BAB 14

Romance Completed 6966

Ketika aku tiba di masjid, kelihatan semua sanak saudara dan abahku sudah berada di situ. Juru nikah juga sudah bersedia di suatu sudut di masjid itu. Hatiku semakin berdebar-debar, apa lagi apabila melihat banyak mata-mata yang memandangku tidak berkelip.

Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh lelaki yang memakai baju melayu serba putih, bersongket hitam berjalur emas dan bersongkok hitam sedang menghadap juru nikah. Mungkinkah itu bakal suamiku? Sedikitpun dia tidak berpaling ke arahku. Aku ingin melihat wajahnya tetapi tidak sempat kerana ibuku pantas menarikku ke tempat duduk perempuan. Aku sedikit hampa.

Sebentar kemudian, kedengaran Juru nikah membaca khutbah nikah yang panjang lebar. Khutbahnya lebih berkaitan kepada tugas suami dan tugas isteri sesudah akad. Aku mendengar dengan tekun. Hatiku berasa sayu. Tidak sangka sebentar saja lagi, aku akan bergelar isteri kepada seorang suami dan aku bukan lagi dibawah tanggungan ibu bapaku sebaliknya di bawah tanggungan suamiku sepenuhnya. Syurga aku kini dibawah tapak kaki suamiku. Ya Allah, bersediakah aku untuk menjadi seorang isteri ? Aku benar-benar takut untuk memikul tanggungjawab yang aku rasakan cukup berat itu.

“Aku nikahkan dikau Mohd Zakri Syah bin Halimi dengan Nur Wirna Putri binti Mohamad dengan mas kahwin RM 33 333.33 sen tunai!”

Akad nikah bermula. Aku tersentak mendengar nama itu.

“Aku terima nikahnya Nur Wirna Putri binti Mohamad dengan mas kahwin sebanyak yang tersebut.”

Jawab lelaki itu dengan sekali lafaz. Kedengaran juru nikah dan beberapa orang saksi di situ mengesahkan akad nikah itu. Kemudian bacaan doa bermula.

Pengantin lelaki itu kemudian berpaling dan perlahan-lahan menghampiriku untuk upacara membatalkan air sembahyang. Aku semakin terketar-ketar. Tidak tahu mahu berkata apa lagi ketika ini. Lidahku kelu.

Aku mengangkat muka perlahan-lahan untuk melihat wajah lelaki yang sudah sah bergelar suamiku itu. Aku terpempan.

“Dr. Zack?!”

Aku terjerit kecil. Dr. Zack hanya tersenyum melihatku. Aku masih tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Assalamualaikum Wirna.”

Dr. Zack memberi salam.

“Waalakumussalam.”

Jawabku dengan suara terketar-ketar. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku. Aku menyambut tangannya dengan perlahan-lahan lantas aku kucup lembut.

Tanganku dicapai lantas disarungkan cincin emas bertatahkan berlian ke jari manisku. Dahiku dikucup lembut, lama. Hatiku benar-benar tidak keruan kini. Tidak pasti apa yang aku rasakan saat ini. Lensa kamera berkerlip-kelipan memanah ke arah kami.

Dr. Zack memandangku lagi dengan pandangan yang cukup redup. Dia nampak sungguh segak hari ini, ketampanannya semakin terserlah. Dia masih tersenyum manis ke arahku. Aku tersenyum kelat. Sungguh aku tak sangka yang Dr. Zack kini bergelar suamiku. Dalam ramai-ramai lelaki kenapalah Dr. Zack jugak yang muncul di sini saat ini. Aku boleh terima lelaki lain sebagai suamiku tetapi bukan Dr. Zack. Habislah aku lepas ni, mesti hari-hari aku kena marah! Aku mula berasa tidak senang hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience