bab 12

Romance Completed 6474

Aku pulang ke rumah dengan perasaan yang tak menentu. Marah? Marah dengan diri sendiri kerana terlambat menyedari aku cintakan dia. Sedih? Sedih kerana tahu aku takkan mampu bersama dengan dia. Biarlah dia bahagia. Aku akan bahagia jika dia bahagia.

Aku menghempaskan tubuhku dikatil. Air mata aku yang berjujuran jatuhku biarkan. Akhirnya aku menangis teresak-esak. Kenapa semuanya jadi pada aku? Kenapa?

Pintu bilikku diketuk. Segera aku mengelap air mata aku.

"Iman.. bukak pintu ni, ibu ada nak cakap sikit."

"Apa dia bu? Iman sakit kepala la.." aku memberi alasan. Suaraku yang serak cuba dikawal. Tak nak kedengaran seperti aku baru sahaja menangis.

"Bukaklah pintu ni. Kamu demam ke?"

"Kejap."

Usai aku dapat menenangkan diri, aku terus memulas tombol pintu. Ibu hanya berdiri di muka pintu.

"Kamu demam ke?" Ibu menyoal lagi. Dia menyentuh dahiku.

"Panas je ni. Dah makan ubat belum?"

"Dah bu. Ibu nak cakap apa?" Soalku tidak berdaya.

"Tadi ada orang datang merisik Iman."

"Oh Ibu terima je lah ibu. Kalau itu yang terbaik untuk Iman. Siapa-siapa pun Iman terima." Potong ku laju.

Ibu kelihatan terkejut mendengar jawapan aku. Macam tak percayakan? Ya aku dah bertekad menamatkan bujang aku kalau dengan cara ini aku dapat lupakan si dia.

"Betul ni? Kamu terima?" Soal ibu.

Aku mengangguk berkali-kali meyakinkan. "Ya ibu. Demi ibu. Iman tak kisah."

"Kamu tak menyesal?"

"Kenapa? Orang yang nak kahwin dengan Iman tu orang tua ke?" Soalku.

"Eh tak lah. Ibu cuma terkejut je bila kali ni kamu tak tolak. Ibu pelik la."

"Alah ibu nak pelik apa. Ibu jugak yang nak Iman kahwin kan? Iman dah tak nak bangkang lagi kata-kata ibu. Iman percaya, Ibu mesti nak kan yang terbaik untuk Iman." Aku tersenyum sambil mendepakan tangan kepada ibu.

Ibu terus memeluk tubuhku kejap. "Macam ni lah anak ibu."

*******************************

Aku dan Arlana tiba jua di perkarangan rumah Meera. Aku tercari-cari suami Meera. Terasa pedih saat aku menyebut gelaran itu. Nampaknya aku masih tak dapat lupakan dia.

"Mana pengantinnya? Tak sampai lagi ke? Jom lah kita makan dulu. Aku lapar ni." Ujar Arlana seraya menarik tanganku ke meja. Aku rasa fikiran Arlana ni dah terbayangkan nasi minyak.

Ingat Iman, kau datang sini sebab kau nak makan, nak jumpa Meera. Nak ucap tahniah dekat Meera. Bukan nak jumpa dia sangat pun. Ingat tu. Aku cuba kuatkan semangat. Fokus Iman, fokus.

Dari ambil makanan hingga aku dan Arlana duduk di meja makan, aku langsung tak pandang siapa-siapa pun.  Hanya fokus pada kunyahan nasi. Berapa kali aku kunyah aku kira. Kadang pandang muka Arlana pun aku tak nak. Kesian Arlana. Dia dah macam cakap sorang-sorang.

"Meera tu kahwin dengan siapa erk?" Soal Arlana. Dia sebenarnya tak tahu menahu pasal Meera. Dia pun tak tahu pasal kisah cinta aku ni. Aku tak nak beratkan fikiran dia menambahkan berat perut dia yang dah ada isi tu. Yang penting, dia teman aku datang kenduri ni pun dah cukup baik dah.

"Dengan suami dialah." Jawab ku acuh tak acuh.

Arlana merengus geram. "Ek eleh.. kalau macam tu aku tahu lah. Aku pun kahwin dengan suami aku. Mak aku pulak kahwin dengan bapak aku. Kalau macam tu, budak darjah satu pun boleh jawab."

Aku tergelak kecil mendengar bebelan Arlana. Banyak betul mulut minah ni. Celoteh dia buat aku rasa tenang sedikit daripada semasa datang kenduri ni tadi. Ikutkan hati aku, aku sebenarnya tak nak pun datang. Tapi ternyata aku kalah dengan perasaan aku. Aku teringin sekali menatap wajah dia mungkin buat kali terakhir. Ah aku hilang fokus lagi!

Bunyi kompang sudah mula memasuki kawasan perumahan tu. Itu menandakan pengantin sudah pun sampai. Semua berkerumun mahu menangkap gambar pasangan sejoli. Arlana turut memanjangkan leher mahu melihat pengantin tersebut.

"Alah tak nampak lah. Nampak pengantin perempuan je. Cantik jugak ya anak saudara bos tu."

Aku mengetap bibir. Tahan Iman.. tahan.. aku langsung tidak memandang ke arah pengantin. Aku hanya tunduk dan tunduk. Tidak tahan. Terasa air mata aku mahu tumpah pada masa itu juga. Aku segera bangun daripada tempatku. Mahu pergi dari situ.

"Aku basuh tangan dulu. Nanti kau tolong bagi hadiah dekat Meera eh. Aku nak jumpa Dato' Zamri jap." Pintaku apabila ternampak Dato' Zamri sedang rancak berbual dengan rakan-rakannya.

"Ha okey." Jawab Arlana tanpa banyak songeh. Mujur dia tak syak apa-apa.

Aku pantas membasuh tangan dan mulut. Kemudian, aku berlari ke tempat keretaku dipakir. Air mataku sudah mengalir deras. Aku terus terduduk bersandar di tepi keretaku sambil menangis teresak-esak. Disitu tiada satu orang yang nampak aku.

Aku memegang dadaku. Pedih! Rasanya sakit sangat. Aku tak pernah rasa sesakit ni. Inikah balasannya sebab aku tolak dia dulu? Aku sedar aku salah. Tapi semuanya dah terlambat. Dia dah jadi milik orang lain. Tak mungkin aku dapat memasuki hatinya lagi. Bahkan aku tak mahu merosakkan rumah tangga orang.

Iman kau kena kuat Iman. Kau kena kuat. Aku menangis lagi. Separuh hati aku menjerit. Aku mahukan dia. Tetapi akal ku mengatakan yang aku tak mungkin bersama dengannya kerana aku tidak berhak merampas hak orang lain. Lagipun aku sudah setuju menerima pilihan ibu ku. Kerana aku tahu pilihan ibu semestinya yang terbaik.

"Buat apa dekat sini?"

Aku tersentak. Suara tu.. suara yang sangat aku kenali. Namun aku tidak berani memalingkan wajahku ke arahnya. Air mataku pantas diseka.

"Tengah masak nasi goreng. Tak nampak?" Jawab ku sinis. Lelaki itu tergelak.

"Iman.. Iman... kau ni tak berubah-ubah. Nak makan masuk aje lah. Janganlah malu-malu."

"Kau tu yang buat apa dekat sini?  Bukan kau sepatutnya tengah bersanding ke?" Soalku sambil mencabut rumput di tepi kaki ku.

Kali ni lelaki itu tergelak terbahak-bahak. Aku naik hairan. Apa? Lawak sangat ke? Aku ada buat lawak ke tadi? Yang mana satu?

"Apa yang kau cakap ni Iman? Kenapa pulak aku yang nak kena bersanding? Kita kan baru bertunang, takkan dah nak sanding kut?" Balasnya usai ketawanya reda.

Aku menjadi terpinga-pinga. Mulutku terlopong. Lagi sekali aku rasa kena minum susu supaya neuron dalam otak aku cepat berhubung. Sebab aku langsung tak faham apa-apa sekarang ni.

Aku terasa daguku ditarik lembut bagi menghadapnya. Mata kami saling bertembung.

"Tutup la mulut tu. Nak aku cium kau dulu ke baru nak tutup?"

Aku pantas menutup mulutku. "Apa maksud kau tadi? Kenapa pulak? Kejap... kejap..."

Aku perasan pakaiannya bukan berwarna kuning cair seperti yang dipakai Meera. Sebaliknya t-shirt berwarna ungu gelap. Bukannya baju melayu.

"Aku tak faham."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience