“Laila!” Nama temannya itu dipanggil lagi. Punggungnya yang dari tadi melekap di sofa diangkat juga. Langkahnya diaturkan ke arah dapur.
“Laila...” Nama itu dipanggilnya lagi.
Merata matanya meliar. Tidak pula kelihatan kelibat Laila. Bunyi-bunyi bising di dapur tadi, juga sudah tiada. Pelik! Liurnya ditelan kelat. Bulu roma sudah mula meremang. Tidak pernah di rasakan perasaan sebegini.
“Laila...” Nama itu di panggilnya lagi. Langkahnya diaturkan lagi ke dalam. Perlahan-lahan, dengan debaran jantung yang sangat laju. Pertama kali, dia merasakan perasaan sebegitu. Sangat mendebarkan dan menakutkan.
Tekaknya terasa kering. Air susu segera yang ada di dalam peti ais, di ambilnya. Dituang ke dalam gelas dan disimpan kembali kotak air susu itu ke dalam peti ais yang masih terbuka.
“Argh!!” Terjerit Rahimah. Kalihkan sahaja ke belakang, ada seseorang berdiri di belakangnya.
“Kau kenapa?”soal Laila serius.
Laju sahaja nafasnya. Terkejut. Air yang baru dituangkan ke dalam gelas, habis tertumpah ke badan Laila. Dadanya diurupkan. Dihelakan nafas lega, bila yang dilihatnya itu adalah Laila. Namun degupan jantungnya, masih berdegup laju. Masih terkejut.
“Sorry, Laila. Aku ingatkan siapa tadi. Kau ni, buatkan aku terkejut aje. Sorry... Aku tak sengaja.”
“Kau ingat, aku hantu?” Soal Laila tersenyum senget dan terus berlalu ke sinki.
“Eh, mana ada hantu siang-siang ni. Tengah hari kembang, takkanlah ada hantu. Kalau hantu tu datang kat aku, siap aku karate kat dia.”
Jawab Rahimah sombong. Langsung tidak berlapik.
“Kau jangan cakap besar Imah. Nanti dia datang betul, macam mana?”
“Ish, aku tak percayalah semua ni. Karut! Semua tu karut. Aku nak dengar cerita kau tu pun, sebab aku nak tulis cerita seram aje. Taklah sampai aku nak percaya semua tu.” Bidas Rahimah angkuh.
“Kalau dia datang?”
“Argh! Dia tak akan datanglah. Kalau betul, wujud hantu dalam rumah ni. Dah lama aku jumpa dia. Masalahnya, selama aku pindah ke sini, tak ada pun semua tu.”
Air susu yang baru dituangnya terus diteguk.
“Aku rasa, kau tu terlalu taksub sangat.”
“Kau jangan ingat, kat dunia ni... cuma ada manusia. Ada makhluk lain juga, yang kau tak dapat nak lihat dengan mata kasar. Mungkin kau dapat lihat, tapi kau tak dapat nak rasa.”
“Apa yang kau cakapkan ni?”
Berkerut mukanya. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garukan. Hilang lagi. Sekejap sahaja, Laila menghilang daripada pandangan.
Share this novel