Aina terus menaip di telefonnya sambil menjeling tajam ke arah Farhan. “Kenapa awak sambut? Saya tak suruh pun awak sambut saya kan.”
Farhan mendengus kecil sambil menyilangkan tangan di dada. “Ehh, kalau aku tak sambut, dah lama badan kau tu terhempas dekat lantai. Takkan itu pun kau nak berkira?” ucapnya sinis.
Aina mengetap bibir sambil menaip lagi, “Saya tak suruh pun, jadi tak perlu rasa macam hero.”
Farhan menjegilkan mata ke arah Aina. “Tolonglah, aku sambut pun sebab refleks, bukan sebab nak jadi hero kau. Dah... tak nak ucap terima kasih ke?”
Aina berhenti menaip, memandang Farhan tajam, sebelum menaip laju. “Terima kasih sebab awak ada refleks cepat.”
Farhan menggelengkan kepala sambil tersenyum sinis. “Kau ni pelik betul…” gumamnya sambil berpaling pergi.
Aina yang masih geram memijak kaki Farhan dengan kuat sebelum terus melangkah laju ke sofa dan duduk dengan wajah masam. Farhan mengaduh kecil sambil menggosok kakinya, namun tidak berkata apa-apa.
“Aina, sini sayang. Tengok ni, cantikkan set hantaran ni?” ujar Datin Farah sambil menunjukkan set hantaran yang dihias kemas dan indah. “Ni untuk belah perempuan. Cantik tak?”
Aina memandang sekilas lalu mengangguk kecil sebagai tanda setuju, walaupun hatinya masih terasa panas dengan Farhan.
“Baguslah kalau Aina suka,” Datin Farah tersenyum puas. “Nah, sekarang Aina pilih pulak set hantaran untuk pihak lelaki. Auntie nak tengok apa yang Aina suka,” sambungnya sambil menyerahkan katalog set hantaran kepada Aina.
Aina mengambil katalog itu dengan perlahan, membelek satu persatu tanpa banyak reaksi. Sementara itu, Farhan duduk di hujung sofa sambil menjeling Aina, masih terasa kesan pijakan tadi.
“Pilih betul-betul tau, Aina. Biar cantik, biar kena dengan tema majlis kita nanti,” pesan Datin Farah penuh semangat.
Aina sekadar mengangguk lagi sambil menunjukkan satu reka bentuk hantaran dalam katalog tanpa memandang Farhan langsung, sengaja tidak mahu melayan lelaki itu.
Petang itu, suasana di rumah Datin Farah mulai tenang selepas perbincangan tentang hantaran selesai. Datin Farah memandang ke arah Farhan yang sedang duduk termenung di sofa.
“Farhan, hantar Aina balik,” ucap Datin Farah dengan nada lembut tetapi tegas.
Aina yang mendengar itu segera mencuit lengan Datin Farah, lalu mengeluarkan telefonnya dan menaip pantas. “Tak apa, auntie. Nanti Aina call bodyguard papa.”
Datin Farah menggeleng kecil sambil tersenyum. “Tak apa, sayang. Biar Farhan hantar. Lagipun, senang kalau ada apa-apa nanti. Kamu dua kan nak kahwin, biasakanlah.”
Farhan menghela nafas panjang dengan wajah malas. “Ala mama ni...”
“Dah, jangan banyak cakap. Pergi siap hantar Aina balik,” potong Datin Farah, memberi arahan dengan lebih tegas kali ini.
Aina memandang Farhan dengan wajah serba salah sebelum menunduk sedikit, bersedia untuk menurut. Farhan bangkit dari sofa dengan malas, lalu menjeling sekilas ke arah Aina.
“Jomlah,” ucap Farhan pendek.
Aina hanya mengangguk kecil dan mengikut langkah Farhan ke arah pintu, sementara Datin Farah tersenyum puas melihat mereka berdua yang semakin terbiasa bersama.
Farhan berjalan mendahului Aina menuju ke keretanya. Dengan satu gerakan spontan, dia membuka pintu kereta untuk Aina tanpa banyak bicara. Aina memandang sekilas, sedikit terkejut, namun melangkah untuk masuk ke dalam.
Sewaktu Aina menundukkan kepala untuk masuk ke dalam kereta, Farhan dengan cepat menahan kepala Aina dengan tangannya agar tidak terhantuk pada bingkai pintu.
“Buat apa tunduk laju sangat, nanti sakit,” ucap Farhan dengan nada separuh membebel, tetapi perhatiannya jelas.
Aina menoleh memandang Farhan sejenak, seakan ingin berkata sesuatu, tetapi hanya senyap. Dia duduk diam, memasukkan tali pinggang keledar dengan wajah yang sedikit merah.
Farhan menutup pintu dengan perlahan, kemudian berjalan ke bahagian sebelah pemandu. Dia masuk ke dalam kereta, menutup pintu, dan menyalakan enjin. Sebelum memulakan perjalanan, Farhan sempat menjeling ke arah Aina yang duduk tegak memandang ke hadapan.
“Duduk macam patung, kenapa? Tak biasa ke ada orang layan elok?” sindir Farhan, separuh senyum.
Aina hanya memandangnya sekilas sebelum mengalihkan pandangan ke luar tingkap, membiarkan Farhan dengan bicara sinisnya. Farhan sekadar menggeleng perlahan, lalu menekan pedal minyak dan kereta meluncur keluar dari halaman rumah Datin Farah.
Sesampai sahaja di hadapan rumah Dato' Sri Adnan, Farhan memberhentikan kereta dengan perlahan. Bunyi enjin yang dimatikan masih tidak mampu mengejutkan Aina yang lena di tempat duduk sebelah.
Farhan menoleh ke arah Aina yang tertidur nyenyak. Pandangan matanya melembut secara tidak sengaja. Dia bersandar sedikit, mendekatkan diri ke arah Aina. Wajah putih mulus gadis itu yang tampak tenang ketika tidur, menarik perhatiannya. Bibir merah Aina yang berbentuk seperti hati membuatkan Farhan tersenyum kecil.
Tangannya terangkat sedikit, tetapi dia hanya sekadar mengusap lembut anak rambut yang jatuh ke wajah Aina. "Kau ni... tidur pun masih nampak cantik," bisik Farhan perlahan.
Dia merenung wajah Aina lama sebelum menghela nafas.
“Tak sangka kau dah besar sekarang, Aina...” ucapnya dalam nada suara yang hampir berbisik, seakan berbicara dengan dirinya sendiri.
Farhan menggeleng perlahan, menyedari apa yang sedang dilakukannya. Dia menjauhkan diri dan kembali memandang ke hadapan, mengetuk stereng kereta dengan jarinya, cuba mengusir fikiran aneh yang bermain di mindanya.
“Oi, Farhan. Kau kenapa ni?” gumamnya sendirian, sambil matanya kembali menjeling Aina yang masih lena.
Kepala Aina diusap lembut oleh Farhan. “Kau ni makin besar makin cantik, mama kata kau ni mengikut sangat muka arwah nenek kau,” ucap Farhan sambil tersenyum kecil.
Namun, tidur Aina mula terganggu. Dia membuka mata sedikit dan terpinga-pinga apabila menyedari jarak Farhan terlalu dekat. Dengan geram, Aina terus menolak bahu Farhan dengan kuat sehingga lelaki itu sedikit terdorong ke belakang.
Aina cepat-cepat duduk tegak sambil matanya melilau mencari telefonnya. Sebaik sahaja telefon dicapai dan cuba dihidupkan, skrin menunjukkan bateri sudah habis. Wajah Aina semakin berkerut tanda marah.
“Gatal...” ucap Aina dalam bahasa isyarat, wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. Tanpa menunggu lama, Aina terus membuka pintu kereta dan keluar dengan langkah laju.
Farhan yang masih terkejut dengan tindakan Aina hanya mampu menoleh ke belakang. “Oi, Aina! Aku tak faham lah kau ni,” ucapnya dengan nada sedikit geram tetapi bingung.
Farhan menggeleng sambil bersandar kembali di kerusi, melihat Aina yang semakin menjauh. “Bisu-bisu pun pandai marah, eh…” gumamnya sendiri, sambil ketawa kecil sebelum kembali fokus mematikan enjin kereta.
Sampai sahaja di bilik, Aina terus menuju ke meja solek. Getah rambut dicapai sebelum dia mengikat rambut panjangnya tinggi ke atas. Wajahnya yang keletihan jelas terpancar, namun dia hanya menghela nafas perlahan.
Sambil memandang dirinya di cermin, Aina mengusap sedikit hujung rambutnya yang jatuh kemas ke belakang. “Penat betul hari ni…” bisiknya dalam hati.
Tangannya mencapai telefon yang sedang dicas tadi, tetapi skrin masih kosong tanda bateri belum penuh. Dengan perasaan sedikit malas, Aina melemparkan dirinya ke atas katil. Pandangannya kosong, memikirkan kejadian yang berlaku sepanjang hari ini.
Aina menarik nafas dalam, telefon kedua di tangan digenggam erat. Setelah beberapa saat berfikir, dia membuka laci dan mencapai telefon itu. Jarinya pantas mencari nombor yang sudah lama tidak dihubungi.
Tidak lama kemudian, panggilan bersambut. Suara Zack kedengaran di hujung talian.
“Hello, Angel. Dah lama tak dengar suara kau. Kenapa? Sekarang baru rasa susah ke sampai nak call abang?” sindir Zack dengan nada sinis.
Aina menggigit bibir, cuba menahan perasaan.
“Kenapa? Salah ke kalau Angel call abang?” balas Aina, suaranya sedikit bergetar. “Daddy macam mana? Dia sihat ke?” sambungnya lagi, nada suara yang lembut namun penuh kerisauan.
Zack di hujung talian terdiam seketika sebelum bersuara. “Dia okey. Cuma... kau ni, tiba-tiba je. Ada apa-apa yang Angel nak cerita ke?” tanyanya, suaranya berubah serius.
Aina diam sejenak, matanya memandang keluar jendela. “Tak ada apa-apa. Angel cuma rindu,” jawabnya perlahan, seakan menahan sesuatu yang terbuku di hati.
Zack terdiam mendengar penjelasan Aina. Suasana sunyi seketika, hanya kedengaran desahan perlahan dari hujung talian. Aina menghela nafas, cuba menahan perasaan yang berkecamuk di dalam hati.
“Kalau rindu, kenapa tak balik?” soal Zack lagi, nada suaranya seperti mengharapkan jawapan yang lebih jelas.
Aina menggigit bibir, fikirannya kembali melayang pada kenangan lalu. “Kalau boleh balik, dah lama Angel balik,” jawabnya dengan suara yang sedikit gemetar. “Lagipun mama, papa, terutama sekali atuk, tak izinkan Angel balik tempat tu. Balik... Angel tak salahkan diorang. Mungkin diorang tak boleh terima lagi yang anak diorang ni boleh bercakap macam orang lain, sebab Aina dari lahir bisu...” ujar Aina, matanya berkaca, terasa berat dengan kenyataan itu.
Hening seketika. Zack menghela nafas panjang. “Angel, mereka tak faham... Tapi, aku faham. Aku akan selalu ada untuk kau,” kata Zack dengan penuh pengertian, cuba memberi sedikit ketenangan pada Aina.
Aina terdiam, merenung ke arah telefon yang terpegang di tangannya.
Tan Sri Ayub membuka pintu bilik Aina dengan kasar. "Berapa kali atuk cakap, atuk tak nak dengar suara kamu! Susah sangat ke Aina nak dengar cakap atuk?" jerit Tan Sri Ayub dengan nada yang penuh kemarahan.
Telefon yang dipegang Aina dirampas begitu sahaja dan dibaling ke lantai. Aina hanya diam, tidak berkata apa-apa, walaupun hati terasa pedih. Dia tahu, setiap kali dia berbuat sesuatu yang tidak disukai oleh atuknya, dia akan dihukum tanpa belas kasihan.
"Memang Aina tak dengar cakap atuk, kan?" sambung Tan Sri Ayub, menarik tangan Aina dengan kasar, membawanya turun ke bawah. Aina cuba menahan perasaan, tetapi hatinya sakit, kerana dia tahu kemana atuknya hendak membawanya—bilik bawah tanah, tempat di mana dia sering dikurung setiap kali membuat kesalahan menurut pandangan atuknya.
“Atuk, jangan buat Aina macam ni. Aina minta maaf,” ucap Aina dalam bahasa isyarat, air mata mula bergenang di kelopak matanya.
Tan Sri Ayub langsung tidak memandang wajah Aina. Hatinya keras, pandangannya tajam dan penuh kekecewaan. “Dah terlambat, Aina! Kamu degil sangat!” suaranya bergema di ruang tangga, mematahkan sisa harapan Aina untuk dilepaskan.
Aina meronta sedikit, namun genggaman tangan Tan Sri Ayub terlalu kuat. Setiap langkah ke bilik bawah tanah terasa berat, seolah-olah membawa beban yang tidak tertanggung. "Atuk, tolonglah... Aina janji akan ikut cakap atuk lepas ni," rayu Aina lagi dalam bahasa isyarat, berharap ada simpati yang muncul walau sekelumit.
Namun Tan Sri Ayub hanya mengheretnya terus, tidak peduli dengan rayuan itu. Bilik bawah tanah yang suram semakin hampir. Aina tahu, sekali lagi dia akan dikurung dalam kegelapan itu.
“Aina bukan budak kecil lagi, atuk. Aina dah besar…” ucap Aina dalam bahasa isyarat, tangannya bergerak pantas sambil wajahnya basah dengan air mata yang mula mengalir.
Tan Sri Ayub menghentikan langkahnya seketika. Dia memandang tajam ke arah Aina, tetapi masih dengan wajah tegas yang tidak berperasaan. “Kamu ingat bila dah besar kamu boleh melawan cakap atuk? Selagi kamu di bawah jagaan atuk, kamu ikut apa yang atuk kata!”
“Aina cuma nak hidup macam orang lain… Aina nak jadi diri Aina,” balas Aina dengan bahasa isyarat, tangannya terketar-ketar. Suaranya seolah-olah bergema walaupun tidak kedengaran.
Namun, kata-kata itu hanya menambah kemarahan Tan Sri Ayub. “Cukup! Kamu terlalu banyak cakap!” bentaknya, sebelum meneruskan langkah membawa Aina ke bilik bawah tanah.
Aina hanya mampu menurut dalam esakan kecil, hatinya semakin pedih apabila harapannya untuk difahami terus dipatahkan begitu sahaja.
Keesokan paginya,pintu bilik bawah tanah dibuka.
Aina terus memeluk mamanya.“mama Aina nak keluar,Please mama Aina dah besar...."ucap Aina dalam bahasa isyarat.
“aina ingat...."ucap datin Sri Aishah.
“aina ingat,selalu kalau Farhan datang rumah,dan time tu Aina kena kurung kat sini Farhan mesti bawak keluar Aina..."ucap Aina dalam bahasa isyarat.
Share this novel