KILAT bersabung di langit. Larian Hanani berhenti mendadak sambil menutup kepalanya dengan lengan. Terkejut dengan cahaya yang terpancar terang itu. Jantungnya rasa dihentam sekali lagi bila guruh pula yang berdentum bagai nak memecahkan langit. Dengan wajah yang basah bahana air mata, dia mendongak ke langit. Hujan lebat membasahi muka pada setiap titis yang turun. Hanani menahan sedu.
Kilat memancar lagi, menerangi malam buat beberapa saat. Entah dimana bumi yang menerima panahan haba yang tinggi itu, Hanani terjerit kerana terkejut. Panahan kilat itu terasa macam betul-betul di atas kepala!
Tahap takutnya mendadak naik. Takut pada pengalaman seram yang sangat segar, takut pada kilat yang memancar di atas kepala dan dirinya langsung terdedah dari sebarang perlindungan. Hanani mencangkung duduk di situ. Tangan menutup kedua belah telinga. Mata dipejam erat dan kepala disembunyikan antara lutut.
Dia takut... dia terlalu takut... dia terlalu takut... dia nakkan teman... dia nakkan perlindungan... dia belum mahu mati... ayah... ayahnya... dia belum berbaik dengan ayahnya....
"Hani... Hani..."
Bahunya ditepuk. Hanani spontan tegak. Baru perasan hujan dah tak menimpanya. Kepala lambat-lambat ditoleh, memandang kaki di sebelah bahu.
"Kau buat apa ni... kenapa lari tiba-tiba..."
Itu suara Lukman. Tapi sungguh ke Lukman? Hanani mendongak lagi. Mata dipicing cuba melihat rias kelam yang dilindungi gelap malam dan hujan. Kilat memancar, membenarkan dia mengesahkan pemilik wajah tampan itu ialah jiran rumah sebelahnya. Air mata hangatnya meleleh lebat lagi.
"Luk..."
"Kau ni... perangai random nau. Kenapa kau lari?"
"Luk..."
"Jomlah balik. Basah berhujan macam ni, nanti demam."
"Luk..."
"Apa lagi?"
"Luk..." Sedunya pecah pada panggilan kali ini.
Lukman senyap. Malas dah nak memberi kata-kata, lalu lengan Hanani ditarik sehingga bangun. Wanita itu menurut. Dengan sedu yang masih tidak hilang dari nafas yang tersekat, dada Lukman ditunjal-tunjalnya.
Pelik lelaki itu dibuatnya. Penumbuk ringan turut dilepaskan sekali dua ke dadanya, malah tangannya digenggam si wanita. Memang terasa habis kulit tangan Hanani yang sejuk macam ais. Malah menggigil juga. Mungkin masih takut dan sejuk, dan Lukman tak sampai hati nak menepis.
"It's really you...? That annoying guy yang selalu buat aku menyampah... it's really you...?" Pada ayat Foo Fighter di dada baju, Hanani bertanya.
Lukman senyap seketika. Sekadar merenung kepala bertudung hitam itu. Akal memikir-mikir perubahan tingkah Hanani yang sebelum masuk blok akademik, dan selepas keluar dari bangunan itu. Tambah-tambah, wanita ini pun kencing dalam seluar tadi. Mungkin benar sesuatu dah berlaku yang mencabar lagak si wanita.
Kilat memancar terang di dada langit, dan serentak wanita itu terunduk sambil melingkar tangan ke kepalanya. Guruh yang macam nak memecahkan langit, mengiringi kemudian. Semakin rendah kepala itu menunduk dibuatnya. Reaksi spontan yang nampak macam bukan tipu. Lukman mengeluh rendah.
"Jomlah balik..." Dia berkalih. "Kereta kau masih kat sekolah."
"Tak-taknak!!" Lekas lengan Lukman dipeluk.
"Whoa!!" Terperanjat dia! "Hanani! Lepas!" Lengannya cuba ditarik, namun wanita itu menggeleng deras dengan muka basah berair.
"Taknak... taknak... taknak ke sekolah lagi... taknak..."
"Kenapa ni? Aku nak ambik kereta..."
Makin erat pelukan Hanani hingga terasa empuk serta setiap inci lekuk tubuh si wanita pada lengan si lelaki. Lukman mula mengeras.
"Taknak... taknak... taknak... takna–aagh!!" Terjerit lagi dia dan muka disembam pada lengan sasa itu bila langit masih meraung marah di atas kepala.
Lukman menjilat bibir yang terasa kering walaupun sekelilingnya tengah basah berangin. Jemari runcing yang menggenggam erat lengannya terasa menggigil. Denyut jantung yang laju milik si gadis juga terasa dalam hangat pelukan yang diberi. Dengan debar yang terkawal, dia menoleh ke hujung jalan. Tiada sesiapa. Kepala dipaling ke arah bertentangan. Pun kosong dan langsung tiada gerak geri manusia mahupun lampu kenderaan yang nak melintas. Tangan kiri memegang payung, dan tangan kanan didominasi oleh seorang wanita yang ketakutan. Lelaki itu mendongak ke langit.
Apa aku nak buat ni, ya Allah....
Lalu dia memutuskan untuk berdiri saja di situ. Buat beberapa minit, mereka tegak di tengah-tengah hujan dan langsung tak kisah pakaian yang semakin basah apabila angin menepis air hujan ke tubuh. Dingin malam semakin erat merangkul dan menggigit kulitnya walaupun kehangatan cuma dirasai oleh lengan di sebelah kanan. Ah, tubuhnya sempat mencemburui lengan kanan yang bertuah.
"Hani..." Dia cuba memanggil lagi. Anak tekak terasa dikerat bila Hanani membalas dengan menggerakkan tubuhnya.
Setan... jangan datang dekat, please.... rayu hatinya dengan mata terpejam bila panas di lengan merebak ke dadanya.
Enggan membenarkan nalurinya bangun hingga menguasai akal, Lukman menoleh kembali pada si kepala bertudung hitam.
"Hani..."
Senyap.
"Lepaskan aku?"
Senyap, namun rangkulan mengerat. Tanda permintaan itu ditolak. Lukman meneguk liur yang terasa berpasir.
"I'm a guy, tau. Kau buat aku segan..."
Kekal diam. Tiada jawapan untuk membalas.
"Hurm... well... lain jadinya kalau kena peluk kau lama-lama tengah hujan macam ni. Kita balik je la, jom."
"Taknak balik sekolah..." Suara kecil itu kedengaran akhirnya, dan tanpa Lukman duga, meremangkan jiwa lelaki yang selama ini tidur lena tak terkacau. Shahwatnya terpacu. Jantung terus berdegup kencang, sekaligus menghantar darah panas ke seluruh tubuh. Si lelaki mula gelabah.
"Errr... erm. Okay. Kita... tak... tak lalu sekolah. Kita balik rumah jalan kaki. Okay?" Gelabah dikawal sehabisnya.
Senyap seketika si wanita. Lambat-lambat mengangguk. Lukman mengeluh lega. Sepanjang perjalanan balik, hanya Hanani menjadi fokusnya. Wanita itu tidak sekali pun melepaskan rangkulan pada lengan, dan tipulah kalau jiwa lelaki Lukman tidak carca marba dengan kehangatan yang wanita ini berikan. Tambah-tambah, suhu hujan lebat yang bersifat dingin menambah bisa gigitan asmara di jiwa muda. Hatinya terus beristighfar bagi menenangkan nafsunya, juga cuba untuk melawan bisikan syaitan yang menjanjikan rasa yang nikmat jika dia melakukan sesuatu yang lebih pada si hawa.
"Hani..."
Masih senyap.
Bibir dikemam. "Kenapa pakai banyak sangat anting-anting sebelah telinga?" soalnya, cuba mengalihkan fokus si wanita dari rasa takutnya.
"Apa dia?"
Renungan Lukman bertukar redup bila muka basah sembap itu melangut ke mukanya lagi. Hatinya melembut kali ini. "Anting-anting kau... kenapa banyak sangat? Telinga tak kebas, ke?" ulangnya.
"Kenapa nak sibuk?"
Gaya kasar dia datang pulak dah... tapi pelukannya tidak berkurang walau sedikit. Lukman melepaskan ketawa perlahan.
"Dalam pura-pura berperangai jantan, ada juga sifat comel keperempuanan..." bisiknya di hujung lidah. Dia tidak pasti kenapa tapi dia terhibur.
Mendengar kata-kata itu, Hanani tertunduk malu. Lalu pegangan dilepaskan terus, membuat Lukman menunduk lagi. Hanani sedang menggosok lengan sendiri sambil memalingkan mukanya dari si lelaki.
"Kenapa pula ni..." tegur lelaki itu lembut, pertama kali selepas pertemuan mereka.
Si wanita bertudung hitam itu menggigit bibir. "Sorry... aku selalunya tak macam ni..." ujarnya sebal dengan mata terpejam. "Tadi aku..." Bila teringat semula senyuman nenek cleaner, bulu roma meremang lagi. Terus tangan kanan Lukman digenggam lagi dengan kedua belah tangannya dalam malu. "Just... just let me borrow your strength... for now... kejap je... please..." Liur ditelan.
Lukman tidak menjawab, sebaliknya merenung kepala bertudung hitam itu bersama akal yang berkira-kira. Lambat-lambat, dia melepaskan keluh. Mengalah. Wanita itu ditarik supaya bersama-sama terus berteduh di bawah payung.
"Let's talk walking, supaya kau boleh lupa whatever yang berlaku tadi..." ujar si lelaki lagi sambil memimpin gadis di sebelahnya untuk terus berjalan manakala payung terus memayungi mereka berdua.
"Boleh juga."
"Nak sembang kosong? To fill in the silence."
"Kau start."
"Dulu sekolah mana?"
Hanani menoleh lalu. "Basic nau soalan." Nak tergelak dia.
"Kita start dengan soalan basic, lepas tu kita pergi deeper macam siapa ex kau yang paling sampah sampailah soalan personal macam sekarang kau pakai bra color apa."
Jatuh rahang si wanita, lalu ketawanya terlepas, sekaligus membuatkan Lukman tersenyum meleret. Gemarkan alunan itu. Terasa lunak di telinga. Langsung tidak menyedari pintu hatinya terbuka luas untuk perempuan ini ketika ini.
"Kau ni bongok laa... hahaha..." Kerana gurau senda itu, jurang antara mereka merapat terus. Baik Hanani mahupun Lukman, kedua-duanya menyenangi kehadiran masing-masing ketika ini. "Dulu aku sekolah kat Sri Muara... kat Melaka. Lepas tu SPM flunk, so aku tak sambung study, tapi bapak aku hantar aku ke US. Aku menumpang hidup kat family tiri kat sana sebelum menumpang hidup kat rumah aunty Zai sebab bapak aku suruh balik, hehe..."
Lukman terpejam kelip macam memproses maklumat. Hanani ditentang lagi. "Sri Muara... Sekolah Menengah Sri Muara? Yang dekat Melihah Muara?"
"Em? Ya. Kau tau?"
Angguk. "Aku pun student sana."
Langkah mereka sama-sama termati. Fokus menentang masing-masing. Trrkejut dengan sesi jejak kasih di bawah payung di dalam hujan.
"Sekolah Sri Muara yang kes buli paling teruk seluruh Malaysia tu? Kau pun dari situ?" soal Hanani pula, tak percaya namun diterima dengan tawa oleh Lukman. "Kau batch berapa?" soalnya akhirnya.
"Batch ermm..." Mata terpejam, memikirkan tahun bila dia SPM.
"Salah soalan. Siapa samseng sekolah paling popular dalam batch kau!" Mata dicerlang bersama sengih luas.
"Haha. Dalam sejarah sekolah tu, batch aku paling ramai samseng sekolah tersohor sebenarnya. Kelas aku je ada Umar Darius, Syarifah Hanani, Amir Haziq..."
Hanani spontan menepis tangan Lukman sebelum berundur beberapa kali ke belakang dengan mulut melopong. Matanya turut terbuntang luas. "AKULAH SYARIFAH HANANI!!" ujarnya kuat sambil menepuk dadanya.
Lukman tergamam. "Kau Syarifah Hanani?"
Kepala diangguk deras, masih dengan mata terbuntang. "Syarifah Hanani Syed Saifullah! Itulah aku! Kawan-kawan aku panggil aku Siti!"
Dan barulah memori menjunam masuk macam tanah runtuh. Muka itu... pernah dilihat? "You don't say... kau-kau Siti? Siti the hellion? Ratu Blackmail? THAT Siti??" Darah terasa berais ketika ini.
Dia berpegangan tangan dengan Siti bawah hujan?!! Mahu pengsan kalau Amir dapat tau.
