------ ××× ------
Duhai manusia, bukankah senyum itu juga merupakan sebuah sedekah?
------ ××× ------
Baca, dan dengar lagu raya. Barulah boleh feel, sebagaimana Hana menulis.
4:42 a.m, Malaysia.
------ ××× ------
Enam tahun sebelumnya....
GELAS kaca yang berisikan air sirap, aku teguk dengan berhati-hati. Pastilah aku ingin menjaga penampilanku sebagai seorang anak dara cantik, di hari yang mulia ini.
Ya, Hari Raya Aidilfitri.
Kelihatan kanak-kanak yang berpakaian berwarna-warni, bersuka ria di halaman rumah. Gembira benar mereka pada hari ini, mentang-mentanglah sudah tidak perlu 'puasa'. Sedangkan, bukannya mereka berpuasa pun. Datang rumah hendak mengutip duit raya, adalah.
Sementara itu, ekor mataku sempat memerhatikan seorang lelaki yang berpakaian baju serba merah. Sampin hitam bersulam emas dan songkok yang digayakannya, membuatkan lelaki itu lebih kelihatan kacak.
Dari jauh, ekor mataku melirik senyuman lelaki itu. Aku sangkakan, hanya kanak-kanak yang mahu bertandang ke rumah orang satu demi satu, mengutip duit raya. Rupanya, orang besar pun ada. Tidak pastilah aku, sama ada lelaki itu masih bersekolah mahupun tidak, kelihatan seperti berusia 20 tahun.
Aku pula, 19. Sangat sesuai jika digandingkan bersama.
Gatal!
Aku tersenyum hambar. Terlalu awal untuk semua ini. Memanglah aku sudah tamat persekolahan, tetapi masih terlalu muda untuk berkahwin. Masih panjang lagi perjalanan, aku perlu tempuhi satu demi satu.
Dan barulah, aku akan menemui seorang jodoh yang ditakdirkan buatku. J-O-D-O-H. Jodoh. Siapa dirinya, aku tidak tahu. Yang pasti, dia pasti akan datang juga, suatu hari nanti.
Tanpa aku sedar, mataku telah diarahkan kepada tubuh lelaki yang segak berbaju melayu tersebut, hingga aku leka untuk melayan tetamu. Sepatutnya, aku perlu menghidangkan makanan buat mereka, sebaliknya aku pula yang menjadi tetamu di rumah sendiri.
"Hai selamat hari raya.... Kami semua ucapkan.... Menikmati hidangan.... Yang kami sediakan...." Kedengaran, mereka mendendangkan lagu raya terkenal pada zaman dahulu, dan juga kini. Hampir semua orang hafal akan lirik lagu raya tersebut. Setiap kali hari ke-15 bulan ramadan, pasti aku tertunggu akan lagu tersebut muncul di radio. "Rendangnya mana? Ni tuan rumah ke tetamu?"
Aku menjegil mataku kepada kakak sulungku. Kurang asam jawa betul. Baru sahaja aku ingin 'syok' mencuci mata memandang lelaki hensem yang berkunjung ke rumah ini, sibuk pula si kakak menyuruh aku menghidangkan makanan.
Mataku beralih daripada melihat lelaki tadi. Entah mengapa, terasa berat pula mahu meninggalkan lelaki itu. Seolah-olah aku dan dia, ditarik oleh kuasa magnet untuk digandingkan bersama. Ha, githcew!
Eh, silap. Hanya dia yang menarik aku, bukan aku yang menarik dirinya. Riaksi lelaki itu normal dan tenang, tiada langsung ingin memandang seorang gadis berusia 19 tahun yang amat cantik di sini.
"Cepatlah ambil. Nak tetamu tunggu lama ke? Bukan selalu pun, orang datang rumah kita."
"Yelah!" balasku. Kaki aku melangkah laju ke dapur, ingin menghidangkan ketupat palas dan rendang yang sudah dimasak oleh kami awal pagi tadi. Baunya harum dan enak, namun aku kekurangan selera makan pada hari ini. Mungkin kerana telah lama berpuasa, janggal pula hendak makan di waktu siang ini.
Dulang yang berisi makanan, aku bawa dengan berhati-hati. Boleh tahan berat juga ye, dulang ini. Sedangkan, isinya hanya ketupat palas dan rendang daging sahaja.
Mataku, jangan katalah aku fokus kepada dulang. Sejak tadi, penglihatan aku seolah-olah digam kepada lelaki berbaju melayu merah tadi. Lelaki itu tenang sambil duduk di sofa, bersama ahli keluarganya. Ada yang masih kecil dan bersekolah. Melihat wajah mereka yang seiras, sudah dapat teka.
"Ah!"
Aku, jatuh tersembam.
Malunya.
Sebagai seorang anak dara tuan rumah, mana munngkin aku tidak malu. Mukaku masih terlekap pada lantai, tidak mahu diangkat. Tidak mahu mereka tahu akan wajah ini. Mengikut firasat hati, semua mata telah ditumpukan kepada aku, termasuk kakakku sendiri. Aku yakin dan pasti, dia akan marah lagi. Seperti watak Kak Ros di dalam animasi Upin dan Ipin, tidak ubah seperti kakak kandungku.
"Kau okey tak ni? Lain kali, hati-hati dik. Mata tu pandang bawah. Nak ke, cacat masa hari raya pertama ni?" Suara garau milik seorang lelaki, kedengaran jelas di telingaku.
Nafas aku terhenti, seketika.
Bisinglah kau, mangkuk!
Siapa pula lelaki yang ingin memberi 'nasihat' percuma kepada aku ini? Kalau aku dapat lihat mukanya, pasti sudah aku beri penumpuk tanpa GST milikku ini. Sudahlah aku malu, ini mahu menambah malu pula.
Aku segera mengangkat muka. Benar sekali firasatku sebentar tadi, semua mata sedang tertumpu ke arahku. Lebih tepat, memandang seorang gadis yang tersadung untuk menghidangkan makanan buat tetamu. Ish, malu sungguh!
Lelaki yang menegurku tadi...
Lelaki berbaju melayu merah.
'Cis!' Aku menyumpah di dalam hati. Benarlah, rupa tidak menunjukkan sifat seseorang yang sebenar-benarnya. Aku sangkakan lelaki itu baik, mampu memimpin aku ke syurga, rupanya ingin memalukan aku dua kali ganda pula. Sah, kurang asam boi. Aku tolak mentah-mentah, di dalam senarai bakal jodoh aku. Jika dia lelaki terakhir yang ada di bumi pun, aku takkan memilih dia.
"Kau nak aku tolong dukung ke apa ni?"
Sekali lagi, suara dia menerjah ruangan pendengaranku. Menyampah, menyampah!
Beberapa ketul ketupat palas yang tertumpah di lantai, dikutip lelaki itu. Begitu juga sebahagian rendang yang mengotori karpet, dilap lelaki itu. Nasib baiklah, hanya sedikit. Kalau tidak, rugilah. Bukan senang untuk memasak rendang daging, istimewa resipi turun temurun keluarga Aafiyah.
"Tak nak." Aku memeluk tubuh. Entah mengapa ego sangat aku hari ini, tidak mahu membantu lelaki itu membersihkan tumpahan makanan. Sedangkan aku tuan rumah, dan dia tetamu. Perangai hantu apalah yang aku lakukan, sehingga menyusahkan tetamu. Bukankah, dalam Islam menyuruh kita memuliakan tetamu, sama ada dijemput atau tidak?
"Dah lap dah." Dulang berisi makanan, diletakkan ke tepi. Bersih. Sedangkan aku, belum tentu lagi rajin untuk membersihkan 'tumpahan' ini.
Dengan sekuntum senyuman, dia meninggalkan aku. Entah mengapa, aku juga terikut akan nafsu untuk membalas senyuman tersebut. Entah ikhlas ataupun tidak, aku tidak kira.
Senyuman dia.
Berbalas senyuman aku.
*****
3 Syawal.
Sehingga hari ini, masih ada tetamu yang mengunjungi rumahku. Biarpun dalam Islam yang sebenar, hari raya Aidilfitri hanya disambut sehari, orang Melayu akan menyambutnya selama sebulan.
Seperti biasa, tugas aku jika tidak memasak ataupun menghidangkan makanan, aku akan mengemas halaman rumah. Seronok sungguh kanak-kanak bermain bunga api semalam, sebaliknya aku yang perlu kemas. Bijak sungguh kanak-kanak ini, bermain bunga api dan samphanya dibuang ke halaman rumahku. Ingat mudah, mahu menyapu di pagi raya ketiga ini?
Aku berhenti menyapu, lalu duduk di atas lantai. Penat. Kalaulah aku mempunyai hamba suruhan untuk melakukan semua kerja ini, sudah pasti hidupku bersenang lenang. Sekarang baru jam tujuh pagi. Sebentar lagi, tetamu akan datang bertandang.
"Assalamualaikum, Encik Aafiyah."
"Wa... waalaikumussalam," jawabku tenang. Encik Aafiyah mana pula ni? Setahu aku, nama aku ialah Humaira Aafiyah binti Azri. Semestinya, aku seorang perempuan tulin. Aku masih lurus, ya. Lelaki yang memberi ucapan salam sebentar tadi, aku lihat wajahnya.
Lelaki dua hari lepas!
Perlahan-lahan, aku menapak ke belakang untuk menjauhkan diri daripada lelaki itu. Bukan kerana aku masih marah dengannya, sebaliknya risau sekiranya dia berniat jahat. Aku, bukan kenal dia pun.
"Hey, kau ni kenapa?"
Dia menyoalku. Aku mengangkat kening, hairan. Tenang betul riaksi lelaki itu, tidak seperti aku yang sentiasa resah, apatah lagi apabila berhadapan dengan seorang lelaki 'pelik' ini.
"Awak ni kenapa? Awak siapa?" soalku pula. Jawab dahulu soalan aku, barulah aku akan jawab soalan dia. Begini. Aku sendiri pun tidak kenal lelaki itu, sibuk-sibuk pula ingin memberi salam kepada anak dara orang.
"Awak tak perlu tahulah. Perempuan cuai!" Dia ketawa kecil, lalu berlalu pergi.
Sekali lagi, aku kehairanan. Suaranya seakan-akan mengejek aku.
Jantan ini, memang tak guna.
Aku duduk di atas bangku batu, berehat sebentar daripada menyapu. Bantang penyapu dan penyodok, aku sandarkan pada dinding. Dada yang turun naik laju, aku rehatkan supaya ia kbali normal.
Aku hairan. Sebelum ini, aku tidak pernah nampak batang hidung lelaki itu. Entah di mana dia tinggal, tiba-tiba sahaja datang beraya ke ruamhku. Agak-agaknya, penduduk baharu kampung inikah?
Ada lagikah, manusia yang ingin tinggal di kampung? Bukankah di bandar lebih seronok? Kampung aku ini, biasa-biasa sahaja. Bukan ada sawah padi yang cantik dan hutan yang hijau untuk menjadi pengubat mata.
Ekor mataku memerhati penyapu dan penyodok yang aku sandarkan pada dinding. Rasa malas mula mendatang padaku, membuatkan aku sukar untuk bangkit semula, melakukan kerja.
"Kau tak nak sapu? Aku sapukan."
Entah dari celah mana, lelaki itu datang kembali memegang penyapu dan penyodok, membersihkan kawasan rumahku. Ingin sahaja aku menghalang, namun biarlah.
Dia sendiri yang suka rela, bukan aku yang memaksa. Orang tua kata, rezeki jangan ditolak. Sudah ada hamba Allah datang menolong, usah ditolak. Iya kan?
"Tengok ni, dah bersih. Mudah kan kita nak cari pahala, tolong orang yang dalam kesenangan pun boleh." Dia senyum sinis, lalu menapak perlahan.
Pedas tidak pedas, aku teruskan memerhati gerak langkah lelaki itu. Sekejap, ini riak ke apa? Lelaki ini, acah alim betul!
"Budak. By the way, aku bukan nak riak di pagi aidilfitri ketiga ni. Jangan salah faham pulak." Kaca mata hitam dikeluarkan daripada poket baju melayu birunya, lalu dipakainya sambil tersenyum senget. Acah bergaya lah tu.
Bergaya sangat. Seperti budak berusia lima tahun. Dengan baju melayu biru yang tidak bergosok, ada hati mahu mengacah kacak. Perasan betul mamat ini, sah-sah aku tolak untuk menjadi stok bakal suami.
Aku menggelengkan kepala, lalu menyimpan semula penyapu dan penyodok di dalam stor. Masih ada pelbagai kerja yang perlu aku lakukan, sudah nama pun hari raya. Ini baru hari raya ketiga, belum lagi jamuan raya yang dihadiri beribu orang. Kalau ini pun tidak mampu diuruskan, lebih baik padam sahaja mimpi untuk menjamu seribu tetamu di majlis rumah terbuka.
Impian aku, untuk menjadi seorang cef terkemuka di hotel sepuluh bintang. Setiap artis dan golongan bangsawan serta pewaris diraja, pasti pernah menikmati hidangan yang dimasak olehku. Setiap santapan adalah istimewa, semua berhak merasa. Mungkin kedengaran seperti impian seorang kanak-kanak, tetapi itulah aku.
Humaira Aafiyah, 19 tahun dan satu bulan. Status, ialah single mingle but not available. Aku tidak akan sesekali membuka hati kepada sesiapa, melainkan sudah tiba waktunya.
Namun, jikalau aku tidak berusaha, impian tersebut hanya menjadi impian yang sekadar menjadi angan-angan ketika bosan. Untuk menjadi seorang tukang masak yang berjaya, semestinya aku perlu pandai memasak. Kalau hidangan tidak sedap, kucing pun tidak mahu makan. Sama sahaja seperti si bulus aku, memilih betul makanannya.
"Hai selamat hari raya..."
"Kami semua ucapkan..."
"Menikmati hidangan ... yang kami sediakan..."
"Bangunlah anakku, beduk telah berbunyi..."
"Hei, salah tu!"
Telinga aku mendengar sahaja, suara kanak-kanak yang sedang bergembira menyanyikan lagu raya. Biarpun kanak-kanak dan remaja masa kini lebih menyukai muzik moden, tetapi lagu raya zaman dahulu tetap menjadi yang utama di hati mereka. Sama seperti aku.
"Assalamualaikum makcik, nak raya boleh?"
Figura seorang kanak-kanak lelaki, berusia lebih kurang lapan hingga sepuluh tahun, aku tenung. Tinggi badannya berbeza 30 cm daripadaku, membuatkan aku terpaksa menunduk untuk menghadapnya.
"Wa-alaikumussalam."
Dengan tidak ikhlas, salam itu aku jawab. Bertuah benar punya budak, suka-suka hati sahaja menggelar aku 'makcik'. Tua kerepot sangatkah aku ini, sampai aku disamakan dengan seorang 'makcik'?
Seperti yang aku katakan, rumah ini selalu sahaja dikunjungi tetamu yang hendak datang beraya. Daripada golongan kanak-kanak hingga dewasa, semuanya ada. Kali ini, aku bertemu dengan golongan kanak-kanak dan remaja, tanpa segan dan malu ingin datang beraya.
"Tadi, saya tengok makcik ada cakap dengan abang Faris! Abang Faris tu pemalu macam 'pondan', tapi dengan makcik dia nak cakap pulak. Hairan betul. Special nampaknya makcik ni," kanak-kanak itu mengurut dagu kecilnya.
Faris.
"So, nama dia Faris lah dik?" Aku tersengih lucu.
"Iyalah. Sepupu sayalah, makcik. Kalau makcik nak, cakap jela. Saya boleh tolong bagitau."
Semakin aku dengar suara kanak-kanak itu, barulah aku sedar ia mempunyai makna lain. 'Nak' yang dimaksudkan olehnya, ialah berkahwin dengan 'Faris' tersebut. Macamlah aku naif sangat, sampai itu pun tidak tahu!
"Adik, janganlah panggil akak makcik. Akak baru 19 tahun lah," pintaku supaya mereka menggelar aku dengan perkataan 'akak'. Bukankah lebih manis?
"Habis tu, nak panggil apa? Puan Faris?" Mereka mengekek ketawa lucu.
Serta-merta, wajahku merah padam kerana malu. Syok betul ya kanak-kanak ini, mengenakan aku. Sabar sahajalah di pagi raya ketiga ini. Kalau tidak, sudah lama aku halau kesemua geng kanak-kanak yang tiada adab ini. Huh!
"Akak ... janganlah marah. Kami gurau je. Lama tak jumpa orang kampung kat sini. Kami kan duduk KL, balik kampung masa raya je."
"Ye, akak tak marah pun." Aku tenang. Melihat wajah beberapa belas kanak-kanak dan remaja yang suci ini, aku berasa bahagia. Alangkah indahnya hidup jika disinari oleh suara kanak-kanak. Pasti hidupku riuh dan gembira sahaja, tidak seperti sekarang.
Aku, jangan katakan anak. Adik pun tiada. Yang ada, hanyalah seorang kakak yang tahap garangnya tidak ubah seperti seekor harimau. Ada sahaja yang tidak kena di matanya, tentang aku. Tidak apalah, sudah nama pun adik beradik, gaduh seperti mana pun, pasti berbaik semula. Kerana itulah peribahasa berkata, air dicincang, tidak akan putus.
"Akak, jangan stres. Kita kena senyum. Ustazah saya kat sekolah cakap, senyum tu satu sedekah!"
Senyum.
Benarlah, kanak-kanak ini jujur dan tidak pandai menipu. Senyum itu satu sedekah.
Tetapi, senyuman lelaki bernama Faris itu masih melekat di mindaku. Senyuman kambing lelaki itu, seolah-olah digam dengan benak fikiranku. Sukar untuk lekang, apatah lagi menghilang.
Share this novel