Part 6

Romance Series 2802

MATAHARI masih tegak di dada langit. Pemuda berbaju melayu ungu dengan jeans serta kopiah putih itu melangkah tenang ke rumah sewanya. Langsung tidak kisah berjalan balik dari masjid sedangkan perjalanan sangat jauh. Ah, balik dengan kaki ataupun kereta, sama saja asalkan sampai ke rumah.

Setiba di pekarangan rumahnya, sebuah BMW putih menarik perhatian. Kereta itu diparkir bertentangan dengan rumah jirannya, malah seorang lelaki tua berkemeja putih selamba betenggek di bonet. Lelaki separuh usia itu merenung ke rumah Puan Zaiton.

Lukman mengerut dahi. Macam kenal....

Lelaki asing itu tiba-tiba menoleh padanya. Lukman terkaku di tempatnya, namun tidak sekali berniat nak mengalihkan pandang. Jika lelaki tua itu berniat buruk ke atas keluarga Puan Zaiton, maka Lukman tak teragak-agak menghalau lelaki itu pergi serta merta.

"Lukman?"

"Huh?" Dia dikenali?

Bibir tua merebak dengan sengih. "Lukman Ariff... kau anak Taha, bukan?"

Ooookey. "Pakcik siapa?"

"Hahahhaa..." Lekas anak muda itu didekati. "Syed, bapak si Hanani."

Terangkat tinggi keningnya, lalu mata dijelingkan ke rumah sebelah. Terperanjat bila bahu ditepuk. Lebih terkejut bila kepalanya pula diramas-ramas dan lengannya diraba-raba. Okey... ini yang dipanggil ruang peribadi yang dicerobohi. Tanpa sebarang niat nak bertindak kurang ajar, Lukman menjauh dengan perlahan. Lelaki berkemeja itu merenung dirinya bersama senyum lebar.

"Dah besar eh kau... kali terakhir uncle jumpa kau, kau jauh lebih kecil dari sekarang. Ada la kut besar gini." Jari kelingking diangkat. "Sekarang dah besar gini." Jari hantu pulak diangkat, membuat ketawa Lukman terlepas. Kurang ajar betul perbandingan yang diberi. "How's your life? Okay?" lanjut Tan Sri Syed.

Lukman terkebil, lalu senyum menyusul nipis. Tangan lelaki itu disalami sebagai tanda hormat. "Okay alhamdulillah. Masih hidup lagi. Terima kasih sebab ambil berat."

Tan Sri Syed terkebil. "Tak pernah-pernah orang cium tangan uncle... kau orang pertama."

"Uncle ke sini sebab nak jumpa Hani ke?"

"Hani?? Iye... ha'ah..." Rumah sebelah dipandang sekilas sebelum perhatian dikembalikan kembali pada Lukman. "Kau panggil Hani tu, Hani?"

"Iya."

"Ooh... okay."

"Kenapa?"

"Tak... pelik sikit. Biasanya kawan sekolah dia panggil dia Siti."

Senyum. "Saya kenal dia sebagai Hani kat sini... sebelum ni tak perasan pun dia tu Siti yang bermasalah tu."

"I see..."

"Uncle nak saya panggilkan dia?"

Terdiam seketika. "Tak apa. But I'll really appreciate it if you'd let me enter your house. Penat uncle berdiri kat luar dari tadi lagi."

"Okay." Pintu pagar dibuka dan mereka sama-sama melangkah masuk.

Tan Sri Syed merenung seisi ruang rumah teres setingkat merangkap kediaman Lukman itu. Terdapat dua buah gitar elektrik yang tergantung di dinding, TV 24 inci dan CD player. Kumpulan CD cukup banyak tersusun dengan cantik di dalam rak bawah televisyen. Kosong dan nampak serabai kerana barang-barang hak milik anak-anak teruna, tetapi sekurang-kurangnya rumah ini bersih dari sampah. Tan Sri Syed Saifullah dipimpin ke dapur. Meja juga bersih, dan singki turut kosong tanpa sebarang pinggan mangkuk dan cawan kotor.