Hanani pula menahan nafas, sekaligus menahan rasa terkejut yang melampau-lampau ketika ini. Mamat ni pula siapa? "Lukman... Lukman... Lu-Lucy...." Hanani tercungap. "Kau ketua kelas?!!" Lelaki yang membencinya sampai enggan mempedulikan kewujudannya sepanjang zaman sekolah... lelaki didepan ini ialah dia??
Kedua-duanya melopong luas. Masing-masing cuba menghadam permainan takdir ketika ini.
Sesi jejak kasih itu terganggu seketika bila sebuah van putih tiba-tiba muncul dari hujung jalan. Van itu memperlahan hingga berhenti di sebelah mereka berdua. Beberapa orang lelaki berjubah dan berkopiah di dalam kereta itu memandang mereka dengan pandangan curiga.
"Kami dapat laporan ada pasangan lelaki dan perempuan berdua-duaan di sekolah tidak jauh dari sini.... Kamu berdua kah?"
Dua musuh lama itu berpandangan.
{ HABA terasa berbahang. Panas, dan menghadirkan peluh. Bacaan Yasin saling bersambung dari segenap sudut, bertukar ganti dengan butir perbualan manusia-manusia yang tidak dikenali. Malah langsung tidak diambil peduli.
Perhatiannya cuma pada mayat wanita yang sudah selamat dimandikan dan dikafankan di hadapannya. Pucat, kurus kering seperti tulang, berbibir hitam, dan Kaposi sarcoma meninggalkan bekas-bekas merah di wajah.
Itu bukti AIDS. Penyakit itu dijangkiti dari pasangan selain si suami, tetapi punca perkara itu berlaku ialah dia.
Ulu hati terasa dicucuk-cucuk. Sakit rasanya.
Kau punca semua ni, Hani...
Hani minta maaf... Hani tak sengaja....
Tak sengaja... hahah. Kau nak tau apa lagi yang tak sengaja?!
Selajur kepalanya menerima backhand dari buku lima itu. Dush! }
HENTAKAN memori menarik warasnya untuk bangun dari tidur. Hanani tersentak, automatik membuka mata. Buat seketika, dia kelam. Kipas siling yang berpusing malas di siling dipandang dengan pandangan kabur. Tingkap sedang terbuka luas, membenarkan terik dan panas matahari menyimbah terus ke kepala. Patutlah berpeluh sangat.
Tengkingan amarah serta alunan Yasin melupus di kepala seperti kabus di tengah hari. Hanani terpejam kelip, menyedari bahawasanya dia tertidur sepanjang menunggu panggilan si ayah. Opponya diperiksa. Tiada missed call. Keluh berat dilepaskan panjang. Sesal.
Hanani merehatkan lengan ke mata, mengingati mimpinya seketika tadi. Sedikit pelik kenapa tiba-tiba mimpikan peristiwa pahit itu kembali. Kejadian itu berlaku semasa dia berusia 17 tahun, semasa dia melawat ibunya yang meninggal kerana AIDS kemudian ayahnya memukulnya di depan mayat emaknya.
Liur yang terasa berpasir, ditelan. Hubungan dengan ayah seakan-akan putus terus selepas kejadian itu dan dirinya dihantar terus ke Amerika Syarikat selepas SPM selesai. Sepanjang berada di luar negara di bawah jagaan keluarga tirinya, Hanani berusaha merawat sendiri hati yang luka. Dia ingatkan dia dah pulih. Dia yakin sangat dia dah pulih, sebab itulah dia kembali ke Malaysia apabila ayahnya tiba-tiba menghubunginya untuk pulang ke tanah air.
Lamunan termati bila Oppo tiba-tiba bergetar di tepi kepala. Oppo putih itu dicapai. Selain notification Fac dan Twitter, mesej dari Lukman turut diterima. Kening berkerut terus. Wajah lelaki berkumis itu terbayang di ruang fikiran. Apa pulak yang mamat ni nak.... Dengan panas hati, mesej dipadam tanpa dibaca. Air muka bertukar keruh bila menyedari masih tiada mesej dari ayahnya.
Usahkan nak tunggu mesej si ayah bertanyakan keberadaannya yang sudah tiba di Malaysia sejak sebulan lepas, sebarang perhatian atau kata-kata amarah tentang berita dia ditangkap khalwat dengan Lukman pun masih tak sampai sampai ke hari ini!
Dia memang tak peduli dengan kau. Move on, Hani!
Keluhan berat dilepaskan sekali sebelum meloncat turun dari katil. Jam dilihat. Masih ada masa sebelum mengambil Safira dari sekolah.
Wanita bertubuh kurus itu melangkah keluar dari bilik tidur. Semasa mencapai epal di atas meja kopi di ruang tamu, terpandang imejnya pada biasan cermin kabinet buku. Rambut yang menerima komen semak kering dari Lukman, direnung. Memang macam semak kering bahana diwarnakan berkali-kali sampai rosak, tapi dia tak perlu jelaskan maklumat ini pada mamat sengal itu.
Rambut digosok dan disikat dengan jari supaya kemas sedikit. Barisan anting-anting cincin di telinga kanan dan dua anting-anting di telinga kiri diusik kemudian. Andai hidupnya masih tiada perkembangan di Malaysia... mungkin tak salah dia kembali ke Amerika. Lagipun, rakan-rakannya di sana lebih sudi menerima dia seadanya berbanding bangsanya sendiri.
Dia ke dapur, lalu mencari makanan di dalam peti sejuk. Tersenyum bila melihat makanan penuh di dalamnya, membuat Hanani bersyukur kerana memilih rumah bekas tukang masaknya untuk menumpang buat seketika. Sambil menggigit epal, dia berkira-kira sampai bila dia nak menumpang kat rumah ini. Tambah-tambah dia ditangkap basah dengan jiran yang Puan Zaiton duk canang-canang perangai baik selama ini... berat jika nama Puan Zaiton disebut-sebut sampai ke surau....
"Assalamualaikum..." Suara garau kedengaran dari pintu belakang.
Bapak panjang umur dia... Hanani menoleh sambil terus menggigit epal hijau. Lelaki itu yang baru nak memasuki pintu dapur, terhenti seketika geraknya. Kedua-duanya berpandangan seketika.
Epal diangkat ke udara dengan gaya nak membaling. Lukman lekas mengangkat plastik berisi groceries ke paras kepala, berniat menyuarakan – aku nak hantarkan barang-barang ni je. "Aku dah bagi salam kalau kau paranoid sangat..." tuturnya lekas, bersifat defensif.
Wanita itu masih senyap. Epal digigit lagi sambil menutup pintu peti sejuk. Tanpa sebarang kata, dia melangkah keluar dari dapur dan menapak pula ke ruang tamu. Terserempak dengan lelaki tinggi bermata biru di depan pintu rumah pula. Itu ialah salah seorang housemate Lukman. Kerap diceritakan dengan nama Saif. Malah sama tahap rapat dengan tuan rumah ini sampai selamba sekali menolak pintu seret supaya dia boleh masuk.
Lelaki tinggi lampai itu tersengih. "Assalamualaikum. Sorry for interrupting. Don't mind me... and nice piercing." Telunjuk dituding pada telinga kanan yang terdedah tanpa tudung.
Hanani ternganga. Lelaki tinggi itu selamba badak melintasinya macamlah rumah itu dia yang punya, dan terus melangkah ke dapur. Di tangan pula membimbit plastik berisi apa entah.
"Eh? Lukman. Kau dah ada kat sini?"
"Aku ikut pintu belakang."
"Oho... takda manner sungguh."
"Diamlah kau. Sini lebih dekat. Arang mana, arang?"
"Here."
Hanani yang mendengar bicara itu dari ruang tamu terus ternganga. Apa cerita ni sebenarnya? Kenapa rumah ini cukup selamba dimasuki oleh dua lelaki asing? Dia tak rasa terma jiran itu cukup untuk membenarkan mereka sesuka hati masuk ke rumah orang perempuan walaupun dah memberi salam.
Lekas tuala dicapai dan dililit ke kepala ala-ala style Hana Tajima. Epal yang masih belum dihabiskan digigit. Hanani menapak ke dapur. Jumlah yang sepatutnya dua dah bertambah tiga dengan penambahan Jebon, pemuda paling muda dalam kalangan housemate Lukman.
"Ada apa ni sebenarnya?" soalnya terus, menarik perhatian ketiga-tiga pemuda yang tengah sibuk dengan hal masing-masing. Mereka berpandangan seketika.
"Nak buat barbeque." Lukman membalas.
Kening kiri yang cantik dipantis, diangkat. Lelaki itu merenung selamba.
"Untuk Fira."
Kening kanan pula dijungkit.
"Hari jadi dia," tambah si kumis nipis itu lagi.
Senyap tidak bereaksi. Giliran Lukman mengangkat keningnya tinggi.
"Apa lagi yang kau nak tanya?"
Hanani tidak membalas kerana menahan rasa tak senang menimbul di hati. Ikut sedap kau je buat majlis kat anak orang sesuka hati... tapi takpalah. Malas pula nak bergaduh hari ini. Lalu dia mendekati Jebon yang sedang duduk di pintu dapur. Puan Zaiton bagitau pemuda ini ialah budak kolej yang tumpang menyewa kerana tak dapat kuota asrama.
"Mak dia sendiri tak teringat, korang pulak mengada nak organize eh?" tegurnya, sekadar berbahasa.
Lukman yang baru memanaskan minyak di kuali lalu menjeling.
"Idea Luk. Dia yang jadi pengarah program. Kitorang ikut je," balas Jebon pula.
"Hurm..." Hanani merenung pula pada Saif yang sedang menyiapkan tempat barbeque. Mamat yang paling tinggi, paling sado, mata biru dan paling kacak di antara mereka ialah yang paling misteri kerana Hanani sangat jarang bertembung dengannya. Malah boleh dikira dengan jari rasanya. "Kalau aku tak silap, kumpulan korang ni ada empat orang kan? Mana yang lagi satu?"
"Balik negeri dia." Lukman menyahut dahulu di dapur sana tanpa menunggu disoal.
Buat pekak badak. "Mana yang lagi sorang?" Pada Jebon yang tengah meneguk air, dia bertanya.
"Balik negeri dia. Ayah dia sakit." Lukman masih menyahut. Degil mahu Hanani mendengar jawapannya.
"Kalau tak silap, nama dia Hakimi, kan? Si miang tu," ujarnya, membuat Jebon tertawa spontan. "Korang buat program tak roger dia ke? Tak ke kecik hati dia..." Bicara masih ditujukan pada pemuda itu tanpa berkalih langsung pada Lukman walau sedikit.
Masing-masing terdiam bahana mood janggal yang tak dijemput itu. Saif dan Jebon menoleh pada Lukman yang mencekak sebelah pinggang di depan kuali panas sana. Muka tak puas hati terang-terang dipasang di muka kacak. Mungkin geram diendahkan.
"Kempen boikot aku masih tak habis ke ni..." desisnya rendah. Sejak kes tangkap khalwat hari itu, Hanani sangat dingin dengannya. Sebelum ini hubungan mereka tidaklah terlalu baik, tetapi bahana kes itu, serangan ais Hanani berkali ganda sejuknya sampai dia yang gelisah kerana Hanani langsung tidak mempedulikannya bila dia cuba memprovok atau mengajak gaduh.
Hanani mencapai sebatang hotdog yang dah dibersihkan. Dikunyah selamba walaupun belum masak sambil merenung Jebon, masih menanti jawapan.
Lelaki itu meleret bibir. Sedikit janggal. Terasa menjadi mangsa dalam perang ais itu. "Lukman kan dah jawab tadi..." Takut-takut menjawab.
Pedulikan jawapan budak kolej itu, kepala dipalingkan pula pada Saif. "Mana yang lagi sorang?"
Si jejaka bermata biru menjeling dengan riak kosong. "Balik negeri dia. Ayah dia sakit." Datar menjawab.
"Ooohh..."
"Apa lagi yang kau nak tanya?" getus Lukman dengan rasa kecewa.
Geleng, dan terus berkalih. Di depan pintu dapur, dia berhenti seketika. Wanita itu berpusing kembali, malah menentang tepat ke arah Lukman yang masih berdiri depan kuali. Terkedu sedikit bila melihat lelaki itu masih memandangnya. Mulut dibuka, mahu bertanyakan sesuatu. Lukman pula sabar menunggu soalan yang nak dilontarkan, namun akhirnya berakhir dengan keluh dari sang wanita. Hanani menggelengkan kepala kepadanya sebelum terus menghilang ke bilik tidurnya.
Saif yang perasan vibe yang agak ganjil itu terus menegur rakannya. "What is up with you two?"
"Nothing is up between us..."
Jebon merenung Lukman dengan senyum kecil. "Perempuan tak marah kalau tak pasal kau dah buat something. Diam-diam kau rapat nau dengan awek baru tu, Luk..."
Terus senyap. Enggan membalas.
Share this novel