07; Sempurna

Romance Series 3947

Kau begitu sempurna
Di mataku kau begitu indah
Kau membuat diriku akan selalu memujamu

Di setiap langkahku
Ku kan selalu memikirkan dirimu
Tak bisa ku bayangkan hidupku tanpa cintamu

Lagu: Sempurna

_______

"HUMAIRA Aafiyah."

Tubuhku dilabuhkan di atas sofa empuk. Panggilan namaku tidak dihiraukan sama sekali, mataku fokus akan kaca televisyen, tidak mahu beralih seinci pun.

"Humaira Aafiyah. Akak ni. Jawablah."

Huh.

Aku memalingkan tubuh ke belakang, memandang tajam kakak yang mengulang namaku berkali-kali. Bermula dengan Maira, Humaira dan Humaira Aafiyah. Selepas ini, apa pula?

"Apa?" Aku membuat rolling eyes. Bebola mataku berputar 360 darjah.

Kisah malam tadi, telah terkantoi dengan satu keluarga kecil ini. Sungguh aku malu, tidak tahu mahu meletakkan wajah yang tidak berapa cantik ini di mana. Jika ada pasu besar untuk dipinjam, sudah lama aku pinjam demi menyorok muka yang sedang menanggung malu ini.

Jika diikutkan hati, aku hanya mahu berkurung di dalam bilik, sejak ibu mendedahkan rahsia terbesarku semasa makan pagi tadi. Nasib kurang baik, hari ini merupakan hari Ahad, nampaknya aku terpaksa berkurung di rumah.

"Akak tak percaya, Humaira. Lelaki tu..." Tidak sempat Kak Hajar menghabiskan ayatnya, terus sahaja dipotong laju olehku. Biarlah apa orang mahu kata, yang penting ialah hati dan perasaanku yang perlu dijaga.

"Lelaki tu apa?" Aku menongkat dagu. Jujurlah, aku teramat marah hari ini. Hendak bercakap dengan abah pun, tidak ada mood, apatah lagi si kakak harimauku ini. Menyampah!

"Kawan sekolah rendah akak. Sama batch, tapi tak sama kelas."

Aku merenung Kak Hajar tajam. Sekali lagi, rasakan dia dengan mata helang versi wanitaku ini. Fikiran aku bercelaru hari ini, tidak dapat menerima hakikat yang sebenar. Rahsia yang aku pendam selama ini, telah jatuh ke tangan tiga orang tersayang.

Kali ini, aku tidak percaya. Aku tidak percaya akan realiti yang diceritakan kakak. Aku mengatur nafas lembut, sedang mencuba untuk bertenang. Jantung yang berdegup laju, cuba diperlahankan agar tidak terkena serangan jantung.

"Akak tak tipu Maira... kan?" soalku separa berbisik, dengan wajah yang dipalingkan daripadanya.

"Tak. Sumpah. Akak kenal dia. Akak ingat muka dia. Sebab dia ada kisah silam.... yang Maira tak tahu," jelas kakakku. Ayat itu masih dibiarkan tergantung tidak bertali, aku biar sahaja walaupun minda ini masih tertanya-tanya. Kisah silam apakah yang dilakukan dia, hingga wajahnya masih segar di ingatan kakak, biarpun sudah sembilan tahun kakak meninggalkan sekolah rendah.

Sepi. Tidak mampu untuk digambarkan, perasaanku ketika ini. Biarpun hati berbelah bahagi untuk mengetahui kisah silam sang lelaki, namun aku memilih untuk tidak mengambil tahu. Mungkin itu lebih baik, sebelum aku berburuk sangka kepadanya.

Kerana sebuah perkataan yang dinamakan kisah silam. Biarpun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu, belum pasti ia akan pudar dari ingatan seorang manusia. Jika kisah silam lelaki itu menjadi mimpi ngerinya sehingga kini, lebih baik untuk aku tidak mengambil tahu.

Biarpun beza umurku dengan Kak Hajar hanya dua tahun, aku dan kakak tidak bersekolah di sekolah yang sama, sejak kecil. Sengaja ibu dan abah menghantar aku dan kakak ke sekolah yang berbeza, demi fokus menuntut ilmu. Fokus tang mana itu, aku tidak tahu. Yang pastinya, aku dihantar di sekolah di bandar. Sejak kecil, aku berkawan dengan orang bandar, hingga tidak kenal rakan sekampung sendiri.

Jadi...

Umur lelaki itu ialah 21. Hanya lebih kurang dua tahun bezanya daripada aku. Sebaya dengan kakak.

"Jadi, Maira nak tahu ke tak?"

Lamunanku mati. Aku membuka mata seluasnya, memalingkan tubuh menghadap semula kakak yang sedang bersuara. Di saat ini, hanya Dia yang mengetahui setahap manakah hatiku sedang bercelaru kuat. Aku masih berbelah bahagi, untuk mendengar cerita sebenar daripada si kakak.

Dengan satu nafas, aku menjawab. "Nak. Bagitahu jelah."

"Jangan menyesal. Akak bagitahu, ni." Kakak mengambil nafas sambil tersenyum sinis. Senyuman psiko kakak, sudah cukup membuatkan jantungku berdegup semakin kencang.  "Dia tokoh murid sekolah. Dia menang macam-macam pertandingan masa sekolah rendah dulu. Cikgu-cikgu selalu puji dia."

"What!" Aku ternganga. Ku sangkakan 'kisah silam' yang menyakitkan, sebaliknya kisah silam yang mengharukan. Nampaknya, aku selamat di prank oleh kakak. Haru sangat, haru!

Kakak membelai rambut hitamku, mulutnya dirapatkan ke telingaku. Seperti mahu berbisik. "Tapi, sampai situ sahajalah akak ada berita pasal dia. Lepas darjah enam, akak dan dia dah tak sama sekolah lagi."

Ya, aku tahu. Dia meneruskan pengajiannya ke sebuah akademi tahfiz yang menghafaz 30 juzuk ayat suci Al-Quran. Pada usia 17 tahun, dia mengambil sebuah peperiksaan awam, dan mendapat keputusan yang cemerlang. Persoalannya, mengapa dia menyukai aku, sedangkan beribu malah beratus juta wanita yang lebih daripada layak untuk menjadi jodohnya.

Hairan, bukan? Lebih hairan, dia sanggup mencemar namanya sendiri demi aku. Terasa hina diriku ini, dia terlalu sempurna untuk aku. Nampaknya, angan-angan indahku selama ini hanya sebuah mimpi, mimpi indah yang hanya bayangan semata. Bayangan.

Bayangan mimpi yang tidak berpenghujung.

Kembali kepada alam nyata.

"Speechless? That's him." Kakak tertawa kecil, tubuhnya dilabuhkan di sebelahku. Kami saling berpandangan. Pandangan halal, antara adik beradik sesama jantina. Bukan yang haram. "Lagi akak tak percaya, masa dia datang raya rumah kita dulu dan tolong Maira masa jatuh hari tu. Kalau ikutkan hati kecil ni, dah lama akak ternganga luas, lalat pun boleh masuk."

"Jadi..." aku berpura-pura tidak faham. Mulutku kaku seribu bahasa. Hanya persoalan curiga yang bermain di fikiranku.

"Akak betul-betul tak sangka. Masa akak kecil-kecil dahulu, akak selalu tertanya-tanya, dengan siapa lelaki tu akan berkahwin. Tapi... kalau adik akak sendiri..." ayatnya terhenti.

Aku terdiam seribu kata. Hanya hati yang menyimpan sejuta kuntum bunga, namun wajahku menunjukkan ekspresi biasa. Bijak benar aku menyembunyikan perasaan yang sebenar.

"...akak teruja sangat, Maira!"

"Akak." Suara kecilku memecah telinganya.

"Maira perlukan seseorang untuk ubah sikap Maira yang selalu cuai dan naif ni. Akak, ibu dan abah takkan mampu untuk jaga Maira 24 jam. Kalau ada 'pak sanggup' yang sanggup nak menjaga Maira, akak happy sangat!" Tawa kakak terburai hebat. Kononnya, kelakar sangatlah.

Aku memukul bahunya, tidak setuju. Sudah aku hidu, setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut kakak, pasti ada agenda tersembunyi di sebalik ayat yang kononnya manis bergula itu. Peribahasa berkata, ada udang di sebalik batu. Sama sahaja seperti kakak.

"Apa? Akak cakap betul, apa?" Kening kakak diangkat hairan, masih tidak berasa bersalah dengan ayatnya sebentar tadi. Dasar hati batu punya kakak!

"Betul tak betul, itu kisah lain!"

*****

JARI-jemari mulusku laju menari di atas papan kekunci. Nasib baiklah hari ini bukan hari yang sibuk, dapatlah aku berehat setelah tugasan disiapkan. Sudah tamat persekolahan, nampaknya aku yang perlu mencari duit untuk menyara keluarga. Jika dahulu, abah yang bersusah payah mengikat perut untuk menanggung kami bertiga, kini giliran aku dan kakak untuk membalas jasa mereka.

Sebungkus nasi lemak yang berada di dalam beg plastik merah itu, aku tenung. Harumannya begitu enak, dibungkus dengan daun pisang yang segar. Mesra alam. Tidak sabar rasanya untuk menikmati kelazatan nasi lemak tersebut, tambahan pula dimasak dengan penuh kasih oleh orang yang tersayang.

Semenjak hari itu, hampir setiap hari aku mengunjungi kedai ibu saudara Faris, semata-mata mahu merasa keenakan air tangan lelaki itu. Jarang sekali, seorang lelaki mampu memasak dengan baik lagi sedap.

Alhamdulillah, lelaki ini tidak terkecuali. Sumpah, dia ialah husband material ku. Bayangkan, setiap hari aku dapat berehat dan goyang kaki, tinggal suami yang menyediakan segalanya. Fuh, seperti permaisuri. Akulah, permaisuri kepada Muhammad Faris Azmi.

Berangan.

"Siap." Jari-jemariku melepaskan papan kekunci. Jemalaku terasa agak pening disebabkan menghadap skrin komputer yang terang dalam masa yang agak lama. Kini aku boleh menutup komputer, segera menikmati kelazatan dan keistimewaan nasi lemak bakal suamiku.

Bakal suami?

Berangan kuasa dua.

"Awalnya. Ini mesti tak sabar nak makan nasi lemak pujaan hati tu kan..." Kak Fatin tersenyum mesra. Menyesal pula tidak belikan untuk si kakak majikan seorang ini. Kasihan Kak Fatin, terpaksa menghidu haruman nasi lemak tersedap di dunia ini.

"Ofkos!" Setelah mencuci tangan, segera aku membuka bungkusan dengan berhati-hati. Segala kemasan dilakukan dengan sempurna, begitu juga rasanya.

Lebih daripada sempurna.

"Nah." Kak Fatin menghulurkan wang kertas RM5 kepadaku. Aku mendongak ke hadapan, memandang Kak Fatin. Apa tujuannya memberi aku not berwarna hijau ini? Kalau hendak beri, berilah not berwarna ungu ke, barulah syok!

"Untuk apa?" soalku. Hairan bin pelik.

"Belikan nasi lemak tu untuk akak dengan Laila. Terliur pula tengok. Harini, akak puasa. Isnin, kan?" Dia mengukir senyuman.

"Ya Allah. Sorry akak. Tak tahu." Bungkusan nasi lemak tersebut, aku alihkan daripada pandangan Kak Fatin. Risau sekiranya dia terliur dan mahu membuka puasa.

"Tak apa. Keep the change, okay?"

Aku mengenyitkan sebelah mata. Sekurang-kurangnya, adalah sedikit upah untuk aku yang berpenat lelah tolong membeli ini. Ish, bakhil sungguh perangai ini, hendak kirm nasi lemak pun, perlu diberi upah.

"Akak tahu, nasi lemak tu istimewa sangat buat Maira. Siapa tak suka masakan orang yang kita sayang dan puja, kan? Lagi-lagi bila sedap. Tapi, kesedapan tu perlu dikongsi bersama, right?" ucap Kak Fatin, panjang lebar.

Siapa tidak suka? Setiap kali aku menyuapkan nasi lemak ini ke dalam mulutku, akan teringat setiap kata-kata lelaki itu yang berbisik di telingaku. Cukup indah untuk aku bayangkan.

Iris mata Kak Fatin masih menenung aku.

"Tapi, kalau kita berkongsi, bukankah kita telah buat orang lain gembira? Tak fasal-fasal, dapat pahala percuma. Tak nak?" bicaranya. Riang.

"Nak. Mestilah nak."

*****

KAKI aku berhenti sebaik sahaja memasuki kawasan penjaja. Kedai ibu saudara lelaki itu, sepatutnya hanya berdekatan di sini. Hari ini, kedai itu tiada. Lenyap.

Bunyi jeritan dan laungan bergema di atmosfera. Ada penjaja lain yang sedang mengemas gerai masing-masing. Beberapa pegawai beruniform datang ke setiap gerai dan memaksa mereka menutup gerai.

Ya Allah.

Hanya satu perkataan yang mampu aku ucapkan. Entah apa nasib Faris apabila gerainya terpaksa ditutup, disebabkan manusia-manusia yang gila kuasa ini. Bagaimana dia ingin menanggung tujuh lagi adik-adiknya yang masih bersekolah, jika pendapatan utamanya disekat sebegini.

Aku beristighfar di dalam hati. Aku sudah tidak hiraukan lagi penat lelah aku berjalan kaki ke sini, semata-mata untuk menunaikan hajat Kak Fatin. Yang penting, aku ingin berada di sampingnya, memujuk dia.

Masalahnya, sehingga kini aku tidak mengetahui di mana rumah lelaki itu. Cukup aku mengetahui dia tinggal di kampung ini. Tidak mungkinlah aku ingin mengetuk satu demi satu rumah, demi mencari seorang lelaki berusia 21 tahun bernama Faris. Bukan hanya dia seorang bernama Faris di kampung ini. Bukan.

Satu demi satu penjaja pulang dengan wajah yang mendung. Mana tidak sedih, mata pencarian mereka disekat oleh manusia-manusia yang menggilakan kuasa dan hanya mahukan wang ringgit semata. Tinggal di dalam rumah mewah berpenyaman udara, tidak menghiraukan golongan miskin yang masih menggunakan kelambu untuk mengelak nyamuk.

Aku melangkah pulang ke rumah dengan wajah yang mendung, sama seperti mereka. Ingin sahaja aku menelefon Faris, bertanyakan khabar. Aku tahu, dia memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan. Aku orangnya.

Dia dan aku saling melengkapi. Jika hadirnya dia ke dalam lembaran hidupku demi mengubah nasib malang dan membantu aku terus berjalan di muka bumi ini, sementara hadirnya aku untuk terus menyokong dia. Kurangnya kasih sayang daripada keluarga sejak kecil, membuatkan dia berasa sunyi dan membesar dengan seribu kedukaan. Hanya diri sendiri yang tahu, bagaimana perasaan itu menyakiti di dalam diam.

Syukur, keluargaku masih menyayangi aku. Aku ada ibu, abah dan kakak. Biarpun kakak kelihatan menjengkelkan di mataku, dia tetap seorang kakak yang ingin menjaga adiknya. Untuk melihat aku ke arah yang lebih baik.

*****

Tiga hari berlalu.

Aku meneruskan hidup seperti biasa, biarpun tiga hari tidak menikmati nasi lemak air tangan bakal suami dalam mimpiku. Sungguh aku berasa aneh, tiada lagi rasa nasi lemak yang sempurna berada di dalam mulutku.

Berkali-kali aku menelefon si dia, tidak diangkat. Segala mesej yang aku hantar tidak dibaca mahupun dibalas. Ke mana sebenarnya dia hilang? Sudah aku menyoal kepada abah tentang rumah mereka. Namun apabila aku menjejakkan kaki, rumah itu sepi tidak berpenghuni buat sementara. Beratus ketukan dan ucapan salam penuh adab tidak dibalas.

Lupakanlah. Aku juga mempunyai tanggungjawab hakiki. Ke mana dia pergi, aku yakin suatu hari dia akan muncul kembali. Jarum jam pendek sudah menunjukkan pukul lapan pagi, bermakna sudah masanya untuk aku bertolak ke 'pejabat tidak rasmi' milik Kak Fatin.

Pernah juga abah menyuruhku mengambil lesen memandu sendiri, asyik-asyik mahu menumpang orang sahaja. Namun aku ini pemalas orangnya, selalu bertangguh sehingga terlupa. Kak Laila juga mempunyai kehidupan sendiri, sampai bila ingin menjemput dan menghantar aku pulang? Aku juga perlukan kenderaan sendiri, mudah untuk aku ke sana dan ke sini.

Aku hanya berdiri di halaman rumah, menunggu kereta Kak Laila datang menjemputku. Tidak sempat untuk aku menikmati sarapan pagi hari ini, sesuai dengan tekakku yang kurang berselera untuk makan.

Sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan rumahku. Tanpa melihat nombor platnya lagi, terus sahaja aku membuka pintu dan masuk ke dalam, tanpa segan silu. Sudah lama aku menumpang Kak Laila, sejak awal aku bekerja lagi.

"Alhamdulillah, dah nampak okey. Dua hari lepas ini, nampak murung je. Maira kenapa? Putus dengan kekasih hati ke?" soalnya panjang. Jelas wajahnya merisaukan aku sebagai kawan sekerja.

"Murung? Mana ada murung. Maira sihat aje lagi, kak. Tak ada pun murung. Sedih sikit tu, ada lah. Tak adalah sampai murung," jawabku. Hari ini aku dapat melegakan perasaan sendiri, setelah tidur yang cukup semalam.

Lelaki yang terlihat sempurna di mataku, kini hilang dari pandangan. Ke mana dia pergi, hati ini masih mencari biarpun jauh menanti. Aku rindukan suaranya, suara yang pernah menjadi igauan mimpiku. Suara garau yang merdu apabila mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, mampu bertaranum dengan baik. Suara itu tiada di sampingku.

Dengan ini, hatiku masih seti berharap agar dia cepat membalas setiap mesejku, agar aku tahu dia tidak apa-apa. Risau sekiranya apa-apa terjadi kepadanya. Dia tiada siapa untuk meluahkan kata dan isi terpendam di dalam hati.

Sehingga kini. Semoga dia kembali. Yang sempurna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience