Aku, kak Long dan kak Ngah sibuk membantu ibu di dapur. Ain, entah hilang ke mana? Beginilah gelagat anak-anak dara zaman moden ini. Orang sibuk memasak, bukannya mereka nak menolong atau belajar memasak sama. Mesti Ain sedang mengadap skrin telefon la tu? Aku serkap jarang di dalam hati sambil melihat ibu yang begitu tekun mengacau nasi ulam yang sudah direncah di dalam bekas.
“Ibu, bagilah petua, macam mana nak buat nasi ulam yang paling sedap, macam yang ibu buat.’’ Aku bersuara separuh bergurau dengan ibu, walaupun aku melihat sendiri dari mula ibu menyediakan nasi ulam hinggalah dia mengaul semua rencahnya.
“Tak ada bahan yang penting untuk menyedapkan masakan kita. Yang penting tu letak dalam hati. Niat kena ikhlas, masak kerana Allah untuk keluarga. Lagi satu yang terpenting, sambil memasak tu, rajin-rajinlah berzikir.’’ Senada suara ibu kedengaran. Perlahan tapi sangat mendalam maksudnya. Patutlah, suara ibu langsung tak kedengaran, rupanya ibu sedang berzikir di dalam hati sambil menyiapkan nasi ulam. Aku mengangguk perlahan, walaupun aku tak yakin tekaan aku benar atau tak, tapi aku percaya seratus peratus dengan ibu kerana ibu takkan menipu kami, anak-anak dan anak menantunya.
“Anis tak nampak ibu masukkan garam pun, tapi nasi ulam ibu tetap terasa garamnya. Macam mana ibu buat?’’ aku masih ingin tahu rahsia ibu. Sepantas lalu ibu memandang ke arahku, kemudian ibu tersenyum kecil dan kedengaran selepas itu tawa kak Ngah dan kak Long berturut-turut.
“Anis tengok ibu ke atau Anis berangan?’’ kak Ngah yang menyoal. Minda aku blurr seketika. Memanglah aku tengok ibu menyediakan nasi ulam sejak tadi. Bila pula aku berangan? Minda aku membantah dalam diam kata-kata kak Ngah.
“Anis tak nampak ke kak Long tumbuk ikan talang masin goreng tadi?’’ kak Long pula yang bertanya. Aku mengangguk perlahan. Apa pula kena mengena dengan ikan talang masin goreng tu?
“Nampaklah! Bila pula Anis buta?’’ aku jawab soalan kak Long dalam nada bersahaja.
“Ibu..nampak sangat anak bongsu ibu tu sedang berangan. Otak letak di mana ntah?’’ kak Ngah bersuara lagi. Apa kena mengena pula? Eh..aku tak beranganlah! Aku menafikan lagi kata-kata kak Ngah, namun hanya di dalam hati.
“Kalau dah masukkan talang masin goreng, buat apa nak dimasukkan garam lagi Anis, tak pasal-pasal nanti semua seisi rumah kita ni kena tekanan darah tinggi pulak.’’ Ibu pula bersuara, mengungkapkan kekeliruan aku. Aku terus mengangguk perlahan setelah dapat mencerna maksud kak Ngah dan kak Long tadi.
“Ooo..tak perlu masukkan garam lagi ke ibu? Tadikan, Anis nampak ibu masukkan kerisik, kalau tak masukkan kerisik tu tak sedap ke ibu?’’ soalan aku kali ini membuatkan kak Long dan kak Ngah turut berminat untuk ambil tahu, masing-masing sudah memandang tepat ke arah ibu, mungkin mereka juga sedang menanti jawapan ibu, macam aku juga.
“Lain orang lain resepinya. Sedap tu bukannya terletak dalam perencah masakan tu. Kalau masak cincai-cincai pun, tapi orang yang masak tu terlalu bermakna untuk kita, mesti kita rasa semua masakan tu sedap, kan? Betul tak, kata ibu ni?’’ ibu menjawab sambil memandang tepat pula ke wajahku. Bagi aku, ibu masak apa pun sedap sangat, walaupun ibu goreng nasi hanya dengan menumis bawang goreng dan taburkan sedikit garam.
“Betul ibu! Lebih-lebih lagi kalau yang masak tu ibu. Sedap hingga menjilat jari.’’ Aku menjawab soalan ibu sambil mengangkat kedua ibu jariku. Ini bukan sebab nak bodek ibu tau. Ini jawapan keikhlasan aku dari lubuk hati aku yang paling dalam. Beruntung aku yang masih punya ibu. Dapat lagi makan hasil air tangan ibu. Tiba-tiba aku terasa sebak. Ya Allah, bagaimana kalau ibu sudah tiada lagi?
“Ibu, terima kasih kerana selalu masakkan makanan tersedap untuk Anis.’’ Terungkapnya ayat-ayat itu, air mata aku pun turut sama berbicara. Aku mengelap air mata sambil tertawa perlahan. Lain pula dengan ibu, kak Long dan kak Ngah, mereka memandang aku seolah tak memandang aku bertahun lamanya.
“Kenapa pula tu? Cengeng betullah Anis sekarang ni..’’ kak Long yang berkata-kata. Aku terus ketawa perlahan, namun tanpa sedar aku sudah bangun dan memeluk ibu lalu melepaskan tangis semahu-mahunya. Terima kasih Ya Allah, kerana hadirkan ibu di saat aku dalam kemelut duka macam ni.
“Dah, dahhh..Ya Allah bakal mak budak ni. Menangis pula dia..’’ ibu menepuk-nepuk bahuku sambil mencium ubun-ubunku. Semakin galaklah air mataku mengalir. Kalaulah ibu sudah tiada, apa yang perlu aku lakukan saat ini?
“Alaa...ini yang kak Ngah jealous ni. Kak Ngah nak join sekakilah. Kak Long meh kita join sekaki, peluk ibu berjemaah.’’ Serentak kak Ngah bersuara, dia turut memeluk ibu bersamaku, diikuti kak Long dan kami menangis berjemaah pula termasuk ibu juga kerana dapat aku rasakan hangatnya air mata ibu yang menitis ke wajahku.
Ya Allah, anugerahmu ini adalah anugerah terindah dalam hidupku. Tanpa ibu, abah dan adik beradik, aku tak pasti, aku mampu harungi ujian sebesar ini. Tanpa keluarga, aku yakin aku takkan mampu menempuh ujianmu ini dengan jiwa yang kental. Aku masih lemah untuk mengharungi badai hidup ini. Manusia di atas muka bumiMu ini terlalu kejam. Engkaulah yang menyelamatkan keadaan dengan menghantar keluargaku di sisi ketika aku memerlukan kekuatan jiwa, mental dan fizikal. Terima kasih Ya Allah dengan rahmatMu ini. Aku bersyukur sangat kerana masih mempunyai keluarga yang akan menyokong dan terus mendorong aku.
“Ape mama anges? Adik nak anges ugak...’’ tangisan berjemaah kami bertukar menjadi gelak tawa bila Amrin anak kak Long yang bongsu datang menyapa.
Share this novel