BAB 1

Family Completed 694

MATANYA dilorotkan pada dua orang pelajar lelaki yang berada di bawah wakaf itu. Pandangan matanya sarat dengan perasaan hiba dan kecewa.

Kekesalan berbakul dalam hati apabila terasa diri ditipu hidup-hidup oleh orang yang dipercayai dan disayangi. Pengkhianatan yang jelas berlaku di hadapan matanya. Pengkhianatan sebuah persahabatan! Nilai hubungan yang begitu nirmala tetapi sudah dicemari noda.

Shaqif Mikhail mula menapak meninggalkan kawasan itu dengan jiwa yang berderai. Bagai masih terngiang-ngiang di telinganya suara tawa pengkhianat berdua itu tadi. Tawa yang menghantuinya sehingga sebak kembali bertandang. Air matanya mudah sahaja mengalir mengenangkan kebodohan diri sendiri selama ini.

“Hahaha, kau bodoh Shaqif. Kau percayakan aku sebagai kawan baik kau. Padahal aku rapat dengan kau pun sebab kau tu anak orang kaya. Anak Datuk Thalib dan Datin Tiara. Pasangan kaya-raya yang terkenal di negeri ni. Kau terlalu pandang tinggi pada aku ni.” Satu suara persis suara Mahmood Aziz menyapa telinganya.

Shaqif menekup telinganya kuat.

“Kau terlalu menyayangi aku sampai kau buta. Kau buta menilai gerak laku aku selama ni. Kau anggap aku macam abang kau di sekolah ni. Tanpa kau sedari kau dah jadi seperti boneka aku. Boneka yang hanya dipakai bila bosan dan dibuang ketika kau dah tak berguna. Sorry to say, ‘kawan’. Kau terlalu lembap untuk anggap aku abang kau walau abang senior sekalipun!” Suara persis Syuhaib Azizan pula yang menyentak gegendang telinganya.

Air mata menderu deras menuruni pipi Shaqif. Kenangan bersama Mahmood dan Syuhaib bergentayangan di mindanya. Berkali-kali Shaqif cuba membuangnya.

Tetapi semakin kuat dia berusaha untuk membuangnya, semakin kukuh kenangan itu melekat di kotak memorinya. Shaqif terus menangis sehingga dia ditegur oleh seorang pelajar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience