06; Tujuan

Romance Series 3947

Hidup tanpa tujuan, ibarat berjalan tanpa arah.

_______

MATA hazel gelapku jatuh pada lantai marmar masjid ini. Licin dan bersih dari sebarang habuk. Lincah anak mataku berhijrah ke sana ke sini, melihat binaan rumah ibadat Islam yang cantik ini. Pertama kali dalam hidupku, aku di bawa ke mari.

"Be... besarnya..." Aku tersenyum kagum. Ini baru sahaja bahagian luar, belum lagi bahagian dalam yang berkarpet dan berpenyaman udara. Sungguh indah tempat ini, tempat untuk memuliakan Tuhan yang nyata.

"Besar, kan. Besar lagi pahalanya, kalau kita solat berjemaah. Kejap lagi nak azan dah, siap-siaplah," pesan abah. Abah bergerak ke ruangan lelaki, manakala aku, ibu dan kakak ke ruangan wanita.

Malam yang indah.

Aku berjalan perlahan, menghormati rumah ibadat yang suci ini. Setiap hiasan geometri menjadi tumpuanku, indahnya masjid dengan pelbagai bentuk ini. Segitiga, bintang, bulatan dan segi empat sama.

Kakiku berhenti sebaik sahaja tiba di ruang solat wanita. Kakiku yang beralas dengan stoking memijak bulu karpet lembut yang menjadi punca aku kegelian.

Bulu. Aku geli bulu.

Seperti hari aku berjumpa dengan Faris, di biliknya yang mempunyai karpet bulu, cukup membuatkan aku kegelian.

Ya, Faris. Baru pagi tadi aku mereview nasi lemak masakannya, sedikit sebanyak dapat melepaskan rindu yang terbuku di dada. Yang jauh, kian terasa dekat. Cukup aku mendengar alunan suara merdunya untuk melepaskan rindu. Rindu yang amat dalam, jauh di lubuk hati.

"Nanti lepas solat, Maira dengan Hajar terus pergi khemah tau. Ibu nak jumpa seseorang sekejap," pesan ibu.

"Okey," kami berdua menjawab serentak, dalam nada perlahan.

Hari ini, kami dijemput untuk menghadiri kenduri kecil-kecilan yang diadakan di masjid. Biasanya, kenduri tahlil. Tetapi hari ini, agak berbeza. Kenduri kahwin. Mereka mahu menjimat kos, melakukan majlis di masjid. Bukan setakat jimat, berkat pun dapat.

*****

SELESAI bersalaman dengan semua jemaah, aku dan Hajar mengikut kata ibu. Tidak melencong ke mana-mana, kami terus pergi ke ruang makan wanita. Nampaknya, meja dan kerusi sudahpun semakin penuh, memandangkan semua tetamu makan serentak.

"Akak, cepat cop tempat tu," kataku sambil menunjukkan jari telunjukku pada tiga kerusi yang masih kosong. Satu lagi, untuk ibu.

"Akak cop, Maira pergi ambil makanan dulu." Kak Hajar menjaga tiga kerusi tersebut, manakala aku pula mengambil makanan.

Sesak. Itu sahaja yang mampu aku katakan. Penuh dengan manusia, semuanya beratur mahu mengambil juadah percuma.

Sekali tiba giliranku, nasi minyak di dalam tong, sudah habis licin. Lauk pauk pula, sudah ghaib entah ke mana. Yang tinggal pun, sayur sahaja.

Aku berjalan hampa, sambil berharap mereka akan menambah hidangan kenduri secepat mungkin. Itulah, lewat lagi.

Benar kata abah siang tadi, 'first come, first serve.' Kita sepatutnya menunggu rezeki, bukan rezeki yang menunggu kita.

"Kenapa, Maira?" soal kakakku apabila melihat wajahku yang tidak bersemangat lagi. Kecewa dan hampa, berkemungkinan tidak ada peluang lagi untuk kami merasa nasi minyak hari ini.

"Nasi habis."

Kak Hajar tersenyum kelat. Sama seperti aku, tetapi dia lebih mudah mengawal emosinya. "Tak apa lah Maira, sekurang-kurangnya kita dapat pahala berjemaah kan?"

Jawapan terbaik untuk menyedapkan hati kecil ini. Aku mula tersenyum manis, di dalam lautan pahit yang melanda fikiranku. Melihat tetamu sebelah yang sedang menjamah juadah dengan enak, aku terliur. Perutku sudah mula berkeroncong, meminta-minta nasi minyak yang diidamkan sejak petang tadi.

"Maaf, maaf. Sekejap lagi, kami top up. Nasi minyak katering dah habis, kami masak sendiri."

Pengumuman tersebut, cukup membuatkan aku sedikit lega. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga aku merasa sebutir nasi percuma biarpun bukan 'nasi mahal'.

"Akak, Maira nak cari ibu sekejap tau."

Aku memberitahu si kakak, sebelum memulakan langkah ke belakang surau untuk mencari ibu. Kata mahu berjumpa dengan seseorang, takkanlah lama benar.

Aku tiba di belakang masjid. Kelihatan mereka sedang bertungkus lumus memasak makanan baharu, untuk dijamu kepada kami. Di tempat yang agak sesak dipenuhi orang ini, aku cuba mencari figura ibu. Aku yakin, ibu berada di sini.

Setapak demi setapak, aku melangkah ke hadapan, mencari ibu. Anak mataku dilarikan ke kiri dan kanan, melihat satu demi satu wanita yang ada.

"Eh, Humaira... Buat apa kat sini? Nak tolong masak ke?"

Aku ditegur seseorang. Aku mencari punca suara itu, sebelum menyedari ia hadir dari belakang. Segera badanku dipusing, menghadap si pemilik suara.

"Ya Allah!"

Aku melatah terkejut, sebaik sahaja melihat wajah si pemilik suara. Le-laki itu.

"Yang kau terkejut sangat ni, asal?"

"Eii... awak ni kan..." Aku mendengus geram. Takdir betul, bagaimanalah aku boleh bertemu dengan mamat ini semasa kenduri pula. Hantu punya takdir!

"Cari siapa?"

Hanya dengan dua perkataan, dia menyoalku. Segera aku menjawab, "Cari ibu."

"Ooo... Nak tolong masak tak?"

"Masak?" Aku mengangkat kening. Keadaan sekeliling aku lihat dengan mata kasar. Semuanya sedang bertungkus lumus menyiapkan hidangan buat tetamu. Ada yang sedang memasak di dalam kuali bersaiz besar, sedang membancuh air dan sedang memotong bahan mentah. Semuanya sibuk. Namun, aku masih belum menjumpai ibu.

"Nak ke tak?" Sekali lagi, dia menyoalku. Antara mahu atau tidak.

"Na... nak..."

"Good girl. Mari ikut aku." Dari belakang, aku mengikuti jejak langkah lelaki itu. Dia hendak ke mana aku tidak kisah, tetapi sambil itu, aku masih mencari ke mana hilangnya ibu. "Humaira, kau janganlah lurus bendul sangat. Jalanlah kat sebelah aku, jangan jalan kat belakang. Nanti, tak nampak."

'Cis!'

Aku menyumpah di dalam hati. Dasar ambil kesempatan punya Faris! Mahu tidak mahu, aku berjalan di sebelah lelaki itu, namun masih mengekalkan jarak antara kami.

"Cantik..." Dia tersengih kecil. Pipi lelaki itu merona merah, gembira sangatlah tu!

"Awak ni..." Jika aku boleh menyentuh kulitnya, mahu sahaja aku menampar manja. Dasar ambil kesempatan!

"Dah sampai. Simpan dalam hati jelah, apa yang awak nak cakap."

Dia berhenti melangkah, diikuti aku. Stesen 4, ada sebuah kuali besar dan beberapa bahan mentah yang sudah tersedia. Hanya menunggu untuk dimasak.

"Harini, kita belajar masak ye, sayang. Pertama sekali, kau cuci tangan bersih-bersih, jangan ada sebutir kuman pun. Kita nak jamu orang, kenalah yang paling berkualiti."

"Apa... apa awak cakap!" Aku mencapai senduk, bersedia untuk mengetuk kepala Faris Azmi. Lelaki ini, memang suka mengambil kesempatan. Ketuk sekali dengan senduk ini, baru hendak insaf agaknya.

"Lol."

Aku menarik nafas geram lalu menghembusnya sambil berharap akan pudar perasaan geram dan marah kepada lelaki ini. Dia ini, jika tidak bikin aku geram, tidak sah.

"Dah, jangan berangan. Pergi cuci tangan. Pakai sabun. Agaknya, aku tak perlu ajar kau macam aku ajar adik bongsu aku, kan? Kau bukannya budak tadika lagi."

"Ye!" Aku terus memutar pili air, hendak menuruti 'perintah' lelaki itu.

Air yang kuat terus memancut keluar daripada kepala paip tersebut, membasahi pakaianku. Cepat-cepat tanganku mencapai pili, memutar kembali mengikut arah jam.

Baju aku, sudah habis basah lencun.

"Betullah, kau ni budak tadika."

Sempat lagi Faris mengekek ketawa, melihat pakaianku yang sudah basah. Aku menjulingkan mata, benci.

"Habis awak tu apa? Budak sekolah rendah?"

"Macam ni, kau buka pili air ni perlahan-lahan, ha kan okey." Air yang bersaiz sederhana, keluar daripada kepala paip yang sama. Berbeza dengan apa yang aku lakukan tadi.

Tiada basah lencun. Tiada.

"Te... terima kasih," ucapku sambil membersihkan kedua-dua tapak tanganku dengan sabun.

"Aku pun, bukan selama-lamanya akan teman kau. Kau kena belajar berdikari, usaha sendiri. Mak ayah kau, takkan sempat untuk betulkan segala kesilapan kau, dia orang pun ada saham akhirat yang perlu dikejar."

Aku tertunduk.

"Aku sedar, aku datang untuk tolong kau. Kau memang cuai sangat. Tapi tak apa, aku boleh ubah kau. Sebelum... kita kahwin."

Duhai air mata, masuklah kembali ke dalam mata. Jangan sesekali jatuh, terutama di hadapan dia. Aku perlu buktikan, aku tidak selemah ini. Sekali dimarah, aku tidak akan menangis.

Kerana aku sebenarnya kuat. Kuat.

"Kau... kau menangis ke?" Lelaki itu melutut, mahu melihat sendiri wajahku. Cepat-cepat air mata yang sudah bertakung dikesat dengan tudung, tidak mahu dia melihat aku menangis.

Kerana terguris, dengan kata-katanya. Aku perempuan cuai, tersangat cuai. Daripada hari pertama aku bertemu dengannya, dia sendiri yang membantu aku. Hanya aku, yang menganggap dia menambahkan malu, sedangkan dia membantu aku.

"Tak pun. Perasan awak, je tu." Aku masih menegakkan benang yang basah.

"Humaira, aku minta maaf. Aku tak sepatutnya marah kau. Maaf sebab aku tegur kasar." Iris mata kami bertemu. Aku dan dia. "Tapi, aku nak sangat kau tahu. Aku, sebenarnya sayangkan kau. Aku tegur, sebab sayang."

Sebab sayang?

Tetapi, mengapa Faris? Benarkah semua itu bertujuan membina, mahupun merendahkan lagi aku?

"Tujuan aku, nak mengubah kau. Aku nak kau jadi matang, pandai berdikari dan pandai menyesuaikan diri di tempat orang. Aku tak nak kau jadi perempuan cuai lagi, okey?" Bibir merah delima lelaki itu, melapaskan sebutir senyuman. Warna bibir lelaki itu merah, menandakan dia bebas daripada racun rokok dan vape. Senyuman itu mahal harganya, seperti batu permata 10 karat.

"Tu... tujuan?"

"Tujuan. Hidup tanpa tujuan, ibarat berjalan tanpa arah. Kau mesti tahu kan, apa tujuan kita semua hidup di dunia ni?" Dia mengujiku lagi.

"Ta... tahu." Penyakit gagap manalah, yang datang menyekat mulutku ini. Keyakinan untukku bercakap dengannya hilang serta merta.

"Kita hidup, untuk mencari bekal untuk dibawa ke sana. Akhirat. Tempat yang sebenar-benarnya. Kau nak masuk syurga, kan? Jangan cakap kat aku, kau nak masuk neraka pulak. Aku ketuk juga dengan senduk kayu ni." Sebatang senduk kayu, sudah siap berada di tangannya.

Mungkin untuk 'mengetuk' aku.

"Yang nak masuk neraka tu, awak seorang je." Aku senyum tawar.

"Humaira..." Dia meletakkan senduk kayu kembali ke atas meja. Tindakan dia, hanya aku perhatikan daripada ekor mataku. "Kau ni, nakal. Aku suka."

What?  Nakal?

"Kejap, awak kata nak masak tadi?" Dengan sengaja, aku mahu mengubah topik. Lupakan sebentar apa yang dikatakan lelaki itu tadi.

"Oh ya, aku lupa. Terima kasih, ingatkan."

Aku menunduk sambil memandang kawah bersaiz besar tersebut. Nampaknya, kawah tersebut menunggu sahaja untuk digunakan, kami yang ralit bersembang hingga terlupa untuk memasak.

"Mula-mula, kita buka api. Lepas tu, masukkan minyak ni. Jangan banyak sangat, tak elok untuk kesihatan." Sebotol minyak masak berjisim 5 kg diangkat oleh Faris, lalu dituang ke dalam kuali. Sementara aku, hanya lihat dan tunggu. Tidak tahu untuk membuat apa, risau sekiranya tersilap langkah, membazir bahan sahaja. "Tunggu sampai minyak panas."

Aku mengangguk perlahan. Minyak yang sedang beransur panas di dalam kawah menjadi pandanganku. Hanya ada sedikit perasaan takut menggigit hatiku, disebabkan minyak kali ini bukan sedikit seperti di rumah. Ini kawah besar, Humaira.

"Relax, nampak? Nah, ambil ayam ni. Gaulkan. Tangan dah cuci kan, tadi?" Satu bekas berisikan ayam yang sudah bersalut tepung dan kunyit diberikan kepadaku. Bekas itu bertukar tangan.

Tanpa sedar, tangan aku dan dia bersentuhan secara tidak sengaja.

"ASTAGHFIRULLAH!"

"Eee, awak ni!"

Kami masing-masing mengundur ke belakang, menjauhkan diri masing-masing. Nasib malang apakah hari ini, aku telah melakukan satu 'dosa', biarpun tidak sengaja.

"Awak... saya minta maaf. Tak sengaja. Sumpah!" Dengan wajah yang cuak, aku mengucapkan ayat permohonan maaf secara tidak rasmiku. Sungguh aku cuak, saat melihat riaksi lelaki itu. Aku tidak sengaja!

"Humaira... aku tak pernah sentuh perempuan yang belum halal untuk aku. Aku tahu, kau tak sengaja. Aku pun, minta maaf," tuturnya sebak. Dia masih cuba untuk tersenyum, biarpun pahit. "Tapi aku lagi sedih, kalau aku berbangga dengan dosa sendiri."

Faris.

"Awak... kenapa... awak... baik... sangat?" Air mataku bertakung di tubir mata. Rasa ini dalam dan sakit. Aku terharu, orang yang baik sanggup berada di sisiku. Aku ingatkan, golongan manusia seperti ini sudah hampir pupus dan sukar untuk dijumpai lagi.

Tetapi aku, merupakan insan yang bertuah. DIA datangkan seorang lelaki yang baik untuk membimbing aku ke jalan yang benar. Dia, membantu aku untuk belajar berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi matang.

"Aku pun manusia, Humaira. Banyak sangat khilaf. Kadang-kadang, aku pun insecure dengan kawan-kawan sepondok dulu. Dia orang lepas keluar pondok jadi orang baik, sebaliknya aku jadi orang... entahlah."

Tak, Faris. Jawapannya tidak.

"Tapi, untuk berdakwah bukan sahaja duduk di atas khutbah dan bagi ceramah, kan? Bermacam-macam cara untuk kita berdakwah, kan awak?" tebakku. Sudah kulupa dari mana aku mendengari ayat tersebut, namun ia masih segar di benakku.

"Drama apa ni, kau orang berdua ni?"

Aku dan Faris yang saling berpandangan sesama sendiri, terkejut mendengar suara yang sangat aku kenali ini. Ibu.

"Ibu!" Aku tertunduk malu. Kantoi.

Tembelang yang menyimpan rahsia terbesarku, kini pecah berderai. Ibu sendiri yang menyaksikan dam mendengar setiap perbualan kami.

"Makcik, maaf. Saya tak berniat nak mengganggu anak perempuan makcik." Dia menunduk hormat kepada ibu, menandakan dia menghormati ibu sebagai orang yang lebih tua.

"Emosi nampak kamu berdua ni. Awat ni?" Ibu mengangkat kening kehairanan.

Aku mengulum senyum mesra, lalu menjawab, "Tak ada apa-apalah, ibu."

"Haah, tak ada apa-apa pun makcik. Jangan risau."

"Awak!" Aku terjerit kuat, apabila menyedari sesuatu yang sedang meletup. "Minyak... dah panas!"

Cuai.

Sama-sama cuai. Lebih adil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience