Jika manusia diberi pilihan untuk hidup di dalam kisah realiti atau fantasi, pansti ramai tidak memilih realiti.
Kerana realiti itu terlalu menyakitkan.
________
"Awak."
Mataku menatap sahaja dia yang sedang menyiapkan makanan yang dipesan oleh pelanggan. Benar kataku, nasi lemak yang dimasaknya bukan sahaja diminati aku, malah seluruh penduduk kampung.
Hari ini, aku melihat sendiri dia memasak nasi lemak tersebut di hadapan mata kasar. Entah mengapa, aku menebalkan muka untuk datang ke rumahnya, hari ini. Terpaksalah berhadapan dengan adik-beradik dan ibu saudaranya.
Rumah ini, boleh tahan sesak juga dengan sembilan penghuni termasuk Faris. Cukup ramai, daripada yang paling tua hinggalah yang paling muda. Sembilan jumlahnya, dikumpul di dalam sebuah rumah kecil. Tiada ibu dan ayah kandung, cuma ada seorang ibu saudara dan seorang abang sulung yang sangat bertanggungjawab.
"Ye, ye. Aku dekat sini. Janganlah takut, anggap aje macam rumah sendiri," balasnya sambil tangannya masih lincah menabur kacang di atas nasi lemak dan sambal.
Jeda.
Aku tidak tahu untuk membalas apa. Hanya mata yang mampu memerhati lelaki itu berusaha untuk menyara keluarganya. Hendak tolong, dia menyuruh aku duduk pula. Lama-lama, boleh naik bosan aku duduk di sini.
Sungguh, aku bangga dengan anak lelaki sepertinya. Jika semua lelaki di dunia bersikap sebegini, pasti tidak ada isteri yang kecewa akan sikap lelaki setelah berkahwin.
"Awak..." Aku masih cuba mencari topik untuk bersembang dengannya. Tidak mahu keadaan terlalu sunyi, naik segan pula aku di sini.
"Ye Sayang..."
"Apa!" Aku menjegil mata. Jika aku mempunyai kuasa api, sudah lama aku mengeluarkannya, biarkan sang jejaka kepanasan. Aku masih punya harga, tidak boleh sesuka hati digelar sayang oleh mana-mana lelaki. Melainkan, dia lelaki yang aku sayangi.
"Sorry, sorry. Terlepas pula. Kau bosan ke? Aku nak mulakan sembang, tapi tak tahu nak sembang apa. Takkan aku 24 jam nak bagi nasihat je dekat kau, muak la nanti kan? Macam lah aku tak tahu perempuan seketul ni, suka sangat mengutuk Faris hensem di dalam hati." Dia senyum, menunjukkan baris giginya yang cantik. "Betul, kan?"
Gulp.
Aku menelan liur. Kuasa apakah ini, dia seolah-olah dapat membaca fikiranku. Benar, seringkali aku mengutuknya di dalam hati, asyik nasihat sahaja dia ingin beri.
"Be... betul. Eh, macam mana awak boleh tahu eh?" Bibir dikemam rapat. Kedua-dua tanganku diletakkan di atas peha.
"Sebab... awak cuai. Mudah sangat untuk orang teka sikap awak yang sebenar." Kata-katanya terhenti. Dia menyambung kerjanya.
Aku terdiam. Sekali lagi. Senyumanku mati. Setiap kata-kataku yang sepatutnya ingin dilontarkan sebentar tadi, terus hilang daripada fikiran.
"...tapi jangan risau. Aku pun, kadang-ladang cuai juga. Mana ada manusia yang sempurna seratus peratus. Kalau ada pun, mungkin Nabi Muhammad SAW."
Bukan mungkin, tetapi yakin.
Hanya Nabi Muhammad S.A.W manusia yang benar-benar sempurna, tiada dosa.
"Humaira, aku kan..." Dia diam.
Jeda.
Aku hanya menanti perkataan darinya dengan seikhlas hati. Aku tahu, dia berniat baik.
Tulus dari hati.
"Aku sebenarnya teringin sangat nak menghalalkan kau. Tapi itulah, aku tak tahu nak mulakan dari mana."
"Faris, awak..." Aku mengambil nafas. Sungguh aku terpana, biarpun aku tahu akan perasaannya kepadaku. Dia benar-benar serius, ingin menghalalkan aku. "Awak betul ke ni? Awak yakin, awak bukan dalam mimpi?"
Dan soalan itu bertubi-tubi disoal kepadanya. Dengan separuh nafas, dia menjawab dengan tenang.
Begitu tenang.
"Aku serius, Humaira. Aku tak tahu, kenapa aku nampak kau ni special. Lain dari yang lain." Dia mengambil tempat duduk. Berhadapan denganku.
Detak jantungku semakin perlahan. Wajahku masih muram. Begitu juga perasaanku, bercampur baur. Perlukah aku meletakkan harapan kepada si dia ketika aku berusia 19 tahun?
"Tapi, aku tak nak kecewakan hati seorang perempuan. Kau sanggup ke, hidup merempat macam aku? Kerja sini sana, kau sanggup ikut? Kau malu tak, kalau ada suami macam aku?"
Tidak, Faris. Jauh sekali aku ingin berasa malu. Aku sepatutnya bersyukur, kedua-dua kami mempunyai perasaan yang sama. Masing-masing saling mencintai diri masing-masing.
Aku dan dia. Mungkin bahagia yang akan tercipta, di satu ketika nanti. Mungkin terlalu jauh untuk aku bayangkan. Mungkin terlalu indah, lebih daripada realiti yang sedang aku lalui sekarang.
"Tak. Kenapa awak cakap macam tu? Awak pun tahu kan, semua orang ada rezeki masing-masing?" Kini aku bersuara. Lembut dan tenang. Ketenangan ini masih dikawal, supaya tidak meninggikan suara kepada dia.
Dia.
"Ya, Humaira." Barulah aku dapat melihat senyumannya. Sejak kebelakangan ini, asyik sahaja dia muram. Jarang sekali mengulum senyuman.
"Awak... pandai masak. Itu kelebihan awak. Saya tak pasti kalau awak pandai masak masakan lain juga, tetapi awak pandai sangat masak nasi lemak," ucapku. Demi meyakinkan dirinya.
Mungkin dia, tidak pandai mencari duit berkepuk seperti orang lain.
Cukuplah dia mempunyai kelebihan satu dalam seratus kaum lelaki, pandai memasak selain sardin dan mi segera.
"Sekejap." Dia merenung aku.
"A... apa?" Aku menunduk ke lantai. Malu akan tenungan tajam daripada si dia. Tidak mahu membalas, dek malu yang menebal.
"Humaira, kenapa masa hari pertama kita jumpa hari itu, kau pandang aku. Kenapa kau 'pandang' aku, sampai kau terjatuh masa angkat ketupat tu?"
Ah sudah.
Dia mengenang semula memori memalukan tersebut. Dahiku mula dibasahi titisan peluh, malu untuk mengingati kembali detik-detik tersebut. Mengapalah, aku begitu cuai ketika itu. Hebat sangatkah seorang jejaka berbaju melayu merah menyala, hingga mataku ditumpukan terhadapnya?
Dan kini, 'jejaka berbaju melayu merah' itu berada di hadapanku. Sedang merenung aku, bertanyakan soalan itu.
"Tak apalah kalau kau dah tak ingat. Tapi, aku akan sentiasa ingat. Itulah detik pertama kita berjumpa. Mungkin, sekarang tak rasa apa-apa. Tengoklah sepuluh tahun nanti." Dia kembali berdiri dan menyiapkan bungkusan nasi lemak.
Mungkin, aku akan mengingatinya sebagai harta paling berharga di alam memori. Jika orang lain bertemu jodohnya kali pertama di sekolah, universiti mahupun pejabat, aku yang unik.
Di rumah sendiri. Pada satu syawal, saat umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri.
Tetapi, yakinkah aku dia jodohku? Maksudku, usiaku masih panjang dan luas. Masih ramai insan yang belum aku temui. Benarkah dia, jalan yang aku pilih?
"Awak rasa, kita ada jodoh ke?" Aku memberanikan diri, menyoalnya. Degupan jantung semakin laju, menanti jawapan daripadanya.
"Kalau kita yakin. Yakinlah pada ketentuan-Nya."
Tenang.
Nafas dilepaskan lembut.
"Dah siap. Kau nak ikut aku tak, hantar nasi lemak ni?" Faris membungkus semua nasi lemak yang ditempah ke dalam beg plastik, tiga puluh bungkus semuanya.
"Naik motor ke? Kalau naik motor, tak mahulah. Nanti, apa pula orang kata." Serba salah aku dibuatnya.
"Kau fikir, senang-senang aku nak bagi perempuan entah dari neraka mana, peluk aku tanpa nikah? Big no lah, budak." Dia menjinjit beg plastik.
Apa maksud dia? Perempuan dari neraka?
"Sorry. Gurau je. Kau, perempuan paling 'cantik' aku pernah jumpa. Cantik dari segi dalaman. Cantik dari segi akhlak." Langkahnya keluar menuju ke halaman rumah, diikuti aku. "Akhlak itu segalanya. Tak guna cantik dari segi rupa paras, ada kulit putih macam salji, tapi tak ada akhlak."
Faris mencapai segugus kunci yang berada di tempat penggantung kunci. Entah kunci apa yang dicapainya, aku tidak tahu.
"Sudahlah. Ikut aku naik kereta. Ingat aku miskin sangat ke, sampai tak ada kereta? Haritu pergi mall, naik apa? Kereta lembu?" Tawa kecil pecah dari mulutnya. Pintu pemandu dibuka, dia masuk ke dalam perut kereta. "Tunggu apa, masuklah. Nak tunggu aku layan kau macam cinderella, baru nak masuk?"
Sempoi. Itu yang aku minati tentang dia. Cakap tanpa bertapis, apatah lagi bahasa kiasan yang membuatkan aku rimas.
Ya, aku sukakan setiap ayat sempoi daripadanya.
Pintu kereta dibuka. Serba salah untuk aku masuk ke dalamnya, namun sudah dijemput tidak mungkin mahu menolak pula. Bukan selalu, aku dapat meluangkan masa bersama Faris.
Bak katanya, jangan sia-siakan peluang. Peluang tidak datang berkali-kali. Peluang yang sekali ini, akan meninggalkan memori. Sama ada memori itu baik mahupun sebaliknya, tetap akan dikenang indah suatu ketika nanti.
Ketika masa jauh meninggalkan kita.
Bauan pewangi daripada kereta milik Faris menusuk hidungku. Terasa dingin suhu di dalam kereta ini, memandangkan hanya aku dan dia yang berada di sini.
Terasa janggal untuk kami berduaan di dalam kereta, meskipun ini bukanlah kali pertama.
"Kenapa kau nampak takut? Ini kereta aku lah, bukan penculik van Thailand yang nak culik kau. Aku takkan jual kau kat Siam, Humaira. Buat apa nak takut?" Matanya masih fokus pada jalan raya, hanya mulut yang bergerak.
Aku bukan takut. Cuma janggal.
"Saya tak takut, Faris. Cuma tak biasa. Saya jarang naik kereta dengan lelaki, selain ayah saya," jujurku.
"Saya faham."
"Jadi..." Aku menjarakkan diri daripada Faris. Jika boleh jarak sepuluh meter di dalam kereta ini, akan aku menjarakkan diri sejauh itu.
"Saya pun sama. Kali pertama saya menumpangkan perempuan yang bukan ahli keluarga saya. Tapi tak apa, mungkin dalam masa terdekat, awak akan jadi ahli keluarga saya juga. Insya-Allah. Dengan izin Allah."
Maksudnya?
"Apa maksud awak, Faris? Keluarga apa?" Kali ini aku hairan.
"Family."
*****
"FAMILY."
Dan perkataan itu berlegar di fikiranku, sehingga kini. Padang yang luas direnung indah, melihat rumput yang tumbuh menghijau di padang besar ini. Ada sahaja akal si dia mahu membawa aku ke mana. Yang penting, tidak membazirkan wang.
"Kita akan bina sebuah keluarga. Keluarga yang bahagia, tenang dan menyamankan."
Terangnya lagi.
Posisiku yang sedang mencangkung di atas padang bertanah ini, ditukar kepada melutut. Tidak apa terkena sedikit tanah pada pakaian, begitu juga pengakhiran kita nanti.
"Comel."
"Apa... apa yang comel?" soalku cuak. Perasan sahaja.
"Kau... duduk. Macam anak itik."
Taguna!
Aku menyumpah di dalam hati. Inikah lelaki yang aku sayangi? Benarkah dia orangnya?
"Macam anak itik yang baru lahir, jalan terkedek-kedek dekat ibunya. Lepas tu, berbunyi kuek-kuek-kuek, comel!" Faris tertawa.
"Apa kuek-kuek? Awak fikir, saya ni itik ke? Kurang asam boi punya Faris." Aku mencebik tanda tidak setuju. Bukan mahu menggedik dan mencari perhatian dengan si jejaka, cukuplah aku ingin dia tahu aku tidak sukakan gelaran itu.
"Itik kan comel. Ada warna kuning, putih, hitam, kelabu. Ada yang boleh dimakan. Walaupun bermacam-macam jenis, semuanya berkongsi nama yang sama, iaitu 'itik'. Macam itulah juga manusia kan, macam macam warna dan jenis. Tetapi, semuanya berkongsi nama yang sama. Manusia." Tawanya terhenti. Senyumannya masih hidup.
"Jadi, apa kaitan manusia dengan itik?" Keningku dijongketkan.
"Manusia dengan itik ataupun mana-mana haiwan lain, dua-dua ada otak. Tetapi kau tahu tak, kenapa itik tak boleh berfikir?" Faris mematikan bicaranya. Sudah aku tahu jawapan ini, sudah lama tersemat di kepala.
"Kerana itik tak ada akal."
Kini, aku melepaskan jawapan itu.
"Betul," responnya. "Walaupun itik tak ada akal, tapi tengok hubungan keluarga mereka. Ibu-ibu, sentiasa menjaga anak."
Manusia pula, tidak.
"Kau tahu sebab apa?" Dia memandang aku. Iris mata kami bertemu. Biarpun begitu, jarak antara kami masih jauh.
"Sebab apa?"
Sungguh, aku lemas dengan pandangan indahmu. Mata hazel gelapnya yang sedang merenung, membuatkan aku terpaku. Seluruh tubuh automatik kaku, tidak dapat digerakkan lagi.
Aku kalah dengan renungan dan senyuman mautnya. Aku lemas dalam lautan miliknya. Benar, cinta telah mencengkam diriku.
Aku tidak pasti aku salurkan cinta ini ke jalan yang benar mahupun tidak. Biarpun begitu, aku masih mengharapkan dia.
Kita akan bersatu dengan cinta.
"Aku pun tak tahu." Tawa kecil yang beradab keluar daripada mulutnya. Bukan kali pertama aku melihatnya ketawa sebegini. Sungguh beradab dan manis, lebih manis daripada aku yang perempuan ini. Kadangkala, tawaku sudah kedengaran seperti pontianak pula.
"Dah tu?" Aku berpura-pura tidak faham. Mataku kembali memandang rumput yang luas, tidak hanya melekat pada tubuh si dia.
"Aku main bantai je. Jangan ambil serius sangat, Humaira. Kita kena gurau-gurau juga. Kalau kita serius sangat, tak 'syok' lah hidup. Dalam kita mengejar akhirat, kita perlu seimbangkan juga dunia."
Baiklah, aku mengerti. Renungan mata yang redup diturunkan je padang rumput yang mengerbang sedikit ditiup angin. Begitu juga dengan tudung bawal yang dikenakan olehku.
Mengerbang.
"Hebat kan, perempuan?" Dia bersuara, setelah kami diam sejenak.
"Kenapa?" Aku hairan. Setahu aku, lelaki yang paling hebat. Tidak gentar, tidak kalah dengan emosi dan berfikiran matang. Aku sebagai perempuan sangat merasakan rendah diri, kerana kami sangat lemah.
"Iyalah. Yang mengandungkan kita sembilan bulan, perempuan. Yang berjuang melahirkan kita di labour room, perempuan. Yang menyusukan kita selama dua tahun, perempuan juga. Bagi aku, kau memang hebat. Kau pakai tudung litup, baju bertutup, kaki berbalut. Kalau yang lagi advance, pakai niqab."
Aku tertawa kecil. Barangkali, aku sendiri tidak pernah merasai tiga perkara pertama yang diucapkan Faris. Sejujurnya aku takut, andai ia benar-benar berlaku kepadaku suatu hari nanti. Menjadi seorang ibu.
Mungkin, ibu kepada zuriat pewaris dia yang sedang duduk bersila di hadapanku ini.
"Kalau aku sendiri, mesti rasa panas bila pakai semua tu. Aku rasa, kalau pakai t-shirt selapis ni pun dah boleh rasa nak terbakar, lagi lagi di bawah cahaya matahari. Aku pelik dengan kau, kau boleh tahan semua ni. Aku tahulah, api neraka lagi panas, kan?" Dia tertawa.
Masih lembut dan beradab.
"Saya rasa, okey je. Tak panas pun. Bergantung juga pada material kain yang kita pakai. Kalau jenis satin tu, memang panaslah. Silap-silap, boleh peluh sebaldi. Kalau saya nak kahwin nanti pun, saya nak senarai hitam siap-siap baju satin. Panas!" Aku menahan senyum.
Satin dan kahwin, tidak dapat dipisahkan. Mungkin ketika zaman ibu dan abah dahulu, lazim sekali pengantin akan memakai baju mempelai jenis satin. Kononnya, berkilau seperti permata. Zaman sudah moden, kini kain songket kembali menjadi pilihan para mempelai. Bukan sahaja songket, barangkali kain chiffon yang biasa pun boleh dibuat baju yang cantik dengan hiasan manik dan labuci.
"Okay, done blacklist. Kau nak kain apa? Songket? Songket bunga tabur? Chiffon? Ataupun nak kain cotton yang buat baju tidur tu?" Faris mendongak ke langit.
"Dasar berangan terlebih!" Aku mencebik. Awal lagi untuk berangan-angan. Masih awal.
Jika baju tidur itu menjimatkan kos, maka aku akan memilihnya. Aku tidak mahu menyusahkan dia, sudah ku tahu kisah hidupnya yang perit dan sakit, tidak mahu kutambah beban kepadanya.
"Suka hati oranglah, nak berangan sekalipun!" Dia juga mencebik manja. Sungguh, aku kelukaan di hatiku terubat mendengar suaranya. Lemah lembut.
Angan-angan
Bila mencari pasangan
Yang bakal jadi pilihan si hartawan
Angan-angan
Jejaka pilihan hati
Punya personaliti segak tinggi
Lagu era 80-an itu berlegar di benakku. Bibit lirik penuh makna, sama seperti situasi aku dan dia.
"Faris, awak kan..." Aku cuba menggubah ayat. Sebaliknya, hanya piring lagu yang masih berputar di otakku terdetik.
"Ya," responnya.
Cari, cari
Tunggu, tunggu
Masih belum bertemu
Hari-hari yang berlalu
Meningkat usiamu
"Awak rasa, macam mana nak gambarkan perjalanan kita, setakat ni. Indah ke, malang ke, ataupun macam mana?" soalku. Entah soalan apa yang muncul di fikiranku. Aku mahu biarkan dia memersh otak, menjawab segala persoalanku yang bertubi-tubi. Tidaklah situasi terlalu kekok antara kami.
"Entahlah, Humaira. Mungkin takdir menemukan dan menyatukan kita. Bunyi macam pelik kan, bertemu di hari raya, awak jatuh dan saya tolong. Bila saya fikir balik, macam kelakar pula. Mungkin kita, satu dalam seratus agaknya." Mata redupnya kembali menghadap aku. Dia menutur kata, panjang. "Hakikatnya, kita hidup dalam dunia realiti, bukan fantasi. Jodoh ni mesti dicari. Memang, orang kata, kalau 'dia' dan 'dia' dah berjodohan, lari ke hujung dunia pun pasti bertemu."
Ya, aku tahu. Selalu sahaja didengari di mana-mana.
"Betul, aku tak nafikan. Tapi, kita tetap kena kenali bakal pasangan kita, sebelum kahwin. Zaman sekarang ni, mana ada dah kahwin paksa-paksa. Kalau ada pun, kau nak ke? Kalau dapat lelaki bagus, tak apa. Kalau dapat lelaki macam haram, hah kau nak? Confirm, tak sampai 24 jam kahwin, kau dah lari." Mulut lelaki itu ditutup lagi dengan tangan, menahan diri daripada tergelak seperti pontianak. Fuh, boleh tahan hebat juga kata-katanya. Benar.
"Betul juga kan. Zaman sekarang, tak ada dah kahwin paksa. Kebanyakan, orang akan pilih sendiri pasangan, kan? Kalau dia sanggup kahwin dengan pilihan hati mak ayah dia orang, sudah tentu dia orang anak soleh solehah. Saya pun, belum tentu lagi macam tu." Aku menyokong kata-katanya.
Tetapi aku yakin, ibu dan ayah sangat memahami aku. Mereka tidak akan memaksa, jika anaknya tidak bersetuju.
"Inilah realiti hidup, Humaira. Kita mampu untuk karang berjuta-juta patah perkataan tentang kisah orang, tapi kita tak mampu untuk tentukan takdir kita sendiri." Hembusan nafasnya, jelas.
"Awak ni kan, kenapa dilahirkan bijak sangat? Cemburu saya!" Bibirku dijuihkan. Hanya bertujuan untuk bergurau.
Sejujurnya, aku tahu darjat kami dari segi kepintaran berbeza. Dia sepuluh kali ganda lebih pintar daripada aku.
"Semua ni, bukan milik aku. Tapi milik DIA."
*****
"AWAK,"
Motosikal milik Faris cuba untuk dihidupkan. Berkali-kali pedal ditolak, masih tidak hidup. Agaknya, sudah lama tidak menggunakan motosikal, ataupun kehabisan minyak.
"Awak okey tak tu? Perlukan bantuan?" Aku yang sedang duduk di bangku, kasihan melihat dia yang bersusah payah. Tambah pula, kami berada di tengah-tengah bandar. Entah mengapa aku mengajaknya ke sini. Tetapi, jangan salah sangka. Aku datang ke sini menggunakan bas, bukan membonceng motosikal si lelaki ini.
Tong minyak di bawah kusyen dibuka. Mata perang miliknya meneroka sekeliling tong minyak kecil itu.
"Minyak okey."
"Dahtu?" Aku hairan. Minyak sudah baik, apa lagi yang tidak?
"Aku rasa, dah rosak. Lama aku tak bawa motor ni. Aku selalu naik kereta, kan? Tiba-tiba, mak saudara aku nak guna kereta." Dia mengambil tempat di sebelahku. Motosikal merahnya dibiarkan di tepi jalan.
"Jadi... awak nak naik bas? Bas loncat-loncat. Loncat sana, loncat sini, macam arnab. Sebenarnya, lebih cepat kalau awak balik naik motor." Aku memberi idea. Ya, aku merancang untuk pulang dengan bas loncat, perlu menukar tiga atau empat bas sebelum sampai ke kampung.
"Aku ikut kau. Rasanya, elok juga. Sudah lama, aku tak merasa naik bas loncat. Lagipun, lebih baik aku temankan kau. Bahaya, dara muda naik bas seorang-seorang." Faris menerima cadanganku. Hakikatnya, aku keluar ke bandar hanya untuk membeli kasut, tidak tahu pula dia mengikut aku dari belakang. Tidak ada kerja agaknya, suka sangat mengekori aku, seperti dia pembantu peribadi aku pula.
Kami berjalan kaki, melintas setiap jalan raya. Aku dan dia degil. Jejantas di hadapan mata, namun kami masih memilih jalan bawah. Katanya, tidak banyak kereta.
Ya, memang jumlah kereta agak sedikit, boleh dikira dengan jari. Namun, kereta yang melalui jalan ini, semuanya dipandu laju. Sudah nama pun jalan utama yang besar.
Aku dan dia, tersangatlah degil.
"Humaira, cepat! Nak aku pegang tangan kau ke, baru kau nak jalan? Line clear, ni." Faris berjalan pantas, menuju ke seberang. Aku masih berjalan perlahan, risau sekiranya kereta datang secara mengejut.
SREKKK!
Gerakanku terhenti apabila mendengari bunyi kereta membrek secara mengejut. Aku pegun, jantungku seakan terhenti.
Perlahan-lahan, air mata jatuh mengalir di pipi. Pemandu kereta itu keluar dari kenderaan. Seorang lelaki berbangsa Cina, berbaju singlet dan seluar pendek. Lelaki itu berjalan seperti orang gila.
Aku merenung wajah lelaki itu geram. Terasa mahu memberi sekepal penumbuk kepada dia. Melihat lelaki yang menghadiri setiap mimpiku terbaring kaku, aku tidak tahu untuk membuat apa. Nombor 999 didail, aku menelefon ambulans sambil menangis.
Manakala, pemandu itu masih tidak berasa apa-apa. Dia masih berjalan seeprti orang tidak waras, seperti tidak sedar daripada tidur.
"Faris..." Aku memanggil namanya, namun tidak berjawab.
Wahai Tuhan yang Maha Penyayang, selamatkan dia. Air mataku masih bertakung, mengalir tanpa henti.
Aku terduduk sendiri. Menanti ahli kecemasan datang membantu.
SPOILS: Faris tak mati. Btw, kalaulah anda perasan. Kes ini macam kisah benar, tapi diubah sedikit. Kes yang banyak sangat berlaku di negara kita. Pemandu mabuk. Hana sangat kesal, haram kerajaan Malaysia boleh ban arak. TAK PASAL PASAL FARIS JADI MANGSA~~ T-T Kk hanya rekaan. Bukan kisah benar. Jangan lupa baca Sayangku Crush! <33
Share this novel