BAB 8

Romance Completed 23643

“Orang yang perasan mereka tu kuat, suka sangat pijak kepala orang yang lemah. Kalau dibiarkan terus, semakin menjadi-jadi mereka ni.’’ Along mengamuk sakan hari ini. Tak habis-habis membebel gara-gara cermin kereta kesayangannya dipecahkan oleh budak-budak nakal.

“Sudahlah Long, kalau membebel sampai pagi pun, kereta Along tu takkan elok semula kalau Along tak bawa ke workshop..’’ kak Ngah pula cuba menyabarkan Along. Kak Long pula hanya memandang Along tanpa kata. Aku ingin juga mencelah, tapi takut terkena batang hidung sendiri. Along selalu leterkan aku kerana terlalu berlembut hati, hingga ramai orang sekeliling, saudara-mara, serta pembeli-pembeli online aku pijak kepala.

Aku hanya mampu berserah pada Allah, kerana bagiku Allah lebih tahu apa yang tersirat dalam hati setiap hamba-hambaNYA. Kalau mereka memang ada niat nak permainkan aku. Biar Allah saja yang membalasnya. Siapalah aku ini nak menuduh sebarangan. Setiap manusia ada masalahnya yang tersendiri.

“Kau nak suruh aku jadi macam Anis ke? Lembut hati sangat, sampai laki dan madu dia buli dia pun, dia bertahan saja. Tak bertindak apa-apa pun..’’ ehh..aku diam pun kena juga ke? Along ni, menjawab karang..lagi teruk aku kena bebel. Diam lebih baik dari berkata-kata. Biarkan Along tu membebel sorang-sorang. Aku pujuk hati aku sendiri.

“Hah Anis,diam saja. Tak ada apa-apa bantahan?’’ kak Ngah ajukan soalan untuk aku. Bantahan apa? Cakap along tu ada benarnya. Sejak sekolah lagi, aku selalu dibuli. Aku memang lemah, kalau bab nak membalas semula. Aku hanya mampu pasrah setiap kali dibuli kawan-kawan. Hanya doa yang mampu aku lakukan, agar mereka yang selalu membuli aku tu akan mendapat balasan setimpal.

Aku ingat lagi ketika aku darjah lima. Ada seorang budak dalam kelas aku yang suka mengambil duit aku. Sedeli namanya, dia akan ugut aku kalau aku tak kasi. Oleh kerana takut dengannya, aku terpaksa menahan lapar setiap hari. Tapi, suatu hari tu..aku berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah beri dia balasan setimpal. Dan, dia memang mendapat balasannya. Dia pula dibuli oleh budak-budak nakal yang lebih kuat darinya, hinggalah suatu hari, dia dipukul dan dimasukkan ke hospital.

Begitulah hidup kita ini, ibarat roda yang sentiasa berputar. Kita kenakan orang yang lemah, tipu orang yang percayakan kita, suatu hari nanti pasti Allah akan bayar tunai. Allah akan hantar orang yang lebih kuat untuk membuli kita semula. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

“Anis!’’ kak Ngah panggil aku.

“Allah kan ada! Biar Allah saja yang balas, kalau kita asyik nak balas membalas, bila nak selesai?’’ perlahan saja aku menjawab kata-kata kak Ngah tadi.

“Itu namanya tawakkal tanpa usaha. Orang pengecut saja yang buat macam tu!’’ tak semena-mena Along bertempik. Kuat juga suara dia, hingga aku tersentak dan menunduk takut. Along memang panas baran sejak kecil lagi. Janganlah ada yang nak kenakan dia, pasti dia akan balas semula.

“Habis tu, Along nak suruh Anis buat macam mana?’’ aku menyoal Along dalam nada suara yang sangat lemah. Malas nak bertekak dengan Along, dia memang takkan pernah mengaku kalah. Kalau dia kata hitam, hitamlah jawabnya.

“Rumah tangga kau, kenapa tanya Along pulak? Kalau rumah tangga Along, senanglah Along nak settle!’’ perghh..ayat Along, tadi macam banyak idea sangat, alih-alih aku juga yang kena settle sendiri? Bagi aku, senang sangat nak settle. Serah saja semuanya pada ketentuan takdir.

“Along tahu pula, itu masalah rumah tangga Anis. Kalau macam tu, biar Anis saja yang settle sendiri. Biar Anis yang tanggung. Along tu, jagalah rumah tangga Along.’’ Masih perlahan nada suara aku, tapi bila aku panggung kepala dan tengok Along, dia sudah bercekak pinggang dan menjegilkan matanya ke arahku. Aku mengesot sikit dan bersembunyi di belakang kak Ngah.

“Ehhh..kalau bukan kerana kau tu darah daging aku, aku pun tak hinginlah nak masuk campur!’’ bergegar suara Along di ruang tamu rumah kecil ibu dan abah. Aku mengecilkan tubuh di belakang kak Ngah sambil menahan getar dalam hati.

“Sudah, sudahlah tu abang Long, Anis ni sakit, kita ni sebagai abang dan kakak sepatutnya tolong dia selesaikan masalah, bukan marah dia. Tu..bab nak bersihkan nama Anis ni, along dah ada idea ke?’’ kak Ngah menyabarkan Along sekali lagi. Lega aku mendengarnya. Lapang sikit dada rasanya. Aku panggung kepala dan menoleh ke arah Along. Aku tatap wajah kak long juga untuk melihat reaksinya.

“Kau bagitau aku, Bangla mana yang dah tidur dengan kau tu!’’

“Along!!!!’’ aku bertempik nama Along tanpa sedar. Mereka masih lagi sangsi dengan aku rupa-rupanya. Air mata aku mengalir lagi seiring dengan tempikanku itu. Sakit hati kini kembali menyerang dalam dadaku. Ya Allah, kuatkan hatiku ini.

“Jangan nak fitnah Anis pula! Semua tu mengarut! Anis tak kenal pun mana-mana Bangla dalam Malaysia ni!’’ suara aku terkuat sikit. Aku harus membela diri sendiri. Kenapa keluarga aku sendiri yang tergamak bertanya soalan seperti itu padaku?

“Kalau tak ada angin, takkan pokok boleh bergoyang kot?’’

“Along, pokok di luar rumah tu, kalau tak ada angin pun, kalau ada orang yang goyangkan, pokok tu akan bergoyang jugak. Macam tu la dengan hal Anis ni, kalau dah ada orang nak aniaya Anis, tentu mereka akan reka cerita tentang Anis. Takkan itu pun, Along tak faham-faham lagi.’’ Aku takkan berdiam diri kali ini. Sampai Along pun nak salahkan aku, takkan aku nak biarkan saja. Sebelum ini, ibu tanya aku dengan soalan yang sama, sekarang ni, Along pula. Siapa lagi akan percayakan aku ini, kalau bukan keluarga kandung aku sendiri?

“Habis tu, anak tu anak siapa? Kenapa Alif tak mengaku, anak dalam perut kau tu ,anak dia?’’ Ya Allah, apa jawapan yang harus aku beri? Aku bukannya tahu, apa yang Alif fikir.

“Manalah Anis tahu. Kenapa Along tak tanya dia sendiri.’’ Suara aku kembali mengendur sikit. Air mata yang masih bersisa, aku kesat dengan telapak tangan. Hanya air mata yang mampu mengungkapkan suara hatiku ketika ini. Kalaulah aku dapat mengungkapkan semua perasaan aku sekarang ni, tak perlulah aku memendam perasaan lagi.

“Apa hal ni, riuh rendah berbual. Korang berbincang ke bertekak?’’ ibu masuk dan mencelah sebelum sempat Along membalas kata-kataku. Di tangan ibu penuh dengan ulam-ulaman kampung. Aku terasa lapar bila melihat pucuk ulam raja yang segar bugar. Ada juga pucuk kaduk, pucuk lepai dan pucuk selom. Makan nasi dengan sambal belacan kalau ada ulam mesti tambah berselera. Fikiran aku menerawang seketika.

“Anak bongsu kesayangan ibu ni la, orang fitnah dia pun, dia buat derk saja. Kalau Manlah, memang lebamlah orang tu Man kerjakan..’’ aku kembali ke alam nyata bila mendengar suara Along yang sedang mengata aku.

“Kau tu memang..dari kecil sampai ke tua, tak habis-habis dengan baran kau. Anak dengan bini sendiri pun sampai takut nak bersuara, ada saja yang kena tengking. Belajarlah ubah sikap tu. Dah hilang anak dan bini nanti, baru nak berubah? Itu, dah terlambat namanya.’’ Aku tersenyum sumbing mendengar bebelan ibu, tapi bila perasan dengan jelingan Along, aku sorokkan diri di belakang kak Ngah sekali lagi.

“Ibu nak salahkan Man pulak? Yang bermasalah sekarang ni Anis, bukan Man! Tu..anak manja ibu tu, macam mana nak selesaikan masalah dia? Nak bersihkan nama keluarga kita semula. Satu kampung sudah mula menjaja, Anis mengandung anak luar nikah.’’

“Allah tahu apa yang benar. Biar Allah saja yang jatuhkan hukuman. Ibu percaya, Anis tak bersalah. Biarlah, apa orang kampung nak kata. Mulut orang, bukannya boleh ditutup.’’ Ibu mula membela aku. Terharu. Itu yang aku rasa. Macam nak saja aku bangun dan peluk ibu erat-erat sekarang ni.

“Sebenarnya, siapa yang mulakan semua ni Anis? Cuba cerita dengan kami.’’ Kak Ngah menyoal aku tiba-tiba. Aku hanya mengeleng, namun minda aku sedang mengimbas kembali detik-detik aku dihina oleh Alif dan ibu mertuaku. Air mataku berjurai lagi bila bayangan kisah semalam itu hadir.

“Anis tak tahu kak Ngah. Mungkin Sofia yang sengaja mereka-rekakan cerita supaya abang Alif dan keluarga mertua Anis bencikan Anis. Abang Alif memang dah jarang balik ke rumah selepas dia nikah dengan Sofia. Tapi..Anis dah mengandung tiga bulan ketika mereka baru bernikah. Cuma Anis yang tak perasan kerana tidak pernah alami alahan.’’ Aku cuba memberi penjelasan pada kak Ngah dan serentak itu, aku memandang wajah-wajah kesayangan aku yang sedang mengelilingi aku ketika ini.

“Kau tak bagitau Alif, kau dah mengandung?’’ soalan Along aku respon dengan gelengan.
“Kau tu bini dia! Dah tau kau mengandung, bagitaulah! Yang kau nak berahsia dengan laki sendiri tu, kenapa? Kan menyusahkan diri sendiri jugak! Kalau kau sorang yang busuk nama, tak apa. Ini..satu keluarga dah terpalit sama.’’ Suara Along sekali lagi bak halilintar menyalahkan aku.

“Tapi..Anis tak buat perkara tu Along!’’ aku membela diri lagi. Biar seribu kali pun aku dituduh berzina, hakikatnya perkara tu tak pernah berlaku. Aku telah difitnah!

“Ya! Kau tak buat. Tapi, macam mana nak menyakinkan orang-orang kampung, kau tak buat perkara tu?’’ tak habis-habis Along menyoal aku dengan soalan macam tu. Apa lagi yang harus aku jelaskan?

“Biarkanlah Along. Takkan Along nak suruh Anis buat pengumuman pada semua orang kampung? Tunggulah, anak ini lahir dulu. Kita buat saja DNA untuk membuktikan anak dalam kandungan Anis ni anak abang Alif.’’ Tak semena-mena idea itu singgah dalam mindaku. Terdiam Along mendengarnya. Kak Ngah mengusap belakangku perlahan. Aku pun turut mengambil kesempatan menyandarkan tubuhku ke tubuh kak Ngah.

Lantas, kak Ngah memberikan responnya dengan memeluk bahuku. Sempat aku melihat kak Ngah mengesatkan air matanya selepas itu, begitu juga dengan kak Long dan anak sulungnya Ain yang sudah berusia 15 tahun. Tentu Ain sudah faham masalah apa yang sedang melanda keluarga kami.

“Haa..tak payah nak menangis berjemaah pulak. Jom..tolong ibu masak, ibu ingat nak buat nasi ulam dengan sayur keladi.’’ Ibu bersuara memecahkan kesyahduan kami. Bibir aku merekah pula dengan senyuman mendengar kata-kata ibu. Tertelan liur aku bila membayangkan pula nasi ulam yang dibuat oleh ibu bersama sayur keladi. Terus aku kesat air mata hingga kering sambil berusaha untuk bangun dibantu oleh kak Ngah yang turut sama bangun. Along pula, perlahan-lahan melangkah ke arah pintu depan. Nak keluarlah tu, sebab dirinya tidak menjadi perhatian kami lagi.

“Nak ke mana tu bang?’’ sempat pula kak Long bertanya sebelum Along menghilangkan diri.

“Kau pergilah masak! Aku nak settlekan masalah aku pulak! “ laung Along sebelum dia menghilang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience