Aku membuka mata perlahan-lahan. Seluruh tubuh aku sakit. Aku cuba mengerakkan tanganku, terasa perit, sakit dan seolah terikat. Aku perhatikan sekeliling dan tiba-tiba pendengaranku menangkap bunyi hilaian seorang wanita, kemudian disusuli dengan tangisan yang sangat sayu, kemudian dia mengilai lagi. Bulu roma aku meremang. Tubuh aku mula seram sejuk. Aku menoleh kiri dan kanan. Ramai orang mengelilingiku yang sedang terbaring. Di mana aku? Persoalan itu yang muncul bila aku tidak dapat mengecam permandangan yang cukup asing di sekelilingku.
“Anis..Anis dah sedar? Ini ibu sayang. Anis..’’ aku menoleh ke arah suara itu dengan perasaan separuh bingung. Di mana aku? Soalan itu menerjah lagi mindaku.
“Anis..’’ suara itu sudah tersedu memanggil namaku. Aku memandang wajah perempuan separuh umur yang sedang mengelus rambutku.
“Anis..kak long ni. Anis okey?’’ suara lain pula yang kedengaran. Aku masih buntu. Fikiran aku masih bercelaru. Minda aku cuba mengimbas kembali apa yang telah berlaku terhadapku.
“Hihihihi...heeeheeehee..’’ hilaian yang aku dengar tadi terus bergema. Suara riuh rendah orang ramai beserta seorang lelaki membaca Al-Quran memenuhi ruang.
“Huhuhuuuuuuu..’’ hilaian berganti tangisan berselang seli. Seluruh tubuh aku meremang. Jantung aku berdetak hebat. Perasaan takut dan seram menguasai diri. Aku terbayang tubuh hitam legam yang besar agam sedang menyeringai dengan wajah bengis padaku.
Allah, Allah, Allah.. La Ilaha Ilallah..Allahu Akhbar. Aku meratip di dalam hati. Dua orang wanita yang berada di sebelahku aku pandang sayu. Ingin mengadu ketakutan yang aku rasai, tapi bibir aku seolah dikunci mati. Aku tak berdaya untuk bersuara. Lidahku menjadi kelu untuk berkata-kata.
“Anis..mengucap Anis. Istighfar Anis. Lawan Anis. Jangan dilayan perasaan takut Anis tu. Kami semua ada di sini Anis. Ibu, abah, abang long dan kak long. Kami ada Anis. Istighfar Anis.’’ Aku tak tahu siapa yang bersuara, namun hati aku mengikut arahan suara itu. Aku mula beristighfar tanpa henti. Melawan perasaan takut yang menguasai diri. Cuba melupakan bayangan makhluk yang sesekali muncul dalam mindaku. Ditambah pula dengan suasana ruang seluruh rumah yang hingar bingar dengan suara orang ramai.
Allahu Akbar Allahu Akbar.
Asyhadu alla illahaillallah.
Asyhadu anna Muhammadar rasulullah.
Haiyaalas solah
Haiyaalal falah.
Allahu Akbar Allahu Akbar.
La ilahaillallah.
Laungan azan bergema memenuhi ruang rumah. Suara hilaian wanita tadi semakin lama semakin lemah. Aku pula terus beristighfar tanpa henti. Sesekali mengalunkan Surah Qursi dan Tiga Qul. Aku ingin melawan rasa takut itu. Fikiran aku kembali lagi ke alam nyata selepas azan berkumandang.
Aku raup dahiku yang berpeluh dingin. Aku dongakkan wajah dan bertentangan mata dengan ibu. Dan sebaik saja ibu membalas pandanganku, aku menangis lagi sambil bangun dan memeluk ibu. Perlahan ibu mengusap belakangku.
“Kenapa dengan Anis, Ibu? Apa yang telah terjadi? Kita di mana ni? Kenapa ibu pun ada sekali. Macam mana..’’ pertanyaanku yang bertalu-talu terhenti. Ibu mengelengkan kepalanya. Aku pandang pula wajah kak long, wajah abah dan abang long. Macam mana mereka semua ada di sini bersamaku? Persoalan itu pula yang menerjah minda.
Share this novel