Bab 1

Romance Completed 30748

Pandangan mata mula terasa berbalam-balam apabila matanya mula menangkap sinaran cahaya yang silau. Cepat-cepat ditutup kelopak matanya. Bagaikan sudah lama mata itu menghadap kegelapan.

Namun tetap digagahkan juga anak mata untuk menyambut kelibat cahaya terang itu. Tangannya mula dibawa ke kepala yang terasa berdenyut. Erna sudah terlupa apa yang sebenarnya terjadi kepadanya. Fikirannya masih kosong. Namun yang pasti, kepalanya terasa sungguh berat.

Dengan perlahan-lahan, Erna mula menggagahkan diri untuk bangun. Tidak betah rasanya jika terus terbaring kelesuan sebegini rupa lantaran dia memang jarang memanjakan dirinya dengan melepak di atas katil sehingga waktu tengah hari. Biasanya sebelum matahari memunculkan diri, dia sudah siap sedia bangun untuk mandi.

Kepala yang berdenyut, mula dipicit berulang kali. Kakinya mula dijatuhkan ke bawah. Erna benar-benar ingin mandi untuk menghilangkan kelesuannya.

Matanya mula melebar ke kawasan biliknya. Tapi dia mula tersedar akan sesuatu. Dia tidak berada di biliknya. Dia berada di satu persekitaran yang tidak pernah dilihat dek mata kasar. Nafasnya mula turun naik melihat persekitaran yang pelik ini.

“Ya Allah.. aku ada dekat mana nih?? Erna mula rasa cuak! Cepat sahaja Erna turun dari katil. Tangannya mula menggagau tombol pintu.

Berharap sangat yang pintu itu tidak berkunci. Dan usai pintu mula terkuak, matanya mula menangkap kelibat seorang lelaki yang teramat dia cintai.
Fareeq!

Bibir pucatnya mula menguntumkan senyum. Gembira melihat kelibat Fareeq! Terasa jiwanya mula selamat. Terus hilang segala gundah gulana. Kalau ada Fareeq, Erna tahu yang dia akan selamat!

Baru sahaja Erna ingin menghampiri Fareeq, tiba-tiba langkah kakinya mati apabila melihat seorang perempuan yang tinggi lampai, memakai blaus berwarna kuning dan bertudung rona sama, menghampiri dan menyentuh tangan Fareeq.

Tanpa segan silu, dia mengengam erat jari jemari Fareeq! Apa yang membuatkan Erna lagi terkejut ialah Fareeq hanya membiarkan setiap usapan dan usikan dari perempuan tersebut. Muka Fareeq sedikit masam. Namun kehadiran perempuan itu telah menyimpulkan sebuah senyuman di wajah Fareeq. Walaupun senyuman itu tidak bersungguh, namun Fareeq tetap tersenyum mesra.

“Siapa perempuan ni? Kenapa dia sesuka hati pegang-pegang Fareeq? Aku pun tak pernah sekalipun sentuh Fareeq sedangkan aku ni tunang dia!? Tidak pernah Erna menyangka yang Fareeq akan berlaku curang dengannya sedangkan selama ini Erna telah menyerahkan rasa hatinya hanya untuk Fareeq seorang sahaja.

“Abang… Apa yang berlaku, bukan salah abang…” Pujuk wanita yang memakai tudung kuning itu.

“Tapi abang tetap rasa bersalah Sury..” Keluh Fareeq perlahan. Berulang kali dia meraup wajahnya.

“Jangan salahkan diri abang.. Abang cuma tersepit dengan keadaan.. Apa pun yang berlaku, Sury ada disamping abang… Abang tak boleh lemah macam nih…”

“Terima kasih Sury. Sebab faham keadaan abang. Kalau Sury tak ada, tak tahulah macam mana abang nak hadap benda ni sorang-sorang.” Bait-bait kata yang singgah di telinga Erna mula membuatkan air matanya mengalir di birai pipi.

Abang? Siapa Fareeq pada seorang wanita bernama Sury ini? Setahunya, Fareeq tak punya adik perempuan. Jadi siapa pula Sury pada Fareeq? Mereka berdua nampak mesra walaupun suasana agak muram dan suram.

Nafas Erna sudah mula turun naik. Sesiapa pun yang berada ditempatnya, pasti akan berasa marah! Matanya tidak betah lagi sekadar bertindak untuk memerhati. Perempuan tak malu itu memang nak kena ajar!

Tanpa menunggu lama, kakinya mula melangkah laju. Berjalan sambil ditemani dengan rasa amarah yang menggunung! “Hei, kenapa kau sentuh tunang aku?” Pekik Erna lantang. Apa nak jadi, jadilah!

Namun pelik kerana tidak mendapat sebarang respon daripada Fareeq ataupun perempuan bertudung kuning itu. Untuk memuaskan rasa hati sendiri, sekali lagi Erna menjerit lantang. Malah telah menggunakan seluruh kudratnya. Namun yang pelik, kedua-duanya masih tidak menyedari kehadirannya.

Tangan Erna mula menggigil. “Ya Allah… adakah aku sudah bisu?? Rasa takut mula menjalar di lorong hati. Apa yang lebih membingungkan ialah, kenapa Fareeq dan Sury seolah-olah tidak dapat mengesan kehadirannya walaupun dia berdiri tidak sampai satu meter pun dari tempat duduk mereka. Seluruh tubuh Erna sudah mula menggigil hebat! Bibirnya diketap kuat.

Perlahan-lahan Erna memberanikan tangannya untuk menyentuh tubuh Fareeq. Baru sahaja dia ingin menyentuh Fareeq, terdengar satu suara dari arah belakangnya. Serentak mereka bertiga berpaling.

“Tak perlulah awak ada dekat sini Fareeq…” Kata-kata yang keluar dari mulut Dato Emran itu membuatkan Erna tercengang! ‘Apa maksud papa?’

Matanya bersilih ganti melihat wajah kelat Fareeq dan wajah muram papanya.

“Tapi….”

“Sudahlah Fareeq… Awak dah tak payah susah-susah fikirkan anak saya. Awak pergilah teruskan hidup awak dengan Sury…” Ujar Dato Emran lemah.

“Abang… Jom balik..” Ajak Sury sambil menarik tangan Fareeq.

Dengan teragak-agak, Fareeq mula meninggalkan tempat ini. Erna menggelengkan kepalanya berulang kali. Tidak faham dengan sketsa yang berlangsung di hadapannya ini.

Kenapa papa mengarahkan Fareeq pergi?

“Papa…” Seru Erna sekali. “Papa… pandanglah Erna papa…” Rayu Erna dengan linangan air mata.

“Erna….” Panggilan Dato Emran mendatangkan senyuman di wajah Erna. Akhirnya papa dapat melihat dirinya.

“Maafkan papa nak…” Ujar Dato Emran dengan linangan air mata. Lama dia memandang ke arah pintu bilik di sebelah kanannya sehingga dia kembali terduduk di atas kerusi yang sudah tersedia.

Erna mula menangkap rasa pelik ini. Papa tidak memandang ke arah dirinya. Tapi papa melihat pintu yang berada di belakang badannya ini. Erna memberanikan tangannya memegang tangan papa tapi apa yang membuatkan dia terlopong ialah, dia dapat menembusi tangan papanya.

Tangan kanan sudah mula dibawa ke mulut. Menutup rahangnya yang sudah terjatuh.

‘Ya Allah… apa sebenarnya yang berlaku?’ Erna mula menoleh ke arah belakang, kakinya mula dibawa ke muka pintu yang sedikit terbuka. Perlahan-lahan dia menjenggukkan kepalanya ke arah katil yang tersedia. Bibirnya berketar hebat saat melihat sekujur tubuh yang terlantar di atas katil itu. ‘Ya Allah… itu kan aku?’ Bandannya terasa menggigil. Erna Farzana sudah mula terjelupuk di atas lantai.

Apa sebenarnya yang telah terjadi? Kenapa dia boleh terlantar di atas katil hospital dengan wayar yang berselirat di seluruh tubuh itu? Otaknya langsung tak boleh mencerna apa-apa tika ini. Kusut dan serabai!

“Erna…..” Panggilan sayup itu membuatkan Erna perlahan-lahan berpaling.
Rifqi!

“Jangan menangis Erna…” Pujuk Rifqi perlahan.

“Aku tak faham… Apa sebenarnya yang terjadi?”

“Kau tak ingat… Dah enam bulan kau terlantar sakit setelah terlibat dengan kemalangan…” Terang Rifqi lembut.

“Jadi aku ni halimunan ke?” Soalan itu lebih ditujukan kepada diri sendiri. Erna menggelengkan kepalanya berulang kali. Tanda tidak percaya dengan apa yang berlaku sekarang!

Tapi, tiba-tiba dia musykil satu perkara.

“Kalau aku ni halimunan… macam mana pulak kau boleh nampak aku?” Rifqi sedikit tersentak mendengar soalan Erna.

Lalu lambat-lambat Rifqi tersenyum. “Aku kan kawan baik kau… Of courselah aku boleh nampak kau menggunakan mata hati aku….” Jawapan Rifqi itu membuatkan Erna terdiam.

“Kenapa Rifqi yang nampak? Kenapa bukan Fareeq?? Persoalan ini mula berlegar di benaknya.

Namun matanya mula dihala ke arah jasad yang terkujur di atas katil hospital itu.

“Apa yang aku berlaku ini? Adakah aku akan mati?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience