Bab 28

Drama Series 9408

“ PAPA!" teriak anak kecil itu. Dia sedikit terkejut melihat susuk Ian Hamza yang sudah lama tidak ketemu. Wajahnya bertukar ceria saat disapa seseorang yang sangat dikenali.

“ Hai kakak!" lambai Ian Hamza dari muka pintu dengan senyuman bahagia.

Ian Hamza tiba di muka pintu kelas tadika Nia Shaqila tengah hari itu untuk menjemput anak itu pulang. Dia tiba lima minit awal sebelum kelas tadika Qiqi tamat.

Sempat dia bertemu dengan guru tadika Qiqi untuk memaklumkan yang dia akan menjemput anak itu pulang. Mendapat kebenaran, Ian Hamza tersenyum lega.

“ Miss you papa." ujar Qiqi sebaik disambut Ian Hamza dengan pelukan erat.

“ Miss you too princess." senyum Ian Hamza sambil kedua belah pipi Qiqi dia cium penuh kasih.

“ Papa datang nak jemput Qiqi ke? Mana uncle Khairul?" soal Qiqi seperti kebiasaannya yang terkenal dengan mulut ramah. Kepalanya menjengah dari balik pintu mencari kelibat Khairul.

“ Yes, today I will pick up you. Uncle Khairul papa kasi cuti. So hari ni papa boleh bawak kakak jalan-jalan dan makan-makan. Nak tak?" duduk selaras dengan tubuh Qiqi, Ian Hamza memberitahu. Pipi comel qiqi dipaut lembut.

“ Yeay.. sayang papa. Qiqi rindu papa tahu. Dah lama tak jumpa papa dekat rumah." teruja Qiqi mengkhabarkan.

Ian Hamza tersentuh hati. Kata-kata Qiqi begitu ikhlas. Terpancar sinaran penuh rindu anak itu dari matanya. Ian Hamza berasa sangat bersalah kerana telah mengabaikan perasaan anak kecil itu.

“ I'm sorry okay. Papa busy uruskan syarikat Tok pa. Sekarang papa dah tak busy, jadi papa nak tebus kesalahan papa. Boleh kakak maafkan kesalahan papa?" pinta Ian Hamza cuba menebus kesalahannya.

“ Mestilah boleh sebab Qiqi sayang papa sangat-sangat. Tapi papa janji jangan tinggal Qiqi dan Iqie lagi tau!" ucap Qiqi sambil memeluk leher Ian Hamza erat. Wajahnya sangat polos.

Ian Hamza angguk. Dia berasa sebak. Begitu tinggi harapan Qiqi padanya.“ Iya papa janji takkan tinggalkan kakak lagi. Terima kasih kakak." tubuh kecil Qiqi segera Ian Hamza angkat dan gendong ke dalam dukungan.

“ Iqie jugak. Mama pun." pinta Qiqi apabila teringat pada mama dan adiknya.

“ Iya sayang. Papa janji tak tinggal kakak, adik dan mama lagi." janji Ian Hamza sungguh-sungguh sehingga Qiqi tersenyum senang.

“ Sayang papa.." pipi Ian Hamza dicium semahunya.

“ Sayang kakak.." Berjalan menuju kereta, Ian Hamza tersenyum lega dengan penerimaan Qiqi. Dia rasa begitu bersalah kerana mengabaikan mereka semua.

Masuk saja ke dalam kereta Qiqi sambung berceloteh. Terhibur Ian Hamza dengan keletah anak manja itu.

“ Duduk baik-baik kakak. Papa tengah drive ni." tegur Ian Hamza apabila Qiqi sibuk mahu mengambil beg sekolahnya yang diletakkan di tempat duduk belakang. Barangkali mahu mengambil sesuatu dari beg sekolah itu.

“ Okay papa. I just want to show you my drawing paper.." ujar Qiqi.

“ Nanti dah sampai rumah papa tengok drawing kakak. Sekarang papa sedang memandu. Semasa memandu, kita kena fokus pada jalan raya. Jika tidak kemalangan boleh berlaku." beritahu Ian Hamza agar Qiqi memahami situasinya saat itu.

“ Baik papa!"

Ian Hamza tersenyum lalu mengangguk dan mengusap kepala Qiqi lembut.

“ Papa, kenapa panggil Qiqi kakak?" soal Qiqi ingin tahu setelah beberapa minit berdiam diri.

Ian Hamza menoleh seketika ke arah Qiqi dari pemanduan di hadapan. Dia tersenyum.

“ Sebab Qiqi kan ada adik. Jadi papa panggil lah kakak. Kakak tak suka papa panggil macam tu?"

“ Suka. Tapi rasa pelik.” sengih Qiqi.

“ Kakak dah besar. Iqie pun akan besar jugak. Jadi papa rasa lebih manis kalau papa panggil dengan nama kakak. Nampak lebih friendly dan menunjukkan kakak seorang yang penyayang pada adiknya. Kakak sayang adik kan?"

Kelihatan Qiqi mengangguk dan tersenyum simpul menerima penjelasan Ian Hamza.

“ Kawan Qiqi dekat sekolah ada ramai adik. Ada perempuan ada lelaki. Qiqi pun nak ramai adik."

“ Oh ya! Berapa orang adik dia?" soal Ian Hamza sengaja melayan bualan kosong Qiqi.

Membilang dengan jari Qiqi tersengih suka sambil mengarah tiga jari kanannya ke depan Ian Hamza saat mengingat teman kembarnya di tadika. “ Tiga."

Ian Hamza angguk dan tersenyum. “ Ramai juga adiknya. Tapi tak apa, kakak pun ada adik jugak kan!"

“ Qiqi tahu. Tapi Qiqi ada Iqie je. Qiqi bosan tak ada baby girl nak ajak main. Boleh papa minta mama bagi Qiqi baby girl?"

Pemanduan Ian Hamza nyaris tersasar dari laluan asal. Soalan cepu emas Qiqi buatkan jantungnya hampir lucut dari kedudukan.

“ Kenapa Qiqi tak minta dengan mama je?" soal Ian Hamza setelah membetulkan ritma jantungnya yang terkejut dek soalan spontan Qiqi.

“ Dah minta tapi mama marah Qiqi.” terus muncung bibir Qiqi.

“ Mama marah?" berkerut kening Ian Hamza. Setahunya Azwin jarang memarahi orang apatah lagi anak-anak.

Qiqi angguk lagi. “ Mama marah macam mana?"soal Ian Hamza.

“ Suara mama tinggi. Mama cakap Qiqi tak boleh ada adik sebab papa kandung Qiqi dah pergi syurga. Dah tak boleh balik dekat dunia. Lepastu Qiqi nampak mama menangis."

Ian Hamza hela nafas. Lebih bertambah rasa bersalah jiwanya mendengar cerita Qiqi. Sebulan meninggalkan Azwin dan anak-anak rupanya banyak cerita tidak enak yang terjadi. Sangkanya hidup Azwin dan anak-anak baik-baik saja tanpa dirinya. Nyata dia khilaf.

“ Kakak nak jadi anak yang baik tak?"

“ Nak. Ustazah cakap, kalau jadi anak yang baik nanti Allah sayang. Allah bagi syurga. Betul ke papa?"

“ Betul. Kalau nak jadi anak yang baik, jangan buat mama sedih lagi ya. Janji dengan papa balik nanti jumpa mama terus minta maaf ya. Kakak dah buat mama sedih sebab tu kena minta maaf. Mama bukan marah cuma mama sedih sebab mama dah hilang orang yang dia sayang iaitu papa kandung kakak. Jadi bila kakak minta adik pada mama, tentulah mama sedih sebab papa kandung kakak dah tak ada dan tak boleh bagi adik baru dalam perut mama. Allah dah ambil papa kakak pergi syurga dan tak boleh hidup semula dekat dunia. " terang Ian Hamza secara halus dan logik agar senang Qiqi faham.

Qiqi angguk.“ Baik papa balik nanti Qiqi minta maaf dengan mama."

“ Macam tulah anak papa. Kakak kena belajar hormat dan sayang mama. Jangan sakitkan hati mama lagi. Allah akan bagi ganjaran syurga kepada anak yang taat dan hormat ibu bapa." pesan Ian Hamza seraya mengelus ubun-ubun Qiqi.

Qiqi angguk tanda faham. Ian Hamza tersenyum senang. Anak sebesar Qiqi sangat mudah dididik dan dibentuk kalau kena pada caranya.Dia bersyukur kerana diberi peluang menjaga dan mendidik anak saudaranya itu.

Tanpa sedar, perbualan santai mereka berlanjutan sehinggalah kereta yang dipandu Ian Hamza tiba ke destinasi utama. Memasuki sebuah pusat membeli belah, dia bercadang mahu makan tengah hari sekaligus membawa Qiqi bermain dan berbelanja.

Nia Shaqila sangat teruja kerana dapat meluangkan masa bersama Ian Hamza. Dia begitu seronok dan ceria petang itu sehingga tak sedar hampir ke pukul tiga petang mereka masih lagi bersiar-siar di dalam kawasan themes park di pusat membeli belah tersebut.

Banyak aktiviti yang mereka lakukan bersama. Ian Hamza berasa lega kerana dapat menggembirakan Qiqi hari itu. Sedikit sebanyak perasaan bersalahnya berkurangan.

....

AZWIN pulang awal petang itu kerana berasa tidak sihat dan lesu. Sampai saja di rumah dia sedikit hairan melihat FK8 Ian Hamza ada terparkir di bawah bumbung Villa Izzah.

Malas ambil pusing terus saja kaki di bawa melangkah naik ke bilik. Dia bercadang mahu berehat terlebih dahulu sebelum bertemu anak-anaknya yang mungkin sedang diurusi oleh pembantu di waktu-waktu begini.

Pintu bilik di buka dan Azwin meloloskan diri namun belum sempat pintu bilik ditutup nyaris dia terjerit akibat terkejut melihat Ian Hamza dan anak-anaknya di atas katil.

Azwin tergamam melihat mereka sedang enak beradu ditengah-tengah katil dengan posisi keduanya memeluk tubuh Ian Hamza erat. Anak-anaknya juga kelihatan sangat rindu pada lelaki itu.

Kakinya bagai terpasung kuat di hadapan pintu bilik. Mata juga tak lari dari memandang pelukan antara mereka. Perasaan terkejutnya tadi kini berganti sayu dan hiba. Alangkah lebih indah jika susuk itu adalah Iman Hazim. Tentu sekali dia tidak akan terkejut seperti ini. Malah dengan senang hati dia melangkah ke sana untuk menyertai mereka. Namun sebanyak mana impian yang dia anyam untuk mencapai kebahagiaan sebanyak itu jugalah harapannya tak bisa tercapai. Malah memberikan dia rasa sakit yang tak pernah sembuh. Tanpa sedar Azwin mengeluh perlahan.

Menapak perlahan ke hujung katil Azwin mencuit kaki Ian Hamza untuk mengejutkannya. Entah bagaimana lelaki itu boleh berada di dalam biliknya petang ini. Geram pula dia dengan Ian Hamza yang sesuka hati menceroboh ke tempat peribadinya itu.

Berasa tidurnya terganggu, Ian Hamza membuka mata. Wajah Azwin yang kelam menerjah pandangan.

“ Mi amor." panggil Ian Hamza dengan suara serak bersama senyum kecil. “ Hai!" sepatah dia menyapa lantas mata itu kembali tertutup semula. Ian Hamza kelihatan masih mengantuk.

Azwin cekak pinggang. “ Macam mana awak boleh masuk bilik Kak Win?" soal Azwin garang. Dia tayang riak tidak puas hati.

Ian Hamza tidak peduli. Dia masih mamai dan mengantuk. Leka sungguh dia berbaring kerana selesa tidur berpelukan bersama Qiqi dan Iqie yang juga tertidur di atas lengannya. Suara Azwin tenggelam timbul saja kedengaran.

“ Eii..budak ni. Bangun Ian Hamza Husyn." bebel Azwin. Hujung kaki Ian Hamza di goyang-goyangkannya berulang kali agar Ian Hamza terjaga dari tidur.

“ Kejap la sayang. I mengantuk ni. Nanti I bangun." gumam Ian Hamza perlahan.

Bertambah angin Azwin melihatnya. Tidak puas hati Azwin mendekat ke tepi katil. Tubuh Ian Hamza pula dia serang dengan bantal peluk.

“ Bangun la biy. Awak tak boleh sesuka hati masuk bilik Kak Win la.." marah Azwin.

Merasa tubuhnya di banting bantal peluk Ian Hamza membuka mata. Segar terus jadinya. “Hati Kak Win pun I boleh masuk apatah lagi bilik tidur ni..."

“ Ian-Hamza-Husyn-bangun-sekarang!" satu-satu Azwin tekan ayatnya. Iris hazelnya membulat. Dia benar-benar geram. Bantal peluk di banting sekali lagi ke tubuh itu.

“ Eh, janganlah sayang..kan anak-anak tidur ni." tepis Ian Hamza. Risau serangan bantal peluk terkena pada Qiqi dan Iqie yang masih lena. Bantal peluk ditangan Azwin dirampas menyebabkan wanita itu hilang imbangan lalu jatuh ke atas riba Ian Hamza.

Suasana terus sepi. Yang kedengaran hanya deru nafas mereka yang saling menampar kulit wajah masing-masing. Azwin kelu. Ian Hamza bisu.

Tersentak, Azwin bangun dari riba Ian Hamza tetapi lelaki itu cepat menahannya. “ Stay still. I miss you too much mi amor." ucap Ian Hamza seraya mengucup pipi Azwin.

Terkejut Azwin bangun dan menampar pipi Ian Hamza kuat.“ Keluar Ian Hamza Husyn. Kak Win benci awak!" jerit Azwin bersama tangisan yang mula turun.Tubuh Ian Hamza di tolak keluar dari biliknya.

Pintu bilik ditutup, Azwin tersandar lalu terduduk di balik pintu dengan tangisan lebat. Kedua lututnya dipeluk erat sehingga menggigil tubuhnya.

Sedih, kecewa, terluka, rindu, sayang dan cinta saling bersulam menghentam dada. Azwin tertekan dan berasa sangat letih membawa rasa yang padat itu sehingga tak terluah.

“ Mama..mama nangis ke? Kenapa mama sedih? tegur Qiqi yang tiba-tiba berdiri di depan Azwin.

Angkat wajah Azwin senyum nipis. Sisa air mata cepat dihapus. “ Tak, sayang mama tak nangis. Mata mama masuk habuk je. Lagipun mama letih sikit." dalih Azwin.

Qiqi duduk disebelah Azwin lalu menarik tangan mamanya. Qiqi menyalami dan mengucup tangan Azwin. “ Mama, kakak minta maaf. Kakak janji tak buat mama sedih lagi. Kakak nak jadi anak yang baik. Papa cakap, kalau kakak baik Allah sayang dan bagi syurga dekat kakak sebab buat baik, hormat dan sayang mama. Mama jangan marah-marah lagi ya. Kakak sayang mama." ucap Qiqi lembut lalu bangun dan memeluk Azwin erat. Pipi Azwin dia cium berkali-kali.

Azwin sebak. Air matanya yang sudah kering kini terbit semula dan turun lebih laju. Kalau tadi dia sedih kerana tindakan Ian Hamza yang melampau kini dia sedih tapi bahagia dengan sikap prihatin Qiqi. Anaknya nampak sangat matang dan ikhlas memaksudkan perasaannya. Azwin hiba. Tubuh kecil Qiqi juga dipeluk erat semahunya.

“ Terima kasih Qiqi. Mama pun sayang Qiqi."

“ Bukan Qiqi mama..panggil kakak. Papa cakap kakak ni penyayang jadi kena panggil kakak sebab kakak dah besar. No more Qiqi." Qiqi tayang sengih dengan rasa bangga.

Azwin tersenyum. “ Okay kakak. Sekarang kakak keluar dulu, mama nak mandi dan solat.Nanti mama cari kakak ya."

Qiqi mengangguk faham.“ Baik mama.”

Hampir sejam terpuruk dengan rasa, Azwin bangun menuju ke bilik air. Kepalanya terasa berat dan tubuhnya seram sejuk. Belum sempat dia berdiri tegak, tubuhnya rebah ke lantai.

Qiqi yang baru membuka tombol pintu terkejut melihat Azwin sudah tersungkur jatuh.

“ Mama!" Tubuh Azwin diterpa.

Terima kasih yang sudi membaca lagi karya WL.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience