BAB 8

Romance Completed 15744

Wajah tenang Dika membaca majalah di tangan dicuri pandang beberapa kali. Itupun bila Mak tak pandang. Kalau Mak dapat tangkap dia curi pandang anak teruna orang, mesti Mak bising. Otak Amna ligat berfikir bagaimana harus dia memulakan bicara untuk mengutarakan usul gilanya itu. Tak mahu dicop kurang siuman oleh Dika. Buat malu sahaja. Baru berborak kenal tak sampai seminggu, dah request benda mengarut tak masuk akal. Amna pandang lagi Dika. Kali ini, nasibnya kurang baik bila Dika sama angkat muka dari majalah. Senyum 7 juta megawatt yang menyengat jantung. Malu mak oi!

“Mak, Anna nak pergi koperasi bawah kejap. Nak beli top-up.” Laju Amna bangkit tak menoleh pada Dika lagi. Tebal seinci mukanya. Terus dia bangun tak menunggu maknya menjawab. Tenangkan kepala sekejap. Nafas disedut dalam-dalam memberikan oksigen pada otak yang makin parah bila banyak sangat karbon dioksida berlegar.

“Amna, tunggu saya.”

Amna berhenti melangkah. Alemak ai… Baru je rasa boleh bernafas sekejap. Lambat-lambat Amna berpusing menoleh pada Dika. Seperti selalu, berat rasa bibir nak menghadiahkan senyum buat lelaki itu yang lain pula gayanya. Sentiasa senyum macam dah kekal sejak lahir.

“Nak pergi koperasi ke?”

Angguk.

“Saya pun sama. Mak suruh beli roti. Kita jalan sekalilah.”

Eleh, konon betul sangatlah tu. Mak Cik Halinah mesti pos anak dia suruh berbaik-baik dengan aku. Tak habis-habis nak merealisasikan cita-cita yang pada aku sangat tak logic itu. Amna angguk lagi. Perlahan mereka melangkah menuju ke lif. Suasana sekeliling bising dengan bunyi peralatan dan orang ramai yang keluar masuk. Berbeza pula dengan keadaan diantara mereka kerana tak ada sepatah perkataan pun yang keluar daripada kedua-dua belah pihak untuk memulakan perbualan.

“Tak kerja hari ni?”

“Half day. Awak?”

“Saya memang ambil cuti jaga Ibu.” Soalan yang sama, tetapi didiamkan Dika. Tak mahu tambah merah muka Amna yang serupa dengan tomato masak ranum itu.

“Oh.” Itu sahaja yang terluah. Entah enapa yang susah benar dia nak berborak dengan Dika. Walhal hidupnya bersama lelaki tak adalah pula mempunyai sejarah yang buruk. Rakan setugas kebanyakannya lelaki, Soran juga lelaki, dan Dika juga pasti lelaki. Tetapi susah sungguh nak dibuat kawan.

“Macam ada masalah je. Banyak kes ke sekarang?”

Amna angkat muka pandang Dika. Pintu lif terbuka, mereka melangkah masuk terlebih dahulu. Berhimpit-himpit sedikit. Masing-masing tak sabar nak tunggu lif yang seterusnya, lebih malas nak guna tangga. Perangai yang malas dah makin malas.

“Biasalah. Kes dadah ni tak pernah habis. Ada kes baru yang kami kena selesaikan. Mungkin sibuk sedikit. Saya kasihan pada Mak. Ayah dah tak kuat sangat nak berjalan. Nak teman Mak di hospital pun payah. Abang dan kakak dah ada keluarga masing-masing. Mana nak menguruskan anak lagi. Ini pun, kalau saya dapat datang awal, saya datanglah.”

“Ibu dan saya ada di sini. Awak tak payah risau. Saya boleh tengok-tengokkan. Mak awak dan Ibu saya lupa semua sakit bila dah buka mata. Tak habis-habis berborak.”

Senyum Dika turut mengundang senyum Amna dibawah sedar. Macam berjangkit pula. Lif berdenting, serentak itu pintu terbuka. Mereka menuju terus ke koperasi. Amna menanti di kaunter sementara Dika ke bahagian bakeri mencari roti. Gegar di dalam seluar mengganggu. Jangan suruh masuk pejabat sudahlah. Malas sungguh nak menukar uniform. Laa, budak ni rupanya.

“sayang…”

“Busuk. Apa sayang?”

Berdekah ketawa dari belah sana mendengar jerkahan Amna. Amna sebal. Boleh dia buat gurau perkara begitu. Kalau jantung gugur ke lantai siapa nak tolong kutip. “Dik, top up maxis RM50.”

“Kat mana tu?”

“Hospital.” Not hijau dihulur. Kertas dengan cetakan nombor pin bertukar tangan. Amna berjalan menuju ke pintu. Sejuk sedikit berdiri di pintu masih. Air condition menyembur kuat. “Ada apa ni?”

“Mak wad mana? Aku dengan Nayla on the way nak jenguk Mak.” Mata Amna terbeliak. Depan Nayla dia panggil aku sayang. Mereng ke mereng?

“Kepala otak hang di kepala lutut. Nayla kat sebelah tu ke?”

Soran ketawa lagi. Sah la menipu. “Nak tengok aku pulak yang masuk hospital ke?”

“Aku tahu yang kau tu takut bini.” Amna menjulingkan mata.

“Aku baru nak ambil dia. Mak wad mana, Na?”

“3A.”

“Aku datang nak tengok boyfriend yang kau cakap tu. Nak bandingkan siapa lagi handsome.”

Amna telan liur yang terasa kelat. Bertuah! Ingat pula hal yang itu. Gelojoh betul pak cik seorang ni. Amna jatuh pandang pada Dika yang sedang beratur menanti giliran untuk membayar bungkusan roti di tangannya. Siapkan bedak kapur tebal 12 inci Amna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience