10; Sehari

Romance Series 3947

Sehari sebelum hari ini. Sehari sebelum semuanya bertukar berbeza. Alangkah indahnya tawa yang dikongsi bersama, tanpa emosi dan sedih.

Tapi, semua itu tidak kekal lama.

________

AKU melangkah pantas ke bilik wad yang disebutkan doktor. Biarpun aku tahu, di hospital tidak dibenarkan berlari, aku tetap melakukannya. Sungguh, aku sangat gembira mendapat berita dari doktor, dia sudah sedar dari pengsan yang lama.

Tiga jam. Tiga jam dia meninggalkan aku, sejak dari berlakunya kemalangan tersebut. Aku tidak henti-henti menangis, berharap dia tidak akan meninggalkan aku. Sehinggalah ibu saudaranya memujuk aku dan menyuruh aku pulang dahulu untuk solat zohor.

Punca kemalangan yang berlaku tadi, ialah disebabkan pemandu kenderaan tersebut mabuk. Kini dia direman dan... entahlah. Tidak tahu bakal dipenjarakan ataupun tidak.

"Assalamualaikum." ucapku, setelah tiba ke destinasi. Faris memandang aku, sambil perlahan-lahan mengulum senyum. "Suprise, awak!"

Aku berharap, ini dapat membuatkanya gembira. Tiada pelawat yang melawat dirinya, melain di adik yang muda setahun daripadaku. Ini sahaja adik yang sangat rapat dengan abang sulungnya.

"Abang, tu isteri abang datang tu. Adik keluar dulu lah ya. Lagipun, adik ada banyak kerja lain." Adik Faris mengangkat beg tangannya yang diletakkan di tepi katil, ingin mengundur diri.

Aku berdehem. Pantas. Oh ya, sudah tentu dia tahu, kami masih belum berkahwin.

"Maksud saya, BAKAL isteri abang. Okey ye Kak Humaira. Saya pergi dahulu." Dia lantas meninggalkan wad. Tinggallah aku di sini, bersama Faris yang sedang berbaring.

Sungguh, aku terasa agak kekok untuk berbual dengannya setelah kejadian itu. Terasa janggal untuk aku berdua dengannya, walaupun ini bukan kali pertama. Nasib baiklah ini waktu melawat, tidaklah aku menjadi perempuan yang keseorangan di bilik wad lelaki ini.

Suasana aku dan dia masih tegang. Segalanya berbeza. Ketika inilah, aku mula merindukan keadaan dia lalu. Dia yang penyayang, sempoi dan suka memberi nasihat. Hari ini, barulah aku merindukan setiap nasihat-nasihatnya.

"Awak." Aku cuba melontarkan suara, cuba memulakan percakapan demi menghilangkan kekok. "Awak ingat saya, tak?"

Seperti yang aku tahu, dia terkena hentakan yang kuat di kepala, semasa kemalangan tadi. Aku risau dia kehilangan ingatan, dek kejadian malang tadi.

"Ingatlah." Dia mencebik. Mata redupnya merenung aku dalam. Entah apa yang hebat sangat di wajahku, sehingga menjadi tatapan si dia.

Dan mata itu terbuka dan terpejam.

"Awak... okey ke? Awak tahu, siapa yang langgar awak tadi?" Aku menyentuh besi katil, merapatkan diri dengan si dia. Suaraku diperlahankan separa berbisik, membiarkan perbualan kami lebih privasi. Aku berharap, cerita ini tidak membuatkan dia terkejut.

"Aku okey je. Cedera sikit je. Dah tu, jangan overthinking sangat. Aku tahu, kau perempuan." Faris tertawa kecil, dalam pembaringan.

Tawa kecilnya, mampu membuatkan aku tersenyum leka. Terlupa sebentar kejadian yang hampir maragut nyawanya sebentar tadi. Aku mati.

Aku mati, dan kalah dengan senyumannya.

"Awak... saya tak tahu nak cerita macam mana. Saya tak tahu. Saya trauma, Faris." Aku mengemam bibir. Masih segar di ingatan tentang kejadian yang menimpa dia. Saat itu, aku terpaku dan terpana, hanya titisan jernih yang mampu mengalir di pipi, melihat dia terbaring kaku.

"Tak apa, Humaira. Tak apa. Tak perlu cerita, kalau awak takut. Okey?" Mata redupnya masih tidak lekang dari merenung tubuhku. Wajahku ditarik ke lantai, menunduk dan tidak membalas pandangannya.

Dia sungguh tenang. Sangat tenang. Walaupun bicara kami agak kekok, namun aku dapat merasakan sendiri ketengangannya. Dia, seolah-olah telah reda akan kejadian ini. Tidak sesekali menyalahkan takdir Tuhan.

"Awak, boleh tak lepas ni, saya dah tak mahu kehilangan awak lagi. Saya trauma sangat, tengok awak kena langgar depan mata saya. Hanya Allah yang faham perasaan saya, Faris." Terlalu sukar untuk digambarkan dan dibayangkan.

Sejak hari pertama kita bertemu.

Aku yakin dan pasti, aku akan memiliki dia. Sehinggalah hari ini, aku menyaksikan sendiri detik hitam itu. Sungguh aku takut untuk kehilangan dia. Jika kami ridak dapat disatukan sekalipun, cukuplah hubungan kami sebagai kawan.

Kawan yang rapat.

"Insya-Allah. Aku pun, tak mahu kehilangan kau. Terima kasih datang melawat aku. Aku fikir, tak ada orang nak melawat aku selain adik aku seketul tu. Adik yang lain, entahlah. Lenyap sudah agaknya."

Deep.

Dalam ramai-ramai ahli keluarganya, hanya adik perempuan yang muda setahun daripada aku itu yang melawat dia? Kurang asam punya keluarga, si abang sudah penat mencari duit, tidak pernah dihargai dan disayangi.

Sebenci-benci aku kepada kakak sekalipun, aku masih ada perasaan sayang kepadanya. Setiap kali kakak sakit, aku yang akan menjaga biarpun sekadar demam biasa.

"Faris, kita kena buat report, kan?" soalku.

"Ya, nanti. Nanti kita pergi sama-sama, okey? Kau saksi kan, kau tahu apa yang berlaku," balasnya.

Mataku jatuh pada tangannya yang berbalut dengan kain kasa. Aku tahu, dia cedera disebabkan kemalangan tadi. Aku tahu, dalam masa yang sama dia tidak mahu aku merisaukannya.

Perlahan-lahan mataku dialihkan memandang ke sudut yang lain. Tidak mahu berlama-lama, nanti disedari pemiliknya pula.

"Humaira, kenapa kau pandang aku macam ni? Seramlah."

Seperti yang aku kata.

"Eh, eh. Mana ada. Sejak bila saya pandang awak? Saya pandang dinding tu." Mataku dialihkan memandang tepat pada dinding bercat putih yang kosong itu. Sungguh, aku malu disebabkan perbuatan sendiri.

Matanya juga beralih kepada dinding tersebut. Kami berdua memandang ke tempat yang sama. Pandangan yang serupa. Entah apa yang istimewa pada dinding tersebut, sehingga berjaya menarik perhatian dia dan aku.

Putih suci.

"Eh, awak. Sekejap, awak boleh jalan tak ni?" Aku berhenti merenung dinding sepi. Pantas aku menggosok mata, mematikan khayalan sendiri. Kali ini, aku menyoal lelaki di hadapanku secara serius.

Kerana aku risau. Aku sayang kepada dia, tidak mahu melepaskan dia ke tangan orang lain. Aku mencintai dia bukan kerana paras rupa, tetapi dek cara dia melayani aku sendiri.

Aku tidak sempurna, apatah lagi seorang bidadari syurga. Walaupun seringkali aku melakukan kesilapan di mana-mana, jarang sekali dia memarahi dan menengking aku. Bagiku, perkataan 'aku' dan 'kau' itu cumalah kata ganti nama diri, sangat biasa digunakan biarpun aku sendiri.

Tuhan, izinkan aku mencintai dia sehingga mati. Aku mahu mencintai dia, sehingga akhir nafasnya. Sehingga rambut kami memutih, dan akhirnya gugur satu demi satu. Sehingga dia sedang berada di kamar dan mahu tidur, barangkali menghembuskan nafas terakhir. Bersama.

Hingga ke syurga.

Tetapi, itu cumalah angan-angan semata-mata. Perjalanan kami masih lagi jauh, masih belum tahu aku dan dia berjodohan mahupun tidak. Aku hanya berhak untuk berdoa dan berdoa tanpa henti.

Berdoa supaya dia ialah jodohku.

"Aku patah tangan je, Humaira. Kaki, alhamdulillah sihat walafiat lagi. Kau nak aku berjalan guna tangan ke?" Dia tertawa lagi.

Dia sebenarnya seorang yang ceria. Cuma, kisah hidupnya yang pahit membuatkan semua tawanya terlindung dek wajah yang muram.

"Kalau awak nak berjalan guna tangan, silakan. Nanti, jadi macam orang utan. Bagus sangatlah, tu."

"Humaira."

Namaku diseru lembut. Aku memberi respon. Bersedia untuk mendengar apa sahaja yang bakal diluahkannya, ataupun soalan yang ingin ditanya. Barangkali, nasihat juga.

Aku bersedia. Aku bersedia untuk mendengar suaranya yang selembut bayu. Benar, cinta telah memainkan perasaanku. Saat ini, lagu romantis berputar di dalam fikiranku.

Hanya aku dan dia.

Menari di dalam kegelapan malam. Sepi tanpa cahaya, hanya muzik piano romantis kedengaran di dewan besar. Aku memaut bahunya, manakala dia memeluk pinggangku. Kami berjalan dan berjalan, mengikut irama lagu.

Hanya kami berdua.

Tetapi, itu sekadar bayangan. Mungkin, dia tidak suka menari. Melihat wajah sucinya pun, sudah dapat diagak.

"Humaira. Dengarlah..."

Lamunanku mati. Segera tumpuanku dialihkan kepada lelaki itu. Tidak lagi fikiranku melayang jauh ke Utara dan Selatan. Jemala kecil ini dihadapkan kepadanya, mempersilakan dirinya untuk mengucapkan sepatah dua kata. Seribu patah pun, tidak apa.

"Iya, saya dengar." balasku.

"Masa aku tak sedarkan diri, kenapa kau menangis? Kenapa kau sedih tengok aku? Kenapa kau sedih kehilangan aku?" soalnya lembut.

Soft spoken.

"Kenapa awak tanya macam ni? Saya sedih, saya tak nak kehilangan awak di hadapan mata saya."

Spontan.

Jujur dan ikhlas daripada kalbu. Siapa sahaja mahu kehilangan orang yang tersayang? Aku juga ada perasaan, walaupun hanya mencintai dia di dalam diam.

Jika dia seorang raja, aku permaisurinya.

"Humaira, terima kasih. Aku fikir, kau tak sayangkan aku." masih rendah nada suaranya. Tidak seperti aku yang suka meninggikan suara. Begitu tinggi adab lelaki ini, sah-sah sudah digam di hati.

Mustahil untuk tidak sayang. Jika lihat daripada sudut umurku, mungkin akan ada yang kata, terlalu awal untuk bercinta. Terlalu awal untuk melangkah ke alam seterusnya.

Bagi aku, tidak. Matang itu bukanlah daripada usia, tetapi diukur daripada setinggi mana adab dan akhlaknya kepada insan lain. Jika orang Melayu dahulu kala begitu tinggi kesopanannya, mengapa orang Melayu pada zaman ini, tidak lagi?

Andai benar, tahun hadapan merupakan tahun terakhir aku di zaman bujang, aku rela. Aku akan reda dengan hati yang tenang. Cinta ini sepatutnya disalurkan pada jalan yang benar, bukan sekadar ucapan sayang.

"Awak asyik ulang ayat yang sama je. Tak bosan ke?" soalku. Agaknya, sudah kali ke berapa aku mendengar ayat ini.

Bukan mudah untuk mencari insan sepertinya, sangat menghargai.

"Kalau aku betul-betul 'pergi', macam mana?" Pandangannya bertukar serius. Sama seperti biasa, bezanya suara ini disaluti dengan emosi. Mata lelaki itu langsung tidak berkedip, menandakan dia sedang menunggu jawapanku.

Oh Tuhan, bantulah hamba-Mu ini menjawab soalan daripada si dia. Aku buntu, pening kepala memikirkan jawapan terbaik untuk dihantar kepaadanya. Sungguh emosi aku terkesan, mendengar soalan 'sepelik' itu. Aku tahu, dia cuma mahu aku tahu, dia tidak akan selama-lamanya ada.

Semua manusia akan mengalami ajal.

Nafasku dihela lembut. Tangan Faris yang masih berbalut kain kasa itu ditenung lama. Jika aku dan dia sudah halal, sudah pasti aku akan menggapai tangannya. Akan aku memegang erat, menikmati deria kelima yang dicipta oleh Tuhan, iaitu sentuhan.

Lemahnya aku, ketika menghadapi emosi. Sukar untuk dilawan, sukar untuk dibuang. Jariku galak bermain-main menyentuh besi katil, dek tidak boleh menyentuh si dia yang bukan mahramku. Terasa gatal pula jari ini secara tiba-tiba.

"Faris, kenapa awak tanya saya macam ni?" Balasan sama yang aku berikan, sebaris soalan. Sungguh soalan peliknya hari ini membuatkan aku hairan, boleh pusing kepala ini dibuatnya, demi mencari jawapan terbaik.

Dia masih tidak menjawab, mengapa semua soalan ini ditanya. Lagi satu, aku hairan. Mengapa kemalangan tersebut hanya membuatkan dia cedera ringan dan bukan cedera teruk? Bukan aku mahu mempertikaikannya, tetapi aku cuma hairan.

Apa yang hebat sangat tentang dirinya? Mengapa Allah begitu sayang kepadanya, tidak mahu dia merana. Hanya dia yang merasakan hidupnya serba susah dan perit, tetapi dari sudut lain...

Ramai yang mencemburui hidupnya. Dia terlalu istimewa. Mungkin, aku pernah mengatakan dia insan sempurna, sebaliknya tidak.

Perkataan yang lebih sesuai, ialah istimewa.

"Tak adalah. Aku pun, bukan berniat nak bagi mood sedih dekat kau. Aku cuma... tak ada soalan untuk ditanya. Cuma nak hilangkan kekok antara kita." Faris terus menunduk.

Jam di telefon pintarku ditatap sementara. Sedar tidak sedar, sudah satu jam aku meluangkan masa dengannya, di dalam bilik wad ini. Melihat jiran-jiran ahli wad yang ditarik nikmat kesihatannya, serta-merta membuatkan aku bersyukur terhadap sang Ilahi.

"Sebab... kita macam dah tak sama. Kenapa kau kekok dengan aku? Kenapa aku rasa semuanya macam lain? Rasa macam... lahir semula, cuma sarat dengan memori lama." Nafasnya dihela lembut. "Aku terlalu rindukan yang dulu. Bukankah kita dulu, yang rapat, yang mesra, yang suka gelak ketawa sama-sama?"

'Dulu'.

Macamlah lama sangat.

Setahu aku, kejadian ini baharu sahaja berlaku pagi tadi. Jam sudah menunjukkan pukul empat petang. Baru sahaja enam jam masa berlalu, itu pun sudah dirasanya lama.

Paling aku tidak boleh lupa, tentang memori kami di padang besar. Walaupun ia hanya berlaku semalam, cukup memberi emosi kepada aku, andai dikenang kembali. Aku mahukan dia, sebelum semua ini terjadi.

Aku rindukan dia.

Sekurang-kurangnya, aku masih bersyukur, dia masih mengingati dan mahukan aku. Dia masih mencari akuyang dahulu di dalam kotak memorinya.

"Kalau aku boleh halalkan kau secepat mungkin, aku akan."

Aku terpana. Lidahku kelu, tiada sebarang kata dilepaskan.

Cinta.

*****

AKU. Bayang. Dia.

Kertas bersaiz A4 dibentang di atas meja. Pensel kayu serta pemadam sudah terletak kemas bersebelahan rakannya kertas, tinggal menunggu sahaja tuannya mencapai dan mula melukis.

Hakikatnya, aku tidak ada pun bakat melukis. Cuma, hari ini hari yang istimewa. Jemari mulus ini terus menari di atas layar kertas, tidak kira buruk atau hodoh lukisan tersebut.

Ini semua atas arahan 'dia'. Ya, Faris yang menyuruhku. Entah mengapa tiba-tiba aku disuruh untuk melukis. Agaknya, dia fikir aku pandai melakar sehebat mereka yang diberikan bakat ke?

Dua jam aku berjaya habiskan, demi melakar sebuah lukisan pensel yang diminta si dia. Eh, seperti aku ini anak murid pula. Sudahlah di zaman sekolah, aku sangat membenci subjek seni. Katanya, bukan minat aku.

Siap.

Pensel diletakkan di tepi. 'Wajah' lukisan itu ditatap. Entah indah mahupun hodoh, aku tidak kisah lagi.

Mataku masih tidak beralih. Aku masih termenung, menumpukan seluruh perhatuan kepada lakaran yang kononnya cantik itu. Bukan kerana aku bangga dengan hasil kerjaku, tetapi...

Memori aku dan dia. Di sebuah padang besar, kami duduk di tengah-tengahnya, tepat di bawah matahari terik. Tidak segan silu, kami meluahkan isi hati yang terpendam lama. Mengisahkan cinta kita, angan-angan indah dan kisah hati yang terluka.

Hari itu, segalanya telah berlalu. Hari sebelum kemalangan yang tidak dirancang itu berlaku. Hari itu, semuanya indah sahaja. Dia menyuruhku melukis gambaran ini, semata-mata mahu mengembalikan memori lalu.

Biarpun hari itu, hanyalah semalam.

Hari itu, tetap di dalam bayangan aku dan dia. Aku merindukan setiap gelak tawa kami, malah setiap perkataan yang mampu disebutkan olehnya. Aku terlalu rindu, terlalu rindu.

Lukisan ini, berjaya untuk mengalirkan air mataku, setelah sekian lama bertakung. Ia seolah-olah hidup, menceritakan tentang indahnya kisah antara kami di hari semalam. Terlalu banyak memori, membuatkan hatiku berasa sebal dan pedih.

Layar hitam putih ini menyaksikan segalanya. Bahagia kami yang dikongsi bersama.

Kertas itu digulung perlahan lalu diikat dengan getah. Alternatif yang baik, menggantikan lipatan yang akan merosakkan lukisan. Entah bila aku mahu menyerahkan karya yang tidak berapa agung ini, nantilah aku fikirkan. Yang penting, aku telah berjaya menunaikan hasratnya.

Aku mengorak langkah ke dapur, melihat jika ada makanan di bawah tudung saji. Malang sekali, semua makanan yang sepatutnya ditinggalkan untuk aku semuanya ghaib, entah siapa yang menghabiskannya.

Tidak mahu kelaparan, kuali besi dicapai daripada rak. Hendak memasak yang sukar-sukar, memang tidaklah di malam hari ini. Cukuplah untuk mengalas perut, supaya tidak kelaparan di waktu malam.

Sedikit minyak masak dituang ke dalam kuali lalu tombol dapur gas dipulas perlahan, membiarkan api sederhana kecil. Setelah minyak panas, aku memecahkan sebiji telur ke dalamnya.

Telur mata.

Melihat telur yang beransur-ansur masak, membuatkan aku teringat pada nasi lemak istimewa yang dimasak dia. Mungkin, rasa telur mata air tangan aku dan dia berbeza.

Aku tewas lagi. Aku tewas lagi dengan permainannya. Telur bukan sebarang telur, kali ini ditambah dengan emosi yang mendalam. Apa yang aku lakukan, semuanya tidak sama.

Tidak pernah sama.

Setelah cukup matang, telur mata yang tidak berbentuk bulat cantik diangkat daripada minyak panas lalu diletakkan di dalam piring. Perasaan aku yang tadinya sebak, kini bertukar geli hati melihat hasil telur mata sendiri.

Bentuknya, boleh tahan. Jika orang lain berjaya membentuk telur mata yang berbentuk bulat, aku pula berjaya membina 'bentuk baharu' secara spontan dengan memasak telur mata.

"Bolehlah." Aku bangkit lalu mengambil pinggan. Nasib baiklah, nasi putih masih berbaki di dalam periuk. Kalau tidak, entah jam berapa baru aku dapat menikmati santapan malam. Ini semua kerana lukisan tadilah, sudah terlewat santapan malam dibuatnya.

Perlahan-lahan, telur mata tersebut diletakkan ke dalam pinggan, bersedia untuk ditelan tuannya. Bertemankan kicap manis yang menambah selera, aku menikmati makan malam sendiri, tanpa ditemani keluarga. Tidak tahu ke mana mereka menghilang, mungkin ada di ruang tamu.

"Bismillah..."

Dengan lafaz basmalah, aku terus menyuap suapan pertama.

"Eh, sedap pula telur ni. Sama saja rasanya dengan telur mata yang dia masak." Aku mengerutkan dahi. Syukur, rupanya rasa telur air tangan sendiri tidaklah teruk seperti yang disangka. Overthinking betul!

Memanglah rasa telur itu sama. Telur itu berasal daripada ayam juga. Ish ish ish, aku menggeleng kepala pantas. Geli hati dengan fikiran sendiri. Ingin sahaja aku meletuskan tawa kecil semasa mulut masih penuh dengan makanan ini.

Hidangan ini terasa berbeza. Mungkin rasa yang terasa di lidah agak biasa, namun nilai sentimentalnya agak berbeza. Masih segar di ingatan, saat-saat Faris meyiapkan sendiri nasi lemak untuk dihantar ke rumah pelanggan, dek tidak lagi boleh berniaga di tapak penjaja.

Segalanya dilakukan dengan teliti dan ikhlas. Aku lihat sendiri dengan mata kasar, cara dia menggoreng telur mata dengan kasih sayang. Sedangkan aku, cuma mampu 'membantai', asalkan boleh dimakan.

Itulah beza kami.

Haiii! Jangan lupa baca Sayangku Crush! <33 Follow me for new updates ig: @hanastellaa wattpad: @HanaStellaa

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience