"Siapa yang masak nasi lemak ni?"
"Orang yang kau sayang."
_______
Langit yang beransur cerah, ditenung mataku. Aku bisu, hanya mata yang berbicara di pagi yang hening ini. Berguling ke sini, ke sana demi menikmati alam semesta yang indah, biarpun daripada halaman rumah sendiri. Tanpa bantuan teleskop atau alat canggih masa kini. Tiada.
"Maira nak makan apa? Abah nak beli."
Lelaki berusia awal 50-an itu menyoalku. Kehangatan tubuhnya turut dirasai olehku. Mata coklat gelapnya yang masih tiada sebarang kecacatan seperti rabun atau silau, membuatkan abah kelihatan awet muda, tidak sepadan dengan usia.
Dengan nada hairan, aku menyoal, "Kenapa nak beli? Maira kan boleh masak." Pelik, jarang sekali abah akan membeli makanan baik nasi lemak sekalipun, sedangkan air tangan kami bertiga lebih enak. Tiga orang kesemuanya. Aku, Kak Hajar dan ibu.
"Kita jarang makan 'makanan beli'. Apa salahnya, sekali sekala. Lagipun, bos besar dah bagi lesen dah pun. Harini, kita beli je dekat tepi jalan," abah tertawa halus. Perkataan bos besar itu ditekan, membawa maksud ibu, sebagai ketua dapur dan CEO makanan di dalam rumah ini.
"Amboi, kemain abah nampaknya. Kalau bos besar dah kasi, apa salahnya. Maira nak nasi lemak, lama dah tak makan." Aku menghabiskan ayatku di situ, dan bersambung lagi. "Tapi... Maira ada satu permintaan."
"Permintaan apa, anakku sayang?"
"Maira nak ikut abah! Lama dah kita tak berjalan sama-sama." Aku membulatkan mata, mengharap wajahku bertukar menjadi emoji, paling comel dan mampu memujuk seorang lelaki. Apatah lagi seorang bapa, sangat menyayangi anaknya.
"Boleh. Apa-apa je untuk Maira. Lagipun, inilah masanya abah nak luangkan masa dengan Maira. Abah tak akan hidup selamanya, sayang..." suara abah seakan-akan berbisik syahdu di telingaku.
Aku tidak boleh membayangkan, hilangnya seorang insan bernama abah suatu hari nanti. Hilangnya sentuhan hangat daripada seorang lelaki yang membelai tubuhku dengan penuh kasih sayang. Semuanya akan lenyap.
Lenyap dimamah putaran waktu.
"Abah, jangan cakap macam tu." Aku memeluk tubuh lelaki bergelar abah. Dengan penuh sayu, penuh kasih dan sayang sebagai seorang ahli keluarga. Tanpa dia, mungkin aku tidak lahir ke dunia ini.
"Bersiaplah. Lambat-lambat, nanti makanan habis. Pernah dengar, kalau nak rezeki kena datang awal. First come, first serve."
"Wah, pertama kali abah speaking. Mantap." Aku mengulas senyuman janggal. Abah yang kini, bukan lagi yang dahulu. Abah sudah moden.
*****
KERETA Proton Wira yang dipandu abah berhenti di tepi jalan yang agak luas untuk meletakkan kereta. Aku tahu akan tempat ini, tempat di mana penjaja-penjaja kecil mencari rezeki di kampung ini.
Aku dan abah turun daripada kereta. Kami berjalan berdua, melewati setiap satu gerai yang berbumbungkan payung plastik sebagai alas untuk mengelak hujan dan matahari terik.
Nasi lemak, RM1.
Nasi kerabu, RM4.
Hebatnya peniaga kecil di sini, mereka tidak takut untuk meletakkan tanda harga dengan jelas. Begitu juga dengan pelanggan, tiada ragu-ragu untuk membeli, tidak pernah lagi kes manipulasi pelanggan berlaku di sini.
"Ada dua kedai nasi lemak, nak beli yang mana satu?"
Sepasang mataku merenung satu demi satu gerai yang wujud. Masing-masing mempunyai aura tersendiri, menarik aku supaya membeli seperti magnet. Bukan setakat murah, baunya enak juga.
"Yang tu." Jari telunjukku ditunjuk ke sebuah gerai yang hanya menjual nasi lemak, itu pun sudah dikerumuni ramai pelanggan.
Abah mengeluarkan dompet daripada poket seluar dan mencari wang kertas untuk dibayar, sebelum tiba di muka gerai. Masih ada beberapa meter jaraknya sebelum sampai ke gerai.
Bibirku tersenyum kecil, sebaik sahaja meneliti perkataan yang tertulis di atas kadbod yang ditulis harga jualan. Perasaan yang aneh datang mengigit hatiku kembali, membuatkan aku ingin tersenyum hingga ke telinga setiap hari.
'Nasi lemak Faris.'
"Nasi lemak empat, ya." Abah menghulurkan empat keping not RM1, diserahkan kepada wanita yang hampir sebaya dengan abah itu. Dialah yang menjual nasi lemak ini.
"Terima kasih." Wanita itu mengucapkan terima kasih kepada abah. Jelas terpapar wajahnya yang bersyukur akan rezeki yang diterima. Sebakul besar nasi lemak yang sudah siap dibungkus, telah terjual sebanyak separuh bakul.
"Humaira, jom balik." Aku menurut perintah abah, ingin pulang ke rumah.
"Humaira. Kamu Humaira, kan?"
Aku menoleh ke belakang, memandang si penjual. Dia menghampiri diriku, seperti ingin berkata sesuatu.
"Ya, saya," jawabku hairan. Masih menanti balasan daripada wanita itu.
"Nasi lemak ni, Faris yang masak."
Sebaris ayat.
Faris yang mana satu? Ada ribuan manusia bernama Faris, termasuk anak sulung Kak Fatin. Jangan perasan sangat, sudahlah.
"Faris yang mana?" soalku lagi, supaya tidak tersalah sangka.
"Anak saudara makcik. Makcik rasa, Humaira kenal kot. Faris Azmi."
Ralit benakku memproses maklumat. Di dalam buku senarai nama manusia yang pernah aku jumpa, belum pernah ditemui sebaris nama Faris Azmi. Anak Kak Fatin pun, namanya Faris Uthman.
"Siapa... tu?" Aku masih berfikir, mungkin aku terlupa pernah menjumpainya di mana-mana.
"Peliklah kalau kamu tak kenal. Dah pernah jumpa kan, haritu. Tak ingat?" Giliran wanita itu kehairanan, mengapa aku tidak mengenali nama anak saudaranya.
Malangnya, siapa?
Faris, si lelaki berbaju Melayu merah yang memalukan aku dua kali ganda di pagi raya?
Yang itu?
"Faris Azmi... Faris yang..." belum sempat aku menghabiskan ayat, laju saja dicantas makcik ini.
"Ye. Ambil nombor telefon dia ni. Nanti lepas makan, komen sikit. Cakap tak sedap pun tak apa, Insya-Allah budak tu tak kisah." Terbit ketawa kecil dari mulut wanita baya-baya abah ini.
Kertas itu, aku terima dengan serba salah. Sepuluh buah nombor sudah tertulis menggunakan pen berdakwat hitam, bermula dengan sifar dan berakhir dengan 8.
Sifar dan lapan, nombor bertuahku. Dilahirkan pada 8 Ogos, dilahirkan di negeri Perak Darul Ridzuan yang bernombor 08 dan nombor terakhir kad pengenalan aku ialah 08.
Empat pasang nombor tersebut, berada di nombor kad pengenalan aku. Sungguh bertuah.
Nevermind.
Kertas itu dilipat dan dimasukkan ke dalam poket palazoku. Aku sangkakan, aku sendiri yang perlu merayu melutut demi meminta nombor telefon lelaki itu, di hadapannya sendiri.
Bernasib baik, aku mendapatinya dengan mudah, dengan sebuah kabel yang digelar 'makcik nasi lemak'.
Hebat.
Kembali ke kereta.
Sebelum abah memandu pulang, aku yakini akan terbit beberapa persoalan di mindanya. Apakah hubungan aku dan Faris?
Apa yang perlu aku jawab, kini sudah tersedia di ruang memori. Kami sekadar kawan yang pernah berjumpa secara fizikal.
"Humaira, kenapa dengan Faris Azmi? Lain macam je, ayat makcik tadi." Soalan itu ditanyakan dengan penuh lemah lembut lagi beradab.
"Abah kenal dia?" Sebelum memberi jawapan yang sebenar, ingin aku memutar belit terlebih dahulu.
"Orang kampung kita. Mana tak kenal." Yakin sekali jawapan abah. "Dia baik, pandai masak, budak tahfiz, SPM 8A+. Hebat, kan?"
Fuh.
"Jadi... abah suka tak kalau Maira ditakdirkan dengan Faris?"
Soalan gila. Dari lubuk manalah, datangnya keberanian gila ini. Nasib baiklah abah seorang yang cool dan tenang.
"Dah berangan nak kahwin ke?" Abah tersenyum nakal.
"Abah rasa, Maira patut bagi jawapan apa? Ya atau tidak?" Aku mengambil lebihan tudung shawl yang dililit di kepalaku, menutup mulut yang sedang menahan senyum.
"Jujur."
"Okey..." Aku menarik nafas panjang.
Satu, dua, tiga.
"Ya." Bibirku digigit, menahan malu. Biarpun dengan bapa kandung sendiri.
"Anak abah, dah besarlah." Abah tersenyum lagi, menampakkan baris gigi yang tersusun cantik. "Boleh kahwin muda, itu kan lebih baik daripada berpasang-pasangan sebelum nikah."
Ya Allah.
Hatiku tersentuh. Sangat dalam. Cantik makna tersirat di dalamnya.
"Abah..." Hatiku dijentik dengan perasaan sayu.
"Abah harap sangat, abah sempat walikan Humaira. Abah nak tengok, puteri bongsu abah dapat bersanding di atas pelamin dengan suami." Matanya memandang cermin hadapan kereta yang masih tidak bergerak. Di sudut hatiku, jelas dapat membaca perasaan abah.
Mimpi indahnya.
Untuk melihat aku di masa hadapan yang akan berkahwin dengan seorang lelaki, berwalikan dirinya sendiri. Mustahil hati seorang bapa tidak dijentik rasa pilu, melihat sang permata berharga yang dijaga sejak bayi akan dilepaskan kepada...
Seorang lelaki bergelar suami.
"Kalau macam tu, jomlah kita balik. Maira boleh rasa, air tangan bakal imam Maira." Enjin kereta dihidupkan, streng diputar, pedal minyak ditekan dan kereta bergerak pulang ke rumah.
Bau nasi lemak tadi, begitu mengasyikkan. Aku hanya menanti, beberapa meterkah lagi untuk tiba di rumah dihuni. Hilang sudah sabarku untuk menjamah nasi lemak masakan sang lelaki idaman.
Srekk...
Pedal brek ditekan, sebaik sahaja kereta diparkir di garaj. Plastik berisi empat bungkus nasi lemak daun pisang, dijinjit olehku masuk ke dalam rumah.
"Dah balik?" Manusia pertama yang terlihat di mataku, pastilah si kakak yang setia menunggu di hadapan pintu seperti cikgu disiplin yang sedang mencari mangsanya. Cemburu lah tu, dia tidak dapat mengikut abah beli makanan.
"Dah," jawabku sepatah. Aku berjalan tenang, melintasi si kakak selamba. Bau nasi lemak semakin menusuk ke hidungku, menunggu sahaja masuk ke dalam mulutku.
"Apa adik beli?"
"Nasi lemak." Plastik berisi nasi lemak itu diangkat tinggi, biar si kakak melihatnya sendiri.
"Je?" Dia mengerutkan dahi licinnya.
"Je. Ye." Selamba sekali, jawapan diberi. Tidak perlu terlebih gerun dengan si kakak harimau ini, makin menjadi-jadi pula perangainya nanti, bak kata ibu.
"Bolehlah. Jomlah makan. Kakak dengan ibu lapar ni. Mentang-mentanglah adik dengan abah jalan-jalan, tak ajak." Kami menuju ke meja makan, berkumpul untuk menjamah rezeki.
"Kakak ada lesen sendiri. Ada kereta sendiri. Hari-hari boleh pergi. Adik, pergi kerja pun mengharapkan kawan dia yang tolong ambil dan hantar. Bagilah peluang dekat adik," laju sahaja ibu mencantas.
Pandai ibu, pandai.
Bibirku tersenyum herot.
Setelah mencuci tangan bersih dengan sabun, aku membuka bungkusan daun pisang berhati-hati. Hanya dua helai daun pisang sudah cukup untuk membalut satu set nasi lemak yang berisi nasi, sambal dan telur rebus separuh.
Sebelum sempat tanganku menyuap suapan pertama, tiga pasang mata memandang aku. Mereka menadah tangan, bersedia untuk membaca doa sebelum makan, sebaliknya aku terus ingin makan tanpa menyebut kalimah basmalah, apatah lagi doa yang panjang.
"Hehehe." Cepat-cepat, aku menadah tangan untuk mengaminkan doa. Diketuai oleh abah sang ketua keluarga, kami hanya mengaminkan.
"Aamiin..."
Dengan penuh selera, aku menyuapkan suapan pertama ke dalam mulut.
Aku menarik nafas panjang.
Biar betul, ini masakan seorang lelaki!
Aku seakan-akan tidak percaya. Masakan ini, terlalu sedap untuk dimasak oleh seorang lelaki yang aku kenali. Sedangkan aku, masih jauh lagi untuk sampai ke tahap ini.
Suapan demi suapan, hinggalah yang terakhir. Tiada sebutir yang aku tinggalkan. Ikan bilis turut menjadi santapanku biarpun aku tidak menyukainya. Ikan bilis yang dimasak sudah disiang terlebih dahulu.
Tidak puas aku menikmati sajian murah ini. Tidak puas. Aku mahukannya lagi. Biarlah berat badanku naik sekalipun, aku mahu menikmati lagi masakan encik pujaan hati!
Keenakannya bukan kerana cinta, tetapi rasa makanan itu sendiri. Setiap bahan secukup rasa, sukar untuk digambarkan bagaimana rasanya. Mungkin perlu dirasa sendiri, barulah boleh difahami.
"Sedap ke tu, Humaira? Bagilah review sikit, barulah semangat dia nak masak." Bibir abah tersenyum indah, melihat riaksiku.
"Okeylah, nanti. Segan pula nak call dia."
Bibirku digigit supaya menahan diri daripada tersenyum lagi. Kalau abah perasan, mungkin tidak apa. Kalau ibu dan kakak?
Entah apa riaksi mereka, mungkin mengesyaki sesuatu yang buruk tentangku.
"Jangan segan. Fikir positif. Niat Maira nak beri review nasi lemak air tangan dia, bukan nak kacau hidup dia pun," ujar abah.
Tapi... kalau aku mahu berkenalan dengannya lebih lanjut? Salahkah aku untuk menggunakan review nasi lemak itu untuk urusan sendiri?
"Siapa 'dia' tu? Kenapa kakak tak tahu pun, abah?" Tiba-tiba, perbualan aku dan abah disampuk Kak Hajar.
"Betul tu, ibu pun nak tahu. Kamu berdua, ada simpan rahsia ke?" Ibu membulatkan mata.
Aku, tidak akan sesekali beritahu.
Abah berdehem kecil, "Nasi lemak ni, kawan Maira yang masak. Sedap kan? Maira nak review kat dia."
Fuh, nasib baik. Abah tidak beritahu mereka, perkara yang sepatutnya menjadi rahsia antara kami berdua. Adanya perasaanku terhadap Faris, hanya abah yang boleh tahu di dalam keluarga ini. Ibu, mungkin sutu hari nanti.
Kak Hajar, tidak akan sesekali. Kalau boleh, ingin aku melakukan kejutan terhadapnya. Disangka forever alone, tiba-tiba sahaja sudah bersuami.
Eh, yakinnya aku.
Pastikah aku, dia ialah suamiku? Mana aku tahu, dia bakal imamku? Ini berita fitnah yang datang dari mana, mengatakan dia bakal suamiku?
"Ohh... Okey. Ibu bagi sepuluh bintang. Sempurna." Ibu memberikan pendapatnya.
"Abah pun!"
"Kakak pun!"
Aku tersenyum tenang. Jikalau dapat aku berikan seribu bintang, sudah lama aku beri. Sepuluh tidak cukup untuk menggambarkan enaknya makanan yang disuap masuk ke dalam mulutku.
Aku hanya perlu mencari keberanian, untuk menelefon lelaki itu. Kertas kecil yang tertulis sepuluh angka telefon miliknya, aku keluarkan daripada poket. Masih ada.
Akan aku jaga kertas ini.
*****
N
OMBOR telefon Faris, sudah siap ditaip. Hanya tinggal untuk menekan butang berlambang telefon, sebelum suara kami bertemu.
Beranikan.
Diri.
Seperti beraninya dia meluahkan perasaan kepadaku. Begitu juga aku perlu berani, untuk memberi komen terhadap nasi lemak air tangannya.
Akhirnya, aku mengetik butang berbentuk telefon itu.
Tit tit...
Tit tit...
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Awak tahu saya?" Aku berharap, dia mengenali aku. Kalau diberi jawapan tidak kenal, mahu saja aku menghempuk kepalanya dengan kuali ibu.
"Humaira, right?"
"Yelah. Siapa lagi." Cebikku.
"Kenapa tiba-tiba call aku ni? Ada hantu kejar ke? Nak suruh aku tangkapkan? Baik aku panggil orang pejabat agama, kahwin free kita nanti. HAHAHAHA."
Galak suara tawanya terdengar dari lubang speaker. Sifatku mudah terhibur, mudah tertawa jika mendengar seseorang tertawa.
"Kahwin free? Dalam mimpi... jelah awak. Kahwin free pun, kena bayar maskahwin tahu. Mana ada orang kahwin tanpa mas kahwin." Sekali lagi, aku mencebik. Lawak atau hambar, aku ketawa juga. Baiklah, aku akan balik ke tujuan asal. "Betul ke, nasi lemak yang makcik awak jual tu, awak yang masak?"
"Hah? Nasi lemak? Makcik aku?"
Terdiam seorang Faris.
"Saya beli tadi. Sedap. Sebab tu saya tanya, betul ke awak yang masak? Saya dah rasa dah, awak," jelasku terang-terangan.
"Mana kau tahu ni?" Suaranya kedengaran sedikit cuak.
"Makcik awak lah yang bagitahu. Awak memang takkan mengaku, kan?" usikku nakal.
"What the..."
Sebelum sempat lelaki itu menyumpah, lebih baik aku potong ayatnya. "Budak tahfiz tak boleh mencarut."
"Tapi aku bukan malaikat."
"Faris, jangan terasa. Saya gurau je. Awak bukan malaikat, saya tahu." Setiap patah perkataan yang aku ucapkan, penuh dengan harapan agar dia memahami isi hatiku yang menyimpan sesuatu.
"Memang betul, aku yang masak nasi lemak tu. Terima kasih puji. Kau suka, aku gembira. Alhamdulillah, dapat rezeki halal hari ini."
Dia mengucapkan kalimah syukur, syukur atas rezeki pemberian Tuhan. Kalau inilah dapat membahagiakan dia, setiap hari akan aku beli nasi lemak masakannya.
"Faris, saya tak sangka. Saya tak sangka, awak sebenarnya..." Ayatku dibiarkan tergantung tidak bertali. Sungguh, aku yang perempuan malu dengannya.
"Segalanya. Segalanya untuk awak?" sambungnya dengan nada mesra. Sungguh hairan, tidak pernah aku mendengari suara sisi indahnya, manja dan lemah lembut.
"Mung... kin."
Aku terdiam. Benar, segalanya benar.
"Humaira, terima kasih."
"Eh, terima kasih kenapa pula ni? Saya tak buat apa-apa pun..." nadaku kehairanan.
"Saya... rasa dihargai. Mak ayah kandung saya dah meninggal dunia, lima tahun lepas. Sebelum mak ayah aku meninggal pun, aku jarang dapat kasih sayang daripada dia orang. Saya anak sulung dari lapan adik beradik. Sekarang, makcik aku je yang jaga kami."
Ya Allah. Air mataku ingin gugur, mendengar kisah hidup lelaki itu. Sungguh aku rasa beruntung, dikurniakan keluarga kecil yang harmoni. Mengapa aku tidak bersyukur, sedangkan mereka di luar sana lebih banyak menderita.
"...sekarang, akulah ketua keluarga. Akulah ayah keoada tujuh orang adik-adik yang masih kecil."
"Awak..." nada suaraku bertukar sayu. Biarpun banyak tanggungjawab yang dipikul di bahunya, dia tetap prihatin terhadapku. "Awak ada saya... kan? Bila-bila je, kita boleh call. Bila-bila masa je. Awak jangan rasa sunyi, semua orang sayangkan awak."
"Terima kasih. Aku terharu sangat, Humaira. Cuma, aku tak boleh janji bulan dan bintang, sebab kita masih muda. Aku nak melamar kau pun, tak ada duit."
"Tak apa, tak perlu paksa diri. Kita muda lagi. Lagipun, duit semua tu tak penting pun." Tubir mataku basah, bertakung dengan air mata yang menunggu giliran untuk membasahi wajah.
Terharu. Aku terharu.
"Humaira, kau boleh janji dengan aku?"
"Janji apa?"
"Setia untuk aku."
Share this novel