08; Janji

Romance Series 3947

Dan semoga cinta kita bertemu,
Di atas kalimah janji yang bersatu.

Selamat malam, bakal imamku.

_______

4k words. Sama je macam double update tapi disatukan dalam satu bab.

Putar lagu: Rindu Setengah Mati (Cover)

_______

KAKIKU kian terasa lemah disebabkan berlari terlalu laju. Plastik berisi barangan yang dikirim oleh ibu diletakkan di atas meja. Segera aku mengambil tempat di atas kerusi. Aku seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku lihat di kedai tadi. Ia bukanlah hantu mahupun makhluk halus, sebaliknya manusia normal yang aku kenali.

Dia. Faris Azmi.

Sepuluh hari aku kehilangan dia tanpa khabar berita, kini dia muncul kembali di kedai. Sama seperti aku, tujuannya untuk membeli barangan mentah. Lihat sahaja lelaki itu, laju sahaja kakiku melangkah lari pulang. Tidak mahu bertentang mata dengannya.

Mesej dan panggilan telefon daripada aku, tidak dijawab. Agaknya apalah dia lakukan sepanjang tempoh 'merajuk', sehingga tidak mahu membalas mesej aku. Hairan betul, seorang lelaki akan menangis teresak-esak di tepi bucu katil seperti seorang perempuan.

Dan perempuan itu ialah aku. Si lemah yang selalu sahaja lemah. Akan menangis setiap kali jatuh.

Aku mendongak ke siling. Entah mengapa, lelaki itu kelihatan terkejut sebaik sahaja melihat aku. Adakah semua ini dirancang? Dan dia... mahu melarikan diri daripada aku?

Sudahlah. Malas untuk aku berfikir. Segalanya palsu. Setiap ucapannya yang berkata 'aku sayang kau' segalanya palsu. Jika benar dia sayangkan aku, mengapa dia perlu mengelak?

Tanpa membuang masa, segera aku melangkah menuju ke bilik. Tinggal beberapa jam sahaja lagi, malam bakal menjelma. Cahaya matahari semakin menghilang, tinggallah cahaya bulan yang dipantulkan daripada matahari menjadi pengganti.

Dum!

Pintu dikunci rapat supaya tiada sesiapa dibenarkan masuk. Segalanya tentang lelaki itu dibuang daripada kotak memori untuk sementara, memandangkan ada kerja yang lebih penting aku perlu lakukan.

Tubuh aku terdiam kaku. Bilik ini jelas terasa sunyinya, disebabkan hanya aku seorang di dalamnya. Hendak mengharapkan ada teman yang akan menemani setiap tidur, dalam mimpi bolehlah.

"Humaira, Humaira, Humaira. Buka pintu!"

Dengan tabah, aku menggenggam tombol besi, bersedia dengan kecekalan hati untuk menghadap kakak. Perlahan-lahan ia dipusing, bibirku pula melakar senyuman kecil. Buka pintu pun, perlu ada gaya. Barulah encik bakal suami suka. Gitew!

"Ni akak nak tanya ni, asal gemuruh semacam ni? Macam kena kejar anjing pula," kakak kehairanan. Kakak menggeleng perlahan melihat gelagat pelikku.

Aku tersenyum herot. Tiada anjing yang mengejar aku, sebaliknya seorang manusia yang mampu membuatkan aku lari tidak cukup tanah. Seribu langkah tidak cukup untuk menghilangkan kegerunan aku terhadap dia, begitu hebat aura si jejaka untuk menakut-nakutkan aku. Biarpun aku bertemu dengannya secara tidak sengaja, sepuluh hari kehilangan dia cukup membuatkan aku kekok untuk bertegur semula.

Sepuluh hari itu ibarat sepuluh tahun.

"Gemuruh apa? Ingat gemuruh jiwa, semangat membara?" Sebaris lirik lagu yang pernah terkenal beberapa tahun lalu muncul di fikiranku. Mantap, mudah untuk aku menyembunyikan perasaanku yang sebenar. Aku tidak mahu semua orang tahu, betapa besarnya harapan aku terhadap lelaki bernama Faris Azmi itu. Biarlah menjadi rahsia hati.

"Tak apalah. Kalau adik nak makan, akak dah masak. Nasi lemak. Tahu, memang tak sesedap nasi lemak Faris dia tu, tapi makan sahajalah, ubat rindu tu. Ingat akak tak tahu, dah lama dah gerai-gerai penjaja kat situ kena sita, mesti adik pun rindu nak makan air tangan encik abang dia kan?" Kakak tersenyum simpul, menahan ketawanya. Lucu sangatkah, huh?

"Iyalah. Terima kasih sebab faham. Tapi, boleh tak jangan ganggu Maira lagi? Asyik-asyik ketuk aje, Maira pun nak ada privasi sendiri. Maira tak ada pun ganggu bilik kakak, kan?"

Pintu ditutup rapat. Isi hati yang sebenar masih disembunyikan. Mendengar sahaja perkataan 'nasi lemak', laju sahaja fikiranku membayangkan enaknya masakan melayu tersebut, apatah lagi jika dibalut dengan daun pisang yang wangi. Fuh, lazat tidak terkata.

Namun, kali ini berbeza daripada yang sebelum ini. Kali ini, kakak sendiri yang memasaknya, bukan lelaki pujaan hatiku. Bukan.

Apapun, aku sudah tidak dapat menahan lapar lagi. Langkah aku diatur keluar dari bilik, menuju ke dapur. Kelihatan ibu, abah dan kakak sedang menikmati juadah di atas meja makan, tinggal aku seorang sahaja yang tiada. Keluarga ini, tidak lengkap tanpa aku.

"Maira tak mahu makan?"

Aku hanya mengangguk kelat. Hati aku berbelah bahagi untuk makan. Melihat tiga ahli keluargaku makan dengan begitu berselera, belum cukup untuk menarik perhatianku. Agak lama untuk aku melayan perasaan sendiri, sehingga selera makan itu hilang dengan mudahnya.

"Tak... tak apalah ibu," jawabku ringkas. Ekor mataku tidak jemu memerhati mereka menjamah hidangan air tangan kakak. Kelihatan enak, namun entahlah.

Mungkin, melayan fikiranku lebih enak berbanding makanan, agaknya.

"Maira merajuk dengan dia ke? Dia dah masak nasi lemak untuk Maira pun, Maira tak nak makan. Penat dia hantar nasi lemak ni tadi, tahu tak." Giliran abah bersuara. Aku hanya membuka telinga dan mendengar, tidak membalas apa-apa.

Kini firasat aku tertanya-tanya, siapakah 'dia' yang dimaksudkan oleh abah. Mengapa abah tidak menggunakan perkataan kakak sahaja, memandangkan kakak berada di hadapan kami. Pelik benar aku hari ini, perkara kecil yang remeh pun mahu dihairankan.

"Tak, Maira tak merajuk dengan kakak pun. Gaduh pun tidak, nak merajuk apanya..." ayatku terhenti. Kening aku diangkat sederhana tinggi, hairan.

Abah ketawa kecil. Diikuti pula dengan ibu dan kakak. Sumpah, aku tidak mengerti langsung apa yang dimaksudkan mereka bertiga. Adakah mereka bertiga sengaja mahu mengenakan aku?

Ibu tersenyum nipis sambil berkata, "Maira tak tahu lagi, siapa yang masak nasi lemak ni?"

Tidak. Tidak tahu. Aku yakin, kakak menipu aku.

"Kakak?" tebakku biarpun setelah mengetahuinya tidak tepat.

Mereka bertiga sambung ketawa. Entah apa yang lucunya pun, aku tidak tahu. Sehingga kini, perasaan hairan masih terbuku di fikiranku, pelik dengan perangai keluargaku hari ini. Apa yang mereka sedang sembunyikan, sebenarnya?

"Jadi... Maira memang tak tahu ya?"

"Tahu apa?" soalku. Seperti tekaanku, mereka bertiga sedang menyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang bagaimana itu, entahlah.

Sukar untuk diterangkan.

"Faris yang bagi nasi lemak ni. Penat dia datang sini, semata-mata nak bagi makanan untuk kita. Dah dapat makanan sedap pun, Maira tak nak makan lagi. Takkan Maira nak tengok Faris masak depan mata Maira, baru nak percaya?" terang abah.

Barulah aku mengerti, maksud mereka. Rupanya, aku telah ditipu hidup-hidup oleh kakak, sengaja. Kakak hanya tersengih seperti kerang busuk, sementara aku menahan geram. Nasib baiklah dia kakak, bukan adik. Jika kakak ialah adikku, sudah lama aku 'terajang' sehingga lunyai. Acah gengster, konon.

"Biar betul, bah?"

Soalku, demi kepastian.

"Betullah sayangku Maira. Makanlah."

Aku menarik kerusi kayu lalu melabuhkan punggung ke atasnya. Bekas berisi nasi lemak dibuka, lalu diceduk sedikit ke dalam pinggan. Begitu juga dengan sambal, timun dan telur.

Setelah membaca doa, aku menyuap suapan pertama ke dalam mulut. Nasi di dalam pinggan ditenung lama, terbayang wajah sang tukang masak di benak fikiran. Sanggup dia datang sendiri ke rumahku, demi menghantar nasi lemak kegemaran aku.

Tetapi, mengapa?

"Percaya tak, ini nasi lemak yang Maira selalu beli hari-hari. Sama sahaja kan, rasanya?" Kakak menepuk bahuku.

Aku mengangguk laju. Sama, serupa malah tiada beza. Air tangan seorang lelaki, satu dalam seratus.

"Abah rasa, ada yang nak potong 'Q' ni, baik berhati-hati." Senyuman abah tidak lekang daripada bibir, sambil melirik ke arah aku.

Aku?

"Betul tu Hajar. Tak lama lagi, ada yang dapat adik ipar ni... kan?" Ibu menutup mulutnya dengan telapak tangan. Kali ini, ibu dan abah memandang kakak.

"A... apa?" Kakak kehairanan melihat dua pasang mata tertumpu ke arahnya. Cawan kaca yang berisi air sirap diletakkan ke atas meja, laju. Sedikit sisa batuk dikeluarkan daripada mulut, memandangkan tersedak dengan pandangan 'maut' ibu dan abah.

"Hati-hati. Jangan meroyan, kalau dapat adik ipar nanti. Tahulah, bakal adik ipar kacak," ayat abah ditujukan kepada kakak.

What? No!

Aku masih single mingle! Lambat lagi untuk menjadi tunang orang, mahupun isteri orang. Aku hanya menyimpan perasaan, cukup sekadar itu. Aku bukan kekasih orang, apatah lagi yang lebih daripada itu.

Ekor mataku memerhati tindak balas kakak. Nampaknya, kakak sedang kepanasan. Aku hanya membalas dengan senyuman herot. Padan muka!

"Humaira, abah sebenarnya... tak sangka." Iris mata kami bertemu. Aku dan abah. "Besar dah anak bongsu abah ni. Abah masih ingat, hari Humaira dilahirkan, abah sendiri yang azankan Humaira. Abah sendiri yang memberi nama Humaira Aafiyah, sedap disebut malah elok maknanya."

'Abah...' Aku mengeluh di dalam hati. Duhai air mata, janganlah terjatuh di sini. Kuat Humaira, kuat!

Sumpah, aku sebak.

"Semasa Maira kecil, abah sendiri yang dukung Humaira ke mana-mana. Abah jaga Maira, tak nak Maira kena gigit dengan seekor nyamuk pun. Begitu juga kakak."

Ya, aku masih ingat detik-detik indah itu. Dahulu, aku menjadi anak manja abah. Setiap hari, abah pasti akan melayan aku seperti menatang minyak yang penuh.

"Abah tak pernah lupa. Kalau pun satu hari nanti tanggungjawab untuk menjaga dua anak dara ni dah jatuh ke tangan orang lain, abah tetap akan jaga dua permata abah," sambungnya.

Air mataku jatuh di pipi. Aku tidakdapat menipu perasaan sendiri lagi. Hatiku digigit perasaan sebak yang mengusik perasaanku.

Kerana dia seorang ayah. Ayah yang akan sentiasa menjaga dan membahagiakan anaknya. Biarlah dia yang susah, asalkan tidak mahu mengecewakan anaknya.

"Sudahlah abang, kenapa cerita sedih-sedih ni. Sepatutnya kita gembira, bersyukur dah dapat makan makanan sedap hari ni, percuma pula." Giliran ibu bersuara.

"Tak... abang tak boleh tahan perasaan sendiri. Abang tak sanggup." Abah menggigit bibir. Sekali lagi, hatiku digigit perasaan sebak. "Abah harap sangat, abah sempat mewalikan kamu berdua. Iyalah, abah bukan selama-lamanya hidup."

"Abah... kenapa cakap macam tu?" soal kakak, dia juga mengalirkan air mata sebak.

"Insya-Allah, abah akan sempat. Kami yakin," balasku. Kali ini senyuman diukir daripada bibir, menceriakan semula perasaan kami berempat yang sedang mendung.

*****

DENGAN wajah yang sugul, aku keluar daripada bangunan kedai. Ternyata kejadian semalam hanya berlaku sekali. Tidak mungkin, pisang berbuah dua kali.

Aku tidak akan bertemu dengannya di kedai ini lagi. Tidak mungkin.

Plastik berisi roti dan jajan dijinjit aku. Hari ini, niatku hanya sekadar demi mencari dia, tidak lebih daripada itu. Jika semalam aku bertemu dengannya di tempat ini, aku akan mencarinya di sini.

Malangnya, tidak ada.

Aku hanya ingin mengucapkan terima kasih atas pemberiannya semalam. Tidak tahu pula, dia masih prihatin terhadap aku yang bukan sesiapa di dalam hidupnya. Mungkin dia mengecewakan aku, namun dia masih prihatin terhadap aku, dari sudut lain.

Semalam, aku menikmati nasi lemak itu dengan berselera biarpun dengan emosi. Cerita abah semalam membuatkan kami sekeluarga sebak. Segala kata-kata abah teramat benar lagi nyata. Sebagai seorang ayah, siapa sahaja tidak sedih?

Jika tanggungjawab sebagai seorang pelindung kepada anaknya, bukan lagi terletak padanya.

"Eh?" Aku merenung awan.

Titisan air jatuh ke tubuhku yang bersarung fabrik. Hujan turun rintik-rintik, membuatkan tubuhku basah. Segera aku berlari mencari tempat pelindung. Silapnya, aku tidak pulang secepat mungkin. Jika ikutkan, hujan sebegini masih sempat untuk aku berjalan kaki ke rumah.

Hujan turun dengan galaknya. Jalan-jalan yang tadinya kering, mula banjir dengan air hujan. Aku semakin resah, berharap ada yang akan menjemput aku.

Tetapi, siapa?

Sudahlah aku tidak membawa telefon pintar bersama. Ingat mahu bertandang ke kedai sebentar sahaja, sekali hujan yang turun pula. Nampaknya, aku terkandas di sini. Tidak tahu bila hujan akan berhenti.

Nampaknya, hari ini aku akan terlewat lagi. Meskipun aku tahu, Kak Fatin boleh dibawa bincang orangnya, namun ia bukan lesen untuk aku datang lewat ke pejabat. Aku ialah pekerja, aku sepatutnya menepati masa.

Kini, aku termenung dan termenung sendiri. Awan gelap yang menitiskan air hujan yang jatuh daripada langit, ditenung lama. Awan akan melepaskan airnya apabila berat, mengapa aku memendam perasaan sendiri dan akhirnya tersakiti?

Mengapa?

Di bawah bumbung pondok perhentian bas, aku duduk menanti. Menanti akan berhentinya hujan yang membasahi seluruh alam. Ya, aku sepatutnya bersyukur adanya hujan, dapatlah tanaman-tanaman hidup dengan baik. Masih ingatkah, pernah satu ketika dahulu kemarau berlaku panjang di negara ini, sehingga pembenihan awan terpaksa dilakukan demi mendapat hujan.

Di saat ini, bukan wajah sang lelaki yang aku cari muncul di fikiran, sebaliknya wajah kedua ibu bapaku. Agaknya, apalah yang mereka lakukan ketika ketiadaan aku. Sejak kecil, aku tidak dibiasakan terpisah dengan keluarga. Aku sentiasa bersama mereka.

"Ibu, ayah..." Aku mengemam bibir rapat. Biarpun hanya beberapa jam tidak bertemu, sudah dapat memberi aku perasaan rindu yang mendalam. Dalam beberapa jam ini, apa-apa sahaja boleh berlaku kepada mereka. Bayangkan, ajal mereka dijemput ketika ini.

Tidak, aku tidak mahu membayangkannya. Aku tidak rela, apatah lagi sanggup melihat mereka ditarik nyawa ketika aku tiada. Aku tidak mahu.

Tanpa aku sedar, sudah 30 minit aku berada di sini, menanti hujan berhenti. Kali ini hujan agak lebat, masih berterusan dalam 30 minit lamanya. Tidak ada tanda-tanda akan berhenti.

Aku perlu mencari alternatif untuk pulang. Keadaan luar diteroka sekeliling, mencari bahan yang boleh dibuat payung untuk melindungi aku daripada hujan. Mataku meliar ke sini dan ke sana, semata-mata mencari bahan yang aku inginkan.

Daun pisang.

Itu sahaja yang aku temukan. Dengan perlahan, aku cuba keluar daripada kawasan berbumbung dan mencabut sehelai daun pisang berwarna hijau daripada pokoknya.

Kini, daun pisang menjadi pelindung tubuhku daripada hujan lebat. Tidak seratus peratus menlindungi daripada hujan, namun ini alternatif terbaik untuk aku pulang. Aku tidak tahu sampai bila hujan akan berhenti, jadi aku berhasrat untuk pulang.

DUM!

Bunyi guruh yang menyambar bumi kedengaran di kaki langit. Aku berjalan pantas, demi mengelak petir.

DUM!

DUM!

"Ibu, abah, Maira takut..." Aku berlindung di bawah bumbung kedai. Tidak jadi untuk meneruskan perjalanan, dek takut kepada petir yang menyambar bumi.

"Ibu..."

"Abah..."

"Kakak..."

Tiga nama ini menjadi seruanku. Bukan lagi nama seorang lelaki yang tiada kaitan denganku. Mungkin Allah tidak meredhai perjalanan aku kali ini, kerana bertujuan untuk mencari seorang lelaki.

Aku menutup mata. Kakiku lemah dan longlai, tidak mampu ditahan lagi untuk terus berdiri. Perlahan-lahan, aku melutut di lantai simen. Sambil menutup mata.

Aku akan menunggu hujan berhenti.

"Eh, awak?" Suara seorang gadis menegur aku. Perlahan-lahan, mata yang terkatup ini dibuka semula, dapat aku lihat seorang gadis sedang melutut di hadapanku, menegur aku yang sedang bersendirian. Wajah si dia, seperti aku kenali. Namun, di mana aku pernah melihat wajah ini?

"Awak siapa?" soalku.

"Awak Humaira, kan? Saya tahu. Awak kenapa duduk dekat sini? Bahaya tahu, hujan-hujan ni. Ada kilat pula tu." Dia menarik tanganku, seperti ingin membawa aku ke suatu tempat.

Sebentar, siapa dia?

"Macam... macam mana awak boleh tahu nama saya? Saya tak pernah jumpa awak, kan?" Aku kehairanan lagi.

"Abang saya bagitahu."

Abang?

Aku memerhati lagi wajah si gadis. Benar, aku pernah melihat wajah yang seiras dengannya sebelum ini, dan aku ingat siapa pemiliknya.

Tanganku ditarik ke dalam kereta. Pintu kereta dibuka, dia menyuruh aku masuk ke dalamnya. Tidak dihiraukan siapa lagi gadis itu, aku hanya menurut perintanhnya.

Haruman lavender menusuk hidung. Kereta ini dipandu oleh seorang lelaki dengan tenang. Aku memerhati sekeliling. Daripada belakang tubuhnya, sudah dapat aku teka siapakah gerangan pemandu kereta yang 'menculik' aku ini.

Wah, menculik ya.

Dan si gadis ini, merupakan adiknya. Wajah yang seiras dan iris mata yang serupa warnanya, membuatkan aku kenali mereka berdua sebagai adik beradik. Ini baru dua daripada lapan, belum lagi enam manusia yang berbaki.

Keadaan sunyi dan sepi. Bunyi penyaman udara kereta sahaja yang jelas kedengaran di telingaku, sebaliknya pemandu dan si gadis diam membisu. Aku pula, tidak mungkin akan membuat bunyi jika tuannya terdiam sahaja.

Tidak sampai lima minit, kereta berhenti di hadapan rumahku. Si gadis yang merupakan adik kepada lelaki itu, membuka pintu kerusi penumpang belakang, menandakan aku sudah sampai ke destinasi. Ibarat dilayan seperti puteri raja, aku keluar dari perut kereta dengan penuh kesopanan.

"Sekejap," suara pemandu yang aku kenali itu.

Langkah aku terhenti. Hujan yang tadinya turun dengan galak membasahi bumi, kini semakin berhenti.

Dia keluar daripada tempat pemandu dan kereta. Langkahnya menuju ke arah aku. Debaran terasa kuat di dadaku, menahan perasaan yang hadir satu demi satu.

Faris memandang ke arah aku sambil menunduk. Mulutnya seperti ingin mengatakan sesuatu, namun tidak terlepas. Bibirnya bergerak perlahan, aku tahu dia sedang ingin mengatakan sesuatu. Suaranya yang kecil membuatkan aku kurang jelas. "Aku... minta maaf."

"Ke... kenapa?"

Pelik. Pelik bin hairan. Tiba-tiba sahaja ingin meminta maaf, sedangkan tidak buat salah pun.

Dia masih menunduk.

"Aku dah kecewakan perasaan kau, kan? Mesej tak reply, call tak angkat. Bukan apa, aku off telefon. Aku nak ubat perasaan sendiri," ayatnya terhenti lalu disambung lagi, "Tapi, aku tak sangka aku sudah mengecewakan orang yang aku sayang. Perasaan sendiri, perasaan sendiri juga. Perasaan orang, aku tetap kena jaga."

Kami tertunduk.

Mengapa dia perlu menjaga perasaan aku, sedangkan aku hanya perempuan yang hadir ke dalam hidupnya secara tidak sengaja. Masih tidak dapat aku lupakan tanggal keramat di mana bertemunya dua insan, aku dan dia.

Sudah berbulan lamanya tanggal keramat itu berlalu meninggalkan aku dan dia. Semakin bertambah usia memori itu, semakin bertambah masa aku bersamanya. Aku dan dia seakan-akan terikat bersama dengan tali, sentiasa ada untuk masing-masing.

"Awak... awak nak tupperware awak balik tak? Saya tahulah tupperware awak tu tak original, tapi takkan awak tak nak semula?" Aku cuba memecah suasana kaku. Aku masuk ke dalam rumah, mencari bekas nasi lemak yang dihantar malam semalam.

Dari jauh, ekor mataku memerhati senyuman manis daripada mulut lelaki itu. Aku melajukan langkah, menuju ke dapur dan mencari sesuatu yang aku perlukan.

Setelah menjumpai barang pinjaman tersebut, aku bergegas keluar rumah dan mendapati dia dan keretanya sudah hilang.

'Ah sudah...' keluhku di dalam hati.

Lelaki ini, memang bikin amarah sungguh! Penat sahaja aku mengambil bekas makanannya, sekali dia sudah pergi dahulu meninggalkan aku. Jika mahu pergi sekalipun, mengapalah tidak beritahu aku terlebih dahulu?

Dengan hati yang kecewa, aku mencapai telefon yagn berada di atas meja kopi.

Hari ini, aku cuti daripada kerja. Terpaksa. Sudah terlalu lewat untuk aku datang, memandangkan kes hujan hari ini. Menyesal pula aku berjalan kaki ke kedai pagi tadi.

Fuh.

Lega hatiku, apabila majikan membenarkan aku bercuti. Senyuman lega terbit dari bibirku. Namun, belum cukup lega dek lelaki yang menghilang secara tiba-tiba, seperti kuasa magik pula.

Agaknya, tujuan dia hadir ke dalam hidupku hanya untuk mempermainkan aku? Aku masih tertanya-tanya, seriuskah dia sebenarnya?

"Assalamualaikum. Humaira..."

Bunyi orang memberi salam. Suara dia. Dia yang hilang seperti lesapnya duit di awal bulan, muncul kembali. Aku memutar tombol pintu dengan berhati-hati, lalu mataku tertancap pada tubuh lelaki itu.

Apa. Dia. Mahu?

Jangan kata, dia mahu bermain sorok-sorok denganku. Andai aku jumpa, akan aku tangkap dan kurung lelaki itu di dalam hatiku, tidak akan dilepaskan lagi. Jangan main-main, encik pujaan hati!

"Ehem," aku berdehem sebelum menjawab salam yang diberikannya. "Waalaikumussalam. Nah, tupperware awak."

Dua bekas makanan yang bersaiz sederhana itu bertukar tangan. Tiada lagi adegan tersentuh satu sama lain, seboleh-bolehnya kami mengelak daripada perkara memalukan itu terjadi.

"Sorry. Aku hantar adik aku balik. Yang tadi itu, adik aku. Farhana. Sebaya kau," jelasnya.

Seperti yang aku agak. Mereka mempunyai wajah yang seiras, iris mata serta warna kulit yang sama. Lahir daripada rahim yang sama. Ibu yang sama.

"Jadi..."

"Aku... takut kau salah faham. Iyalah, perempuan ni kan mudah overthinking. Aku tak ada kawan perempuan selain kau," jelasnya lagi.

Bernada mendatar.

Iya, perempuan seperti aku mudah terlebih fikir daripada biasa. Sudah nama pun kaum wanita, pastinya diciptakan berbeza dengan kaum lelaki.

"Saya tahu, tengok muka pun dah tahu."

"Humaira, Humaira." Lelaki itu menundukkan pandangannya. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang. "Humaira, boleh tak aku belajar ilmu tenang daripada kau?"

"Hah, tenang?" Ketawa kecil pula kedengaran. Tenang apakah pula, Encik Faris?

"Kenapa ya, kau tenang sangat dengan aku? Sedangkan aku, punyalah gelabah macam kena kejar harimau nak berhadapan dengan kau. Ni baru permulaan, tahu tak? Belum lagi aku sendiri nak lafaz akad nikah depan tok kadi nanti." Ayatnya dibebaskan laju.

"Faris!" Ingin sahaja aku memukul manja tubuh sekurus lidi itu, namun aku masih tahu halal dan haram.

"Aku... serius."

Aku mengemam bibir. Wajah suci lelaki itu dipandang dalam. Mengapa dia sentiasa ada dekat berhampiran aku, walaupun terlihat jauh di mata?

"Aku serius. Lepas aku dah dapat kerja yang bagus, aku nak halalkan kau. Aku janji." Dia masih mengekalkan posisi menunduk, mungkin malu untuk memandang aku. "Humaira, awak tahu kan? Kau faham kan, kenapa..."

Riaksi aku ialah mengangguk.

Patutkah aku percayakan dia? Pelikkah andai aku masih ragu-ragu dengan kata-katanya? Dia hilang dan muncul, membuatkan aku sunyi dan ceria. Perasaan itu terbit dan pergi, sama seperti keberadaan dirinya.

"Kau tak kerja ke harini?" soalnya. Kali ini, barulah lelaki itu tidak lagi menunduk. Mata kami bertemu rapat.

Aku naik seram apabila mata kami bertemu. Melihat iris mata dark hazelnya yang bersinar indah, aku terpaku. Nafas ditarik dalam, itu pun tidak pasti dapat didengari oleh dia mahupun tidak.

"T... tak..." Suaraku dilontarkan gagap.

"Bukan apa... aku nak ajak kau pergi satu tempat. Aku tak tahu kau suka atau tak, kau kena ikut dahulu." Dia mengemam bibir.

"Satu tempat?"

"Jadi... kau boleh ikut aku ke? Yang penting, minta izin ibu ayah dahulu. Kalau mereka benarkan, baru aku boleh bawa kau. Okey?" Bibir merah delima lelaki itu mengoles senyuman.

Abah tiada di rumah. Yang ada hanyalah ibu. Dengan perasaan yang takut, aku sendiri berjalan ke ruang tamu lalu mencari ibu. Aku fikirkan, dia seorang yang mudah, sebaliknya complicated juga. Namun, aku akan lihat daripada sudut baik. Ada bagusnya dia menyuruh aku meminta kebenaran orang tuaku terlebih dahulu, risau sekiranya terjadi apa-apa, disebabkan kami tiada apa-apa hubungan yang sah.

Ya, memang tiada.

Setakat ini.

*****

"HUMAIRA, makanlah."

Lamunanku mati sebaik sahaja mendengar suara lelaki itu di telingaku. Air sejuk di dalam gelas tinggi diteguk dek haus, mataku memerhati sahaja makanan yang dipilih sendiri olehku.

Aku terasa bersalah. Sedar tidak sedar, aku telah membazirkan lima belas ringgit wang lelaki itu, memandangkan akuingin memuaskan tekak sendiri. Makanan yang aku pesan, semuanya akan dibayar oleh dia.

"Aku tahu, makanan ni tak semahal mana. Aku tak mampu bagi wang ringgit macam orang lain, apatah lagi soal goodlooking dan handsome. Kau boleh rate sendiri aku ini orang yang macam mana. Macam tu juga soal keikhlasan aku." Makanan kami ditenung lama. Aku tidak mula menjamah hidangan, begitu juga dengannya. Sanggup dia menunggu aku makan terlebih dahulu.

"Faris, bukan sebab itu. Saya terharu sangat, awak. Kenapa awak sanggup belanja makan untuk saya? Semalam awak dah hantar nasi lemak ke rumah saya, hari ini awak bawa saya makan pula. Kenapa, Faris? Awak buat semua ini, sebab dipaksa ke?"

Mendalam.

"Mana mungkin, Humaira. Tak ada orang paksa aku, selain paksa aku cari duit. Aku buat semua ni supaya kau tak kebuluran. Aku tahu, kau sentiasa keluar bilik dan ada makanan di atas tudung saji, kan? Walaupun kau bekerja, ibu abah kau tak pernah minta gaji kau kan, selain kau yang ikhlaskan hati sendiri nak bagi? Kau pernah rasa..."

Cukuplah, Faris. Aku mengemam bibir. Sudu dan garpu dicapai, aku mula menyuapkan makanan ke dalam mulut.

"...hidup sehari tanpa adanya makanan di bawah tudung saji? Masa itu, bergegas lah abang sulung pecahkan duit tabung ayam sendiri, semata-mata tak nak tengok adik-adik dia kebuluran. Semua gaji aku, usaha aku jual nasi lemak semua tu, duit untung semuanya bagi makcik, untuk menyara adik-adik aku. Aku hanya dapat duit sedikit, itu pun dari kerja 'pakcik kantin' kat sekolah lama aku tu."

Cukup panjang. Cukup panjang untuk aku memahami hidupnya. Maka, nikmat apa lagi yang kamu dustakan, Humaira Aafiyah?

"Awak..." Tidak sampai hatiku, untuk menyuruh dia berhenti biarpun hati sedang meronta. Tidak mampu lagi untuk aku mendengar kisah hidupnya.

"Tapi kau... ada makanan pun masih memilih, kan? Kau ingat, aku tak tahu ke 'mogok' kau, tak nak makan siang malam. Aku cuma tak nak kau kelaparan macam aku, Humaira," sambungnya.

"Kalau macam tu, kenapa awak prihatin dengan saya? Kenapa awak sanggup masakkan makanan kegemaran awak untuk saya? Sedangkan, awak sendiri pun susah?" soalku. Pandangan berbalas pandangan. "Dan... kenapa awak belanja saya makan hari ni?"

Jeda.

Aku masih tertanya-tanya, untuk apakah semua ini? Demi aku, si gadis yang ditemukannya secara tidak sengaja dan terjatuh cinta pandang pertama, begitu?

Mengapa lelaki sebaik dia, perlu untuk mencintai aku? Mengapa ya Tuhan memberikan aku takdir ini?

"Sebab, nabi mengajar kita sedekah. Semakin kita sedekah, semakin harta kita bertambah, Insya-Allah. Lagipun, saya dah janji dengan awak, kan?" Dia berhenti, tangannya lincah menyuap makanan ke dalam mulut menggunakan sudu. Juadah kami hari ini ialah spageti carbonara, agak pelik jika mahu dimakan dengan tangan.

"Janji apa?"

"Humaira, dengar."

Aku merenung wajah suci murni si dia. Sudu dan garpu diletakkan kemas di atas pinggan, menjaga etika makan.

"Kalau aku pergi atau menghilangkan diri, sementara atau selamanya pun, boleh kau percayakan aku?"

Telinga ini dibuka luas-luas, mendengar kata-kata lelaki itu.

"Kau kena kuat percaya, hati aku untuk kau. Sejauh mana pun aku berada, biarpun dalam tanah dan tak bernyawa lagi. Kau kena percaya, aku cintakan kau sangat. Wallahi."

Faris, apa awak cakap ini?

Tanah? Tidak, aku tidak dapat membayangkan semua itu. Aku tidak mahu membayangkan perginya empat orang yang aku sayang, keluargaku sendiri dan dia dikambus dengan tanah dan disarungkan kain terakhir tanpa jahitan. Hanya kapur barus menjadi wangian.

Aku masih belum bersedia untuk melalui perkara itu, Ya Allah.

"Saya sentiasa percayakan awak, Faris. Saya janji untuk setia dengan awak, sampai mati. Sampai syurga." Aku menunduk memandang kasut sendiri. Spageti yang masih berbaki separuh pinggan ditenung lama, terus hilang selera aku dibuatnya dek lelaki ini.

Mungkin,

Suatu hari.

Dia atau aku yang dijemput terlebih dahulu.

Mungkin,

Suatu hari.

Dia yang akan memimpin aku ke pintu syurga Allah.

Spageti disuapkan dengan berhati-hati. Keenakan hidangan barat tersebut tidak lagi terasa enak di tekak. Aku menghabiskannya, cukup tidak mahu Faris berasa kecewa. Lagipun, tidak epok untuk membazir makanan.

Amalan syaitan.

Dan syaitan, tidak akan masuk syurga. Aku tidak mahu menjadi seperti mereka.

"Humaira, terima kasih. Awak kena ingat janji ni. Kalau kita terpaksa berjauhan pun, awak tahu kan..."

"Ya," balasku pendek.

"Lepas ni, awak nak pergi mana? Saya okey je, tapi janganlah mahal sangat, saya tak ada duit berkepuk macam datuk datin..." Dia melihat aku.

"Kita pergi tempat yang tak gunakan duit. Tempat yang PERCUMA," cadangku. Tidak sampai hati untuk aku menghabiskan duitnya. Dia bekerja keras demi menyara keluarga, sedangkan aku pula bukan sesiapa, melainkan manusia yang mempunyai tempat istimewa di hatinya. Tiada pertalian darah, apatah lagi hubungan yang sah.

Aku masih berharap, suatu hari nanti. Aku tersenyum-senyum sendiri, membayangkan aku dan dia duduk bersanding di atas pelamin indah. Hatiku sudah berbunga-bunga, menantikan indahnya hari nanti. Jika benar ia akan terjadi.

Tetapi, sebagai orang Islam, kita perlu menunaikan janji. Hanya orang munafik dan hipokrit yang memungkiri janji.

Ini janji aku dan dia. Mungkin sedikit menyentuh hati, namun aku percaya. Kita akan melalui hari tua bersama, mungkin pada hari esok, lusa mahupun tulat.

Kami berdedar daripada meja makan. Langkahnya hanya diikuti aku. Dia mengeluarkan sedikit wang tunai daripada dompet hitamnya lalu membayar di kaunter.

"Awak. Tak apalah, saya bayar." Aku mengambil keputusan drastik, menghulurkan tiga keping wang kertas berwarna merah kepada Faris.

"Simpan duit kau."

Aku terpinga-pinga. Mengapa dia mahu tolak 'duit' yang aku beri?

"Ambillah, saya ikhlas," pintaku. Tiga keping not kertas itu dihulurkan sekali lagi, namun riaksi dia tetap sama.

Dia menolak.

"Kalau kau jadi isteri aku pun, aku yang kena tanggung semua, kan? Humaira, kau... kan..."

Dan dia menyerahkan wang miliknya kepada juruwang.

"Bakal isteri aku."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience