Jika Adam disatukan dengan Hawa, Yusuf dan Zulaikha, Nabi Muhammad S.A.W dan Aisyah, maka satukanlah kami, sama seperti mereka.
Humaira, enam tahun lalu.
_______
JARI-jemariku menyentuh buku-buku yang berada di rak, setiap satu tajuk yang tercetak di tulangnya aku baca. Dengan harapan, ada sebuah buku yang dapat menarik perhatianku.
Sebaliknya, tiada. Agaknya, semua buku di sini sudah aku baca ya? Aku kembali ke tempat di mana aku meninggalkan Faris dan Kak Laila, di bawah sebuah pokok besar yang menjadi anjung bacaan kanak-kanak.
Oh ya, patutlah sebuah buku pun tidak dapat menarik perhatianku, silap umur rupanya. Ini bahagian kanak-kanak, tidak mungkin aku minat dengan buku cerita kanak-kanak yang hanya sepuluh mukasurat itu. Bosan!
"Lamanya. Cari apa tu, Maira? Tak ada yang dibawa balik pun. Akak tengok, hang kehulur kehilir macam nak cari sesuatu. Tak jumpa ke?"
"Tak..." jawabku perlahan, tidak mahu mengganggu Faris yang sedang fokus membaca buku. Biarpun sedikit merangkak, sudah cukup untuk umurnya yang baharu lima tahun.
Aku duduk di sebelah Faris. Haruman tubuh kanak-kanak itu, sangat menarik aku untuk mengahampiri dirinya. Sama seperti ibunya Kak Fatin, pasti wangi setiap hari.
"Dah abis!" Faris bersorak gembira, sudah berjaya ditamatkan bacaannya.
"Pandainya Faris baca!" pujiku ikhlas.
Kalaulah aku ada seketul anak seperti Faris ini, kan sedap. Hari-hari tenang sahaja melihat wajahnya yang suci. Iyalah, kanak-kanak suci daripada dosa, begitu juga dengan wajahnya yang berseri.
Hendak ada anak, mestilah mempunyai suami. Aku tidak mahu menanggung malu dan dosa, melahirkan anak luar nikah tanpa bapa. Bukan sahaja aku sebagai ibu yang perlu menanggung malu, silap-silap anak itu juga.
"Ha, Maira. Akak tengok, kamu ni macam ada sembunyikan sesuatu je. Sekejap tersenyum, sekejap tersengih. Macam ... orang angau," jelas suara Kak Laila.
Angau?
Ehem-ehem, jauh sekali. Jatuh cinta pun belum, apatah lagi angau. Pelik-pelik sahajalah Kak Laila ini, ada-ada sahaja.
"Angau tang mana ni, kak? Lain benar bunyi soalannya..." aku mengurut dagu. Bebola mataku berpusing-pusing memandang sekitar kawasan perpustakaan, ligat berfikir maksud sebenar di sebalik ayat daripada Kak Laila.
"Kamulah. Kalau kamu tengok cermin 24 jam, kamu fahamlah maksud akak. Eh, kalau ada rahsia, jangan malu nak cerita. Akak ni simpan rahsia tau," dengan yakinnya, Kak Laila menwarkan dirinya untuk menyimpan rahsiaku.
Rahsia apa? Aku masih tidak faham. Iyalah, otak aku sempit, susah hendak faham ayat kiasan ini.
Baiklah, aku jujur.
"Haritu, ada seorang hamba Allah ni, dia dah tolong Maira tau. Dua kali pula tu. Tak tahu sebab apa, Maira asyik teringat dekat dia je. Dia ... semestinya lelaki," jujur aku. Tidak mampu untuk dibohong lagi Kak Laila. Umurnya yang lebih tua daripadaku, tentu dia lebih tahu berbanding diriku yang sebatang kara, acah-acah pandai sahaja, sebaliknya yang ada hanyalah tin kosong.
Bunyi sahaja lebih, isi di dalamnya tiada pun. Salah satu sikap aku. Usah diikut yang buruk, jadikan tauladan.
"Maknanya ... Maira dah jatuh cinta pandang pertama, gitu? I see..." Kak Laila tersenyum kecil, tidak dapat aku agak apa yang sedang bermain di fikirannya. Kakau iya pun, aku tidaklah 'angau' teruk sangat, hingga kemaruk mahu kahwin. Sikit-sikit, sudahlah.
"Eh, taklah akak. Maira asyik teringat-ingat dia je. Mana ada cinta!" Selagi boleh aku nafikan, akan aku nafikan. Mana boleh bocorkan rahsia!
"I see..."
Aku mengangkat kening. Kehairanan. Lebih daripada hairan, ketika ini.
"Tak apa, Maira. Semua orang ada cinta pandang pertama. Yang membezakannya, ada yang rasa semua tu lepas nikah, ada yang sebelum nikah. Tak apa, semua tu normal untuk kita sebagai manusia untuk suka atau tertarik sesama manusia yang berlainan jantina. Yang tidak sepatutnya, ialah cinta yang membawa kepada kekufuran. Cinta yang membawa kepada maksiat dan dosa." Kak Laila berhenti sebentar, mengambil nafas baharu.
Semua orang,
Ada cinta pandang pertama.
Apatah lagi aku, manusia biasa yang penuh dosa.
"...kalau dah suka, cepat-cepat cari jalan yang sepatutnya. Nikah. Bukan ke best, kalau kita dapat pegang tangan pasangan kita hari-hari. Halal dan suci murni, siap dapat pahala lagi. Berkahwin muda memang banyak cabaran, Maira. Terutamanya, bab kewangan."
Aku diam. Telingaku fokus akan kata-kata yang ingin disampaikan oleh Kak Laila.
"Tapi ... kalau kita letakkan Allah sebagai tujuan utama kita berkahwin, Insya-Allah semuanya akan baik."
Aku menunduk.
Hinanya aku, meletakkan perasaan cinta kepada seorang manusia ajnabi, tidak pernah aku kenali. Dia tidak ada hubungan apa-apa denganku, mengapa aku harus berfikir tentangnya setiap masa?
"Humaira ... okey ke ni? Akak sakitkan hati Maira ke? Ya Allah, ampun sangat-sangat ... Humaira. Akak tak berniat pun..." Kak Laila memandang aku risau, risau dia mengguris hatiku.
Tidak sama sekali aku terguris.
Keningku diangkat, lalu aku menjawab, "Kenapa pula akak minta ampun ni? Akak tak buat salah pun, sepatutnya Maira yang kena hargai akak. Akak dah bagi nasihat untuk Maira, kan?"
Aku tersenyum mesra. Aku selesa dengan nasihat tersebut. Segalanya benar, perasaan cinta itu sepatutnya membawa ke jalan pernikahan, bukan dengan berdua-duaan sehingga akhirnya, tidak jadi untuk berkahwin.
"Alhamdulillah, baguslah macam tu. Akak takut tau, Maira terguris ke apa. Bukan semua orang mampu dengar nasihat, jadi akak minta maaf awal-awal." Dia membalas senyumanku, sambil memandang Faris yang sedang ralit membaca buku cerita.
Aku tidak menjawab, sebaliknya mataku tertumpu kepada Faris. Hari ini, aku dan Kak Laila telah diamanahkan untuk menjaga si kecil ini, memandangkan ibunya ada urusan dengan pelanggan.
Kalau ... Adam dengan Hawa?
Faris dan ... Humaira?
Aku kemam bibir rapat, menahan diri daripada tersengih. Ya, aku tahu semua itu berangan. Hanya imaginasi diriku, tentang sesuatu yang agak kecil kemungkinan untuk berlaku.
Jauh sekali, jodoh aku ialah dirinya. Sangat jauh. Aku baharu sahaja bertemu dengannya dua kali, sudah jatuh hati. Kini, aku tidak tahu lelaki itu berada di mana. Mungkin sedang menonton panggung wayang bersama kekasih hati, entahlah.
Aku tidak tahu. Aku malas hendak mengambil tahu, kelak aku pula yang tersakiti.
*****
FOTO raya kami sekeluarga pada hari raya Aidilfitri yang bersaiz A3, yang baru sahaja dibawa pulang oleh abah, aku tenung. Foto kami sekeluarga. Lebih tepat, aku berempat. Ada abah, ibu, Kak Hajar dan aku. Semuanya berpakaian emerald green, sedondon warnanya.
Gambar ini, akan digantung di ruang utama sebagai tanda kenangan. Iyalah, kita belum tahu siapa yang akan pergi dahulu. Kalau seseorang antara kami dijemput Ilahi, sekurang-kurangnya ada kenangan untuk ditatap.
Dengan perlahan, kakiku memanjat tangga besi mudah alih untuk menggantung bingkai gambar tersebut di dinding. Agak berat juga bingkai ini, sama berat dengan rendang dan ketupat yang aku bawa tempoh hari, sehingga menyebabkan aku terjatuh.
Siap!
Aku melangkah turun daripada tangga, menghembuskan nafas lega. Kak Hajar yang berada di belakangku hanya tersenyum, tidak menegur. Akhirnya, 'tugasan' yang perlu aku lakukan sudah selesai, bolehlah aku kembali ke bilik dan menyambung kerja.
Sebelum melangkah masuk ke dalam bilik, aku mengerling sekali wajahku semasa hari perayaan yang disambut meriah oleh umat Islam tersebut. Seperti yang aku katakan tadi, aku menggayakan sepasang baju kurung moden berwarna emerald green, bersama sehelai tudung bawal berwarna dark green.
Silap besar.
Mengapalah, aku tidak memilih warna merah, barulah sama dengan lelaki tersebut. Baru sedondon, kata orang. Barulah sama cantik sama padan, seperti suami isteri. Ha, gitew!
Eh, aku dan dia belum berkahwin lagi. Jangan mimpi indah sangat.
Sudahlah. Daripada aku memikirkan tentang dia, lebih baik aku masuk ke bilik. Pelbagai perkara boleh dilakukan, selain mengingati tentang dia. Kacau betullah fikiranku, hanya nama lelaki itu sahaja yang melekat di kepalaku.
Benar telahan aku, namanya ibarat digam di otakku. Kan mudah, jika segala nota Sejarah dahulu, boleh melekat di otak begini. Ini tidak, nama lelaki itu, boleh pula. Pelajaran, semuanya ke laut.
Tidak apalah, itu kisah dua tahun lepas. Tidak mahu dikenang kembali sejarah silam, yang memberikan kenangan pahit buatku. Aku terima dengan hati yang terbuka, tidak akan sesekali mengulangnya.
Mataku jatuh pada jubin lantai, memandang sahaja jubin berbentuk segi empat yang bersaiz agak besar. Fikiranku kosong, tiada apa yang mahu difikirkan.
"Humaira!"
Mendengar sahaja namaku diseru, aku terus berpaling ke belakang. Ya, kakak harimauku yang memanggil, seperti telahanku.
"Apa?"
"Sini kejap."
Tidak mahu membantah, aku menurut sahaja. Langkahku laju, menuju ke kakakku yang sedang berdiri beberapa meter daripadaku.
Kak Hajar menghulurkan sesuatu, sambil berkata, "Duit Zulkaedah. Duit raya lewat. Nah, ambillah. Ada orang bagi kita semua. Tapi akak pelik juga, dia kata yang sampul warna biru ni, bagi Maira. Kami semua dapat warna hijau."
Sampul raya bertukar tangan, lalu aku kehairanan. Siapa pemberinya pun, aku tidak tahu. Setahu aku, bulan Syawal sudah tamat, masih ada lagi orang mahu memberikan aku duit raya. Sejak tamat persekolahan, jarang sekali aku diberikan duit raya selain daripada ibu, abah dan kakakku sendiri.
Tidak mahu bertanya, aku terus ke bilik. Tidak mahulah aku membuka di hadapan Kak Hajar. Jika isinya tidak sama nanti kami berdua juga yang bertikam lidah. Lebih baik berahsia.
Setelah masuk ke dalam bilik, aku mengunci pintu. Sudah tahu sebab apa, tidak mahu si kakak harimau masuk suka-suka dan tiada tangan untuk menutup kembali.
Sampul itu, aku buka. Baru aku perasan, sampul raya ini agak besar daripada biasa. Bukan seperti sampul kecil yang mampu memuatkan RM1 atau RM5, malah RM50 pun boleh juga.
Benar telahanku sebentar tadi.
RM50.
Sekeping wang kertas berwarna biru keunguan, tercetak di atasnya nombor 50, menandakan nilai not tersebut. Aku membelek duit tersebut berkali-kali, memastikan ianya bukan duit palsu.
Biar betul, siapa yang beri?
Ibu dan abah pun, jarang sekali memberi sebanyak ini. Bukankah mereka telah memberi semasa hari raya pertama, mengapa perlu diberi lagi?
Sampul raya tersebut diteliti, mana tahu ada isinya lagi.
Ya, memang ada. Sehelai kertas yang dilipat kecil, itulah yang aku jumpa di dalam sampul raya berwarna biru tersebut, dimasukkan bersama wang kertas RM50.
Kertas kecil itu aku buka.
"Assalamualaikum, Humaira Aafiyah." Setiap patah perkataan yang tertulis, diulang olehku. Salam tersebut hanya aku jawab di dalam hati. Aku menarik nafas, menyimpan bekal untuk membaca sesuatu yang agak panjang.
"Awak masih ingatkan saya? Saya Faris Azmi, yang awak jumpa hari tu. Dua kali sahaja kita sempat berjumpa, bulan lalu. Tu duit raya dari saya, ambillah. Simpan atau belanjakan sebaiknya tau! Saya haramkan awak guna duit tu, kalau awak nak beli benda bukan-bukan."
'Cis, nakal rupanya mamat ni!' monolog hatiku sendiri. Maksud dia, dia mahu aku gunakan duit tersebut untuk apa? Simpan dalam tabung ayam, untuk perkahwinan kita nanti? Ceh, mengata orang. Aku pun sama nakal juga, apa kurangnya. Nakal dan gatal. Miang amat seperti keladi, tiada beza.
Aku tersenyum sendiri sambil wang kertas tersebut diletakkan di hidungku. Haruman 'mahal' tersebut dihidu olehku. Bukan kerana nilai RM50 yang boleh dibelanja dua kampit beras 10 kg, tetapi nilai sentimental yang jauh lebih besar berbanding itu. Ya, semestinya not kertas ini pernah disentuh oleh Faris, selaku stok suamiku. Jujurlah aku katakan, memang aku mempunyai perasaan terhadapnya.
Wang tersebut dimasukkan di dalam kotak rahsia yang berkunci. Sebelum itu, aku mencium wang kertas itu berkali-kali. Aku terbayang-bayang akan sentuhan dia, yang membelai tubuhku. Semestinya, ketika aku dan dia sudah berkahwin.
Dia memanggil aku sayang, aku pula memanggilnya cinta.
Ah, sweetnya! Tidak dapat aku bayangkan, keistimewaan pasangan setelah berkahwin. Yang haram bertukar halal, SubhanAllah!
*
Sepinya malam.
Air kosong diteguk masuk ke dalam mulut, menghilangkan dahaga. Cukuplah seharian aku tertanya-tanya, apa tujuan lelaki itu memberikan aku hadiah sebegtu rupa. Pelbagai lagi hadiah lain boleh diberi, selain sekeping wang yang besar nilainya.
Lelaki ini, aku tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada mereka seratus peratus. Kadangkala, lelaki yang terlihat baik, sebenarnya mempunyai muslihat tersendiri. Begitu juga dengan wanita. Biasalah manusia, siapa sahaja tidak pernah menipu. Dari jauh, aku hanya dapat menitipkan doa, agar lelaki bernama Faris itu ikhlas dalam setiap perbuatannya, apatah lagi memberiku duit sebanyak ini.
Kerana dialah ... bakal Adamku. Dan aku, ialah Hawamu.
Seperti lagu, mungkin inilah takdir yang tertulis buat kami. Biarpun semua in hanya angan-angan fantasiku, tidak mustahil ia akan menjadi benar jika aku mengejarnya.
Jika.
Aku.
Mengejarnya.
Mataku dipejam rapat, jelas bibirku mengukir senyum. Kedua-dua telapak tanganku dirapatkan, sama posturnya seperti orang yang sedang bermeditasi menenangkan dirinya. Bezanya, aku bukanlah sedang menenangkan diri, sebaliknya sedang membayangkan sebuah perkara yang indah.
Buat kami berdua, bakal Adam dan Hawa. Ya, aku tahu semua ini memakan masa bertahun-tahun lamanya, bukan esok hari aku terus berkahwin. Seperti yang semua orang kata, aku masih muda. Masih banyak cabang yang perlu aku lalui, sebelum diri diserahkan sepenuhnya kepada bakal suami.
Tidak salah untuk berkahwin muda. Sedangkan orang-orang tua dahulu, dikahwinkan muda kerana tidak mahu anak mereka berkawan dengan lelaki lama-lama, menjaga ikhtilat antara jantina.
Tapi, aku...
Masih jauh. Belum masanya untuk semua itu.
Share this novel