Lelaki berpangkat itu mendongak ke siling, pada kipas siling kemudian pada pintu belakang yang berkunci.

"Uncle minumlah." Cawan berisi jus dihidangkan di atas meja. Lukman beralih, nak mendapatkan biskut kering pula.

Ayah Hanani itu sekadar menoleh sekilas sebelum kembali melata pandangan ke laman belakang. Luas laman sangat kecil. Jika dikira dengan kaki, cuma tiga langkah dah sampai ke pagar besi. Tong sampah hitam ada di luar pagar sana. Busuk! Dan berbau kemiskinan. Pintu ditutup kembali.

Pandangan mata termati pada sebuah jadual di sebelah peti sejuk. Jadual yang memuatkan nama-nama ahli keluarga empat ahli dan tugas-tugas harian itu dibaca.

"Siap ada jadual," ujarnya sedikit kagum.

Lukman menoleh, lalu tersenyum. "Uncle tahu la pe-el rumah yang penuh dengan orang bujang. Kalau tak disuruh buat kerja rumah, seorang pun takkan buat. Sebab tu duty roster kena ada. Uncle minumlah." Lagi sekali dia mengajak bila minuman di atas meja tidak bersentuh, bahkan tetamunya itu belum duduk pun lagi.

"Berapa orang family member rumah ni?" soal Tan Sri Syed sambil duduk.

"Four." Lukman turut duduk.

"All male?"

"Yeah." Obviously, hati menambah.

Angguk. Cawan yang berisi jus dibawa ke mulut. "Mana dorang?"

"Yang sorang pergi melancong... dan yang lagi dua pergi jamming lepas balik dari masjid tadi."

"Ooh... Jemaah zohor kat masjid, huh?" Teguk lagi. "Impressive youngsters."

Lukman terdiam. "Err... sembahyang jumaat sebenarnya..." Menjeling mata tua itu padanya, membuatkan Lukman mengukir senyum janggal. "...tapi bolehlah jugak sebut Jemaah zohor." 

Angguk dan senyum. "Say..." Cawan diletakkan ke atas meja. "Hani... dah berapa lama dia menumpang duduk kat rumah sebelah?"

"Eh? Erm..." Diam seketika, menghitung memori. "Sejak last two months..."

"Dua bulan, huh?" Tubuh disandarkan. "Quite right..."

Tersenyum Lukman dibuatnya. "Kenapa sampai cari-cari ni? Hani lari dari rumah lagi ke?" Lelaki pertengahan usia itu direnung. Lelaki ini pernah dikenali sebagai jiran keluarganya, sahabat ayahnya, dan ayah kepada perempuan yang bermasalah itu. Dah beberapa tahun berlalu, tetapi nampaknya hubungan antara lelaki berpangkat ini dengan anak perempuannya itu masih tidak berubah-ubah. Tiada balasan dari Tan Sri Syed, membuatkan Lukman tersenyum nipis. "So, dia memang lari dari rumah lagi, huh?"

Bibir mengukir senyum protokol – sekadar satu simbolik tanda dia mendengar walaupun gagal memberi jawapan. "Your life... macammana sekarang? Okay?"

KEDUA-dua lelaki itu leka berbual sebelum tiba-tiba dikejutkan oleh suara nyaring di muka pintu.

"Ayah!!"

"Oh cot!" Terloncat Tan Sri Syed dibuatnya, spontan menoleh. Hanani dilihatnya sedang berdiri tegak di pintu dapur. Muka anak perempuannya berkerut tegang.

Lukman ternganga melihat kehadiran perempuan di dalam rumah bujangnya. "Hani! Kau buat apa kat rumah aku?!" soalnya lantang, refleks bangun.

"Kau diam, Lukman!" Telunjuk Hanani laju sekali ditegakkan ke arah si lelaki sebelum perhatian diserahkan semula kepada ayahnya yang selamba merenung dengan muka kosong. "What are you doing here, old man?" soalnya pula sambil menapak setapak.

"Kebetulan ayah ada urusan kat sini... ayah dengar kau tumpang rumah Kak Ton... so ayah datang nak cek."

Hanani mengerut dahi. "After two months baru datang nak cek?? Cek apa? Nak cek whether your only child hidup dengan bahagia atau to see whether dia sihat atau tidak..."

Kening dikerutkan. "Untuk apa ayah nak cek benda bodoh macam tu??" Hairan.

Kesihatan aku ialah benda bodoh katanya.... Hanani mengeluh perlahan. "Jadi ayah datang sini untuk apa sebenarnya?" Wajah yang dihiasi kedut usia itu direnung kosong sebelum pandangan dialihkan pada Lukman yang memerhati mereka di meja makan. "Atau ayah datang nak complain kat mamat tu sebab Hani lari dari tanggungjawab kerjaya?"

"Pun takda untung ayah nak complain pasal anak ayah yang takda perut nak terima jawatan yang bapak dia dah serahkan..." Hanani mencerun, manakala Tan Sri Syed merenung tajam mata bundar di hadapannya. Telus sifatnya, terus sampai ke dasar. Tangan si tua bergetar sedikit. "You've... grown..."

"What?" Spontan terjuih.

"Ayah dengar kau kena tangkap khalwat?"

"Puuuh— " Kepala terdongak ke langit sebelum berpeluk tubuh. Mukanya beriak jengkel.

Lukman mengerut dahi melihat tingkah si anak dara.

"Dah berapa minggu berlalu baru ayah nak bingung pasal tu? Kenapa taknak bakar Hani macam Luk kena bakar parents dia awal-awal dulu?!" soal Hanani bernada keras.

Barulah berkerut dahi lelaki korporat itu. "Luk?"

"Ha'ah. Hani kena tangkap khalwat dengan dia." Pemuda berkopiah itu ditunjuk.

Tan Sri Syed mengerut dahi, lalu menoleh ke belakang. Lukman pula tersengih nipis sambil menggaru belakang kepala yang tak gatal. "Maaf... sebab tak bagitau uncle  awal-awal lagi..." Kepala ditundukkan, betul-betul rasa bersalah. Samada mereka berniat atau tidak, sengaja atau tidak, tetapi hakikat dia berdua-duaan dan menerima peluk wanita itu di tengah hujan ialah benar. Maka dia menerima salah dan dosanya yang dipalit sendiri tanpa sebarang rasa nak membangkang.

Tan Sri Syed terkelip-kelip. "No... it doesn't really matter."

"Eh? Its not?" Lukman pula yang terkedu. Si anak perempuan tunggal milik lelaki tua ini sempat ditukar pandang, dan nampaknya Hanani turut keliru dengan reaksi si ayah.

Tan Sri Sed mengangguk perlahan. "Kalau kau, ayah tak rasa kesalahan tu berat sangat macam zina ke apa... kau memang masih dara, kan Hani?" Anaknya direnung. Hanani senyap, manakala Tan Sri Syed tersenyum nipis. "Kalau kau cuak sangat, kau menikah je la dengan Lukman."

Terasa sesak nafas si anak dara bila cadangan membunuh itu diberi oleh si ayah. Siap dengan sengih!!

Lukman di belakang pula ternganga rendah. "Err... uncle... actually..."

"Don't joke with me!!" Suara nyaring itu tiba-tiba memekik lantang, mematikan terus kata-kata si teruna. "Ayah hantar Hani jauh dari dari Malaysia sebab taknak jaga Hani, dan lepas bertahun-tahun, ayah panggil Hani balik just to take over your company... dan bila kita bertemu semula, you ask me to marry some random guy yang ayah blindly percaya untuk tak sentuh Hani sedangkan kitorang terang-terang ditangkap khalwat!!"

"Jadi dia dah sentuh kau ke?"

Tertelan liur mendengar soalan itu. "Of course dia tak sentuh Hani!! Dia mati pucuk!!"

"Lahawlawalaquwwataillabillah...! Aku tak mati pucuk, Hani! Jangan sampai aku beranakkan kau!" Terlepas juga marahnya bahana pergaduhan anak beranak itu.

Tan Sri Syed dan Hanani menoleh dengan kerut berlapis. Lukman pula terus menelan nafas. "I-I mean, I can... but I won't..." Bibir yang terasa kering, dibasahkan dengan lidah. Makin dihambat malu. "Okay saya diam." Lalu dia duduk elok-elok kat tepi dengan leher dipendekkan.

Tan Sri Syed masih dengan riak beku. "Lukman bukannya some random guy. Kau tahu he's a very good guy. Plus, dia anak kawan lama ayah. Boleh la contact balik..."

"So you're saying Hani ni some kind of excuse supaya ayah boleh tied your bond dengan bapak dia balik dan tak consider langsung my opinion nak nikah dengan tunang orang tu?!" Mata yang terbeliak hampir terjojol keluar dari soket mata. Kulit yang separa cerah juga sudah kemerahan kerana emosi yang membuak naik. "Sejak Hani balik Malaysia, not even once... ayah tanya pasal well-being Hani... you've never considered me as your daughter... dari dulu lagi... do you?"

Tan Sri Syed terdiam seketika. "Kau ialah anak sah ayah dengan dengan mama kau..." balasnya perlahan, membuatkan Hanani menekam bibir. "Her blood is after all... runs in your vein, you troublesome rebel."

Senafas, tubuh langsing berbaju kurung itu berpusing, lari dari situ. Meninggalkan dua adam yang mendiam seperti dikelar rengkung mereka dengan pisau Rambo.

Safira yang masih dengan baju sekolah memunculkan diri di pintu dapur dengan riak bersalah. "Kak Hani... kenapa sebenarnya?" soalnya. Pertelingkahan itu tadi didengari semuanya.

Tan Sri Syed mendehem, lalu tubuh dikalihkan ke belakang. Anak muda berbaju melayu itu direnung redup. "Kau dah ada tunang, Lukman?"

"Em? Ya."

"Bila nikahnya?"

"Erk..." Anak mata sempat menjeling anak gadis berbaju sekolah itu sebelum memandang kembali lelaki tua di hadapan. "It's complicated." Sengih diberi, tanda – saya tak dapat nak bercerita lebih.

Lelaki separuh usia itu nyata memahami, lalu kepala dianggukkan. "I thought you might be a good husband for her." Punggung dilabuhkan. "Hanani perlukan bimbingan... uncle tak tahu macammana nak uruskan budak tu..."

"Hani will be okay. Dia kuat orangnya. And she knows how to survive walaupun dengan cara salah...dia cuma nakkan perhatian uncle and she never stopped craving your attention sejak kami muda belia. So I think, tak perlu paksa dia dalam soal jodoh sebab dia akan makin melawan. Its best you jadi the best father for her selagi ada peluang, sebab itu yang dia paling perlukan sebenarnya..." Kuliah Jumaat percuma.

"Bagi nasihat sebagai orang luar memang senang, Luk..."

Pemuda itu tersenyum lalu. "Badan dia penuh dengan saki baki kehidupan, uncle... dia cuba nak tutup dengan tudung dan baju kurung, and I respect her for it. So... don't mess her development even more..." Anak mata Tan Sri itu direnung tepat-tepat sampai ke dasar, mahu menyampaikan yang dia serius dengan nasihatnya.

Perhatian si pemuda pada anak daranya membuat sengih di bibir tebal Tan Sri Syed merebak seperti bunga seri pagi yang memekar saat matahari menimbul di ufuk timur. Namun senyuman itu tidak pula memberi Lukman rasa segar, melainkan rasa keliru dan curiga.

"Ke... kenapa?"

"When was your reunion dengan Hani again? A month ago?"

"Aha..."

"And... kau kawan dia sejak sekolah menengah dia tu kan? Kau pun ahli kelas S tu kan?"

"Okay... apa dia yang uncle nak tahu sebenarnya ni?" Tidak tahan nak bertanya kerana terlalu curiga dengan senyuman licik itu. Dia kenal senyuman itu, kerana itulah senyuman yang selalu dilahirkan oleh pembuli bergelar Siti setiap kali dia mempunyai akal jahat di kepala untuk mempermainkan orang. Dan sesungguhnya, dah lima tahun berturut-turut Lukman membesar dengan ditemani senyuman yang sama hingga dia betul-betul peka dengan sifat senyuman yang berketurunan tersebut.

Lelaki separuh usia itu sekadar memberi senyum.

BOSAN.

Tan Sri Syed dah pun pergi sejak sejam tadi dan pertelingkahan mereka berjaya meninggalkan rasa pahit di anak tekak. Ergh. Terasa malas nak keluar, Lukman mengisi masa lapang dengan mencari siaran di Netflix. Dari pelbagai movie, dokumentari, anime, dan terjumpa One Piece.

Tak habis-habis lagi anime ini. Dari zaman sekolah dulu, sampai sekarang....

"Zaman sekolah..." Pada memori yang tersingkap, dia berbisik.

Rakan-rakan sekelasnya ialah remaja ceria dan sukar diuruskan pihak pentadbiran sekolah dan lalu dipadatkan dalam kelas yang sama. Sekolah itu ialah sekolah harian biasa, bebas dengan peraturan dan bilangan pelajarnya terlalu ramai kerana menerima pelajar-pelajar yang 5E dalam UPSR sekalipun. Bila pelajar terlebih ramai begitu, pengurusan oleh admin sangat longgar, maka, masalah disiplinnya sangat teruk. Budak-budak samseng sekolah berleluasa dan selalu masuk surat khabar. Istilah 'undang-undang dicipta untuk dilanggar' seolah-olah menjadi suatu rukun. Wajib diikut dan menjadi masalah kalau tak diikut. Rokok atau ecstacy atau meniru dalam exam atau bawak boyfriend masuk asrama sudah menjadi isu yang biasa... apatah lagi masalah buli.

Lalu kantin je, ada yang mintak belanja. Pergi tandas, ada pergaduhan disana dan terlibat pula secara tak langsung. Pergaduhan dan perkelahian, tak kira antara sama jenis jantina atau diantara perempuan dan lelaki... tak perlu tengok drama TV atau movie Hollywood, Lukman dah saksikan 5 tahun berturut-turut secara live pada zaman remajanya. Dan kerana pengalaman itulah Lukman diserap dengan kata-kata 'every innocent face has their wild side'.

Ya, macam Hanani.

Remote dimain-mainkan di tangan. "Dia masih bermasalah sampai sekarang..." bisiknya pada diri sendiri, merenung wajah Hanani di ruang fikiran. Siaran di hadapan langsung tidak diberi perhatian lalu.

Kepala direbahkan ke sandaran sofa. Hanani semasa zaman remaja selalu dihiasi sengih ceria. Betul-betul berbahagia menikmati zaman remaja macam langsung tak mengalami masalah hidup sebab kerjanya buat masalah hidup untuk orang lain. Tapi Hanani yang sekarang... bertudung penuh, berbaju kurung dan croc Doraemon.

Mata dipejam, sekaligus menjemput senyuman yang gemar dilihatnya sekarang.

"Aku wonder kalau dia betul-betul dah berubah..."

"Assalamualaikum..." Pintu tarik berbunyi bila diseret. Lukman menjeling ke ekor mata. Hakimi menapak masuk dengan beg pakaian di tangan. "Lukman oit. Lama tak jumpa."

"Wassalam."

"Ni. Anak dara rumah sebelah datang cari kau."

Spontan Lukman tegak. "Hani?!"

Hakimi berhenti melangkah. Riak ingin tahu Lukman dibalas dengan muka terkejut, lalu terukir senyum nakal di bibir jejaka muda. Lukman pula keras tak berkutik. Baru perasan bahasa tubuhnya mengantoikan apa yang kepala sedang fikirkan.

"Siapa kat luar? Hani ke Fira?" soalnya lagi sambil bangkit, memilih bersikap selamba.

Terkekeh lagi. Rasa teruja terasa membuak-buak nak keluar dari dalam badan. "Ehehehhe... sorry hampakan kau. Tapi Fira." Sengih mengusik lebar sekali berbunga di muka kacak. Lelaki berkopiah itu tersenyum nipis.

"Aku menyampah dengan sengih kau." Penumbuk ke bahu diberi bila merapat dan Hakimi bertahan dengan arm guard.

"Engkau yang terang-terang tunjukkan minat kau ada kat awek mana. Bulu kat dalam seluar kau dah tebal, huh? Apa dah jadi masa aku takda, huuhh??" Punggung Lukman ditampar.

Semak ah member yang seorang ni. Dia bergerak laju ke muka pintu dan Hakimi mengekori rapat di belakangnya. Bila pintu dibula, Safira menyapa pandangan.

Anak gadis dengan rambut ikat ponytail itu merenung kedua-dua lelaki. "Kak Hani tak balik lagi... dia tak angkat call.... mak bingung."

Lukman dan Hakimi berpandangan.

MERAH hampir hilang dari kaki langit, azan Maghrib juga beransur menghilang dan barulah mereka menemui Hanani di tepi jalan yang berhampiran dengan perhentian bas. Tempat lepaknya dengan Lukman hari itu. Si baju kurung itu sedang duduk di atas penghadang jalan sambil melangut ke langit. Ais krim di tangan dibiarkan mencair dan menitis ke atas asphalt. Fokus pandangan pula kelihatan jauh mengoyak masa.

Safira mengeluh lega, lalu spontan berlari anak namun tidak jadi bila lengannya digenggam Lukman. Anak gadis itu menoleh pelik. Lukman pula memberi gelengan sebelum melangkah ke belakang wanita itu dengan langkah yang sangat perlahan macam singa menghendap mangsa. Hakimi yang mengikut pencarian itu sekadar memerhati di sebelah Safira.

Tiba di belakang Hanani, wanita itu masih tidak perasankan dirinya. Lukman menahan nafas. Perlahan-lahan mulutnya didekatkan ke telinga kanan si pemakai tudung hitam.

"Ma robbuka..." bisiknya perlahan, garau dan perlahan macam suara bawah tanah.

Tiada reaksi berlebihan yang wanita itu berikan melainkan refleks memalingkan wajahnya ke belakang. Juga, tiada tanda amaran yang Lukman terima yang membolehkan dia menarik wajah sebelum bibirnya menerima kulit pipi halus itu dengan percuma. Sesaat mereka terkedu.

"Waaaargh!!" Hanani terjatuh ke jalan. Sempat berdiri stabil. Matanya dibulatkan seluasnya pada lelaki yang tengah menutup mulut itu. Nafas terasa tersekat-sekat di hidungnya walaupun mulut dah ternganga luas cuba membantu memudahkan pernafasan. Darah merah turut mendadak naik ke wajah, sekaligus mewarnakan mukanya menjadi merah.

"You again!!" Ais krim dibaling ke arah Lukman. Tepat ke poket dada.

Lelaki itu tidak bereaksi. Hangat pada wajah juga sukar nak dikebahkan. Hanani dipandang dengan kepala berasap. "Sorry."

"Simpan sorry engkau masuk kubur! Tak habis-habis aku rasa hidup aku disusahkan kau sejak bapak aku datang tadi! Dang it!!" Dia beralih ke laluan pejalan kaki, barulah perasan kehadiran Safira dan Hakimi di hujung perhentian bas.

Safira merapat. "Akak kenapa? Kenapa marahkan Bang Luk?"

"Takda apa-apalah. Kau buat apa keluar dengan mamat dua ekor ni?" Hakimi yang mendapatkan Lukman di belakangnya, dikerling. Panas lagi hati saat matanya bertentangan dengan mata si pemakai kopiah itu. Argh! Rosak imej islam kau, Lukman!!

"Tak... mak bingung akak tak balik lagi sedangkan dah hantar Fira balik rumah dan nak maghrib jugak. Pulak tu, akak tak angkat call..."

Hanani menoleh kembali pada Safira. Sememangnya wajah itu nampak risau. Bibir lalu mengukir senyum nipis. "Sorry, akak tinggalkan handset dalam kereta." Kerana dia enggan diganggu sesiapa semasa cuba nak cari tenang dalam berseorangan. Kepala si gadis muda lalu diusap.

"Owh..." Angguk. Tangannya ditarik Hanani, namun Safira masih enggan melangkah bila melihat Lukman dan Hakimi masih tidak bergerak ke mana-mana. "Akak marahkan Bang Luk... kenapa? Dia baik hati tolong Fira carikkan akak..."

Wanita bertudung itu senyap seketika. Pipinya terasa kembali pertembungan dengan bibir si lelaki, lalu dikesat dengan bahu kanan. "Nothing... nothing at all..." Anak gadis itu dipandang. "Kau tolong panggil mamat dua ekor tu. Kita balik sekarang."

Sementara itu, Hakimi memeluk bahu Lukman. Tingkah rakannya yang berhabis mengesat mulut direnung, dan Hanani yang mengesat pipi dengan bahu kanan dipandang. Mata dipicingkan. "Kau baru cium pipi dia ke apa?"

Lukman menjeling. "Kau nampak?"

"Tak... tapi aku boleh agak dengan gesture korang..." Bibir tersenyum nipis. "Soalan serius. Masa aku takda, kau nak overstep identiti aku sebagai yang paling miang kat rumah ke??" tegurnya dengan riak serius. Sungguh. Lukman yang dikenali bukannya begini. Nak rapat dengan perempuan pun dia enggan, apatah lagi hingga mencium!

Riak Lukman menegang. "Aku tak sengaja, sengal! Dia yang tiba-tiba menoleh."

"Right... kau simpan la kopiah kau ni Luk." Kopiah di kepala Lukman ditarik. "Tak sesuai dengan kau buat masa ni." Selamba dipadatkan ke dalam poket baju melayu ungu itu.

Lelaki berkumis itu menahan panas di hati. "Jomlah balik!" getusnya, mula melangkah dan meninggalkan si kawan. Safira yang baru nak merapat pada mereka tidak dipandang langsung. Jalan raya terus dilintasi supaya tidak bertembung dengan Hanani yang berdiri di hujung perhentian bas itu. Amarah yang menggelegak di jiwa terlalu marak sekarang!

Tiada langsung niatnya nak memarahi Hanani, Hakimi, apatah lagi Safira. Cuma, alpa dalam menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan sangat membakar imannya sekarang. Kenapa bila dengan Hanani... terlalu sukar nak menjaga benteng itu?? Berpegangan tangan bawah hujan, lengannya dipeluk di perempuan, Hanani mengganggu mimpi diwaktu malam dan siang, dan sekarang tercium pipi si anak dara. Adakah ini petanda dia perlu berkahwin sekarang?? Dia sudah sangat wajib untuk berkahwinkah?!!

"Dah kenapa..." Safira memerhati bahasa tubuh Lukman dengan penuh hairan. Prihatin dengan sebarang perubahan pada lelaki yang disukainya itu.

Hanani pula memandang si gadis dengan penuh kesal. "Dahlah. Akak penat. Jom balik." Gerak langkah Lukman yang dah menjauh di sana diekori. "Korang parking kereta kat mana?"

GELAP malam kian menelan bumi Timur namun keempat-empat muslim itu masih berjalan-jalan di sekitar pekan. Lukman mencekak pinggang, merenung si tudung hitam yang berkerut dahi menoleh kiri dan kanan.

"Seriously, pendek benar ka akal kau sampai kat mana kau parking kereta pun kau tak ingat?" Pinggang dicekak sebelah.

"Kau diam boleh tak! Aku cuba nak ingatlah ni..."

"Kita balik dengan kereta aku je la jom!"

"Aku taknak naik kereta busuk kau!"

"Hanani. Sekarang bukan masa kau nak berlagak hebat! Kita belum Maghrib dan kau kena balik rumah cepat..."

"Berlagak hebat atau tidak masih pilihan aku, dan nak naik kereta kau atau tidak pun pilihan aku jugak! Kalau kau tak sanggup terima hakikat yang cadangan kau ditolak, jadi jangan cadangkan kat aku!" Mata dicerlangkan.

Tiada balasan yang kasar dari pihak lelaki, namun muka tegang Hanani dibalas dengan riak tegangnya sendiri. Aura marak dari keduanya bertembung, cukup panas hingga mampu dirasai orang awam.

Hakimi dan Safira yang memerhati di belakang sekadar merenung pelik. Kurang faham apa sebenarnya yang sedang terjadi antara keduanya hingga perlu bertekak begitu.

"Kalau macam tu naik teksi je la." Hakimi mencelah, mencadangkan.

Lukman menoleh lipat maut dengan mata mencerlang. "Tinggalkan kereta aku kat sini? Hell no!!"

Bahu Hakimi terloncat, terkejut. Niat yang cuba nak menenangkan kedua-duanya termati terus. Haru rasanya. Lukman yang di hadapannya sekarang nyata bukan Lukman yang dikenali selama ini....

Lukman menoleh kembali pada hawa di hadapan. "Aku tinggalkan kau sengsorang kat sini, baru kau tau bahaya perempuan bila berseorangan tu macammana..." Cuba nak mengugut.

Bibir spontan tersenyum puas. "Muka aku ada tunjuk macam aku kisah?" Dia mahu menyambung mencabar Lukman, tetapi satu jeritan halus mencubit cuping telinganya. Hanani spontan menoleh ke belakang. Suara apa...? Pada masa yang sama sebuah telefon bimbit turut tiba-tiba jatuh dari langit, betul-betul di hadapan mereka.

Keempat-empatnya keliru seketika. Hanani terlebih dahulu mendongak ke langit kerana bunyi jeritan tadi semakin kuat di telinga.

Zap! Terasa impak kasar pada kening bahana benda berat yang menghentam bumi. Hanani menunduk kembali, melihat sebatang tubuh perempuan muda sedang terlentang menentang langit, betul-betul di depan kakinya. Darah membuih keluar dari belakang tengkorak yang pecah. Setiap sendi tangan dan kaki mayat tersebut patah dari soket bahana impak jatuhnya tadi. Riak wajahnya membuktikan manusia yang tidak dikenali ini melihat alam akhirat sekali imbas melalui sayap malaikat atas izin Allah.

Jantung terasa terjatuh ke perut.

Orang ramai mula kecoh setelah menyedari apa yang terjadi. Suasana semakin huru hara bila jeritan terkejut Safira bertukar kepada hilaian histeria. Hakimi lekas memeluk tubuh gadis itu dari belakang sambil menutup matanya walaupun jeritan trauma langsung tidak menipis.

"Hani!" Lukman merentap lengan Hanani supaya menjauhi daging mayat yang bersepah serta darah yang semakin banyak mengalir namun Hanani masih terkaku. Air mukanya keras, dan matanya turut tak berkelip memandang mayat segar di depan mata. Lukman mendengus. Perasan sisi kening kiri Hanani luka berdarah, malah membasahi tudungnya. Hotel dihadapan mereka didongak. Pada tingkat manakah wanita ini jatuh hingga pecah kepala begini? Sempat bertanya.

Seorang lelaki tua tiba-tiba muncul dari kerumunan dan terus memeluk mayat di depan mereka. Menangis. Meratap. Dan terus menjerit macam orang hilang akal. Lukman sekadar memandang tanpa perasaan sambil terus menarik Hanani menjauhi tempat kejadian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience