TAMAN Mina, Johor.
Sesi akikah telah pun tamat sebelum masuk zohor tadi. Solat Zohor berjemaah juga sudah selesai dilaksanakan di rumah empunya majlis. Lontaran Zikir masih berlanjutan saat muslimin tersebut saling bersalaman sesama sendiri, dan juga memberi ucapan tahniah buat kali ke berapa entah kepada ahli keluarga terbabit.
Pemuda berkopiah putih, berbaju melayu hitam serta casual slack beige menapak keluar dari ruang rumah hingga ke luar. Pandangan dililau di sekitar, merenung para tetamu yang meninggalkan ruang legar. Tenungan termati pada kumpulan catering yang memberi servis makanan pada keluarga yang baru menerima bayi itu, lalu kumpulan katering yang dah hampir siap berkemas dihampiri.
"Ada apa-apa yang Luk boleh tolong?"
Puan Zaiton menoleh. "Oh, Lukman. Kau tak balik lagi?"
"Baru lepas sembahyang Jemaah." Ibu jari ditunjuk pada pintu rumah di belakang. Wanita pertengahan usia itu mengangguk.
"Kau cakap kau nak tolong?"
Angguk.
Tersenyum si wanita tua, lalu tray berisi beberapa bungkus lauk di dalam plastik dihulurkan pada si jejaka berkumis. Lukman menyambut dengan mata terkelip – nak buat apa?
"Tolong hantarkan ke rumah makcik? Kesian Fira tak makan lagi. Sebelah ni untuk kau dengan kawan-kawan kau." Bungkus-bungkus lauk di sebelah kanan diasingkan bagi menunjukkan siapa dan siapa punya bahagian rezeki masing-masing.
Lukman tersenyum, mengangguk lagi. "Fira sengsorang kat rumah?" soalnya sambil menyambut tray tersebut.
"Iye."
"Memang tak makan la kut budak tu." Anak dara Puan Zaiton yang berumur 18 tahun itu dibayangkan di belakang kepala. Sejak berjiran dengan Puan Zaiton empat tahun lepas, Safira setahunya memang malas benar nak memasak. Biasalah, anak dara.
Puan Zaiton pula sekadar memberi senyum.
"Makcik nak saya balik sekarang ke ni?" soal Lukman lagi.
KENARI merahnya diparking di luar rumah teres setingkat itu. Pintu pagar tidak berkunci. Terus dimasuki. Kemudian pintu rumah pula ditolak. Pun tidak berkunci. Safira ada di rumah nampaknya. Tray aluminium berisi beberapa bungkus lauk diangkut bersama.
"Assalam..." sapanya perlahan. Tiada sambutan. Dimana si anak dara?
Dalam biliknya kali.
Perlukah kau kisah Lukman?
Tak jugak. Lagi elok dia tak keluar masa aku masuk ni.
Kalau dia keluar jugak?
Biarlah dia nak keluar pun. Tak kacau hidup aku....
Semasa memasuki dapur, dia ternampak sebatang tubuh membongkok mengadap peti sejuk. Langkah Lukman terhenti. Matanya meneliti belakang tubuh yang dirasakannya bukan milik anak dara Puan Zaiton... kerana wanita ini berkulit sawo matang. Bahu dan lengannya terdedah kerana mengenakan tank top labuh hitam, sekaligus mendedahkan beberapa tompokan parut kesan terbakar di kulitnya. Ada juga parut yang memanjang di belakang bahu kanan macam pulih dari luka daging yang terbelah.
Perhatian Lukman tidak terhad pada kecacatan kecil di tubuh itu. Dia terus memerhati gaya rambut di paras cuping yang tidak sekata dan memberi makna si tukang gunting rambut menggunting rambut sesuka hatinya. Macam putus cinta pun hado. Satu lagi yang menarik perhatian Lukman ialah beberapa biji anting-anting cincin yang memenuhi telinga kanan wanita itu.
Awek emo agaknya minah ni. Tapi siapakah??
Wanita itu mendongak kerana nak meneguk susu HL terus dari kotak, sementara Lukman meneruskan niat meletakkan tray aluminium ke meja.
"Kau siapa?" soalnya akhirnya. Tak tahan mendiamkan diri. Kalau perempuan asing ini saudara Puan Zaiton, seeloknya dia memperkenalkan diri.
Tetapi percaturan Lukman salah sesalah salahnya. Kerana bila wanita itu menoleh padanya, refleks si perempuan ialah membaling kotak susu ke arah Lukman.
Kening tebal Lukman terangkat melihat reaksi itu. Otak mengarahnya mengelak! Namun sel tubuh tidak cukup tangkas untuk melarikan kepala, lalu kotak susu itu menghentam muka dengan jayanya. Lukman mengaduh sakit. Kaki refleks berundur setapak ke belakang bagi mengelakkan jatuh. Belum selesai membuang terkejut dan sakit di hidung, kali ini dahinya menerima impak lagi dari buah epal.
"Addoh!!"
"Perompak!!" Wanita itu laju sekali menarik apa-apa yang tangannya mampu capai untuk dibaling ke arah penjenayah itu.
"Kejap!! Lady!!" Lukman mengangkat arm guard, melindungi kepala dari terus dijadikan sasaran balingan.
"Get out!! Get lost!! Go die!! Go away!!" Pada setiap jeritan, buah-buahan di dalam peti sejuk dibaling termasuk telur ataupun mangkuk berisi lauk sekalipun. Habis kotor tubuh Lukman serta lantai dapur. Dah habis senjata di dalam peti sejuk, dia terus mencapai pasu kecil di atas peti sejuk.
Lukman menoleh. Bulat matanya melihat senjata keras yang mampu melukakan itu. Pasu dibaling ke arahnya, dan refleks tangannya menepis kuat sebelum sempat pasu kaca itu mengenai dahi. Senjata keras bertemu dinding, pecah.
"Berhenti!!" jerkah Lukman akhirnya, sekali dengan darah menggelegak di dada.
Wanita itu berhenti membaling. Nafasnya deras sekali turun dan naik. Lukman juga mengah di sana, antara menahan sakit, menahan marah, menahan cemas dan menahan rasa terkejut. Adrenalin masih dirembes laju hingga menyebabkan jantungnya berdenyut kencang seperti ledakan peluru M16 yang tak henti-henti.
Wanita berambut masai itu mendengus deras. "Kau keluar sekarang atau aku call polis!"
"Situasi sekarang bukannya untuk aku tapi kau pun menceroboh, geledah peti sejuk orang dan menyerang orang yang tak bersalah tanpa sebab!!"
"Tak bersalah apa benda melawan perompak macam kau!!"
"Kalau aku merompak, buat apa aku hantar makanan?!!" Telunjuk dituding pada tray berisi beberapa bungkusan plastik tadi.
Wanita itu terkaku seketika tetapi masih marah. "Dah tu kenapa muka macam muka pecah rumah?!!"
"Muka--?!" Melopong dibuatnya.
"Abang?!!" Suara Safira kedengaran dari muka pintu dapur, sekaligus menghentikan pertelingkahan kedua-duanya. Gadis itu melopong melihat situasi di dapur. "Ada apa ni? Bunyi apa tu tadi? Kenapa dapur kotor?"
"Fira! Penceroboh!!" Serentak keduanya menjerit sambil menunjuk ke arah masing-masing. "Huh?" Serentak juga mereka menoleh, berpandangan sesaat. "Kau yang menceroboh!" Serentak lagi.
"–siap curi makanan aunty Zai!!" Tuduhan Lukman lebih panjang ayatnya, terutama pada pintu peti sejuk yang masih terbuka.
"I am not!!" Makin bulat mata itu bila mencerlang.
Lukman mendengus perlahan. Marah yang bertamu di hati cuba dikawal agar tidak berlanjutan mahupun terus merebus kepala hingga jadi tak terkawal. Nafas ditarik dalam bersama doa di hati, meminta agar ditenangkan hatinya. Kepala dipalingkan pula pada anak gadis yang masih berdiri di muka pintu sana dengan kerut keliru.
"Sapa dia Fira? Masa abang datang, dia dah ada kat dapur."
Safira terkelip sekali dua, memandang wanita yang masih beriak garang di sana, kemudian pada lelaki di hadapannya. Cuba membaca situasi. Dahi, hidung dan pipi lelaki itu merah. Tubuhnya kotor dengan lauk kari, telur dan sebagainya. Lantai dipandang, pada cebisan kaca dek pasu yang pecah, dan pada darah yang menitik di sebelah kaki Lukman. Safira membulatkan mata.
"Abang! Abang luka...!" Spontan dia menerpa dan mendapatkan tangan kanan Lukman. Lelaki itu terkedu, melihat tangannya sendiri. Ah, benar. Luka di sisi pergelangan tangan baru nampak di mata sendiri. Barulah akalnya memberi makna pedih kerana fokus penglihatan diberikan ke luka itu. Dengan riak tenang, Lukman menoleh pada wanita yang masih tidak diketahui namanya. Riak itu nampak berlagak.
"I feel sorry for myself because I was actually planning for an injury on your stupid head."
Terasa menimbul urat di sisi kepala, menahan geram. "Kau tak rasa bersalah langsung..."
"You could have elak kalau takut sangat dengan luka."
"Salah siapa yang baling pasu ke muka aku siap dengan niat nak melukakan?"
"Salah siapa muka macam tak siap?"
Menyirap lagi darahnya. Bibir dikemam terus dengan nafas tertahan. Ya Allah... kau berikanlah aku ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup.... Gadis 18 tahun di sebelahnya dikerling lagi dengan muka kusut. "Tenuk betina tu siapa?" Dengan suara menderam, dia bertanya tanpa melepaskan cerun pada gadis seksi itu.
"Kau panggil siapa tenuk betina, janggut setompok!!"
Mata dipicing. Makin geram. "Perempuan hitam."
"Jantan tak sunat!"
"Gorila betina!"
"Bibird kecut!!"
Menyirapnya darah ya Tuhan...!! Siapa hamba Allah ni?! Dah berapa tahun dia duduk berjiran dengan aunty Zaiton tapi ini pertama kali dia menyesal datang ke rumah ini. Kemudian Safira dipandang lagi, diberi renungan meminta soalannya tadi dijawab.
Gadis itu masih dengan muka keliru. "Abang datang nak lawat Fira ke?"
Bukan bibird saje, otak pun boleh kecut kalau lama-lama singgah dalam rumah ni.
HAKIMI menoleh bila terdengar bunyi daun pintu dapur dikuak. Matanya melekat seketika pada teman serumah yang masuk dengan pakaian yang berhabis kotor atas ke bawah. Bau hanyir telur, baru kari dan bau-bau yang tidak dikenal pasti semerbak meletus keluar dari tubuh slim dengan baju melayu hitam itu. Hidung lalu ditutup, dan Lukman menjeling tingkah si kawan.
Diabaikan.
"Ni, jiran rumah sebelah bagi." Bungkusan plastik berisi lauk pauk diletakkan di atas meja.
"Kau dah kenapa mandi kari ni?" Terus menegur. "Aku dahlah baru makan... urgh." Mulut ditahan dengan tangan, menahan udara yang meloncat-loncat keluar dari perut. Memang bergaduh habis angin dari perut dengan bau badan Lukman sekarang hingga ruang rengkung yang menyempit dan tidak selesa. Tangan menampar-nampar angin, menyelamatkan keselesaan diri.
"Aunty Zai buat catering kat rumah yang buat akikah sekitar sini. Alhamdulilllah ada rezeki kita malam ni. Kau dah makan?" Hakimi direnung. Rakannya itu mengangguk. "Saif ngan Jebon?"
"Tak tahu aku. Tapi seriously, apa cerita mandi kari ni?"
Kaki membawa diri, melangkah ke singki. "Awal kau balik?" soalnya tanpa menoleh. Kepala paip diputar dan luka di tangan yang masih segar itu dibasuh. Perit yang sedikit ditahan dengan riak kosong.
"Waktu standard aku balik ni dowh. Kau dah kenapa ni sebenarnya?"
Balasan kata si teman serumah tidak didengari, kerana dia tidak memberi perhatian. Selesai membersihkan darah, peti sejuk dibuka dan fresh oren dicapai sebelum diteguk. Menyejukkan tekak yang kering.
Haaaah... nyaman.
Hakimi mengerut dahi. Dah kali ketiga soalannya diabaikan tanpa sebarang niat nak menjawab oleh si kawan itu. Sampai hati kawan, ooi!!
Tegukan Peel Fresh berakhir dengan hembusan keluh. Safira muncul di ingatan. Berhabis gadis itu cuba nak merawat lukanya namun dia tidak membenarkan. Insan yang sepatutnya meminta maaf tidak pula memiliki sebarang niat nak meminta maaf mahupun nak menunjukkan rasa bersalah. Rambut serabai macam semak dan telinganya dihias anting-anting cincin yang banyak sekali itu mudah sekali dibayangkan bila ingatan mengorek kembali peristiwa tadi. Memang stok perempuan dengan masalah sosial la nampaknya. Nafas terhembus berupa keluhan. Sedikit sesal dengan apa yang dah jadi. Perut yang lapar tadi termati terus seleranya.
Ergh.
Bibir botol dibawa kembali ke mulut. "What's with her? Cih." Sempat merungut sebelum kembali menunggang air manis yang menyegarkan.
"Who is her?" soal Hakimi yang mencuri dengar. Terperanjat Lukman, menoleh. Lupa teman serumahnya masih ada di dapur.
Hakimi berpeluk tubuh sambil merenung lelaki berkari dengan tanda soal di kepala. Dia tahu rakannya itu faham apa yang mukanya tengah soal sekarang. Apa dah jadi sampai kau mandi kari ni? Soalan yang masih tidak dapat jawapan dari pihak yang berkenaan.
"Fira." Ringkas dijawab sebelum Peel Fresh diteguk lagi.
"Huh?" Budak lepasan sekolah itu mengamuk sebab kau tak balas perasaan dia, lalu dia simbah kau dengan kari sebagai tanda tak puas hati?
Lukman menghela nafas panjang. Botol Peel Fresh diletakkan kembali ke dalam peti sejuk. "...dan makcik dia." Dia melanjut perlahan.
"Makcik Fira? Fira ada makcik? Kenapa pula dia buat camtu kat kau?" soal Hakimi.
Menjeling lagi si rakan itu. Faham Hakimi sudah salah faham. Malas nak bercerita panjang, diteruskan saja salah faham si Hakimi. "Mana la aku tau. Dah perangai dia memang macam tu la kut."
"Wow. Haha. Bahaya ni. Kau tak buat apa-apa kat Fira kan sampai makcik dia tu ambik pendekatan yang drastik begitu."
"Aku dah cakap aku tak tahu. Aku dah cuba nak explain pun dia taknak dengar. Aku tahu aku salah sebab buat dia terkejut, tapi dah kenapa overreact sampai baling semua mak nenek dalam peti sejuk kat anak teruna orang? Dah berapa tahun aku tak jumpa manusia degil yang tak reti nak berdiplomasi begitu... ikut kata hati dia je. Puih!"
Terdiam Hakimi. Janggal sedikit telinga bila mendengar Lukman merungut marah. Sebab jarang berlaku... "Siapa makcik dia ni? Marah benar kau dibuatnya?"
Menjeling lagi Lukman, lalu nafas dihempas buat kesekian kali. "Marah tu tak la... cuma geram tu... ye la kut." Tubuh dipusingkan. "Dah lah. Aku nak mandi."
"Kejap la. Sapa makcik dia? Aku pernah jumpa tak?"
Diam. Tak melayan, dan terus pergi.
TERKEJUT beruk si tuan rumah bila melihat keadaan dapur rumahnya. Kemudian terus dipanggil Safira dan Hanani untuk menjelaskan apa yang berlaku.
"Awak lukakan Lukman??" soal Puan Zaiton dengan muka tak percaya selepas Safira selesai menjelaskan apa yang berlaku.
Lukman... nama mamat tu tadi? Heh. Semua yang bernama Lukman kat muka bumi ni memang suka buat hal dengan dia agaknya.
"Saya ingat dia penceroboh, aunty... tiba-tiba ada lelaki asing tegur saya kat dalam rumah, mana la saya tak melompat," dengus Hanani pula sambil menyapu kaca botol yang bersepah. "In my defence, dia attack saya juga."
"Lukman cuba pukul kau ke?"
Hanani mengerut dahi pada kaca pecah. "Dia serang pakai mulut..."
"Sebab kau baling barang kat dia, kan?"
"Kenapa aunty berpihak kat dia?" juihnya, akhirnya sedar salah sendiri.
"Lukman tu baik orangnya. Dia banyak tolong aunty sejak mula-mula dia menyewa kat rumah sebelah, Hani..."
"Ye la tu. Mana ada orang baik sesuka hati tanpa nakkan apa-apa. Entah-entah dia nak berbinikan si Fira..." cemik Hanani pula sambil bergerak ke pintu belakang, berniat nak membuang sampah. Baru saja nak membuka pintu, daun pintu dah terbuka terlebih dahulu dari luar. Hanani terperanjat, sebelum terbuntang mata melihat lelaki itu berdiri di hadapannya sekali lagi. Dah membersihkan diri nampaknya.
Lukman mengerut dahi bila menentang si rambut semak kering ini lagi. Ternampak penyapu dan penyedok di tangan gadis itu. Kemudian pada Puan Zaiton yang juga sedang mencuci dapurnya. Difahami, lalu Lukman membuka jalan kepada Hanani untuk keluar ke tong sampah besar di tepi longkang busuk sana.
Namun renungan keliru Hanani bertukar tajam, membuat Lukman pula mencantumkan keningnya.
"Ada apa lagi?" soalnya datar.
Kenapa kau buat perangai macam rumah ni kau yang punya? Dia mahu bertanya, tetapi tidak terluah di lidah. Kemudian dia menoleh pada Puan Zaiton yang tengah memerhati mereka. Air muka itu nampak tenang, tanda wanita separuh usia itu memang dah biasa dengan kehadiran Lukman. Sesungguhnya Hanani masih ragu-ragu nak menerima kenyataan yang hubungan tuan rumah ini dengan jiran lelaki mereka sebenarnya harmless dan baik.
"Aku nak masuk. Tepi sikit?" pinta Lukman pula.
Hanani menoleh lagi padanya, dengan kerut yang berlapis kini. Kepala siap digeleng membuat Lukman mengeluh malas.
"Luk. Masuklah," celah Puan Zaiton di dalam rumah, menyelamatkan keadaan.
"Minah senget ni ha, tak bagi saya masuk..." ujar lelaki itu pula, kini menentang renungan Hanani dengan pandangan geram.
"Ini bukan rumah kau," ujar Hanani.
"Pun bukan rumah kau juga, kan?" balasnya senada, sekadar tuduhan rambang.
"Kau pulak jiran rumah sebelah je. Jangan berlagak macam rumah ni bapak kau yang punya."
"Habis kau ingat rumah ni bapak kau yang punya?" Dengan kepala bergoyang ala Bollywood, dia menjawab.
Bulat mata dibuatnya. "Don't sass me, you asswipe!" Nah setepek!
"Ass—" Jatuh rahangnya. "Kau jaga lidah kau sikit, perempuan!" marahnya akhirnya sambil mencekak kedua belah pinggang. Tubuhnya turut dibongkok ke arah Hanani kini. Kedua belah matanya melawan terus renungan galak si genit yang tengah mencerlangkan mata menentangnya.
Puan Zaiton mula mengerutkan dahi, tidak pasti apa yang tengah berlaku pada dua individu yang sepatutnya baru bertemu pada hari ini.
"Kau jangan halang aku boleh, tak? Aku nak tolong aunty cuci kotor yang kau buat tadi..." deram si lelaki.
"Jangan nak berlagak baik, boleh tak? Kau lelaki asing yang tak berkait dengan orang rumah ni."
"Aku dah kenal aunty sejak tiga tahun lepas!"
"Aku dah kenal aunty sejak zaman lampin!"
"Aku dah kenal aunty sejak zaman Paleolitik!"
Apa benda orang gila ni mengarut! "Aku dah kenal sejak Nabi Adam!"
Ketawa Lukman terlepas. "Kau ingat kau Hawa? Atau boleh jadi bini si Qabil." Dahi Hanani diketuk ringan sebelum terus memaksa dirinya melepasi wanita itu. Sengaja dilanggar bahu Hanani hingga gadis itu terundur beberapa langkah. Dah malas nak bersopan menjaga jarak lelaki perempuan, terutama pada perempuan yang takda adab itu. "Hai aunty. Sorry pasal rumah aunty, haha..."
"Takpe... Fira dah jelaskan..." sambil menyambut kehadiran Lukman, anak mata sempat memerhati Hanani di pintu dapur. Gadis itu membuat muka sebelum terus bergerak keluar, nak membuang sampah. Kemudian perhatian dialihkan semula pada Lukman yang mendapatkan kain buruk. "Sejak aunty kenal kau... tak pernah aunty tengok kau macam tu..."
"Macammana?"
"Bergaduh dengan perempuan... macam tu..."
Kening tebal terjungkit. Lalu dia berpaling pada pintu belakang, pada batang tubuh kurus yang dah hilang dari pintu. Bukannya dia tak pernah bergaduh dengan perempuan, tetapi kali terakhir dia buat perangai begini ialah semasa zaman sekolah. Semasa universiti hingga sekarang, hubungannya elok je dengan kaum berlainan jantina itu.
"Entah... dia pandai buat darah saya menyirap... perempuan lain takdelah annoying macam tu sekali..."
Tertawa Puan Zaiton dibuatnya. "Hani tak sampai seminggu kat sini. Makin lama dia kat sini, entah macammana kau berdua nanti."
Jadi nama dia Hani? Lukman hanya meleretkan bibir. "Dia duduk sini sampai bila?"
"Sampai ready katanya."
"Ready menikah?"
"Ready untuk hadap ayahnya."
Lukman menoleh lalu. Penuh keliru riasnya. "Maksud aunty?"
Wanita itu mengerling bersama senyum. Suka melihat rias yang penuh rasa ingin tahu itu. Lukman dalam usia mencari pasangan, dan jika dilihat dinamik interaksi dengan Hanani, mungkin sesuatu boleh ditanam diantara mereka. Walaupun mungkin Safira akan melatah kerana dia tahu anak daranya juga menyukai Lukman.
Ah, cinta monyet budak sekolah. Bila diberi perhatian, terus nak tangkap feeling. Pandailah Lukman uruskan anaknya.
"Hani tu... kalau kau boleh tolong dia, elok juga. Dia baru balik dari US. Jadi dia takda kawan kat Malaysia ni. Dia perlu dibimbing..." ujarnya, cuba menanam benih di hati si lelaki.
Mereka dikejutkan dengan jerit dari luar rumah. Lukman dan Puan Zaiton bergegas ke pintu belakang, hanya untuk melihat Hanani tengah melompat-lompat cuba membuang ulat sampah yang merayap di kaki. Dalam kelibutnya, dia tersadung kaki sendiri hingga bum! Jatuh ke bumi. Puan Zaiton terus mendapatkan gadis itu manakala Lukman memerhati dengan rasa puas hati.
Padan muka.
Share this novel