Semakin lama rumah tangga aku dan Alif semakin hambar. Macam lirik lagu Kian, yang dinyanyikan oleh Mawi.
KIANBy : Mawi
Kian jauh kian hilang
Kasih antara kita
Nampak tenang pada zahirnya
Tapi batin terseksa
Yang terguris tak nampak di mata
Yang terhiris terluka
Sesekali terbit air mata
Tahan sebak di dada
Ke manakah nak dibawa
Resah kian melanda
Di manakah hendak ku khabar
Pilu di dalam dada
Bila kasih di hujungnya nyawa
Rasa ingin dimanja
Perasaan pun kian tersentuh
Bila rindu ini berlabuh
Apakah yang dikejar dalam hidupmu
Berkali kukata padamu
Kita singgah di dunia yang sementara
Penuh tipu daya
Yang kekal di sana
Biarlah...kita bersama
Usahlah hanyut terus terlena
Kerana dunia
Pada aku masih ada
Kasih belum terhakis
Sebenarnya...sudah lama
Ku sungguh berkecil hati
Semuanya hambar, ibarat retak menanti belah dan Alif langsung tak pedulikan aku lagi. Sakitkah aku, sihatkah aku, dia langsung tak bertanya khabar. Perut aku yang semakin membengkak ini pun, dia tak tahu lagi. Macam mana nak tahu, wajahnya pun tak muncul lagi di rumah ini. Nombor telefon aku dah macam kena block saja. Keluarga mertua aku pun macam dah menyisihkan aku. Hairan betul, sebelum ini, keluarga mertua aku cukup baik dengan aku, terutamanya ibu mertua aku. Dia cukup sporting dengan aku, walau apa pun keadaan. Sekarang ni, semuanya berubah dalam sekelip mata saja.
Tak tahu di mana silapnya. Pemikiran aku sekarang ni penuh dengan persoalan. Apa yang berlaku dan apa salah dan dosaku? Dan, paling membuatkan fikiran aku serabut, dengan kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Aku tak boleh tidur malam. Kadang-kadang tu, aku mengantuk sangat. Aku menguap berkali-kali hingga mengalirkan air mata, tapi bila setiap kali aku terlelap, ada saja yang menganggu. Rasa seperti dicuitlah. Rasa geli dipinggang tanpa sebab. Atau, adakalanya aku terkejut bangun sebab bermimpi yang pelik-pelik.
Pernah aku bermimpi orang memanggil namaku, sedangkan aku baru beberapa saat terlelap. Kemudian, aku sudah tak boleh mengerakkan diriku lagi, bila muncul lembaga yang seakan sedang marah kepadaku. Aku melawan dan tak mahu mengalah. Dalam mimpi, seolah aku sedar, aku keseorangan dalam rumah ini. Lagi pun, aku yang sedang mengandung ini memang berbadan lemah. Senang didekati oleh jin-jin yang berniat jahat.
Mimpi-mimpi aku semakin menjadi-jadi hari demi hari. Badan aku semakin lemah kerana tak dapat tidur dengan nyenyak setiap malam. Aku terpaksa berhenti kerja sebagai pelayan di sebuah restoran dan meneruskan perniagaan online yang sudah aku lakukan sejak dulu. Aku ingin tumpukan perhatian terhadap diriku dan anak dalam kandunganku pula. Sedih memang sedih, namun aku tak mampu untuk menolak suratan takdir. Allah tahu apa yang terbaik untukku. Apa yang berlaku terhadap diriku adalah dengan izinNYA juga. Seringkali aku pujuk diri sendiri dengan kata-kata itu.
Tuk! Tuk! Tuk!
“Anis!’’ namaku dipanggil dari luar rumah. Aku yang keletihan dan sedang berbaring di katil ingin bangun membuka pintu. Tapi..belum sempat aku bangun, ada lembaga hitam yang berupa bayang-bayang menghampiriku. Aku terkaku di atas katil dan cuba membaca beberapa surah pelindung diri yang aku ingat. Aku mengelabah dan mengigil. Nafas aku semput dan cuba berlawan. Aku kuatkan hati dan ingat Allah. Tolong aku Ya Allah. Hati aku menjerit dan terus berlawan.
Aku terjaga akhirnya dan tubuhku masih mengigil. Jantung aku sedang mengepam darah dengan laju. Bulu roma aku meremang dan perasaan takut masih menguasai diri. Aku ikut petua orang tua-tua dan meludah tiga kali ke arah kiri dan bangun bersandar di kepala katil. Aku memerhatikan sekeliling bilik. Terasa seolah aku bukan bersendirian. Seolah ada mata yang sedang memerhati, bulu romaku meremang lagi. Aku Istighfar untuk menghilangkan rasa takut. Aku meratib La Ilah Ha Ilallah berulangkali.
Kemudian aku capai telefon dan mula membuka Rukyah dari Youtube. Ini pesanan seorang rakan baik kepadaku. Dia pernah dihantar ilmu hitam dan pernah sakit bertahun lamanya. Selepas dia mengamalkan rukyah dan memasang setiap hari dan malam di rumahnya, gangguan itu berkurangan. Aku juga mencuba nasib. Untung sabut timbul, mana tahu gangguan ini akan beransur pergi. Esok, bolehlah aku bersedia andai gangguan seperti ini datang lagi.
Alhamdulillah..selepas beberapa minit, suasana seram tadi tenang kembali. Suasana bilik yang panas kembali normal dan surah Al-Quran yang sedang berkumandang dalam bilik sedikit sebanyak mengembalikan semangatku. Dalam masa yang sama juga, aku tak berhenti berzikir dan beristighfar. Nasib baik juga, line internet pun laju, jadi surah-surah yang dibaca tidak tersekat. Semuanya dengan izin Allah. Aku hanya mampu berserah dan aku berharap, biar apa saja yang bakal menghalang di hadapan, Allah akan tetap membantuku untuk menyelesaikan segala kekusutan.
Aku dapat bernafas semula dan bersyukur kerana gangguan itu tak berterusan. Aku bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Sampai di bilik air, aku mulakan langkah untuk masuk dengan kaki kiri dan membaca doa. Aku menuju ke arah paip air, membuka kepala paip dan membasuh tangan. Aku membaca bismillah dan mula mengambil wudhuk dengan sempurna. Aku niat dalam hati, nak buat solat sunat Tahajud dan membaca Al-Quran hingga pagi. Mana tahukan, kalau aku tidur, gangguan yang aku alami tadi datang lagi. Kalau bukan dalam sedar, mungkin dalam mimpi, makhluk itu akan muncul lagi. Aku tak nak! Jangan ganggu aku!
Selesai mengambil wudhuk aku mula melangkah keluar dari bilik air dengan kaki kanan dan membaca doa untuk keluar dari bilik air. Aku berdoa juga kepada Allah, mudah-mudahan makhluk yang ada dalam bilik air yang tak nampak di penglihatanku takkan mengikut aku keluar. Aku bersendirian dalam rumah ini sejak Alif nikah dengan Sofia dan sekarang semakin kerap aku ditinggalkan bersendirian. Nak mengadu dengan ibu dan abah di kampung, aku tak sampai hati pula. Malahan, hingga kini ibu dan abah serta seluruh ahli keluargaku tak tahu pun, Alif sudah nikah lagi satu. Aku sengaja tak nak menyusahkan mereka. Biarlah aku hadapi semua ujian ini seorang diri tanpa menyusahkan sesiapa pun. Aku tahu, ibu dan abah pasti akan lebih terluka kalau mereka tahu, Alif buat aku macam ni.
Share this novel