Tengku Ahmad Riaz Syah dan Deeandra tahu mereka tidak akan mampu menentang arus. Masing-masing sudah menghampiri usia 25 tahun, usia yang dianggap sesuai untuk berkahwin oleh keluarga mereka.
Walaupun perasaan masing-masing bercampur-baur, mereka sedar bahawa penolakan hanya akan menambah masalah dan ketidakpuasan hati di kalangan ahli keluarga. Selepas banyak kali berfikir dan berbincang secara rahsia, mereka berdua akhirnya mengambil keputusan yang sukar: bersetuju untuk berkahwin.
Pada suatu malam, Tengku Ahmad dipanggil oleh Datin Fazira ke ruang tamu. Suasana sunyi, hanya bunyi kipas berdengung menemani perbualan itu.
"Syah, mama dah bincang dengan keluarga Dee. Kita akan percepatkan persiapan perkahwinan. Mereka pun setuju," kata Datin Fazira, nadanya tegas tetapi ada sedikit nada puas hati.
Tengku Ahmad yang sudah menjangka perkara ini hanya mampu mengangguk. "Tapi ma.. Erm baik, ma. Syah ikut je."
Walaupun hati kecilnya meronta ingin membantah, Tengku Ahmad tahu keputusannya sudah tidak ada jalan keluar. Sebaik sahaja Datin Fazira melangkah pergi, Tengku Ahmad duduk termenung di sofa, memikirkan bagaimana hidupnya akan berubah.
Dia tahu, dalam tempoh yang singkat ini, dia perlu mengorak langkah ke alam yang tidak pernah dia sangka akan lalui dengan seorang yang hampir tidak dikenalinya.
Di pihak Dee pula, Puan Herlina menyambut baik keputusan yang dibuat. "Dee, mama yakin ini adalah yang terbaik untuk kamu. Anak Datin Fazira lelaki yang baik. Kamu pun dah besar, tak perlu tunggu lama-lama lagi," kata Puan Herlina sambil tersenyum.
Dee hanya mengangguk tanpa kata, sama seperti Tengku Ahmad, hatinya berbelah bagi, tetapi dia tidak mampu menentang keputusan keluarga.
-
Khabar tentang perkahwinan Tengku Ahmad dan Deeandra tersebar luas dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Tarikh ditetapkan, dan persiapan perkahwinan mula berjalan lancar. Dari persalinan baju, katering, hingga kepada majlis resepsi, semuanya diuruskan oleh kedua-dua keluarga dengan penuh kegembiraan.
Namun, bagi Tengku Ahmad dan Deeandra, setiap hari terasa semakin berat. Mereka menjalani proses persiapan seperti pasangan lain-berjumpa dengan perancang perkahwinan, memilih dekorasi, dan bertemu dengan pereka baju pengantin-tetapi semuanya dilakukan tanpa rasa ikhlas atau keterujaan. Setiap langkah yang diambil terasa seperti lakonan, satu peranan yang harus dimainkan demi memenuhi kehendak keluarga.
Suatu hari, mereka berdua bertemu di butik pengantin untuk mencuba baju. Tengku Ahmad kelihatan kacak dalam persalinan baju melayu moden berwarna putih gading, manakala Deeandra tampil anggun dengan kebaya yang penuh sulaman indah. Namun, ketika mata mereka bertembung di cermin, masing-masing tidak dapat menyembunyikan kekosongan di hati.
"Saya tak sangka kita sampai ke tahap ni," bisik Dee perlahan, matanya tertunduk.
Tengku Ahmad menghela nafas panjang. "I pun tak sangka. Tapi kita dah tak ada pilihan, Dee."
Deeandra memandang Tengku Ahmad, cuba mencari sedikit kekuatan dalam dirinya. "Kalau kita nak teruskan, kita kena buat dengan cara yang terbaik. At least, biar keluarga kita happy."
Tengku Ahmad hanya tersenyum hambar. Walaupun mereka bersetuju untuk meneruskan perkahwinan, hati kecilnya tetap tidak yakin dengan masa depan yang bakal mereka hadapi bersama.
-
Hari yang dinantikan akhirnya tiba. Dewan yang megah dihiasi dengan warna putih dan emas, memberi suasana yang elegan dan klasik. Para tetamu mula memenuhi dewan, keluarga dan rakan-rakan dari kedua-dua belah pihak kelihatan teruja. Senyuman, gelak tawa, dan ucapan tahniah bergema di setiap sudut dewan.
Tengku Ahmad duduk di bilik persalinan, mengenakan baju melayu dengan penuh kebimbangan. Dia melihat dirinya di cermin, namun dia tidak dapat mengenali lelaki yang berada di hadapan cermin itu. Hatinya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia akan berkahwin dengan seorang wanita yang tidak pernah dia cintai. Namun, dia tahu, hari ini adalah hari yang sudah diputuskan oleh takdir.
