Chapter 5

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 5

HAMPIR sahaja Levi terlanggar sekumpulan doktor yang sedang berjalan di koridor sewaktu berlari menuju ke wad Louis. Tercungap-cungap Jimmy dan Joe mengikut rentak ketua mereka itu. Vanness tidak mengikut Levi pada kali ini. Dia sedang meneliti tempat di mana Louis ditembak semalam.

“ Tuan!”

“ Apa yang berlaku?”

Wajah anak-anak buahnya yang ditugaskan di hospital itu kelihatan resah. Levi cuba menahan amarahnya yang boleh memudaratkan keadaan. Wajah mereka dipandang seperti ingin ditelan hidup-hidup.

“ Macam mana Ema Rosa boleh hilang?” Levi menyergah.

“ Tuan…” Salah seorang daripada mereka bersuara. “ Dua orang jururawat datang untuk ambil Cik Rosa, bawa dia untuk jalankan beberapa ujian. Saya ada tunggu di luar bilik tu tapi bila saya tanya di mana Cik Rosa, mereka kata Cik Rosa dah keluar. Saya tak perasan masa saya… pandang ke tempat lain. Saya tak perasan Cik Rosa keluar dari bilik ujian tu.”

“ Bodoh!”

Mereka bertiga menunduk. Levi mencekak pinggang. Nafasnya terasa kencang.

“ Tuan, kita boleh cari Cik Rosa. Saya yakin kalau dia larikan diri sekalipun, ramai orang yang kenal dia, yang boleh beritahu di mana dia. Tapi sebelum tu bukankah tuan nak jumpa Encik Ray?” Jimmy mencelah, cuba menenangkan amarah ketuanya itu.

Levi meraup wajahnya. Dia hampir terlupa tujuan sebenarnya ke hospital ini. Louis sudah sedarkan diri. Bukankah sepatutnya dia menjenguk adiknya itu terlebih dahulu? Levi mengangguk perlahan lantas mengarahkan mereka cuba mencari jejak yang ditinggalkan oleh Ema. Selepas mereka berlima berpecah, Levi masuk ke dalam wad Louis.

“ Abang?”

Levi tersengih. Louis terlebih dahulu menegurnya. Adik lelakinya itu masih berbaring di atas katil tetapi senyuman pada wajah Louis melegakan Levi. Levi tahu Louis seorang yang kuat. Tidak mungkin adiknya itu akan meraung kesakitan. Louis tahu untuk mengawal dirinya sendiri.

“ Ya, Louis.”

Sebuah kerusi ditarik lalu Levi duduk di sebelah katil Louis. Matanya tidak lepas daripada wajah itu. Tangan kanannya dihala kepada sebelah tangan Louis sebelum digenggam erat. Louis ketawa perlahan.

“ Kenapa abang buat muka monyok sangat ni? Nampak gayanya abang yang sakit, bukannya saya.”

Kali ini giliran Levi pula yang ketawa.

“ Kamu tahu abang hampir sakit jantung bila dengar kamu ditembak semalam? Budak ni, kerja nak menaikkan darah tinggi abang aje. Nasib baik ayah tak beria-ria datang ke sini. Kalau tak, hampir kecoh satu hospital dengan kamu dua beranak.”

Louis ketawa lagi. “ Saya dah telefon ayah. Terima kasih abang, kalau abang tak halang ayah semalam saya rasa ayah dah ada depan mata saya dengan berbekas-bekas makanan buatan ayah.”

Levi tersengih. Tahu sangat bagaimana sikap ayah.

“ Abang.” Suara Louis berubah perlahan, hilang nada santainya.

“ Kenapa, Louis?”

Levi kehairanan pada saat Louis melepaskan tangannya daripada pegangan Levi sebelum tangan adiknya itu memaut erat tangannya dengan kedua-dua tangan Louis. Riak pada wajah Louis juga berubah serius. Levi tahu Louis ingin mengatakan sesuatu.

“ Louis nak beritahu apa?”

“ Bukan Ema yang buat, abang. Saya tahu.”

Levi mengeluh. “ Louis yakin?”

Anggukan Louis kelihatan lebih menyakinkan daripada kata-katanya tadi.

“ Pada saat saya lihat perempuan tu keluar dari belakang pentas, saya dah tahu itu bukan Ema walaupun wajah mereka sama. Tolong, abang. Selamatkan Ema. Saya tahu dia dalam bahaya.”

“ Louis tahu apa yang Encik Harris tahu?” Levi teringatkan cerita Kyle pada pagi tadi.

Louis mengangguk lagi. “ Saya tahu Ema diganggu sejak kebelakangan ini. Tapi Ema berkeras tak mahu lapor pada pihak polis walaupun saya dan Encik Harris dah pujuk dia.”

“ Ema ada tunjuk surat ugutan itu?”

Gelengan Louis menghampakan Levi.

“ Tapi Ema ada beritahu saya, dia kata dia perlu lindungi sesuatu. Jadi dia tak boleh ambil apa-apa tindakan. Dia lebih rela diganggu sebegitu semata-mata nak lindungi perkara itu.”

“ Barang atau… orang?”

“ Saya tak tahu dengan lebih lanjut. Tapi nampaknya, Ema cuba nak lindungi seseorang. Sama ada ugutan itu disebabkan penjenayah itu nak apa-apakan seseorang yang Ema sayang atau Ema nak lindungi penjenayah itu sendiri.”

Levi tersentak. Tidak dapat menerima kata-kata terakhir Louis.

“ Kenapa dia nak lindungi penjenayah tu?”

Louis menggeleng lagi. “ Saya tak tahu, abang. Tapi saya yakin Ema ada alasannya yang tersendiri. Walau apapun, yang penting saya tahu perempuan semalam bukan Ema. Saya minta tolong sangat-sangat dengan abang, tolong lindungi Ema. Dia tak bersalah dalam hal ni.”

“ Louis…” Levi terdiam seketika. Hatinya berbelah-bahagi untuk memberitahu Louis mengenai kehilangan Ema tadi.

“ Kenapa?”

Levi masih lagi diam. Dia mengalihkan pandangannya daripada wajah Louis. Louis mengoncang kuat tangannya, mendesak Levi menceritakan apa yang membuatkan dia teragak-agak.

“ Abang, kenapa? Beritahu saya. Ema cedera ke? Abang?”

Levi kembali merenung pada wajah adiknya. Dia tahu Louis risaukan Ema. Walaupun mereka jarang bertemu tetapi setiap kali mereka berhubungan, Louis akan membuka cerita mengenai Ema. Adiknya itu amat menyayangi gadis itu.

“ Ema hilang, Louis.”

Goncangan Louis terhenti. Matanya merenung dengan tidak percaya kepada wajah si abang. Louis menunggu abangnya mengatakan ianya hanyalah gurauan tetapi pandangan pada mata abangnya jelas menunjukkan bahawa itu bukanlah suatu gurauan.

“ Ema… hilang?”

Levi mengangguk. Louis merenung siling, wajahnya berubah muram.

“ Ema dirawat di wad sebelah kamu. Tapi, tadi tiba-tiba sahaja dia hilangkan diri. Pihak kami tak pasti lagi sama ada dia sengaja menghilang diri atau dibawa lari oleh orang lain.”

Perlahan sahaja Louis mengangguk. Levi mengeluh.

“ Tolong cari dia, abang.”

Ada sesuatu pada nada itu yang membuatkan Levi tidak sampai hati untuk memujuk adiknya.

“ Baiklah. Sekarang ni, jangan risaukan Ema. Abang yakin dia tak apa-apa. Tumpukan pada pemulihan kamu. Abang akan beritahu kamu kalau abang ada apa-apa maklumat pasal dia.”

Mata Louis kosong merenung siling.

VIDEO yang sedang ditontonnya di tablet dimainkan berulang kali.

Levi sedang menonton rakaman CCTV yang diserahkan oleh Phillip kepadanya tadi. Selepas beberapa kali meneliti rakaman CCTV tersebut, dia dapat menduga bahawa lembaga berpakaian serba hitam yang sedang bergerak di sekitar stor lama itu adalah seorang perempuan. Nalurinya jelas menyatakan bahawa perempuan itu adalah perempuan yang sama menembak Louis.

Phillip juga berjaya membantunya mendapatkan rakaman CCTV yang menunjukkan seorang gadis bergaun serta berkot hitam sedang berada di belakang dewan. Kelihatan dua orang krew MUSE Music Awards sedang bercakap dengan gadis itu.

Rakaman CCTV ini adalah satu-satunya yang berjaya membuktikan kata-kata anak buah Phillip itu. Namun begitu, kerana kedudukan gadis itu yang jauh daripada CCTV tersebut, Levi tidak dapat melihat wajah gadis itu dengan jelas. Tetapi dia masih dapat melihat iras wajah Ema pada wajah gadis itu.

“ Kau yakin dengan apa yang Louis beritahu?”

Levi menoleh kepada Vanness yang sedang memandu di sebelahnya. Sekali lagi Vanness menawar diri untuk menjadi pemandu Levi selepas dia pulang dari dewan. Soalan Vanness dibalas dengan soalan juga.

“ Kenapa kau tak yakin?”

“ Mungkin Louis nak lindungi Cik Rosa. Mereka kan kekasih?”

Levi ketawa. “ Tapi adik aku tak sebodoh itu untuk lindungi orang yang betul-betul nak bunuh dia.”

“ Betul juga.”

Levi melemparkan pandangan ke luar tingkap. Dia masih memikirkan keberadaan Ema yang entah di mana. Bagaimana kalau gadis itu diapa-apakan oleh penjenayah itu?

“ Aku kenal adik aku, Vanness. Mungkin kami jarang berjumpa, tapi aku dapat baca kalau dia cuba nak tipu aku atau bercakap perkara yang sebenar. Apa yang Louis beritahu tadi tak akan dapat difikir dengan sekali cuba jika dia nak tipu aku. Lagipun, Louis tak pandai berlakon depan aku dan ayah kami.”

“ Tapi Louis penyanyi, kan? Bukannya pelakon?”

“ Pandai betul kau buat lawak,” kata Levi sarkastik.

Tawa Vanness pula yang bergema dalam kereta itu.

“ Macam mana pula dengan apa yang pengurus Cik Rosa beritahu kau?”

“ Itu lagi satu hal.”

Fikiran Levi kembali kepada pertemuannya dengan Kyle pagi tadi. Dia tidak menyangka Ema sebenarnya mengalami gangguan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kyle mengatakan gangguan itu bermula dengan penghantaran suatu kotak berisi bangkai haiwan berdarah ke alamat kondominium Ema. Kotak itu ditinggalkan di hadapan pintu kediamannya bersama-sama hadiah-hadiah daripada peminat Ema. Pada masa itu, Kyle dan koordinator fesyen Ema turut berada bersama-samanya untuk berbincang mengenai suatu projek.

Dari mula lagi Kyle mendesak Ema untuk melaporkan kepada polis tetapi Ema tidak mahu. Dia mengatakan ini adalah perkara biasa yang tidak perlu diheboh-hebohkan. Malah Ema tidak mahu berbincang mengenai perkara itu. Dia membiarkan sahaja perkara itu lepas begitu sahaja.

Selepas itu, Ema mula menerima surat-surat berbaur kebencian. Walaupun disorokkan oleh Ema tetapi Kyle berjaya membaca surat-surat itu yang anehnya, disimpan oleh Ema di dalam sebuah kotak di bawah katil bilik tidurnya. Surat-surat itu tidak bertulisan tangan sebaliknya huruf-huruf yang dipotong daripada akhbar digunakan untuk membentuk ayat.

Perkataan seperti ‘Pengkhianat’, ‘Penipu’ dan ‘20’ sentiasa ditampal pada surat-surat itu berserta huruf ER. Kyle tidak dapat meneka siapakah yang menghantar surat-surat itu kepada Ema. Dia cuba mencari mana-mana pelakon atau penyanyi yang mempunyai ER di hadapan nama mereka tetapi usahanya tidak berhasil. Apatah lagi apabila memikirkan Ema bersahabat baik dengan semua orang.

Apabila Levi bertanya mengenai nombor 20 itu, lagilah Kyle tidak ada jawapannya.

“ Cik Rosa ada terima panggilan telefon yang mencurigakan?” Soalan Levi kepada Kyle.

“ Pernah.” Kyle mengaku. “ Kalau dia terima panggilan tu, dia akan segera jauhkan diri daripada kami. Cik Rosa akan dengar sahaja apa yang pemanggil katakan sebelum meminta maaf.”

“ Minta maaf?” Levi kehairanan.

“ Saya tak tahu mengapa tapi mungkin ada sesuatu pernah berlaku antara Cik Rosa dan si pemanggil dahulu sehingga dia asyik meminta maaf sahaja. Bila saya tanya, dia hanya akan senyum dan minta saya jangan risau. Tapi saya fikir si pemanggil tu besar kemungkinan si ER.”

Levi masih tidak dapat mencerna apa-apa daripada pertemuannya dengan Kyle tadi. Tapi apabila bertemu dengan Phillip, Levi fikir dia sudah dapat mencantum kepingan jigsaw yang sedang berterabur dalam fikirannya. Sedikit demi sedikit, dia sudah dapat bayangan mengenai apa yang menghantui Ema walaupun dia tidak tahu apakah kaitannya dengan Louis. Begitu juga dengan kehilangan Ema dari hospital, Levi tidak dapat mengemukakan apa-apa teori selain daripada Ema melarikan diri ataupun dilarikan oleh seseorang.

“ Mengikut rekod, Ema Rosa anak yatim kan? Sebelum dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga yang menetap di Violetta?”

“ Betul,” Vanness mengiakan. “ Aku ada baca rekod pasal keluarga dia.”

Levi menoleh kepada sahabatnya itu. “ Keluarga angkatnya ambil dia pada usia 7 tahun. Mengikut rekod juga Cik Rosa berada di rumah kebajikan itu hanya dalam masa enam bulan. Tiada apa-apa mengatakan pasal keluarganya atau dari mana dia berasal.”

“ Kau fikir benda tu berkait dengan kes ini?” Vanness menduga.

“ Mungkin.”

“ Nak pergi rumah kebajikan tu?”

“ Kau tahu jalan?”

Vanness mengangguk tanpa menoleh kepada Levi di sebelahnya. Perhatiannya hanya tertumpu kepada jalan raya di hadapan.

“ Aku pernah sampai kawasan tu walaupun bukan ke rumah kebajikan tu. Kalau kau nak, aku boleh bawakan. Elok juga kalau kita dapatkan terus maklumat daripada pengetua rumah kebajikan tu daripada hanya baca rekod yang diberikan. Mungkin ada sesuatu yang kita belum tahu, atau tak tercatat dalam rekod.”

“ Kita pergi sekarang. Aku tak nak lengah-lengah.”

“ Okay.”

Vanness memecut kereta melihatkan jalan raya yang lengang itu. Sampai di suatu simpang, dia masuk ke selekoh sebelah kanan. Levi kembali melihat rakaman CCTV yang sedari tadi asyik dilihatnya walaupun tumpuannya sudah terganggu. Dia tidak dapat fokus lagi pada video tersebut.

Mindanya lebih tertumpu kepada soalan-soalan yang akan diutarakan kepada pengetua rumah anak-anak yatim itu. Levi harap pengetua itu adalah pengetua yang sama pada waktu Ema dimasukkan ke rumah kebajikan itu. Kadang-kala apa yang tidak berada di dalam rekod akan lebih membantunya dalam siasatan.

KEDATANGAN Levi dan Vanness disambut dengan gelak ketawa sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain bola di halaman rumah anak-anak yatim itu. Baik kanak-kanak lelaki atau perempuan sedang bermain dengan gembira. Levi tersenyum apabila melihatkan bunyi keretanya memasuki halaman rumah kebajikan itu menarik perhatian mereka. Wajah polos mereka jelas menunjukkan rasa ingin tahu mengenai kehadirannya dan Vanness. Kelihatan mereka saling berpandangan sesama sendiri sebelum berbisik-bisik.

Melihatkan kumpulan kanak-kanak itu membuatkan Levi teringatkan kenangan sewaktu zaman kecilnya bersama-sama Vanness. Mereka berdua akan bermain bersama-sama anak-anak jiran sehinggalah dipanggil oleh ibu masing-masing untuk makan malam. Antara kenangan yang tidak boleh dilupakan olehnya.

“ Adik-adik main apa?” Levi bertanya ramah seraya berjalan mendekati mereka.

Kanak-kanak itu sama-sama menjawab soalan Levi. “ Main bola!”

“ Pak cik berdua ni siapa?” Salah seorang daripada mereka bertanya. Wajahnya kelihatan curiga.

Levi dan Vanness berbalas pandang sebelum ketawa. Adakah mereka menganggap dirinya dan Vanness termasuk dalam golongan ‘orang yang patut dihindari sekiranya tidak dikenali’? Kepala kanak-kanak itu digosok oleh Vanness.

“ Kami berdua nak jumpa pengetua kamu. Dia ada?” balas Vanness berterus-terang mengenai kehadiran mereka berdua di sini.

Kanak-kanak itu mengangguk.

“ Mama ada. Kenapa pak cik nak jumpa Mama?” Kanak-kanak lain pula yang bertanya.

“ Pak cik ada kerja dengan Mama,” Levi menjawab. Mama itu pastinya pengetua rumah kebajikan ini.

“ Boleh pak cik tahu macam mana nak jumpa dengan Mama?” Levi bertanya.

“ Pak cik boleh masuk ke dalam tu.”

Kanak-kanak yang bertanya tadi menunjukkan kepada pintu masuk ke dalam rumah kebajikan itu. Levi dan Vanness mengucapkan terima kasih kepada mereka sebelum membuka langkah untuk meninggalkan kawasan itu. Bahagian dalam rumah kebajikan itu agak sepi, hanya bunyi televisyen yang sedang menyiarkan cerita sahaja kedengaran. Mungkin sesetengah daripada anak-anak itu sedang menonton televisyen bersama-sama. Seorang wanita yang memakai apron menyapa mereka berdua.

“ Encik berdua nak cari siapa?” Wanita itu bertanya.

“ Nak jumpa pengetua rumah kebajikan ini. Dia ada?” Vanness menyoal.

Levi memerhatikan suasana di dalam rumah anak-anak yatim itu. Walaupun bangunan itu sudah bertahun-tahun berdiri menjadi tempat anak-anak itu berteduh, tetapi tempat ini kelihatannya dijaga dengan rapi. Ada banyak gambar yang merakamkan setiap penghuni rumah ini pada dinding. Malah ada lukisan kanak-kanak itu ditampal atau dibingkaikan. Levi dapat merasakan anak-anak di rumah ini mendapat kasih sayang daripada penjaga mereka di sini.

Wanita berapron itu membawa Levi dan Vanness ke pejabat pengetua. Pintu bilik diketuk perlahan sebelum kedengaran suara seorang wanita membenarkan mereka masuk. Wanita berapron itu membuka pintu seraya mempelawa Levi dan Vanness masuk ke dalam.

Seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan bapa Levi sedang duduk membaca buku di sebuah sofa tunggal. Senyuman wanita itu menyambut kedatangan mereka. Buku itu diletakkan di atas meja sebelum wanita tua itu bangun daripada duduknya.

“ Selamat datang. Saya Julia Niven. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

Wajah wanita itu yang sudah menampakkan garis-garis penuaan kelihatan mendamaikan dengan senyumannya. Wanita itu mempunyai aura seorang ibu yang disayangi dan disegani ramai.

“ Puan Niven, saya Levi Reid.” Levi memperkenalkan dirinya.

“ Saya Vanness Walker.”

Puan Niven mempelawa mereka berdua duduk. Wanita berapron itu keluar dari bilik Puan Niven. Katanya ingin ke dapur untuk mendapatkan sedikit jamuan untuk mereka. Levi dan Vanness duduk sebelah menyebelah di sebuah sofa panjang.

“ Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Puan Niven bertanya lembut.

Levi pantas mengangguk. “ Sebenarnya, saya datang ke sini untuk bertanyakan mengenai aktres Ema Rosa. Cik Rosa pernah tinggal di sini sebelum dijadikan anak angkat sebuah keluarga, kan?”

Puan Niven tidak terus menjawab soalan itu. Matanya merenung kepada wajah Levi dengan pandangan misteri. Seakan-akan cuba mencari apa-apa yang mencurigakan pada diri Levi. Levi menghela nafas, mungkinkah Puan Niven kelihatan was-was kerana sudah ramai orang ke sini dan bertanyakan mengenai Ema?

“ Minta maaf, Puan Niven. Saya tak kenalkan diri saya awal-awal.”

“ Ya?” Dengan tenang Puan Niven membalas walaupun dia masih kelihatan berwaspada dengan Levi.

Levi mengeluarkan kad identitinya. “ Saya Detektif Levi Reid. Saya datang untuk menyiasat kes yang melibatkan Ema Rosa baru-baru ini. Saya harap puan dapat membantu kami.”

Puan Niven mengangguk. Dia kelihatan lebih tenang daripada sebelum ini.

“ Apa yang tuan detektif perlukan?”

Levi menarik senyum. Cuba meredakan debaran di dadanya. Cuba mempersiapkan dirinya dengan berita yang mungkin tidak dijangka olehnya selepas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience