Nur Anisa binti Shaharuddin
Nasi Ulam Special Homemade masakan Ibu..
Bahan-bahannya:-
Nasi untuk makan sekeluarga
Ulam-ulaman ikut suka hati, lagi banyak lagi best
Dua potong besar ikan talang masin (digoreng dan ditumbuk)
Sedikit kerisik
Dua labu bawang besar dirincik halus
Lima biji cili padi dirincik halus
Cara membuatnya:-
Selepas dihiris halus semua jenis ulam dan ditumbuk dan dihiris semua bahan-bahan di atas, gaulkan semuanya dalam satu bekas. Gaul hingga sebati dan paling penting tak perlu masukkan garam. Kata ibu kalau sudah masukkan ikan talang masin goreng, garam tak perlu dimasukkan lagi.
Nota : Ibu pesan, kalau nak masakan kita jadi sedap..bila masak tu kena ikhlaskan hati dan banyaklah berzikir. In Sha Allah, pasti masakan kita akan sedap, lebih-lebih lagi kalau makan bersama yang tersayang.
#masakanibupalingsedapdalamdunia
#takkanadabandingannya
Aku terus pos status resepi nasi ulam ibu tu tanpa berbelah bahagi. Siap dengan hastag lagi. Betulkan, masakan ibu adalah masakan paling sedap dalam dunia?
Nur Anisa binti Shaharuddin
Sayur keladi paling best dalam dunia..
Bahan-bahannya:-
Batang keladi dan ubi keladi secukupnya
Lima ekor isi ikan kembung rebus
Udang segar (lagi best kalau udang kulit lembut)
Cili padi 10 biji
Asam keping
Garam dan serbuk perisa
Sedikit belacan
Tiga ulas bawang merah
Cara-cara membuatnya;-
Batang keladi dan ubi keladi direbus terlebih dahulu untuk menghilangkan gatalnya. Jangan lupa masukkan beberapa keping asam keping bersama. Kemudian tos dan asingkan. Potong cili padi dan bawang merah kemudian dipicit bersama sedikit belacan. Masukkan semula keladi yang telah direbus tadi ke dalam periuk. Masukkan cili padi dan bawang yang telah dicampur belacan tadi ke dalam periuk. Kemudian masukkan asam keping, garam dan serbuk perisa secukup rasa. Udang segar dan isi ikan kembung jangan dilupa. Masukkan semua bahan-bahan di dalam periuk dan akhir sekali masukkan air hingga menengelami batang keladi dan didihkan di atas api yang perlahan. Nyum, nyum, nyummy..sedap dimakan dengan nasi ulam homemade masakan ibu.
P/s: Sayur keladi ni pun resepi ibu jugak tau!
Aku update pula status baru berserta gambar sayur keladi yang ibu masak siang tadi. Memang aku sempat snap nasi ulam dan sayur keladi sebelum makan berjemaah siang tadi. Hari ini adalah hari terakhir untuk makan siang. Esok, semua umat Islam akan mula berpuasa. Seronoknya dapat makan beramai-ramai bersama keluarga tersayang. Lebih-lebih lagi bila ada anak-anak Along dan kak Ngah.
Anak-anak buah aku ni kebanyakannya nakal-nakal terutamanya anak-anak Along. Anak-anak kak Ngah baru dua orang, itu pun masih kecil lagi dan mereka tu jenis yang tak lasak sangat. Baik betul peel kedua-duanya. Abang Ngah pula rajin mengambil alih menjaga mereka. Seronok betul tengok hidup kak Ngah. Nampak sangat bahagia dengan pilihan hatinya. Abang Ngah seorang suami yang prihatin dan sangat romantik. Dia seorang yang bertanggungjawab dan penyayang. Serius, sesekali aku cemburu melihat kemesraan kak Ngah dan abang Ngah, namun aku turut bersyukur melihat kebahagiaan mereka sekeluarga.
“Anak dia macam h^#(*@! Ja^&=-0, nak marah aku pulak! Tak guna betul, ingat aku beli kereta tu dengan duit bapak dia!...’’ sedang aku asyik melayan fac, Along masuk ke dalam rumah, mulutnya menyumpah seranah dan memaki hamun.
“Apa lagi tu Man? Sejak kemarin lagi nak mengamuk tak habis-habis..’’ ibu bertanya dengan suara lantang. Abah macam biasa, dia tak banyak cakap dan tak suka campur tangan hal anak-anak. Abah memang pendiam orangnya. Entah dari mana Along tu mewarisi sikap panas barannya. Kalau dari ibu, rasanya tak kot. Segarang-garang ibu, dia tak pernah memaki hamun orang pun. Sikap ibu hanya tegas di luar, namun lembut di dalam.
“Kak Timah lembut tu la! Anak dia yang pecahkan cermin kereta Man, bila Man marah anak dia, boleh pulak dia marah Man semula. Ikutkan hati Man ni, nak lempang saja anak dengan maknya sekali!’’ Along melepaskan amarahnya dengan mimik wajah yang menyinga. Aku hanya memerhati saja dari jauh. Kak Long dan anak-anaknya keluar dari bilik.
“Sabarlah bang. Asraf tu kan masih budak lagi. Belum cukup umur pun, lagi pun Nah rasa dia tak sengaja tu. Tersepak bola dan terkena kereta abang, nak buat macam mana...’’ kak Long cuba memujuk Along, namun jelingan yang kak Long dapat. Anak-anak Along, lagilah..tak berani langsung nak masuk campur.
“Kau diam Nah! Kau apa tau! Ingat nak beli cermin baru dengan air ke? Nak guna duit tahu! Ingat duit aku tu kutip tepi jalan?’’ kak Long pula kena seranah depan aku, abah dan ibu. Terkulat-kulat kak Long dibuatnya. Anak-anak semua sudah menikus di belakang kak Long. Aku hanya mampu mengeleng kepala melihat gelagat Along yang sedang berangin tu.
“Banyak ke Along nak pakai? Anis ada duit sikit, daripada Along putuskan tali silaturahim dengan jiran sebelah rumah tu, lebih baik Anis labur duit Anis untuk Along..’’ tak tahu dari mana semangat dan keberanian itu datang, aku mencelah perbualan mereka. Dan kali ini Along membeliakkan matanya ke arahku pula sambil bercekak pinggang.
“Kau ingat aku sengkek sangat ke Anis? Kalau setakat nak beli cermin baru tu, aku masih mampu la! Cuma, aku geram saja, dahlah pecahkan cermin kereta aku, tak reti pulak nak minta maaf. Aku marah anak dia, dia marah aku semula. Itu yang aku hangin sangat tu.’’ Along tujukan kemarahannya pada aku pula, sambil membebel marahkan kak Timah jiran sebelah rumah ibu.
“Dah anak dia..memanglah dia bela. Kalau bukan dia nak bela anak sendiri, siapa lagi? Kau? Dengan budak-budak kecil pun tak reti nak bertolak ansur!’’ ibu mencelah lagi, membuatkan Along mendengus kuat, namun Along tetap tak menjawab bebelan ibu. Segarang Along pun, kalau ibu yang bersuara dia memang tak berani nak lawan, apatah lagi abah yang tak pernah marah kami adik beradik sejak kecil.
“Berapa abang nak pakai? Nak boleh tolong sikit-sikit..’’ kak Long bertanya pula. Mungkin kak Long berfikiran seperti aku juga, tak baik mengamuk pada jiran sebelah kerana hal yang kecil saja.
“Kau ingat aku ni apa Nah? Nak tunjuk baik sangat depan ibu dan abah? Hah! Kau pun sama Anis..banyak sangat ke duit kau? Ingat sama, kau tu dah tak berlaki. Ada laki bagi orang, hah..kan dah melopong. Berayalah kau sorang-sorang tahun ni. Menangis tak berlagulah. Bini orang lain beraya salam tangan laki, kau nak salam siapa tahun ni? Nak salam dengan aku ke dengan abah?’’ Ehh..ke situ pula Along ni melalut. Aku juga yang kena!
“Yang Along ni, kenapa? Esok kita dah puasa Along. Takkan Along nak cari pasal dengan kak Timah tu sebab kereta Along tu? Agak-agaklah Along kalau nak cari gaduh pun, maut tu tak mengira masa, kan orang lain tak ampun dosa Along tu. Mati tak sempat minta maaf, macam mana?’’ aku tetap menjawab bebelan Along kali ini. Along ni, kalau dibiarkan dia bersuara, kata dia saja yang betul. Semua orang cakap tak betul.
“Yang nak mati awal, tu kau! Bukan aku!’’ mengucap tanpa sedar aku, bila Along berkata begitu sambil menuding jari telunjuknya ke arahku.
“Macamlah Along tu boleh tengok masa depan.’’ Aku berkata perlahan, sekadar untuk menyedapkan hati sendiri. Tersentap beb! Dan..tanpa sedar air mataku mengalir lagi. Ya Allah..betapa terhirisnya hatiku mendengar kata-kata Along tu, seolah-olah dia sedang mendoakan agar aku segera mati saja.
“Hah! Menangis! Sikit-sikit menangis. Itu saja yang kau tau!’’ Along menbebel lagi. Aku kesat air mata yang mula mengalir ke pipi. Abah merenung kosong ke arahku. Ibu sudah mengeleng laju. Kak Long dan Ain menuju ke arahku.
“Janganlah menangis Mak Usu, nanti Ain pun nangis jugak.’’ Kata-kata Ain buat aku jadi terharu. Semakin galaklah air mataku menuruni pipi. Ya Allah..kenapa Along tak mahu memahami aku?
“Sabarlah dik..jangan ambil hati sangat dengan kata-kata abang Long tu. Dia memang macam tu, suka cakap lepas.’’ Perlahan saja kata-kata kak Long, memujuk aku.
“Aku tak faham betullah dengan kau ni Anis. Tak menangis, tak boleh ke? Belajarlah jadi orang kuat sikit. Sebab itulah hantu tu suka kacau kau. Jiwa lemah sangat. Sebab tu senang sangat terasuk!’’ Along terus membebel dan membebel, sementara aku sedang melawan Along di dalam hati. Jadi macam Along, senanglah kan. Hati batu! Hati bebal, tak makan saman!
“Aaaaaaaaaaaaa....... Along apa tau!! Along tak rasa, Anis yang rasa semua ni!!!’’ aku bertempik tanpa sedar. Tiba-tiba kewarasanku hilang disebabkan leteran Along yang berterusan menyalahkan aku.
“Sabar Anis..sabar. jangan macam ni, ibu, abah, kenapa dengan Anis ni. Ya Allah..Anis..’’ tengelam timbul aku dengar suara kak Long. Aku tak dapat berfikir dengan waras lagi. Tiba-tiba aku dikuasai oleh satu rasa yang sukar aku fahami. Aku menangis, ketawa dan kemudian perasaan aku bertukar dalam sekelip mata. Aku meraung tanpa henti. Rasa nak marah pada semua orang yang ada dalam rumah ini. Geram dan sakit hati terus menghantui perasaanku.
“Aaaaaaaaaaaaaa....’’ dan aku terus meraung panjang selepas itu.
Share this novel