Deeandra pula berada di bilik lain, bersiap dengan ditemani oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya. Wajahnya kelihatan tenang, tetapi di dalam hatinya, ombak keresahan tidak pernah berhenti menghempas. Ketika Puan Herlina masuk ke dalam bilik untuk memberikan semangat, Deeandra memaksakan senyuman.
"Dee, hari ni hari kamu. Jadilah pengantin yang cantik dan bahagia," kata Puan Herlina sambil mengusap lembut pipi anak perempuannya.
"InshaAllah Dee cuba, ma," jawab Dee ringkas.
Saat tibanya masa akad nikah, semua mata tertumpu pada Tengku Ahmad dan Deeandra. Imam memulakan upacara dengan penuh hikmah, dan Tengku Ahmad dengan suara yang sedikit bergetar melafazkan akad yang menyatukan dia dan Deeandra sebagai suami isteri.
"Aku terima nikahnya Deeandra binti Ismail dengan mas kahwin seribu ringgit tunai"
Dengan satu nafas, Tengku Ahmad telah melafazkan satu tanggungjawab besar dalam hidupnya. Terdengar ucapan "sah" dari saksi-saksi, dan tepukan gemuruh memenuhi dewan. Deeandra memejamkan mata, cuba menahan air mata yang hampir tumpah. Dia kini sah menjadi isteri kepada lelaki yang hanya dia kenali melalui pertemuan yang dirancang.
Tengku Ahmad duduk di atas kerusi pelamin, nafasnya masih terasa berat selepas akad nikah sebentar tadi. Keringat halus mula membasahi dahinya walaupun bilik dewan itu dingin dengan hembusan penghawa dingin. Matanya tertumpu ke arah keluarganya, terutamanya mama dan papanya. Datin Fazira, ibunya, tersenyum sambil memberi isyarat halus dengan tangannya, menyuruhnya untuk segera memulakan sesi batal air sembahyang.
"Syah, cepat ya. Semua dah tunggu," kata ibunya lembut namun tegas, penuh harapan.
Tengku Ahmad menelan air liur, terasa tekaknya sedikit kering. Dia bangun perlahan, kakinya seolah-olah berat namun langkah harus diteruskan. Dia tahu bahawa saat ini adalah permulaan untuk segala-galanya. Matanya tertancap pada Deeandra, isteri yang baru sahaja dia nikahi, yang kini duduk tenang di sebelahnya. Deeandra kelihatan ayu dengan solekan yang sederhana, namun matanya memancarkan keyakinan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Dengan tangan sedikit menggigil, Tengku Ahmad mengambil cincin yang bakal disarungkan ke jari manis Deeandra. Saat jari-jarinya bersentuhan dengan cincin itu, dadanya terasa semakin sempit. Pelbagai perasaan bercampur baur - kegembiraan, rasa tanggungjawab yang berat, dan gementar yang tidak mampu dia jelaskan.
Melihat reaksi Tengku Ahmad, Deeandra tersenyum lembut. Tanpa sebarang keraguan, dia menatap wajah suaminya itu dan berbisik perlahan,
"Its okay, Syah. Tenang, tarik nafas dan lepas. Saya tahu awak tak ready tapi sekarang isteri awak dah ada depan mata."
Kata-kata Deeandra seperti embun pagi yang menyegarkan jiwa Tengku Ahmad. Perlahan-lahan, dia menarik nafas dalam-dalam, cuba untuk menenangkan hatinya yang bergelora. Dengan cermat, dia menyarungkan cincin itu ke jari Deeandra. Semua mata tertumpu kepada mereka, menyaksikan momen indah ini.
Selepas cincin itu selamat disarungkan, Tengku Ahmad dan Deeandra saling berpandangan. Tengku Ahmad tersenyum lemah sebelum mencium dahi Deeandra, satu tanda hormat dan kasih sayang. Saat itu, hatinya berbisik penuh harapan,
"Ya Allah, kau permudahkan segala urusanku mulai saat ini untuk memulakan hidup baru sebagai suami."
Suasana di dewan itu terasa begitu hangat. Kedua-dua keluarga tersenyum gembira, menyaksikan penyatuan dua hati. Tengku Ahmad tahu bahawa ini hanyalah langkah pertama dalam perjalanan panjang yang penuh dengan cabaran dan tanggungjawab. Namun, dengan Deeandra di sisinya, dia yakin mereka mampu mengharungi apa jua yang mendatang, asalkan mereka sentiasa bergantung harap kepada Allah dan satu sama lain.
Dan di situ, bermulalah sebuah kisah baru dalam hidup Tengku Ahmad Riaz Syah.
Share this novel