KELAS 4S-2
"Mad Dog ngan Wild Cat gaduh lagi?" soal Siti, terkedu. Beg sekolah bertali satu dialihkan dari bahunya ke kerusi. Zati dan Nor mengangguk hampir serentak.
"Agak la... taklah macam yang diorang selalu buat sampai kaki tangan melayang. Isu kali ni lebih kepada siapa lagi pandai dan dapat nombor satu dalam kelas," jelas Zati sambil menoleh pada subjek perbualan mereka, yakni gadis tomboy merangkap pelajar baru dalam kelas mereka itu.
Ahli kelas makin ramai menapak masuk mengisi kelas 4S-2, kelas yang dicipta khusus untuk pelajar-pelajar pintar tetapi memiliki rekod masalah disiplin level sipi-sipi je lagi nak dibuang sekolah.
"Biar betul. Hahah." Punggung dilabuh ke kerusi. "Siapa menang then?" Buku-buku latihan dikeluarkan dari dalam beg sekolah. Let's see... hari ini ada sejarah, math, fizik dan bio.... Lalu buku-buku nipis itu dimasukkan ke dalam ruang kosong di bawah desk. Buku-buku teksnya ada di loker buku belakang kelas sana.
"Ketua kelas."
"Huh?" Dia menoleh dengan muka keliru. Sah-sah tidak faham.
"He's unexpectedly edgy." Zati memberi komen.
Nor tertawa. "Tiba-tiba dia menyibuk dalam debat dua haiwan jadian tu. Ingatkan nak solve-kan, sekali dia masuk sekali dalam pergaduhan dorang... hihihi. Degil pula tu nak menangkan dia yang paling pandai dalam kelas." Bibir bawah dijuih. "Ada jugak side gila-gila dia rupanya."
Kening spontan terangkat sebelah, lalu pandangan mata dialihkan pada Lukman si ketua kelas. Pemuda itu sedang menconteng papan hitam dengan kapur dan dipadam sendiri. Entah apa yang dia nak buat.
"Eeeh... Lucy reti buat perangai rupanya." Rendah ditutur bersama nada menyampah.
"Lucy who?" Zati yang terdengar terus bertanya.
Siti menghela nafas panjang, lalu memandang dua sahabat dunia akhirat itu. Sahabatnya yang bersama sejak tingkatan satu hingga sekarang. Sama-sama makan karipap, sama-sama hidup dalam sekolah disiplin teruk ini, dan sama-sama menempah nama menjadi Big Boss supaya tidak mudah menjadi mangsa buli. Keh. Baru saja nak membuka topik baru, mereka dikejutkan pula dengan suara besar di depan kelas.
"Hei Luk! Aku dengar kelas Biology ada kuiz mengejut hari ni. Betul?" tegur Umar di muka pintu. Ceria sekali mukanya memberi salam pada semua ahli kelas 4S-2.
Lukman yang masih mengadap papan hitam, menjungkit bahu. "Aku tak pasti. Kalau ada pun, kenapa?"
Sengih. "Aku ready dah ni. Aku study dah malam tadi... hahahaha." Penuh lagak dia memasuki kelas. Setiap langkahnya ke kerusinya di belakang kelas diiringi dengan hidung meninggi ke langit.
"Kau cakap apa, Mar?" Amir pula bertanya. Makin pelik melihat gelagat teman kelasnya yang seorang itu.
"Hm? Aku nak ambik kuiz hari ni." Amir dikerling sekilas. Bagpack hitam Adidas itu diletakkan di atas kerusi.
"Kau biar betul..." Siti pula yang menegur, hampir ketawa. Umar Darius yang alergi biology dan lari tiap kali ada ujian mahupun kuiz dan tidur belakang makmal... tiba-tiba menempuh laut berapi nak mengambil kuiz hari ini? Sambil ketawa?
Umar mengukir senyum sinis, lalu tanpa salam, penumbuk dihentak di atas meja pelajar yang duduk di belakang mejanya. Meja budak baru. Meja Aqi.
Si tomboy itu kekal selamba dari tadi, malah bersandar sambil berpeluk tubuh. Umar yang mendekatkan kepala ke mukanya sekadar diberi muka kosong macam patung.
"Kita tengoklah sapa yang kalah nanti... kau berlagak sangat dengan aku, kan..." deramnya, cuba mengancam tetapi Aqi tidak memberi sebarang reaksi ekstra, sebaliknya terus memalingkan kepalanya ke luar tingkap. Buat tak dengar. Menyirap terus darah si Mad Dog melihat tindak balas itu.
"Hey, Mar."
"Aaaah??" Mata berapi itu mencerlang pula pada suara yang memanggil. Lukman di depan kelas sana mencekak pinggangnya.
"Aku takkan biarkan kau score lebih tinggi dari aku."
Umar kelam seketika. Perhatian seisi ahli kelas 4S-2 turut berpancing. Masing-masing mengalihkan kepala, bertukar arah angin dari belakang kelas ke depan kelas. Dari si samseng sekolah berjaya pada ketua kelas berdedikasi.
Aqi turut menoleh dibuatnya, sedikit terperanjat.
Umar berdiri tegak kembali. Geram pada Aqi menghilang, berganti hairan pada peel si ketua kelas. "Ini rivalry antara aku dengan gorila brutal ni je la, Luk..." Kakinya disepak dari bawah meja membuat bicara tertelan. Deras desisan keluar di antara celah gigi, lalu Umar menoleh kembali pada gadis berambut boycut itu. Kau pulak dah kenapeee...?
Lukman mencemik. "Aku tak kisah. Aku pun nak menang jugak."
Kepala Umar berpaling lagi padanya dengan kerut keliru. "Ni bukan competition sekelas la." Nafas dihembus. "Aku nak settle personal grudge dengan si minah ni..."
"Interesting." Siti menggaru dagu, sekaligus memotong bicara Umar. "Competition sekelas." Pandangannya ditebar kepada seluruh kelas yang kini memandangnya. "Siapa yang dapat markah paling rendah, dapat penalty game. Amacam?"
"Hoih!"
"Aku okey je, tapi part penalty game tu ditolak."
"Ala, pengecut gila. Penalty je kut. Kalau tak, tak best la."
"Dapatnya hukuman dari kau?"
Siti berpeluk tubuh, geram pula. "Aku bukannya jahat sangat..." Seisi kelas serentak buat muka - says who? Makin geram dibuatnya. "Nor lagi kejam dari aku la...!"
"Apa pulak?" Menoleh si rakan itu dibuatnya. Zati melepaskan gelak.
"No offense, tapi aku setuju jugak though. Kalau kau, apa punishment yang kau nak bagi dengan whoever tu nanti?" soal Zati, merenung Nor.
Gadis itu mendiam seketika. Berfikir. "Striptease depan kelas?" Tersenyum innocent.
Percuma dapat pen-pen yang dibaling oleh ahli kelasnya.
Amir senyap, merenung siling kelas. Telunjuk dan ibu jari mengusap dagu licin. "Doable."
Dan ombak balingan pen beralih kepadanya pula.
Lukman tergelak perlahan. Kelakar melihat aksi rakan-rakannya. "But seriously, memang menarik. Korang semua dah compete penumbuk masing-masing, kenapa tak try compete kepala otak pula?"
"Aku pun tolak jugak la kalau macam tu. Cukuplah exam penggal. Aku bab kepala otak, belakang sikit..." Umar mengawang tangan ke udara. Sedar diri dia taklah pandai mana kalau nak dibandingkan dengan yang lain. Dalam subjek yang memerlukan nombor serta kira-kira macam matematik atau akaun, mungkin dia ada keyakinan, tetapi tidak bagi subjek-subjek yang perlu banyak membaca itu.
"Sedar diri akhirnya." Suara halus di belakang menyampuk.
"Huh?!" Deras kepala menoleh ke belakang.
"Sedar diri tu bongok akhirnya." Terus memprovok.
"Kau!"
Lukman meleret bibirnya nipis, memandang Umar yang menentang Aqi yang masih dengan muka kosong bagi membalas pandangan tajam pelajar lelaki itu. Heh. Kepala digeleng. Kerja nak gaduh je. Rakan-rakan yang lain mula bergerak nak menenangkan pelajar lelaki panas baran itu, dan Lukman mengambil langkah berundur, duduk di meja guru. Malas melayan.
Penat melayan sebenarnya. Tragedi perkelahian antara lelaki dan perempuan dah menjadi isu lapuk dalam sekolahnya ini. Kalau dulu masa pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah menengah ini, memang takut manjang, tapi sekarang dah jadi satu norma dalam kehidupan pula. Alah bisa tegal biasa namanya nih. Keluhan dihembus perlahan, berfikir berulang kali mengapa ayahnya memasukkan dia ke dalam sekolah berstatus masalah ini.
Suara kecil Aqi dah mula kedengaran melangit, melawan kata-kata kasar dari Umar. Lukman menjeling lagi. Mantap seh budak baru itu. Bukan senang nak tengok pelajar bermasalah lain yang nak cari masalah dengan Umar Darius itu, tapi gadis yang gemar dipanggil dengan nama Aqi itu memang betul-betul berani... dan bodoh pada masa yang sama. Nak kagum pun rasa serba salah dibuatnya.
Dahlah baru masuk awal tahun ini, lepas tu terus dimasukkan dalam kelas masalah disiplin macam kelas mereka. Kemudian bergaduh pula dengan pelajar-pelajar samseng yang lain termasuklah dengan Umar Darius itu. Mungkin sebab itulah gadis tomboy itu menggunakan nama palsu berbanding nama sebenarnya. Sebab selain Aqi, ada je pelajar perempuan bermasalah lain yang lebih gemar menggunakan nama palsu berbanding nama sebenar.
Ada je battle of the sexes yang kecoh dan huru hara mengalahkan letupan gunung berapi, dan ada juga battle of the sexes yang dingin membunuh, silent killing dan sama tahap bahaya seperti gunung berapi bawah laut sampai mengganggu ekosistem laut. Dan ini adalah novel yang menceritakan perjalanan jodoh Lukman dengan nasibnya.
Tanpa sengaja dia bertukar pandang dengan gadis berambut paras bahu ikat ponytail itu.
Sesaat.
Lukman menoleh ke timur.
Siti menoleh ke barat.
SETAHUN kemudian. Kelas 5S-2.
Tiada sesi persekolahan bagi pelajar tingkatan lima hari ini. Para guru merangkap guru-guru kelas menghabiskan masa di dewan sekolah untuk bertemu dengan ibu bapa pelajar masing-masing bagi berbincang mengenai perkembangan pelajaran anak mereka, mahupun peluang pendidikan pada masa hadapan berdasarkan keputusan peperiksaan yang telah dan akan diperolehi.
Lukman menapak masuk ke dalam kelasnya. Terperanjat bila melihat ada orang lain di dalam kelas yang sepatutnya kosong itu. Pelajar itu tengah menconteng papan hitam dengan kapur di tangan.
Itu ialah Siti, seorang lagi remaja bermasalah yang dah menyusahkan satu sekolah tapi pihak Pengurusan tidak cukup bukti untuk menghantar namanya ke Kementerian sebab Siti pandai menghapuskan bukti.
Siti menjeling padanya sekilas tanda acknowledgement sebelum kembali menulis sesuatu pada papan hitam.
Lukman menghembus nafas pendek, memutuskan untuk mengendahkan kewujudan gadis itu. Dia tak pedulikan rakan kelasnya itu selama ini dan dia tak berminat untuk berbahasa sekarang. Lalu dia meneruskan niat masuk ke dalam kelas.
"Settle dah meeting ngan cikgu?"
Langkah Lukman termati kerana terperanjat lagi. Lalu batang tubuh berbaju kurung sekolah itu dipandang. Jarang Siti nak bercakap dengan dia bila hanya berdua.... Dia pula yang terasa janggal tanpa sebarang sebab yang difahami.
Bibir dibasahkan dengan lidah. "Ayah aku tak datang."
"Kenapa?" Pada kapur putih, dia bertanya.
"Ada masalah kat rumah."
Kepala itu makin jauh berpaling supaya jelas pandangannya pada Lukman. Siti mengukir senyum. "Seriously? Bagus la."
"What the? Keluarga aku ada masalah kau boleh cakap bagus?" Mula nak berang.
"Bapak aku pun tak datang."
"Kisah pulak aku?"
"Hahaha... memang tidak la. Tapi aku lega bukannya aku seorang yang lonely." Kepala kembali menentang papan hitam. Lukman mengerut dahi, pelik dengan body language itu namun membiarkan. Buku tutorial dan buku teks Matematik yang diperlukan untuk rujukan kerja rumah ditarik keluar dari loker buku di belakang kelas. Setelah selesai tujuan hidup pada hari ini, dia berjalan semula ke pintu kelas. Sempat menjeling apa yang ditulis si gadis itu sejak tadi lagi.
'Ada banyak cara mudah untuk membunuh.'
Mata Lukman terbuntang. Lakaran gambar orang lidi terlukis dengan banyak di situ. Orang lidi sedang menetak orang lain. Orang lidi menanggalkan kepala orang lain. Orang lidi gantung diri. Orang lidi melemaskan orang lain. Orang lidi yang terpisah kepala dan anggota badan yang lain. Orang lidi sedang memukul orang lain. Orang lidi sedang menetak orang lain ada lagi.
Gadis berambut ekor kuda itu dilihat. Sedang melukis orang lidi sedang mencekik orang lain. Muka gadis itu kelihatan kosong tidak beriak. Mata tidak berkelip pada hasil lukisan, dan tangan tidak berhenti menggerakkan kapur di tangan. Sesaat dua, Lukman terasa peluh dinginnya menitik dari dahi. Seram semacam melihat Siti sekarang ni.
"Siti..."
Tidak bersahut.
"Siti hoi!!"
Masih.
Nafas dihembus kasar. "Syarifah Hanani!"
Usaha Lukman menggunakan nama sebenar gadis itu berjaya kerana akhirnya mata hitam bulat itu mengerling ke arahnya. Lukman menelan nafas.
"Apa dia?" soal Siti rendah.
"Kau... okey?" Dengan berhati-hati dia bertanya.
Orang lidi yang mencekik orang lain diselesaikan lakarannya bersama efek darah. "Ya... aku okay..."
Suara itu kedengaran tenggelam di dasar laut, membuatkan hati Lukman terasa lemas sekali. "Kau... betul-betul okey?" soalnya lagi, kali ini penuh risau.
"Yeah, so far so good."
"Kenapa lukis lukisan yang begitu?" soalnya terus. Langsung tidak berselindung.
Kelakar pula mendengar gaya bahasa Lukman. "Lukisan yang begini... is merely a simple sketch about killing people..." dengan senyum nipis, dia menjawab.
"A creepy, dark sketch. Kau macam sakit jiwa je ni... kau sure kau okay? Nak aku panggilkan Nor ngan Zati?" soalnya lagi, berusaha menarik kawan kelasnya keluar dari mode yang macam pesakit gila itu.
"Kau nak tahu? Membunuh itu senang sangat."
Lain ditanya, lain dibalasnya. Lukman mengerut dahi. "Senang di dunia, azab di akhirat."
"Luk."
"What?"
Senyap. Sesaat. Dua saat. Lima saat. Krik krik... cukup 30 saat. Lukman penat menunggu.
"Apa dia?" ulangnya.
Kapur dilarikan kuat pada papan hitam hingga patah sedikit butiran kapur yang kecil, memangkah semua lukisannya sekaligus dengan satu pangkah besar. "Nothing." Suara Siti tenggelam di anak tekak. Kepala digeleng dan kapur diletakkan pada tapak papan hitam. "Nothing at all..." Dia berkalih dengan riak yang kusut sekali. Baru sahaja nak melepasi si ketua kelas, tangannya dicengkam pemuda itu.
Siti menoleh, hanya untuk menentang pandangan serius Lukman. Mata itu merenungnya tepat ke dasar, membuat Siti tertegun. Lima tahun mereka sekelas... empat tahun perang dingin... ini pertama kali pemuda ini menentangnya sebegini.
Juga memberi makna ketua kelas tengah memberi perhatian padanya. Siti sedikit terharu.
"Kalau kau simpan seorang, nanti kau sendiri binasa. Benda yang ganggu kau ni nampak macam red flag. At least kongsi la dengan kawan-kawan kau supaya dorang boleh tolong," ujar Lukman prihatin.
Siti menelan liur yang terasa berpasir, menahan sendu. "Kau kawan aku jugak..."
Lukman memilih untuk tidak melayan statement itu. "Nak aku panggilkan Nor atau Zati?" Offer diulang.
Air muka Siti berubah mendadak. Terasa bom meletup di dalam dada sampai dilepaskan terus melalui lidah. "Apa masalah kau dekat aku sebenarnya?!!" jeritnya.
Terperanjat si ketua kelas. "Apa benda?"
"Kenapa kau tak nak kawan dengan aku?!!" bentaknya lagi.
Pemuda itu membalas dengan kerut di kening. "Kau buli aku. Sejak Form 1."
"Aku buli semua orang, bukannya kau seorang!!"
"Kau masukkan tahi dalam kereta cikgu lepas tu kau fitnah aku."
"I did worse dekat Umar sampai dia break up dengan girlfriend sundal kesayangan dia tu tapi dia takdelah drama macam kau!! Aku prank Nor sampai histeria! Amir sampai kena gantung sekolah!! Tapi kenapa kau yang overboard?!!"
"See? Kau tak sedar diri, tak pandai minta maaf, tak pandai hormat orang, ignorantly arrogant, kau ingat dunia ni kau yang punya and orang lain kebetulan hidup dalam dunia kau. Hobi kau ialah prank aku, cikgu-cikgu, semua orang... kau even bersin kat muka aku that one time, eh!! Jangan ingat aku lupa!" Telunjuk dituding ke hidung Siti hingga juling mata si perempuan.
Telunjuk Lukman ditepis. "Buli atau mengandung luar nikah, mana lagi teruk?"
Lukman mencerun lagi sebelum menuding ke contengan di papan hitam. "Zina atau bunuh, mana lebih teruk?" soalnya pula, sengaja menghentam anxiety si gadis yang terpampang di papan hitam depan dia.
Serangan balas Lukman mengena bulls eye. Tanpa amaran, air mata pecah ke pipi. Pemadam papan hitam dicapai lalu dibaling ke dada pelajar lelaki itu. "Graahhh!! Aku doa kau kawen dengan perempuan pembunuh, Lukman Ariff!! Penzina sekali! Pembunuh dan penzina!!" pekiknya sebelum berjalan laju ke pintu kelas.
"Aku doa kau kawen cerai kawen cerai, Syarifah Hanani!" ujarnya kuat, kini sama tahap pendek akal macam ahli kelasnya itu.
"Ketua kelas bongok!! Sexist!! Rasist!! Anak unta!!"
Anak unta? Jeritan-jeritan itu masih kedengaran walau dah jauh. "Siti... err... perempuan... err... bermasalah... erghh..." Lukman tidak cukup kreatif nak meletakkan sebarang label kasar pada ahli kelasnya itu. Selama ini dia mengendahkan gadis itu tiap kali Siti cuba nak ajak menyembang sebab enggan sakit hati tetapi kali ini nampaknya dia sendiri yang buka pintu tersebut.
Tak apalah. Anggaplah yang terakhir sebelum habis sekolah. Penutup jodohnya dengan Syarifah Hanani. Semoga selepas ini tak bertemu lagi.
Lalu contengan cara-cara membunuh tadi dipadam dari papan hitam sebelum bergerak keluar dari kelas macam takda apa-apa yang berlaku. Malah, selepas habis zaman sekolah, dipadamkan terus memori tentang pelajar perempuan bermasalah yang membuli dan menfitnahnya sepanjang tempoh persekolahan itu demi membina kehidupan baru seterusnya.
Share this novel