SEBAIK saja aku duduk bersimpul di belakang lelaki yang tak aku kenali itu, aku memandang sekeliling. Kagum seketika dengan majlis yang ramai orang datang. Ada kamera yang menangkap momen manis aku dan suami. Walaupun aku yakin potret itu takkan menjadi kenangan manis untuk kami.
Aku menoleh ke kiri aku di mana aku melihat wanita yang sebaya dengan umi sedang tersenyum pada aku. Terus aku dapat menangkap yang mungkin dia lah mak mertua aku. Tangannya memegang tanganku bagaikan aku anak perempuan dia.
Di kanan aku pula, umi memang sentiasa menemani aku tanpa meninggalkan aku walau sesaat pun.
Aku memandang lagi sekeliling. Terlihat lambaian manis daripada Farah, Natrah dan Wani. Pandangan mengusik pun ada dalam tatapan mereka bertiga dan termasuklah lambaian mereka.
Aku menjeling mereka.
Berdebar dada ni rasa. Aku menatap lelaki di hadapan aku. Siapakah gerangan lelaki ini? Kenapa dia tak tunjukkan lagi muka dia? Adakah dia sengaja nak buat aku tertanya-tanya macam mana rupa suami aku? Aku tak nak wajah nya yang akan buat aku meluat saja dengan dia. Tak kisah kalau dia kacak atau tak. Tapi aku tak suka muka selenga.
Kini aku melihat tangan si dia memegang tangan baba aku erat. Mereka sudah hendak mulakan sesi akad nikah. Makin berdebar aku.
"Muhammad RAZIF AL-AMIN bin Ahmad," seru baba.
Nama suami aku Razif rupanya. Aku tak tahu pula itu nama dia.
"Ya, saya?"
Terpaku aku dengan deep voice dia. Kalau dengar dia cakap Perancis, mesti makin seksi.
Ya Allah, apa yang aku fikir ni? Mengarut betul lah fikiran ni! Lupakan, Nayna. Kau tak sepatutnya cakap macam tu.
"Aku nikahkan dikau dengan anak perempuan aku, Siti Nayna Arissa binti Abdul Nasrul dengan mas kahwinnya..." baba meneruskan lagi nilai dan hantaran yang diberikan itu.
"Aku terima nikahnya Siti Nayna Arissa binti Abdul Nasrul dengan mas kahwinnya..." dia mengikuti baba.
Terkesima aku dengan suara itu. Entah kenapa dia betul-betul menenangkan gegendang telinga aku dengan suara itu?
Setakat ni, dia hampir menepati ciri-ciri lelaki idaman aku. Seseorang yang bersuara garau penuh kelelakian. Ciri-ciri kedua, aku cuma mahu dia ada anak mata biru. Kalau tak biru, hijau zamrud pun tak apa.
Lebih-lebih ke permintaan aku? Aku rasa.. tak.
Saksi-saksi di sekeliling mereka berkata 'sah' bagi mempersetujui dan menyaksikan pernikahan yang dilangsungkan secara halal ini. Selepas itu, doa dibaca supaya memeriahkan lagi majlis akad nikah aku pada hari ini dan mendoakan kebahagian aku dengan Razif.
Selesai saja, aku bersalaman dengan mak mertua aku.
"Apa khabar.. makcik?"
Ketawa besar mak mertua aku. "Bukan makcik. Sekarang Nayna boleh panggil ibu."
"Baiklah. Apa khabar... ibu?"
Janggal bagiku ingin memanggil dia ibu sedangkan aku tak pernah panggil orang lain dengan panggilan umi selain umi aku.
"Baik, Alhamdulillah. Syukurlah Nayna dah jadi menantu ibu. Ibu suka."
Aku hanya mampu tersenyum.
Aku menoleh ke arah umi pula. Dicium tangan umi manis dan aku memeluknya. Entah kenapa aku rasa rindu pula. Memang betul apa yang abang-abang aku kata. Aku ni terlebih mengada.
Aku hanya tunduk tak berdaya nak menatap wajah suami aku yang kini semakin mendekat.
"Nayna, hulurkan tangan." Bisik umi di telinga aku.
Aku menghulurkan tangan yang aku turunkan dari tadi tanpa hendak memandang wajahnya.
Buat pertama kali seumur hidup aku yang aku jaga dengan baik ini, aku memegang tangan seorang lelaki yang bukan mahram aku. Kini dia dah sah jadi suami aku.
Tibalah saat pula dia nak mencium dahi aku. Lebih-lebih pula lah dia ni! Dah bagi betis, nak paha pula.
Aku diminta mendongak. Apabila anak mata aku mengarah ke arah dia, aku tergamam. Lidah aku kelu seribu bahasa.
Di hadapan aku, melututnya seorang lelaki yang segak berbaju Melayu putih dengan sampin nya sekali. Bulu mata yang lentik secara asli nya, hidung mancung, jawline dia betul-betul tajam sama macam bucu pintu bilik aku dan dia mempunyai bentuk badan seorang lelaki. Begitu sempurna buatan tuhan.
Lebih aku kagumkan, anak mata dia memang lah tak seperti warna biru, warna hijau yang aku nak. Tapi mata hitam itu penuh dengan ketulusan. Ia buat aku cair sebaik saja dia melihat mata aku.
Aku mencium tangan kasar nya yang berurat itu. Tidak dapat aku gambarkan tangan yang aku sentuh ini.
Tanpa aku sedar yang dia mendekati aku untuk mencium dahi aku. Jantung aku semakin pantas berdegup. Aku menghidu wangian nya yang menenangkan meskipun aku tak suka bau minyak wangi lelaki. Namun dia tetap membuat aku khayal dalam wangiannya.
Kini dia menatap aku. Senyuman dihadiahkan buat aku yang menunjukkan lesung pipit dia. Ya Allah, semakin aku khayal dengan hal itu. Dia cukup pakej! Gembira rasanya.
Aku terpesona dengan cara dia bersalaman dengan ibu nya. Cintanya dia pada ibu tak ada tandingnya. Dia juga bersalaman dengan baba aku dan juga ayah dia. Pada umi aku, dia hanya senyum manis. Dia turut bersalaman dengan abang-abang aku.
Yang buat aku pelik bila ketiga-tiga mereka mendekatkan diri dan abang long memegang kuat tangan dia. Wajah mereka bertiga nampak serius. Segera aku tahu apa yang mereka buat pada suami aku.
"Tengoklah abang long, abang Ngah dengan abang cik tu." Aku mengadu pada umi.
"Takkanlah kamu tak tahu perangai abang-abang kamu tu macam mana? Biarkan diorang."
"Mana boleh biarkan! Nanti abang long, abang Ngah dan abang cik akan malukan Ayna."
"Tak apa."
Sakit hati pula aku bila umi asyik nak belakan abang long, abang Ngah dan abang cik saja. Padahal mereka betul-betul mengugut Razif. Aku tahu perangai abang-abang aku macam mana.
Kini sesi menjamu selera. Tidak untuk pengantin, tetapi untuk semua tetamu.
Mereka dibawa keluar ke laman untuk menikmati hidangan yang dah disediakan buat mereka selepas majlis akad nikah dilangsungkan sebentar tadi.
Aku berdiri di pintu rumah dan melihat mereka ke meja masing-masing. Bau masakan yang ditempah baba betul-betul menusuk ke hidung aku. Tapi aku tak boleh makan lagi sebab aku pengantin. Apa yang aku boleh buat cuma menatap saja mereka mengambil lauk dan nasi mereka.
"Hoi!"
Tersentak aku dengan Wani yang mengejutkan aku.
"Apa ni, Wani? Terkejut Nayna tu." Tegur Kak Natrah yang merupakan kakak ipar tertua aku dan dia berkahwin dengan abang long aku.
"Alah, gurau sikit je kak."
Kak Natrah menggeleng lemah.
"Macam mana.. dah jadi isteri orang ni?" Tanya Kak Farah.
"Macam mana apa?"
"Ya Allah, budak ni! Ditanya lagi macam mana apa."
Aku betul-betul tak faham maksud Kak Farah.
"Yelah, Ayna baru je kahwin dengan dia. Baru tiga puluh minit lepas. Manalah Ayna faham maksud akak apa."
"Maksud akak.. macam mana perasaan Ayna bila tahu suami Ayna tu segak, bergaya, tampan dan pakej?"
Kini barulah aku faham. Malu pula nak cerita macam mana perasaan aku tentang Razif.
"Bahagia tu, Kak. Intai-intai suami bagai."
Berkerut kening aku. "Apa pula aku intai dia? Dia ada kat luar ke?"
"Kau tak payah nak membohong lah, Ayna."
"Eh, aku lapar lah! Aku mana boleh makan. Dan.. aku intai makanan-makanan kat luar tu. Kak Nat, Ayna tak boleh makan lagi ke?"
Hanya pada Kak Natrah lah aku mengadu.
"Tak boleh. Nanti tetamu kurang sikit, barulah Ayna boleh pergi makan. Sekarang ni tak boleh sebab masih ramai orang."
"Humphh.. nak tunggu tetamu kurang, habis dulu lah makanan-makanan tu."
"Eh, tak baik tau cakap macam tu. Kita hidangkan makanan supaya diorang gembira. Diorang kan tetamu. Tetamu tu penyeri kat dalam rumah ni."
Aku tak suka juga kenyataan itu.
"Kalau macam ni, Ayna bosan lah!"
"Tunggu jelah dulu. Nanti dah boleh pergi makan, akak panggil Ayna, ya?"
"Yelah."
"Akak nak pergi tengok budak-budak tu kejap."
"Farah pun nak ikut juga lah. Nak tanya Nik dia nak makan tak."
Mereka berdua berlalu pergi.
Aku kerling lagi tempat makan. Sekarang barulah aku nampak Razif yang sedang berbual dengan beberapa orang tetamu. Tadi aku tak nampak dan aku memang intai makanan. Kini barulah aku nampak suami aku sedang melayan mereka.
Terbit senyuman dan rasa bahagia pada diriku.
"Ha.. ha! Aku dah dapat tangkap dah. Kau senyum tengok dia, heh?! Kau suka dia, heh?"
Suara lantang Wani telah menarik perhatian Razif. Aku segera menekup mulut dia dan membawanya masuk berselindung disebalik pintu.
"Diamlah! Kau ni, buat aku malu jelah."
Tak boleh bercakap Wani selagi aku tak lepaskan tangan aku dari mulut dia.
Sebaik saja aku lepaskan, dia mula menghela nafas lepas.
"Kau ni.. nak aku.. mati ke, hah?" Mengah dirinya mencari udara.
"Kau tu bising sangat. Kau akan buat aku malu nanti."
"Kau nak malu apa?"
"Nak malu apa kau tanya? Aku malu lah dengan dia! Suka atau tak kat dia, itu aku punya hal lah! Kecoh pula kau!"
Wani menjeling. Seperti inilah hubungan kami. Tak bergaduh, memang tak sah.
Bahu aku diketuk dengan satu jari dari belakang. Dari wajah Wani, aku tahu dia mestilah seseorang yang Wani paling kagum. Tatapan penuh usikan itu pun, aku dah dapat agak dah.
Aku mencubit lengannya dan kemudian menoleh. Tepat sekali tekaan aku. Razif kini berdiri di hadapan aku.
Dia ukirkan senyuman yang buat aku nak pengsan sekarang juga. Anak mata dia menoleh ke arah Wani dan dia nampak memberi isyarat pada Wani. Aku tak faham pada mulanya.
"Aku tinggalkan kau kejap, ya? Aku nak pergi tengok anak aku kejap. Bye! Enjoy!" Dia berlalu pergi.
Kini aku faham.
Tinggal kami berdua saja. Janggal aku bila aku dan dia duduk berdua-duaan macam ni. Sunyi sepi saja.
Aku menatap dia. Mata aku ni macam tak boleh lari dari tatapan buat dia yang sempurna ciptaannya ini. Aku ukirkan senyuman disaat aku menatap dia bak bintang dan aku hanya langit malam yang dihiasinya. Jauh sekali perbezaan itu.
Dia berdeham membuat aku melarikan tatapan aku serba salah.
"S.. saya Nayna Arissa."
"Kan saya yang lafaz kan nama awak sampai awak sah jadi isteri saya. Kalau tak.. tak adalah awak jadi isteri saya, kan?"
Kerek juga dia ni. Tapi aku pun salah juga. Kan dah dapat malunya.
"Tak apalah. Kita tak pernah berkenalan sebelum ni malah.. tak pernah jumpa satu sama lain. Jadi, kita berkenalan balik. Awak Nayna?"
Aku mengangguk.
"Saya Razif Al-Amin. Satu-satunya anak lelaki Datuk Ahmad dan Datin Farhana."
"Oh..?"
"Itu aje? Tak ada kata-kata yang lebih kagum? Awak nak saya kenalkan awak dengan pekerjaan saya?"
"Saya tahu lah awak kerja sebagai apa. Awak pensyarah, kan?"
"Betul. Awak pula kerja sebagai apa?"
"Doktor."
"Berlagak."
Sakit hati pula aku dengan kata-kata dia itu. Dia juga yang tanya. Bila aku cakap, mula lah dia nak tuduh aku berlagak. Dia yang berlagak sebenarnya!
"Kenapa awak nak kahwin dengan saya?" Soalan itu ingin aku tanyakan pada dia, aku tanyakan.
"Tak boleh ke?"
"Kita tak.. kenal satu sama lain pun tau. Kita dijodohkan sebab keluarga. Ataupun awak sebenarnya tahu apa yang jadi pada saya dan sebab tu awak terima saya."
"Pandai betul! Kita kahwin atas keinginan keluarga. Saya taat pada orang tua saya dan sebab tu saya ikut cakap diorang. Awak pula?"
"Kalau awak taat pada keluarga awak, saya sayangkan diorang. Jadi sebab tu lah saya terima awak."
Dia senyum lagi. "Jadi kita ni.. saksama. Untuk perkahwinan kita pun, kita perlahan-lahan bina bahagia tu. Kalau saya tak mampu untuk bahagiakan awak, kita akan bercerai. Tapi kalau saya cukup untuk bahagiakan awak, saya akan teruskan perkahwinan kita sampai akhir nafas saya."
"Kejap. Maksudnya... awak nak kekalkan perkahwinan ni?"
"Awak tak nak ke?"
"Mestilah saya tak nak! Awak ni tak ada perasaan ke? Saya yakin awak mesti ada sukakan orang lain, kan? Takkan awak nak hidup bahagia dengan saya sedangkan awak patutnya capai bahagia dengan orang lain."
"Macam saya cakap tadi lah. Saya taat.. pada ibu bapa saya. Ini permintaan diorang."
Aku ketawa dengan kata-kata nya.
"Nak taat pun.. agak-agak lah, wahai suamiku. Kenapa awak lembab sangat? Perkahwinan ni soal.. hidup mati awak."
"Ya, betul. Saya setuju sebab saya tahu inilah hidup dan mati saya."
Pada aku, dia lurus bendul. Kenapa dia nak kahwin dengan aku sedangkan itu keputusan hidup dan mati dia? Adakah dia ni seseorang yang senang nak dimanipulasi kan?
"Tak kisahlah tentang apa sekalipun. Kita dah kahwin dan.. kita patut teruskan perkahwinan kita. Sebab.. kita berdua takkan dapat lari lagi. Awak untuk saya dan saya untuk awak."
"Saya pelik dengan orang macam awak."
Aku berlalu pergi meninggalkan dirinya. Lebih baik aku duduk dengan anak-anak buah aku saja daripada melayan dia.
Dia memang lurus bendul sebab nak kahwin sampai bila-bila sedangkan kami tak ada cinta buat satu sama lain.
Share this novel