02; Faris

Romance Series 3947

Faris, dialah permata harapan semua orang. Abang sulung kepada tujuh beradik serta empat belas anak saudara, dia memikul tanggungjawab yang besar.

_______

SEBULAN berlalu. Sejak daripada kejadian itu, itulah kali terakhir aku bertemu dengan lelaki itu. Sudah masuk bulan Zulkaedah, aku rindu akan Syawal dan Ramadan yang hanya tiba setahun sekali. Semasa Syawal, pelbagai rumah dan majlis rumah terbuka telah aku pergi, memberikan pengalaman yang indah setiap tahun. Di kala inilah, saudara-mara jauh ingin berkumpul di bawah sebuah bumbung.

Seperti biasa, aku bersiap pantas. Aku mengerling wajahku di cermin, sungguh cantik ciptaan Tuhan. Dengan hanya secalit make up yang tidak tebal pun, aku sudah kelihatan bergaya. Alhamdulillah.

Kakiku melangkah pantas, ingin meninggalkan rumah. Hari ini merupakan hari Isnin, tahu-tahu sahajalah, sudah mula hari bekerja. Kadangkala aku terlupa, aku tidak perlu ke sekolah lagi. Ingin sahaja aku kembali ke masa lalu, ingin bersekolah dan belajar betul-betul. Benarlah, semasa aku masih belajar, aku ambil tidakserius sahaja. Setelah tamatnya alam persekolahan, barulah aku sedar.

"Assalamualaikum, ibu. Maira pergi dulu, tau." Tangan ibuku, aku kucup lama. Haruman tubuh ibu, hanya aku dan Kak Hajar yang tahu. Ibu mempunyai haruman tubuhnya yang tersendiri, sebagai simbolik keluarga kami. Keluarga Aafiyah.

"Waalaikumussalam."

Kepala aku yang sudah berbalut dengan hijab, digosok oleh ibu. Aku menunduk luhur, terasa kasih daripada ibu. Aku sepatutnya bersyukur, bukan semua orang pernah merasanya.

Satu lagi. Insan kedua yang aku sayang, setelah ibu. Seorang lelaki yang bergelar ayah. Tanpa dia, siapalah aku untuk berpijak di atas tanah bumi ini. Kerana dia, aku dapat merasa enaknya sebutir nasi.

"Abah..."

"Ya sayang abah..."

Aku menghampiri tubuh lelaki yang berbeza 30 tahun daripadaku. Tangannya aku capai, lalu dikucup penuh kasih sayang seperti mana aku melakukannya kepada ibu. Setiap sentuhan mereka penuh kasih, mengharapkan yang terbaik untuk cahaya mata bongsunya.

"Dah besar ye anak bongsu abah. Dulu kecil je." Iris mataku, ditenung lama oleh abah. Begitu juga aku.

"Iya, abah," balasku penuh beradab. Sememangnya, aku yang dahulu dan sekarang lebih berbeza. Jika dahulu aku tidak matang, kini ya.

"Dah jadi anak dara dah ni. Dah besar ni, bolehlah kahwin kan. Seronok abah, kalau ada cucu." Abah mengekek ketawa.

Entah lucu tang mana.

"Eh, abah gurau je. Maira kan muda lagi, kerja dulu. Cari pengalaman, lepas tu barulah cari suami. Ye tak?"

Aku menghembuskan nafas lega, tenang. Nasib baiklah kisah hidupku, bukan seperti drama cinta pukul 7, dikahwin paksa kerana wasiat keluarga. Aku yakin, abah akan membenarkan aku memilih sendiri pasanganku, suatu hari nanti.

Suatu hari nanti, bukan hari ini. Seperti yang abah katakan, terlalu muda untuk aku berkahwin. Umur wanita yang ideal untuk berkahwin ialah 20 ke atas, sedangkan aku barulah 19 tahun yang baru hendak melangkah ke alam pekerjaan.

Jangan kata umur, pasangan pun tiada. Aku ini, berstatus single mingle, mana ada orang mahu. Lagipun, aku tidak perlu menyibukkan diri dengan cinta. Terlalu awal katanya.

*****

Skrin komputer yang memancarkan cahaya, menjadi pandangan mataku sejak tadi. Di sinilah aku bekerja, dan mencari mata rezeki. Jangan salah faham, aku bukan bekerja di pejabat yang sejuk dan cantik. Aku hanya bekerja sebagai pembantu jualan, tugas aku ialah key in setiap hasil jualan di dalam komputer sebagai bukti.

Sementara dua orang lagi pekerja yang merupakan kawanku, sedang membungkus barang untuk dipos. Kami menjual minyak wangi, harumannya segar dari pagi hingga malam.

Hanya kami bertiga. Tidak ramai yang bekerja di sini, memandangkan ianya hanya bisnes kecil-kecilan. Baru sahaja ditubuhkan tahun lalu, masih kecil empayar ini.

"Humaira, Laila. Akak nak pergi ambil anak akak sekejap. Nak rehat ke apa, rehatlah dulu."

Aku dan Laila mengangguk. Setiap hari apabila tibanya jam 12.30 tengah hari, pasti Kak Fatin akan menjemput anaknya pulang dari tadika. Si kecil kenit anak Kak Fatin itu, ingin sahaja aku cubit pipinya sehingga lebam. Tembam sangat!

Sementara itu, aku mencapai air kosong di dalam botol, lalu meneguknya. Setelah berjam-jam melakukan kerja, kini masanya untuk berehat. Tidak perlu makan tengah hari, cukuplah 'berehat' daripada tanggungjawab yang perlu aku lakukan.

Sepuluh minit kemudian.

Pintu kaca premis dibuka dari luar. Tidak perlu dilihat siapa yang datang bertandang, sudah aku mengetahui. Siapalah yang berani menceroboh premis ini, melainkan pemiliknya sendiri, iaitu Kak Fatin.

"Aunty Laila! Aunty Humaira!" Anak tunggal kepada majikanku, bersorak gembira sebaik sahaja nampak wajah kami berdua. Kanak-kanak ini baru sahaja berusia lima tahun, masih belajar di tadika.

"Ye, Faris." Laila menyambut anak tunggal Kak Fatin yang berlari menuju ke arahnya. Jelas kelihatan, kanak-kanak itu amat menyukai Laila. Laila juga bakal seorang ibu, masih berbaki tiga bulan lagi sebelum tarikh dijangka bersalin. Naluri keibuan wanita itu, pasti ada.

Hanya aku yang di sini, belum berumahtangga. Iyalah, aku muda lagi. Kak Fatin dan Laila, sudah berusia 25 tahun ke atas, memang patutlah sudah bersuami.

"Faris, seronok tak dekat sekolah tadi?"

"Faris, cikgu kat sekolah garang tak?"

"Faris, tadi belajar apa?"

"Faris,"

"Faris,"

Aku meletakkan kepalaku di atas meja. Tidak aku sangka, nama itu muncul di mindaku berkali-kali tanpa henti. Soalan Kak Laila yang menyebut namanya, membuatkan aku teringat lagi kepada lelaki itu. Bukan Faris kecil, anak sulung Kak Fatin, tetapi Faris besar yang aku temui bulan lalu.  Lelaki yang membantu aku ketika tersadung semasa menghidangkan makanan di pagi raya, itulah Faris besar yang aku maksudkan.

"Eh Maira, kenapa tu? Pening kepala ke?"

Kak Fatin yang sedar aku berkelakuan pelik, lantas sahaja datang ke arahku dengan wajah yang risau. Bukan selalu aku meletakkan kepala di atas meja, biasanya ketika sakit kepala datang menyerang. Hari ini, aku bukan lagi diserang sakit kepala, melainkan fikiranku penuh dengan lelaki bernama Faris itu.

Jangan kata, aku sudah jatuh cinta pertama. Jangan, jangan. Siapa berani cakap begitu, memang aku cili mulutnya. Aku cuma terbayang akan senyumannya, bukan cinta.

"Mana ada kak," jawabku laju. Kepala yang terletak di atas meja, aku angkat laju. Tidak mahu Kak Fatin risau, aku menyambung kerjaku biarpun sekarang masih lagi waktu rehat. Dengan alasan, banyak kerja yang perlu dilakukan. Maklumlah, sale agak banyak bulan ini.

Jari-jemariku menari di atas papan kekunci, melakukan kerja dengan azam dapat menghilangkan perasaan 'cuak' yang susah untuk ditafsir sebentar tadi. Mataku difokuskan pada skrin komputer, jangan dilayan sangat perasaan yang pelik ini.

Pelik. Sangat pelik. Selama 19 tahun ini, belum pernah aku berperasaan begini. Perasaan ini, sangat sukar untuk ditafsir. Hendak diterangkan secara terperinci, apatah lagi. Hanya aku memahaminya.

Faris. Segaris nama yang indah dan mempunyai maksud yang baik. Nama yang diberikan buat cahaya mata sulung majikanku Kak Fatin dan juga nama seorang lelaki yang telah membantu aku sebulan lalu. Sejak dari hari itu, langsung aku tidak lihat kelibatnya. Tiada lagi kemunculan jasad lelaki itu, tiada.

Sedikit sebanyak, aku mula rindu. Jika aku mengetahui cara untuk berhubung dengannya, sudah lama aku membuang rasa malu untuk chat dengannya. Bagiku, dia terlalu istimewa.

Itulah Faris, lelaki yang berbaju melayu merah, aku menemuinya kali pertama pada tanggal 1 Syawal.

*****

Langkah kaki aku diatur menuju ke dapur. Tudung saji dibuka, tiada lauk untuk menjadi santapanku petang ini. Tidak mahu menyusahkan ibu, aku sendiri yang akan masak. Iyalah, impianku sendiri untuk menjamu seribu tetamu dengan air tanganku sendiri.

Ayam.

Serai.

Santan.

Daun kunyit.

Agak-agaknya, masakan apa yang boleh dibuat dengan semua ini? Aku mengurut dahi, memikir. Tubuhku dilabuhkan di atas kerusi, kepenatan.

Rendang. Ya, rendang.

Ish, rendang lagi!

Aku melihat ke arah ruang tamu. Masih segar di ingatan, saat-saat aku jatuh di hadapan khalayak ramai sebulan lalu. Perasaan maluku ketika itu, hanya Tuhan yang tahu. Ditambah malu, apabila seorang lelaki yang bergelar tetamu pula membantu aku.

Aku ... membawa semangkuk rendang dan beberapa ketul ketupat palas untuk dijamu kepada tetamu. Kerana tersilap langkah, lain pula jadinya.

Faris, Faris, Faris.

Aku menggeleng sendiri, menyuruh otakku berhenti menyebut namanya. Semakin aku sebut, semakin sukar untuk aku melupakan nama lelaki itu. Begitu juga dengan peristiwa memalukan tempoh hari.

Hairannya, aku bukan diserang anxiety ketika teringat semula kejadian hitam itu, sebaliknya tersengih gembira. Entah apalah yang gembira sangat di dalam benakku ini, aku sendiri pun tidak tahu.

Tidak mahu membuang masa, aku mengambil semua bahan dan mula memasak. Setiap langkah dibuat dengan penuh kasih, agar makanan yang akan dijamah lebih terasa sedapnya. Begitulah kata ibu, selaku cef paling hebat di rumah ini.

Aku.

Dan.

Rendang.

Mengembalikan memori silam, aku dan Faris.

*****

"Kompang dipalu ... pengantin baru..." Suaraku bergema di seluruh bilik, menyanyikan lagu yang selalu didendangkan semasa kenduri kahwin. Eh, macam aku pula yang mahu kahwin!

Dum!

Pintu bilikku dirempuh kuat. Aku menjegilkan mata terhadap 'manusia' yang merempuh pintu bilikku, seolah-olah tiada tangan untuk mengetuk terlebih dahulu.

"Akak! Ketuklah dulu!" Aku memandang wajah kakak sulungku, tepat. Hanya dia, satu-satunya adik beradik kandung yang aku ada. Kami hanya dua beradik, di dalam sebuah rumah yang agak besar. Beruntung sekali, Alhamdulillah.

"Kau dah kenapa, nyanyi lagu pengantin baru ni? Ada orang nak kahwin ke dalam ni? Ke ... kau yang nak kahwin?"

Soalan kakakku, membuatkan aku ketawa lucu. Boleh pula, dia fikir aku pula yang hendak kahwin. Eh, sorry sikit. Aku ini, single mingle tahu! Tak layan lah lelaki, semuanya macam buaya.

"Akak fikir, kena kahwin dulu ke baru boleh nyanyi lagu tu? Hmm, Maira rasa akak kena masuk tadika balik. Ni mesti, kes cikgu tak ajar masa tadika ni." Rambut panjangku dikibas ke udara, mengikut trend terkini. Flip hair namanya, tidak silap.

Dia diam. Mungkin kerana kepedasan, dengan ayat perli level 10 aku. Jangan main-main dengan seketul Humaira, sekali diperli terdiam ketap gigi!

"Kau menang."

Kak Hajar mengambil keputusan, keluar daripada bilik. Aku tersenyum sinis, sambil tanganku menekan tombol pintu, mengunci pintu tersebut. Bilik ini, kalau tidak dikunci, memang segala benda mahu masuk. Cantik sangat agaknya aku deko, sehingga menarik segala makhluk.

Aku melunjurkan kaki ke atas tilam empuk sementara mataku dihalakan ke siling. Hanya kipas yang ligat berputar tanpa penat, menjadi tatapanku. Dengan melihat kipas yang berputar, secara tiba-tiba sahaja, fikiranku berubah ke lain.

Ke planet marikh.

Silap, ianya tentang lelaki itu. Lagi dan lagi. Kali ini, tentang perjumpaan kali kedua dan terakhir aku dan dia. Pada tanggal 3 Syawal dalam kalendar hijrah. Dia ... meninggalkan sekuntum senyuman sebagai kenangan yang tidak akan aku lupakan, sampai bila-bila.

Tiba-tiba, aku berasa sebak. Benarkah hanya aku seorang yang merindukan dia, sebaliknya dia langsung tidak ada perasaan denganku? Mudahnya seorang wanita menjual hatinya sendiri, kepada seorang lelaki ajnabi yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Akulah. Ya, aku. Mudahnya aku terjatuh hati kepada seseorang, yang hanya sempat bertemu dengannya dua kali. Biarpun dua kali, setiap pertolongannya kekal berada di hati, seperti digam dan tidak akan tercabut lagi.

Sukar untuk digambarkan, perasaan aku ketika ini. Tidak menentu, kadangkala gembira dan tiada perasaan. Semuanya kerana kejadian tempoh hari. Kalau ianya tidak terjadi, pasti aku tidak kenal lelaki itu.

Tidak akan, Humaira.

Kenapalah, aku terlalu cuai tempoh hari? Ya, aku mengakui mataku terlalu fokus menatap dirinya, sehingga terlupa ada sesuatu yang perlu aku bawa.

Makanan dan maruah. Maruah aku, sebagai seorang anak dara. Kalau semasa itu pun, aku sudah kelihatan cuai, macam manalah lelaki mahu masuk meminang? Pasti mereka akan memilih yang terbaik, bukan terburuk seperti aku.

Jangan, Humaira. Jangan menyalahkan takdir. Bukankah qada' dan qadar Allah itu benar, apa gunanya aku melafazkan enam rukun iman sewaktu sekolah rendah dahulu, jika tidak memercayainya?

Mungkin itu, ialah qada' dan qadar untukku. Sebuah takdir, untuk menguji mental dan fizikalku. Sejauh mana aku dapat bertahan, daripada terjatuh cinta.

Aku berdoa, supaya aku tidak terjatuh cinta. Jangan sesekali terjatuh cinta kepada lelaki yang tidak dikenali, kelak aku juga yang perit menahan rasa cinta, sedangkan pihak sana tidak merasa apa-apa.

Mahu tidak mahu, aku perlu mencari maklumat lelaki itu. Bukan kerana cinta, tetapi untuk mengelakkan aku daripada terjatuh cinta. Manalah tahu, tunangan orang kah? Kalau suami orang, macam pelik pula. Terlalu muda untuk menjadi suami orang.

Langsir putih yang menutupi tingkap kaca bilikku, aku selak perlahan. Di sebalik kaca tingkap, jelas sekali kelihatan bulan sabit dan bintang yang menerangi kegelapan malam. Hanya di kampung, aku dapat melihat kemunculan objek di alam semesta yang terang bersinar. Tiada di bandar maju, kerana pencemaran cahaya yang berlaku.

Melihat bintang terang dan memantulkan cahaya matahari, teringat iris mata lelaki itu yang memandang tepat ke arahku. Berwarna dark hazel, seperti orang Melayu tulin.

Warna matanya pun melekat di kepala, apatah lagi senyumannya yang seperti sebuah ecstacy berujuan memabukkan aku.

Dengan hanya segaris senyuman. Indah bak bunga yang mekar harum sepanjang taman. Itulah kuasa dia, tidak mampu aku nafikan.

Eh, kuasa dia pun, semuanya datang daripada Allah juga. Siapalah aku, untuk menidakkan ciptaan-Nya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience