Bab 6

Romance Completed 30748

Datin Zabedah tidak sudah-sudah membaca yasin di sisi sekujur badan anaknya yang masih terbaring lesu. Bacaannya diselang selikan dengan esak tangis yang tidak henti-henti. Makin diseka, makin laju ia membasahi ruang wajah. Tapi dia tetap mengagahkan hatinya untuk membaca yasin. Sesungguhnya, hanya ini sahaja kekuatan yang mampu dititipkan untuk menguatkan lagi fizikal dan rohani Erna untuk kembali sembuh. Dia percaya pada ketentuan Allah dan hanya pada Dia hati tua ini mengharap.

Perlahan-lahan Dato Amran mula melangkah untuk mendapatkan isteri tercinta yang masih belum jemu berlumuran dengan air mata.Hati suami mana yang tidak sedih apabila melihat si isteri yang menangis tanpa henti. Hati ayah mana pula yang mampu menanggung gelora melihat anaknya terlantar sakit hampir enam bulan lamanya. Tapi dia sedar yang dia hanya seorang hamba. Hamba yang harus merelakan ketentuan Ilahi dengan penuh rasa redha.

“Abang… abang dah makan?” Tanya Datin Zabedah prihatin. Walaupun apa pun keadaannya, kebajikan dan keperluan suaminya tetap menjadi keutamaan. Dia cuba untuk tidak ralit dengan air mata. Namun sebagai manusia biasa, jiwanya lelah diambung gelora yang melanda.

“Abang tak lapar…”

“Abang… jangan macam ni.. Nanti kalau abang sakit macam mana? Susahlah Edah… kena jaga dua-dua sekali.” Datin Zabedah sedaya upaya untuk menyemarakkan lagi hubungan mereka dengan senda gurau. Berharap agar si suami menerima pujukannya.. Namun hampa kerana Dato Amran hanya menunduk lalu memanggung kepalanya menggunakan kedua tangannya.

“Abang.. kenapa nih?” Datin Zabedah mula rasa ada sesuatu yang tidak kena. Kebiasaannya, suaminya tidaklah seperti ini.

“Doktor panggil abang tadi…”

“Jadi?”

“Dia kata.. Kemungkinan besar dia terpaksa menghentikan saluran oksigen yang membantu Erna untuk hidup. Mungkin Erna tepaksa dilepaskan pergi…”

“Tak boleh! Saya tak setuju… Saya tak boleh terima kalau… kalau.. kita sendiri memilih untuk membunuh Erna.” Terkejut yang bukan kepalang apabila mendegar bait kata suaminya. Kepalanya digeleng berulang kali. Tidak percaya yang dia akan menghadapi situasi seperti ini. Memilih untuk menjadi pembunuh!

“Dah enam bulan Erna koma Edah… Doktor cakap kondisi badannya sudah terlalu lemah. Erna dah tak kuat seperti dahulu. Seolah-olah seperti dia beralah dengan rasa sakit ini… Seperti dia sudah bersedia untuk pergi!”

“Tak mungkin! Erna tak pernah selemah itu. Erna tak akan beralah dengan mudah bang.. Saya kenal anak saya!” Bidas Datin Zabedah lagi. Apapun yang terjadi, dia tidak akan sesekali membenarkan semua ini berlaku.

Rifqi yang mencuri dengar perbualan kedua ibu bapa Erna itu mula mengeluh. Cepat sahaja dia ingin mencari kelibat Erna. Kenapa semudah itu Erna hendak mengalah?

“Kau kena bertahan Erna… Kau tak boleh menyerah mcam ni je!” Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Rifqi saat menangkap kelibat milik Erna.

Erna merenungnya lemah. “Dah tak ada gunanya aku hidup Rifqi.. Fareeq dah tak sayangkan aku…”

“Sebab Fareeq dah tinggalkan kau, kau sanggup nak tinggalkan keluarga kau sendiri? Nampaknya kau lebih sayangkan Fareeq melebihi daripada mummy dan papa kau sendiri. Sejak bila kau meletakkan cinta Fareeq melebihi keluarga sendiri hah?” Marah Rifqi berang.

“Kenapa kau nak kecoh? Suka hati akulah… Sepatutnya dari dulu lagi aku pergi Rifqi. Kenapa aku perlu dibangunkan hanya untuk melihat kepedihan ni?” Tanpa banyak cakap, terus sahaja Rifqi menghampiri Erna. Terus direntap tangan halus itu agar mengekori langkah kakinya.

“Apa ni Rifqi?” Erna cuba untuk melepaskan pautan tangan itu namun pegangan Rifqi sungguh kemas.

“Cuba kau tengok tu? Cuba kau tengok mummy dan papa kau Erna…” Dari cermin kaca di luar, Erna melihat wajah pucat mummy dan papanya. Air mata mula menitis perlahan. Kelihatannya, keadaan mummy dan papa sedikit tegang. Setahu Erna, meraka berdua jarang bertekak. Perkara apa yang menganggu ketenangan hidup mereka.

“Mereka bergaduh sebab kau Erna..” Jelas Rifqi tanpa dipinta. Erna mula berpaling ke arah kanan. Memandang wajah Rifqi yang asyik merenung ke depan. Wajah lelaki itu serius sahaja.

“Sebab aku?”

“Ya.. Keputusan pemeriksaan kau mendukacitakan. Doktor nak hentikan saluran oksigen yang selama ini membantu kau untuk terus hidup. Sebab tahap kesihatan kau makin merosot…” Erna membawa tangan kanannya ke mulut.

“Kau tengok baik-baik muka mummy kau… Muka dia basah dengan air mata. Enam bulan dia tunggu kau untuk bangun Erna. Enam bulan! Kau tak mahu ke bangun untuk peluk dia? Kau tak mahu ke berikan dia hadiah pada penderitaan dia selama enam bulan itu?” Sambung Rifqi lagi lantas memandang ke arah Erna.

Erna terus menangis! “Cuba kau tengok pulak muka papa kau Erna… Betapa dia susah payah menghabiskan duit dia untuk membiayai perubatan kau Erna. Kau tak mahu ke balas pengorbanan dia dengan berlawan dengan semua ini? Kau tak mahu hadiahkan sebuah ciuman di pipi dia? Sebagai tanda terima kasih kerana sudi menghabiskan segala harta untuk mengejut kau dari mimpi panjang nih…” Kata-kata Rifqi itu benar-benar menghentak jiwanya.

Mungkin dia terlalu mementingkan diri sendiri. Hanya kerana dia tahu bahawa Fareeq sudah berkahwin lain, dia ingin menokhtahkan semuanya di sini. Erna terlupa yang dia punya mama dan papa yang terlalu memerlukan kehadirannya.

“Macam mana aku nak lawan Rifqi… Aku tak ada kuasa nak menahan atau melawan takdir.”

“Aku tak suruh kau lawan takdir. Apatah lagi nak menahan takdir. Aku nak kau pertaruhkan semuanya untuk tetap kembali terjaga dan mencium kedua mummy dan papa kau. Biar hilang segala perit ketika menanti kehadiran kau. Emosi yang kau rasa sekarang akan memperngaruhi jasad kau. Jadi kau kena kuat! Cinta itu memang carta pertama dalam hati kita. Tapi bukan pada kekasih Erna.. Tapi selayaknya diletakkan pada orang tua yang dah terlalu banyak berjasa pada kita!” Erna menyesal kerana bermain dengan perasaannya.

Mujur ada Rifqi untuk menegur kesalahannya. Jika tidak, pasti dia akan terbuai dengan rasa sedih yang tiada pujuknya. Matanya ralit merenung mummy dan papanya. Perlahan dia membawa langkah mendekati kedua orang tuanya itu. Sesungguhnya, mereka adalah ibu bapa yang terbaik di dunia. Penuh dengan kasih sayang dan penghargaan.

“Abang…. Erna menangis..” Datin Zabedah menghampiri tubuh anaknya. Air mata yang jatuh segera diseka. Luluh jiwanya menangkap permata jernih itu. Hancur terus hati tuanya.

Tiba-tiba Erna memegang pipinya. Bagai terasa usapan lembut dari si ibu itu. Erna terus menerus menangis. “Sayang papa… Jangan risau.. Papa akan tetap setia menanti kehadiran Erna. Papa tak akan buat sesuatu yang bakal melepaskan anak papa… Bertahanlah sayang.. Papa akan lakukan apa sahaja untuk membuatkan sayang sedar semula. Papa dan mummy sayang Erna sangat-sangat.” Dato Amran mula berbual-bual dengan tubuh anaknya yang membisu itu.

Langsung tidak menyedari bahawa si anak sedang mendengar dengan tangisan di pipi.. Sungguh Erna hampir terlupa pada papa dan mummy yang masih setia menanti dengan sabar. Dia sibuk mengfokuskan diri pada cinta kekasih dari cinta pada kedua ibu bapa.

Kalau Rifqi tidak menyedarkannya, pasti hatinya disarung dengan rasa ralat. Erna menoleh ke belakang. Ingin berterima kasih kepada Rifqi kerana lelaki itulah yang telah menyedarkan dirinya dari kealpaan namun bayangan Rifqi sudah menghilang. Entah kemana pula lelaki itu pergi.

“Mummy… papa… Erna akan cuba bertahan… Erna tak akan sesekali mengalah..? Itulah tekadnya kini. Apa pun yang terjadi, dia tak akan mengalah lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience