PART 7

Drama Series 9410

Datin Sri Aishah memandang wajah anaknya dengan penuh rasa sayu. Air matanya hampir menitis melihat keadaan Aina yang lemah setelah semalaman dikurung.

“Aina…” ucap Datin Sri Aishah perlahan, tangannya mengusap rambut anaknya dengan lembut.

Aina memandang mamanya dengan penuh harapan. Tangannya pantas berbahasa isyarat, “Mama, tolonglah… Aina dah tak nak kena kurung macam ni lagi. Aina dah besar, mama…” Suaranya tersekat di kerongkong walaupun tiada bunyi yang keluar.

Datin Sri Aishah menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. “Mama tahu, Aina. Mama akan cuba cakap dengan atuk,” ujarnya dengan nada lembut, namun jelas ada kerisauan dalam matanya.

Aina menggenggam erat tangan mamanya, “Mama, Farhan mesti datang hari ni kan? Kalau Farhan tahu Aina kat sini, mesti dia bawak Aina keluar macam dulu…” ucap Aina dalam bahasa isyarat, wajahnya penuh keyakinan seolah-olah Farhan adalah satu-satunya harapan.

Datin Sri Aishah terdiam seketika, menghela nafas berat sambil memandang ke arah pintu bilik bawah tanah yang kini terbuka. “Kali ini, mama takkan biar Aina terus terkurung macam ni lagi…” bisik hati kecilnya.

Dengan lembut, dia menarik tangan Aina dan memimpinnya keluar dari bilik itu, berharap agar keadaan tidak akan menjadi lebih buruk.

Di tepi tangga, Datin Sri Aishah memandang kiri dan kanan memastikan keadaan sekeliling selamat. Suaranya berbisik perlahan, penuh hati-hati.

“Kejap lagi Farhan datang ambil Aina. Aina keluar ikut pagar belakang,” ucap Datin Sri Aishah sambil menggenggam tangan anaknya erat.

Aina memandang mamanya dengan mata yang berkaca. Tangannya pantas memberi isyarat, “Mama, kalau atuk tahu macam mana?”

“Tak apa, Aina. Mama akan uruskan semuanya. Janji dengan mama, Aina keluar elok-elok. Farhan tunggu di sana,” jawab Datin Sri Aishah, suaranya tetap lembut tapi tegas.

Aina mengangguk perlahan, memegang kata-kata mamanya. Dia tahu ini peluang untuk dia keluar dari situasi itu walau hatinya masih dilanda kerisauan. Mama mengusap kepala Aina sebelum berbisik lagi.

“Cepat-cepat, Aina. Jangan bagi sesiapa nampak, ya?”

Aina memandang mamanya dengan penuh harapan, kemudian berjalan perlahan menuju arah yang ditunjukkan mamanya, langkahnya penuh berhati-hati.

Sampai sahaja di pagar belakang, Farhan terus menarik tangan Aina dengan cemas, seolah-olah bimbang mereka akan dilihat. Langkah mereka cepat, tapi tetap berhati-hati.

Pintu kereta dibuka oleh Farhan, dan Aina melangkah masuk tanpa banyak soal. Setelah memastikan Aina selamat duduk di dalam, Farhan pantas menutup pintu dan masuk ke tempat duduk pemandu. Suasana di dalam kereta sedikit tegang, hanya bunyi nafas mereka kedengaran.

“Kau ok?” soal Farhan, suaranya perlahan tapi jelas menunjukkan kebimbangannya.

Aina hanya memandang Farhan seketika, matanya kelihatan letih namun masih bersinar. Perlahan, dia mengambil tangan Farhan dan menulis di telapak tangan lelaki itu dengan hujung jarinya yang lembut. “Saya ok, terima kasih.”

Farhan terdiam, memandang Aina yang masih menunduk. Dia tahu betapa sukarnya situasi Aina sekarang. Hatinya tiba-tiba terasa berat, tapi dia tetap cuba mempamerkan senyuman tipis.

“Kau jangan risau, aku ada. Selagi aku ada, kau selamat,” ucap Farhan dengan nada yakin, cuba menenangkan gadis itu.

Aina mengangkat wajahnya sedikit, bibirnya menguntum senyuman kecil tanda penghargaan. Pandangan mereka bertaut seketika, sebelum Farhan memusingkan kunci kereta dan enjin mula dihidupkan.

“Pegang tali pinggang tu. Kita pergi jauh sikit dari sini,” sambung Farhan sambil memandang ke cermin belakang memastikan tiada siapa yang mengekori mereka.

Aina hanya menurut, membetulkan posisi duduknya sambil menarik tali pinggang keselamatan. Kereta mula bergerak perlahan meninggalkan kawasan itu. Di luar, suasana cerah pagi bagaikan menenangkan jiwa Aina yang kacau.

Farhan menghentikan kereta betul-betul di hadapan sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang. Bangunan itu tersergam indah, dengan pintu masuk yang dijaga oleh petugas bersut rapi.

Farhan memerhatikan Aina dari sudut mata. Wajah gadis itu kelihatan penuh persoalan, tapi dia diam sahaja. Melihat Aina seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, Farhan mengeluarkan telefonnya lalu menyerahkannya kepada Aina.

“Apa-apa kau nak cakap, taip kat sini,” ucap Farhan sambil menghulur telefon.

Aina mengambil telefon itu dengan sedikit ragu-ragu. Jari-jarinya yang halus pantas menaip. “Kita buat apa kat sini?”

Farhan membaca mesej itu dan mendengus kecil. Dia memandang Aina dengan kening terangkat, seolah-olah tidak percaya dengan sangkaan gadis itu.

“Kenapa? Kau fikir aku ni nak buat benda tak elok kat kau ke?” balas Farhan dengan nada sinis.

Aina memandang Farhan, cuba membaca maksud di sebalik kata-katanya, namun lelaki itu hanya tersenyum nipis.

“Dah, jom keluar,” sambung Farhan sambil membuka pintu keretanya.

Aina kekal di tempat duduk, memerhatikan Farhan yang sudah melangkah ke hadapan hotel. Dia keliru dengan tujuan lelaki itu membawanya ke situ. Setelah beberapa saat, dia menghela nafas panjang dan keluar dari kereta, mengekorinya perlahan.

Setelah melangkah masuk ke lobi hotel yang dihiasi lampu candelier dan marmer yang berkilauan, Aina memandang sekeliling dengan kagum. Farhan menoleh ke arahnya sambil berkata, “Aku ada urusan. Sekali kau dah keluar dari rumah tu, kau perlukan tempat yang selamat. Jadi, buat masa ni, kau tinggal kat sini.”

Aina hanya memandang Farhan dengan mata yang sedikit terbuka luas, terkejut dengan apa yang baru didengarnya.

Setelah mendapat kunci bilik dari kaunter hotel, Farhan berjalan pantas menuju ke arah lif, kunci bilik tergantung di jarinya. Aina hanya menurut di belakang, langkahnya perlahan, masih memerhatikan suasana hotel yang mewah itu.

Farhan menekan butang lif, menunggu pintu terbuka sambil menjeling ke arah Aina yang berdiri tidak jauh darinya.

Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam lif, Farhan bersandar pada dinding dengan tangan bersilang di dada. Dia memandang Aina sekilas sebelum berkata, “Kau naik atas, mandi, makan, lepas tu rehat. Jangan nak keras kepala.”

Aina memandang Farhan sambil mengetap bibir.

“Pukul 4 nanti kita keluar. Aku bawak kau jalan-jalan,” tambah Farhan, nadanya lebih lembut kali ini.

Aina mengerutkan dahi, matanya menatap Farhan dengan pandangan penuh curiga. Dia mengeluarkan telefon Farhan yang masih dipegangnya lalu menaip, “Kenapa tiba-tiba baik sangat?”

Farhan membaca mesej itu dan ketawa kecil, namun wajahnya kembali serius sejurus kemudian. “Kau jangan nak fikir aku baik sangat. Aku cuma tak nak kau asyik terperap dalam bilik je. Lagipun, kau dah lepas dari rumah tu, gunalah peluang ni.”

Aina mendiamkan diri. Lif berbunyi menandakan mereka tiba di tingkat yang dituju. Farhan keluar dahulu, memimpin langkah ke arah bilik yang sudah disediakan.

“Jangan risau. Aku tak ada rancangan pelik. Kau boleh relax kat sini,” ujar Farhan sambil membuka pintu bilik hotel.

Aina melangkah masuk perlahan-lahan, matanya melilau memerhatikan bilik yang luas, lengkap dengan katil empuk dan balkoni yang menghadap pemandangan bandar.

“Rehatlah. Aku nak keluar sekejap. Jangan cuba nak buat hal,” pesan Farhan sebelum dia menutup pintu, meninggalkan Aina sendirian di bilik itu.

Aina berjalan perlahan menuju ke katil, matanya tertumpu pada pakaian yang terlipat kemas di atas cadar putih. Baju blouse lengan panjang dengan rekaan moden, dipadankan dengan skirt kembang paras lutut. Terselit nota kecil di sisi baju itu: “Pakai ni, kau mesti nampak elok.”

Dia menarik nafas panjang, memegang pakaian tersebut sambil tersenyum tipis. Namun, fikirannya terganggu apabila tiba-tiba pintu bilik diketuk. Langkahnya terhenti seketika sebelum dia bergerak untuk membuka pintu.

Seorang pekerja hotel perempuan berdiri di hadapan pintu dengan dulang besar berisi makanan. “Cik, makanan ini semua ditempah khas untuk cik,” kata pekerja itu dengan senyuman mesra.

Aina memandang makanan itu dengan rasa terkejut. Dia mengangguk perlahan sebagai tanda terima kasih sebelum pekerja itu melangkah masuk dan menyusun makanan di meja kecil di tepi tingkap.

Satu per satu hidangan diletakkan, dan Aina menyedari semuanya adalah makanan kegemarannya. Laksa Johor, ayam masak lemak cili api, dessert seperti pavlova dan macarons, semuanya ada.

Pekerja itu selesai menyusun dan berkata, “Kalau ada apa-apa keperluan lain, cik boleh hubungi kami melalui telefon bilik.”

Aina mengangguk lagi, memberikan senyuman kecil sebelum pekerja itu meninggalkan bilik.

Dia berjalan ke arah meja, memandang makanan di depannya. Perlahan-lahan dia duduk, jari-jarinya menyentuh skrin telefon Farhan yang masih bersamanya. Dia menaip mesej pendek: “Farhan, semua ni awak buat?”

Namun, dia tidak menekan butang hantar. Sebaliknya, dia memandang makanan itu sambil terfikir, “Dia tahu semua makanan kegemaran aku. Tapi kenapa dia nak susah-susah buat semua ni?”

Aina termenung seketika sebelum akhirnya dia mencapai sudu, menyuap sedikit laksa Johor ke mulutnya. Rasanya enak, namun fikirannya masih dipenuhi soalan tentang Farhan.

Sedang Aina menikmati dessert di meja, pintu bilik tiba-tiba terbuka. Dia tersentak, menoleh ke arah pintu. Farhan melangkah masuk tanpa sepatah kata, tangannya menyeluk poket seluar, wajahnya tenang tetapi matanya tajam memerhati Aina.

Aina memandangnya dengan sedikit terkejut. Dia pantas mengalihkan pandangan ke arah makanan di depannya, cuba menenangkan debaran di dada.

Farhan berjalan mendekat. Tanpa berkata apa-apa, dia berdiri di sebelah Aina. Dia menyedari ada kesan krim dessert di bibir Aina. “Comot,” ucap Farhan perlahan sambil mengangkat tangannya.

Aina terkedu, matanya membulat melihat tindakan Farhan. Dengan ibu jarinya, Farhan perlahan-lahan mengelap krim yang melekat di bibir merah berbentuk hati itu. Sentuhannya lembut tetapi cukup untuk membuatkan Aina terpaku.

“Comel betul bibir kau ni,” kata Farhan dengan nada separa bergurau, namun matanya serius memandang wajah Aina.

Aina terus menundukkan wajahnya, wajahnya mula memerah. Dia pantas mencapai telefon dan menaip sesuatu: “Kenapa tiba-tiba masuk? Tak ketuk pintu pun.”

Farhan membaca mesej itu selepas Aina menunjukkannya, kemudian tersenyum sinis. “Aku nak pastikan kau tak buat benda bodoh dalam bilik ni. Lagipun, bilik ni aku punya, tak payah ketuk.”

Aina mendengus perlahan, menarik nafas panjang untuk mengawal dirinya. Dia bangun dari kerusi, menjauhkan diri dari Farhan sambil menaip: “Kalau tak ada benda penting, keluar. Saya nak rehat.”

Farhan membaca mesej itu, tetapi bukannya keluar, dia sebaliknya duduk di atas katil. “Rehatlah. Aku tak kacau. Aku tunggu pukul 4, kan aku dah cakap kita nak keluar nanti.”

Aina menjeling, mendapati tiada gunanya membantah. Dia menghela nafas panjang sebelum kembali duduk di meja, cuba mengabaikan Farhan yang masih memerhatikannya.

Setelah selesai makan, Aina bangun dari kerusi dan berjalan menuju pintu bilik hotel. Namun, sebelum sempat dia memutar tombol pintu, pergelangan tangannya dicengkam lembut oleh Farhan.

“Kau nak pergi mana?” tanya Farhan, suaranya sedikit serius, matanya tajam memandang Aina.

Aina menarik nafas, lalu mencapai telefon bimbitnya untuk menaip sesuatu. Dia menunjukkan skrin kepada Farhan: "Keluar lah. Kita bukan suami isteri, tak manis kalau duduk berdua dalam bilik macam ni."

Farhan membaca mesej itu, kemudian ketawa kecil, namun nada ketawanya penuh sindiran. “Kau risau apa? Aku tak ada masa nak buat benda bukan-bukan. Lagipun, aku bawak kau ke sini sebab nak pastikan kau selamat, bukannya nak buat benda yang kau fikir tu.”

Aina memandang Farhan dengan wajah tidak puas hati, tangannya menarik lembut tangannya yang masih dipegang Farhan. Dia menaip lagi: "Selamat? Duduk bilik hotel dengan lelaki? Logik ke alasan awak tu?"

Farhan mendengus perlahan, melepaskan tangan Aina. “Logik atau tak, aku tak peduli. Kau stay sini sampai aku cakap boleh keluar. Aku tanggung kau sekarang, faham?”

Aina mengetap bibir, marah bercampur geram. Dia menaip lagi: "Saya tak perlukan awak untuk tanggung saya. Lepaskan saya pergi."

Farhan membaca mesej itu sambil mengangkat kening. “Kau degil sangat, Aina. Kalau kau keluar sekarang, kau fikir atuk kau tak akan cari kau? Duduk sini diam-diam, jangan banyak soal.”

Aina menggenggam telefon di tangannya, wajahnya memerah menahan rasa tidak puas hati. Dia tahu Farhan betul, tetapi egonya tidak membenarkan dia mengakuinya. Akhirnya, dia menghela nafas panjang, berpatah balik ke sofa, dan duduk dengan wajah masam.

Farhan tersenyum tipis melihat Aina akhirnya mengalah. “Pandai pun dengar cakap,” ucapnya perlahan sebelum melangkah ke tingkap, memandang keluar sambil menyeluk poket.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience