Kemarin engkau masih ada di sini
Bersamaku menikmati rasa ini
Berharap semua takkan pernah berakhir
Bersamamu...
Bersamamu...
Kemarin dunia terlihat sangat indah
Dan denganmu merasakan ini semua
Melewati hitam putih hidup ini
Bersamamu...
Bersamamu...
SAMBIL mendengar lagu, aku masih membelek album lama yang menyimpan kenangan tentang dia. Dengan harapan, memori aku bersamanya tak akan mungkin pudar lagi. Paling menyayat hati, foto aku dan dia yang berpakaian serba putih, bersalaman dengan wajah yang gembira.
Aku senyum kelat. Pahit.
Tubir mata yang masih basah dengan air mata yang masih lagi mengalir, aku kesat dengan fabrik baju. Sekali aku mengerling ke cermin, memang nampak sungguh wajahku yang teruk disebabkan aku terlalu banyak menangis. Aku menangis, kerana aku merindukan dia.
Tanpa aku sedar, hanya enam tahun Tuhan meminjamkan dia, untuk menerangkan hidupku yang kelam. Sakitnya untuk meneruskan saki-baki kehidupan tanpa dirinya, hanya DIA yang mengetahui.
Enam tahun ini, cukup indah. Cukup indah untuk aku dan dia, diciptakan untuk saling melengkapi. Segalanya indah, hingga ke satu hari.
Badai melanda kami.
Yang lebih tepat, ialah aku.
Tiba-tiba, telefon pintar aku dirampas dan ditutup muzik yang menemani sepi. Figura berketinggian 162 cm itu berdiri di belakang aku, dengan mukanya yang tiada perasaan.
"Humaira Aafiyah."
Dia menyeru namaku. Dia ialah kakakku, Hajar Aafiyah. Aku hanya membalas dengan senyuman kelat, tidak menghiraukan dirinya. Bukan kerana tidak hormat, sedarkah dia telah mengganggu privasi masa aku bersama Faris? Yang lebih tepat, ialah mengembalikan memori aku bersama Faris.
Lantaklah, aku biar sahaja Kak Hajar ingin menceroboh bilikku. Malas hendak bertekak, nanti lain pula jadinya.
Wajah lelaki itu, aku tenung lama lagi. Setiap kali aku melihat wajahnya baik di atas kertas bercetak mahupun di dalam telefon pintar, aku akan terbayang akan dirinya.
Faris yang akan muncul, setiap kali aku memanggil namanya. Faris yang tetap setia berada di sampingku, walau di mana aku berada. Kini, di mana sebenarnya dia? Aku akan setia menunggu, sehingga di akan muncul.
"Dia tak akan muncul balik, Humaira."
Seakan-akan dapat membaca fikiranku, Kak Hajar menjawab persoalanku. Aku masih mengekalkan posisi tenang, biarpun di hati sedang berombak menahan rindu. Bukan sekadar filem Ombak Rindu yang ditayangkan di kaca televisyen, sebaliknya sebuah rindu yang tidak berpenghujung. Kekallah ia, sehingga hari akhirat nanti.
Aku menutup album, lalu menyimpannya kembali ke rak. Pakaian yang sopan serta hijab yang menutup auratku disarung, dengan senyuman manis. Hari ini, aku akan melawat ke 'rumah'nya. Mataku yang masih sembam, aku sorokkan lalu aku meninggalkan Hajar sendirian di dalam kamar tidurku.
Cinta, Humaira disini. Humaira akan tunggu cinta, sampai bila-bila. Sumpah!
Bersama tikar mengkuang dan surah yasin, aku keluar dari rumah. Setiap langkahku, membuatkan aku teringat kepada seorang cinta yang pernah hadir di dalam hidupku. Selipar jepun yang aku sarungkan ini juga, merupakan pemberiannya semasa dia masih hidup.
Tipulah, jika aku dapat melupakan seorang cinta dengan mudah. Biarpun kejadian itu sudah pun tiga bulan berlalu, masih terbayang-bayang tubuh dia yang sentiasa berada dekat denganku. Aku tidak dapat terima, dia telah tiada. Seolah-olah dunia ini, dunia yang baharu buatku. Terasa janggal dan asing, untuk hidup sendiri tanpa bertemankan suara merdunya yang berbisik di telingaku.
Tanpa aku sedar, destinasi yang ingin kutuju telah tiba. Tempat ini, sudah aku datang berkali-kali, demi melawat dua insan tercinta. Dua cahaya yang memberiku bahagia, dan juga luka.
Tempat ini sunyi. Bunyi burung pun tiada, tanda menghormati tempat terakhir yang bakal dikunjungi semua manusia apabila tibanya ajal kematian.
Setapak demi setapak.
Hinggalah ke langkah terakhir, aku berhenti dan membentang tikar. Nama dan sedikit maklumat yang tersimpan di batu nisan berwarna putih itu aku tenung, untuk memastikan ini ialah kubur yang benar.
Muhammad Faris Azmi.
Untuk menahan sebak, aku terus membacakan surah yasin serta beberapa doa untuk dipanjatkan buat sang cinta yang telah bertemu Ilahinya.
Aku sakit. Setiap kali melihat tanah yang merah ini, aku akan berasa sakit yang teramat. Minyak angin cap kapak pun, belum tentu dapat menyembuhkan penyakit yang aku lalui.
Sukar untuk diterima, dia telah berada di dalam liang lahad yang memuatkan seorang manusia ini, dikelilingi tanah merah dan berpakaian kain putih terakhir, tidak bercorak dan berjahit. Berbeza dengan pakaian pernikahan kami tiga bulan lalu, dia segak berbaju melayu lengkap bersampin dan bersongkok.
Semua itu hanya memori. Tinggallah memori menjadi memori. Pahit mahupun tidak, aku harus terima.
Yang pasti,
Bayangan dia tetap ada.
Aku mengeluh di dalam hati. Sampai bilakah, aku akan terus diuji untuk berdiri di dalam bayangan? Sampai bilakah, aku akan terperangkap di dalam bayangan dia di hari semalam?
Faris, aku rindu. Kalaulah aku diizinkan bertemu dengannya buat kali terakhir, pasti aku akan meluahkan segala perasaan rinduku kepadanya. Pasti aku akan memeluk tubuh lelaki itu sepuasnya, tanpa ingin dilepaskan lagi.
Dengan sayu, aku meluangkan masa dengan 'rumah' Faris. Aku sedar, aku sedang bercakap dengan sesuatu yang tidak bernyawa, tetapi ... bukankah roh juga mendengari setiap kata penziarahnya?
Ini, kisah hidup aku dan Faris.
Bayangan.
Semalam.
Share this novel