BAB 7

Romance Completed 20614

TUJUH BULAN KEMUDIAN

“Abang..” panggil Fazureen suatu malam. Fuad masih lagi pulas lena dipembaringannya.

“Abang..” panggil Fazureen sekali lagi sambil menggoyangkan sedikit badan suaminya. Fuad tersedar. Dia membuka mata sedikit dan menghadiahkan senyuman buat Fazureen sebelum memejamkan matanya kembali.

“Abang..” jerit Fazureen sedikit kuat.

“Apa?” jawab Fuad antara sedar tak sedar.

“Perut Rin sakit..” adu Fazureen sambil menyeringai. Menahan rasa sakit yang mula menyucuk-nyucuk di bawah ari-ari dan dipinggangnya.

“Hmm.. Rin nak berak ke?” tanya Fuad yang masih lagi mengantuk. “Kalau Rin nak berak, pergilah tandas..” tambah Fuad lagi.

“Bukanlah abang, Rin rasa macam baby ni dah nak keluar je,” balas Fazureen pula dalam nafas yang tersekat-sekat.

“Baby nak keluar? Nak keluar ke mana pulak malam-malam ni, Rin?”, balas Fuad lagi yang ternyata masih lagi mamai. Tidak sedar dengan apa yang dituturkannya. Penat menguruskan hal-hal pejabat dan menguruskan rumah tangganya masih lagi terasa.

“Abang, baby dah nak keluar la..!!” jerit Fazureen sambil mencubit lengan suaminya. Tidak tahan dengan rasa sakit yang semakin kerap terasa serta geram apabila sedar dia berborak dengan suaminya yang sedang mamai.

Jeritan Fazureen yang kuat dan cubitan Fazureen yang terasa berbisa dilengannya telah membuatkan rasa mengantuk Fuad hilang begitu saja. Segar dan bulat matanya memandang Fazureen. Malah rasa terkejutnya menjadi berganda apabila melihat wajah Fazureen yang sudah mula basah dengan air mata.

“Abang, sakit..”

Hah, sakit?! Pantas Fuad bangun, membuka lampu bilik tidur mereka. Beg pakaian Fazureen beserta bakul barang-barang bayi yang terletak ditepi almari dicapainya. Kunci kereta yang tersangkut di dinding disambarnya sebelum dia berlari bergegas masuk ke dalam kereta dan lantas enjin kereta dihidupkannya.

Fazureen tercengang melihatkan suaminya yang bergegas turun tanpa membawa dirinya bersama. Belum sempat handbrake dilepaskan, barulah Fuad perasan rupanya Fazureen belum dibawanya. Fuad menepuk dahinya sekali. Allah.. itulah selalu waktu dia buat rehearsal Pelan Kecemasan Bersalin tak pula dia praktis untuk membawa Fazureen, selalunya dia berlatih untuk mencapai barang-barang keperluan Rin saja. Terkocoh-kocoh Fuad kembali berlari naik ke bilik untuk mendapatkan Fazureen.

“Sorry Rin, abang lupa..” ucap Fuad sambil tersengih. Lantas badan Fazureen diangkat dan dibawa masuk ke dalam kereta.

“Abang, sakit bang..” rintih Fazureen bersama-sama air mata yang menderu mengalir dipipinya.

“Sabar, yang..” hanya itu balas Fuad disepanjang perjalanan mereka. Hatinya cuak apabila mendengar rintihan Fazureen bersama linangan air mata. Ditambah pula dengan keadaan yang mengeliat ke kiri dan ke kanan kesakitan. Semuanya membuatkan hati Fuad menjadi tidak keruan. Pedal minyak ditekannya sekuat hati dan akhirnya mereka tiba di hospital berdekatan.

Setibanya di hospital, Fuad berhenti betul-betul dihadapan pintu masuk wad kecemasan. Fuad turun dan pantas berlari membuka pintu untuk Fazureen. Kelihatan seorang petugas wad kecemasan berlari mendekati mereka sambil menyorongkan kerusi roda. Dengan berhati-hati mereka mengangkat Fazureen dan meletakkannya di atas kerusi roda. Lalu, Fazureen terus dibawa ke bilik bersalin.

***
Sepuluh minit sudah berlalu. Fuad mundar-mandir dihadapan pintu bilik bersalin. Rasa hatinya bercampur-campur disaat itu. Ada runsing, risau, teruja, bahagia dan sebagainya. Tiba-tiba Fuad baru teringat bahawa ibu bapa serta mertuanya masih lagi belum dimaklumkan mengenai Fazureen, pantas jari-jemarinya menekan punat-punat telefon bimbitnya untuk mengkhabarkan khabar gembira tetapi cemas itu.

Sedang Fuad cemas sendirian, tiba-tiba pintu bilik bersalin tersebut terbuka. Kelihatan seorang nurse keluar dan mendekatinya.

“Encik ni suami Puan Fazureen?” tanya nurse tersebut.

“Ya.. jawab Fuad bersama debaran dihati. Bimbang ada berita yang kurang enak yang bakal disampaikan kepadanya.

“Puan Fazureen panggil encik masuk,” kata nurse itu lagi sambil tersenyum. “Marilah..” ucap nurse itu lagi sebelum mempersilakan Fuad masuk. Dengan perasaan yang berbaur-baur, Fuad menurut setiap jejak nurse tersebut.

Sebaik sahaja tiba di dalam bilik bersalin tersebut, kelihatan Fazureen yang sedang berbaring di sebuah katil. Terdapat beberapa orang nurse dan seorang doktor yang sedang menemani isterinya itu. Fazureen yang perasan akan kelibatnya lantas menghulurkan tangan kepadanya. Pantas Fuad menyambut huluran tangan Fazureen. Wajah Fazureen yang jelas menunjukkan riak perit akibat menanggung kesakitan, benar-benar menusuk hatinya.

“Sabar Rin..”

Aaaahhh!! Jerit Fazureen tiba-tiba. Pegangan tangan Fazureen ditangan Fuad menjadi semakin erat.

Dumm!! Fuad tumbang. Tercengang seketika insan-insan yang berada di dalam bilik bersalin tersebut. Dalam menyerigai sakit, Fazureen ketawa.

***
Sinaran cahaya yang terang terasa seakan-akan menyucuk-nyucuk matanya. Perlahan-lahan Fuad membuka matanya. Samar-samar kelihatan ibu bapa serta mertuanya yang sedang berkerumun di katil. Fuad cuba mengingati apa yang berlaku tadi. Rin?! Bingkas Fuad bangun dari pembaringannya.

“Dah bangun kamu Fuad?” tegur Encik Fauzi tatkala menyedari menantunya itu sudah sedar dari pitamnya. Teguran Encik Fauzi telah menyebabkan empat pasang mata yang lain turut tersorot ke arah Fuad.

Fuad tidak mengendahkan pandangan mata ibu bapa serta mertuanya tetapi terus dia melangkah mendekati Fazureen yang sedang menyusukan anaknya.

“Rin..” ucap Fuad perlahan. Wajah keletihan Fazureen direnungnya penuh simpati. Tangan Fazureen dicapainya dan dicium sekali, lama. Fazureen tersenyum ke arah suaminya.

“Rin, lepas ni abang tak nak baby lagi..” ucap Fuad tiba-tiba. Pecah tawa mereka di situ. Fazureen pula hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Ternyata Fuad serik..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience