Nurul siap sekejap je. Tunggu kejap tau. Nurul nak solat Asar dulu. Lagi setengah jam kita bertolak ke studio, Okey!”
“Ha, yela cepat sikit tau.” Ayahnya mula tenang dan duduk di kerusi kayu di ruang tamu.
Nurul bersiap sebagai Sha. Dia memakai topeng dan selendang. Dia sentiasa menutup aurat walaupun sudah bergelar penyanyi. Sha semakin popular kerana kemerduan suaranya dan kemisteriannya. Sha semakin ramai peminat termasuk rakan sekelasnya dan Wiya amat meminati Sha. Sha pandai bermain gitar dan piano sambil menyanyi. Sebab itu Nurul memasuki ghazal untuk memahirkan lagi dia bermain gitar dan peti harmonium sebagai piano tetapi dia tidak pernah menyanyi semasa latihan ghazal kerana takut orang akan mengetahui rahsianya. Biasanya yang menjadi penyanyi ghazal adalah Wiya kerana Wiya sangat berminat dengan bidang nyanyian. Walaupun sibuk dengan kelas, Nurul sentiasa mengikut masa yang ditetapkan oleh ayahnya. Tetapi kadang-kadang Nurul tidak siap kerja sekolah dan tidak dapat hadir ke sekolah kerana penat dengan latihan dan konsert Sha.
“Ayah, jomlah, Nurul dah siap ni.” Nurul memanggil ayahnya yang terlelap menunggunya bersiap.
“Dah siap. Jom.” Ayahnya mengajaknya masuk ke kereta Myvi biru laut yang merupakan warna kegemaran Sha. Ayahnya yang akan membawa kereta dan menerima panggilan telefon daripada pihak yang ingin bertemu dengan Sha dan akan menguruskan jadual waktu Sha. Sha pula akan sentiasa membawa gitar kegemarannya ke mana saja untuk latihan mahupun konsert dan mematuhi arahan ayah dan jadual waktunya.
“Nurul macam mana sekolah tadi. Tadi ayah tak sempat nak tanya.” Ayahnya memulakan bicara di dalam kereta.
“Macam biasa je. Cuma tadi ada budak baru masuk kelas. Tapi budak tu menjengkelkan Nurul la.”
“Mungkin budak tu cuma nak berkawan dengan Nurul je. Lagipun dia kan baru,.”
“Ayah, Nurul tak nak kawan banyak-banyak. Cukuplah dengan Wiya. Lagipun cuma Wiya je yang nak kawan dengan Nurul. Yang lain tu, Nurul tak tahu la nak cakap macam mana. Yela kat sekolah tu semua orang kaya kan. Nurul pun bukannya kaya.” Nurul memandang ayahnya sambil tersenyum. Ayahnya hanya membalas senyuman manis Nurul itu.
Kereta Myvi biru laut berhenti dan parking kereta berdekatan dengan studio. Mereka sampai dah nak Maghrib. Biasalah mereka akan mengambil masa selama lebih kurang satu jam untuk sampai ke studio. Studio itu memang disediakan khas oleh syarikat yang mengambil Sha sebagai penyanyi naungannya untuk Sha untuk membuat latihan. Yelah, takkan Sha nak berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk membuat latihan. Mereka kan duduk di Johor. Syarikat tersebut juga telah menyediakan segalanya untuk kemudahan Sha. Mereka masuk ke dalam studio. Beberapa minit kemudian, azan Maghrib didengar oleh mereka di dalam studio. Sha dan ayahnya segera menunaikan solat Maghrib di dalam surau studio. Ayahnya tidak memberi sesiapa masuk dulu ke dalam surau untuk menjaga identiti Sha. Biasanya orang beragama Islam yang lain akan menunggu selepas atau sebelum Sha menunaikan solat. Seperti biasa kali ini Sha menunaikan solat dulu bersama ayahnya. Selepas siap baru yang lain menunaikan solat.
“Sha baru tingkatan 5. Sha kena pandai bahagi masa tau. Sha kena ingat, Sha nak periksa tahun ni.” Ayahnya memang suka memberi nasihat dan mengingatkan Sha tentang pelajarannya walau di mana mereka berada. Biasanya kalau ayahnya ingin memberi nasihat, ayahnya akan melihat keadaan sekeliling supaya tiada orang mendengar perbualan mereka tentang pelajaran kerana orang tidak tahu bahawa Sha merupakan seorang pelajar tingkatan 5.
“Sha akan sentiasa ingat kata-kata ayah tu. Ayah tak payah la nak risau sangat. Lagipun Sha kan ikut jadual ayah. Sha pun dah biasa buat semua ni,” balas Sha sambil tersenyum pada ayahnya.
Tiara, seorang penari latar untuk konsert Sha pada hari Sabtu tersebut telah terdengar perbualan antara Sha dengan ayahnya. Dia tersenyum gembira apabila mendapat tahu berita itu. Sudah pasti dia akan memberitahu wartawan untuk mendapatkan duit untuk berita tergempar itu. Dia akan menyimpan rahsia itu sehingga konsert hari Sabtu itu tamat. Dia akan memberitahu wartawan yang akan membuat liputan konsert itu nanti. “Sha kau tengok la nanti. Aku akan bocorkan rahsia kau ni. Sorry Sha, I need money.” kata Tiara seorang diri.
Selepas semua sudah menunaikan solat, latihan bermula seperti biasa. Sha akan menyanyi sambil bermain gitar bersama penari latar yang lain. Latihan akan habis jam 10 malam. Selepas itu Sha akan balik dan menyiapkan kerja sekolahnya tetapi jika dia terlalu penat dia tidak buat kerja sekolahnya. Selepas tamat latihan Nurul segera mengambil kerja sekolahnya. Selepas selesai kerja sekolah barulah dia tidur.
Pagi yang hening dengan bunyi ayam berkokok dan hujan renyai membuatkan Nurul malas hendak bangun untuk ke sekolah. Tetapi dia terpaksa bangun kerana sudah banyak pelajaran yang dia tertinggal sejak dia menjadi penyanyi yang terpaksa ponteng sekolah. Guru kelasnya, Cikgu Sally ada juga bertanya kepada Nurul kenapa selalu tak datang ke sekolah? Tapi Nurul hanya diam seribu bahasa, tak tahu nak cakap apa. Nasib baik ayah Nurul pandai memberi alasan yang munasabah untuk Nurul tidak hadir ke sekolah. Nurul bangun dengan malas dan segera ke bilik air untuk mandi kemudian menunaikan solat Subuh. Selepas bersiap memakai baju uniform sekolah, Nurul keluar daripada bilik untuk sarapan.
“Selamat pagi ayah. Ayah masak apa hari ni? Bau macam sedap je.” kata Nurul dengan riang.
“Selamat pagi. Ayah masak nasi goreng hari ni. Nurul kan suka nasi goreng.” balas ayahnya. Encik Razali merupakan ayah dan ibu kepada Nurul selepas ibu Nurul meninggal dunia tahun lepas. “Hari ni nak ayah hantar tak? Macam nak hujan je. Nanti anak ayah ni sakit pulak.”
“Takpe la ayah. Lagipun cuma hujan renyai je. Kejap lagi berhenti la tu. Ayah, Nurul pergi dulu la. Dah lambat ni.” Nurul segera menyalam ayahnya dan mengambil kunci motor Legenda hitamnya. “Bye yah. Nurul pergi dulu” kata Nurul sebelum berangkat.
“Nurul jadual macam biasa pukul 5 bertolak ke studio.” jerit ayahnya selepas teringat jadual Nurul hari Khamis itu. Nurul hanya melambaikan tangan menandakan dia mendengar kata ayahnya itu.
Tepat jam 7.15 pagi Nurul tiba di sekolah. Dia segera meletakkan motornya di tempat yang disediakan kerana sudah terlambat untuk perhimpunan harian selama 5 minit. Nurul ternampak Wiya yang baru turun daripada kereta Mercedes milik bapanya, Dato’ Halim. Mereka berdua bersalaman dan berjalan bersama-sama menuju ke perhimpunan. Semua berjalan seperti biasa.
Pada hari Sabtu pagi, Nurul harus bersedia untuk konsert sulungnya kerana dia semakin popular. Seperti biasa Nurul akan memakai topeng dan menyamar sebagai Sha. Petang itu merupakan rehearsal terakhir dan konsertnya akan bermula jam 9 malam. Nurul terpaksa tidak menghadiri latihan ghazal petang Sabtu itu kerana sibuk dengan konsert Sha. Malam itu Sha sungguh berdebar-debar kerana itu merupakan konsert pertamanya setelah 6 bulan dia bergelar penyanyi. Perkembangannya sangat cepat kerana Sha merupakan penyanyi yang hebat dan berbakat.
“Sha dah bersedia ke?” Encik Razali selaku PA dan ayahnya bertanya.
“Dah ayah,” jawab Sha pendek sambil memegang dadanya. Dia dapat merasa jantungnya tengah berdegup kencang.
“Sha dah tiba masanya untuk kamu keluar,” kata salah seorang produksi konsert Sha.
Sha menyalam ayahnya meminta restu kemudian Sha keluar naik ke pentas bersama gitar kesayangannya. Sha sedikit gentar apabila dia melihat ramai peminat memenuhi depan ruang pentas. Sha melihat ayahnya. Sha tidak gentar apabila ayahnya memberi semangat dan sentiasa berada di sampingnya.
“Assalamualaikum dan selamat malam semua. Terima kasih kerana sudi hadir ke konsert pertama saya dan saya harap anda semua akan terhibur dan tidak sia-sia anda datang ke sini malam ni.” Sha memulakan ucapan. “Terimalah lagu pertama saya ‘tanpa kamu’,” Sha duduk di tempat yang disediakan di atas pentas. Tempat duduk itu sangat indah yang dihiasi dengan bunga-bungaan pada keliling kerusi tersebut. Sha memetik gitar dan mendendangkan lagu pertamanya di konsert itu. Selepas menyampaikan beberapa buah lagu, Sha berhenti berehat dan salin pakaian yang lain. Sementara itu, artis jemputan akan membuat persembahan semasa Sha salin pakaian. Artis jemputan pertama ialah kumpulan Sixth Sense yang mendendangkan lagu menyesal dan yang sempurnakanku.
“Sha dah siap belum. Diaorang dah nak siap dah tu,” kata ayah Sha.
“Kejap lagi ayah,” jawab Sha. Sha keluar dengan memakai baju berwarna biru bersama seluar dan selendang biru cair rekaan Azmir selaku pereka fesyen Sha bersama topeng berwarna biru laut. Sha segera naik ke pentas semula untuk menyanyikan lagu seterusnya.
“Tepukan untuk Sixth Sense. Saya harap anda masih segar dan terhibur untuk mendengar nyanyian saya lepas ini. Terimalah lagu ‘Kau di hatiku’,” kata Sha untuk menghiburkan peminatnya yang tidak penat menunggu Sha di konsertnya. Penari di belakang pentas terus naik ke atas pentas untuk menari. Tarian mereka memang cantik dan sesuai untuk lagu yang dinyanyikan oleh Sha. Selepas itu Sha berduet dengan Amir menyanyikan lagu ‘Kalau Cinta’ nyanyian Alif Aziz dan Joanna. Selepas 2 jam berlalu, peminat masih lagi ramai dan sesak untuk mendengar dan melihat Sha.
Lagu terakhir Sha memakai baju berwarna hitam, putih dan kelabu rekaan Amira Natasya. Lagu terakhir yang bertajuk ‘Rahsiaku’ yang merupakan lagu yang menaikkan nama Sha dalam bidang muzik ini. “Terimalah lagu terakhir daripada saya ‘Rahsiaku’.” Sha tersenyum melihat peminatnya yang sering menyebut namanya dan memberi semangat kepadanya.
Nyanyian Sha diserikan lagi dengan penari yang bersama-sama menari dengan Sha semasa menyanyikan lagu terakhir. “Terima kasih kepada anda semua yang tidak putus-putus memberi semangat dan sudi hadir menyaksikan konsert pertama saya. Jasa anda semua saya akan sentiasa saya kenang.” Sha mengucapkan terima kasih kepada peminatnya sempena penutupan konsert pertamanya itu. Semua artis jemputan naik ke pentas untuk memeriahkan lagi suasana. Setelah selesai, semua peminat pulang ke rumah. Sha masih lagi di belakang pentas untuk salin pakaian. Sha dibantu oleh beberapa orang pengawal ketika keluar daripada pintu pentas. Masih ada beberapa orang peminat yang sanggup menunggu Sha untuk meminta tandatangannya. Sha menandatangan pada helaian kertas yang diberi oleh peminat. Sha sangat peramah pada peminat yang sentiasa menyokongnya. Selepas itu, Sha naik ke kereta Myvi miliknya untuk pulang ke rumah.
“Roy, tunggu sekejap,” kata Tiara kepada salah seorang wartawan yang membuat liputan tentang Sha. Roy juga ingin membongkar siapa Sha yang sebenarnya kerana kemisterian Sha membuatkan dia semakin ingin tahu tentang seorang artis yang meningkat naik. Tentu namanya akan meningkat naik jika dia dapat membongkar identiti sebenar Sha. “Kau nak berita tentang Sha tak?” sambung Tiara. “Aku ada berita baik, tapi kau kena bagi aku duit dulu,” kata Tiara.
“Tiara, apa berita baik tu? Kau cakap je dengan aku. Pasal duit takde hal la,” jawab Roy.
Tiara hanya senyum. “Sha sebenarnya seorang pelajar. Dia baru tingkatan 5. Aku harap maklumat ni cukup untuk memudahkan kau cari siapa sebenarnya Sha. Berkemungkinan nama Sha tu bukan nama sebenar dia,” sambung Tiara.
“Ha, ye ke? Mana kau dapat berita ni? Memang baik la. Tak sangka aku Sha ni muda sangat. Aku ingatkan umurnya dah nak masuk 20.”
“Aku terdengar perbualan Sha dengan ayahnya kat studio. Kau dah dapat berita tu kan. So, mana duit aku. Aku cuma bagitahu kau je tau. Bersyukur sikit,” kata Tiara sambil menghulurkan tangan meminta duit yang dijanjikan oleh Roy. Roy memberi duit kepada Tiara dan mereka tersenyum bersama-sama.
Share this novel