Chapter 1

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 1

“ Levi! Bangun!”

“ Emmm…”

“ Bangun Levi! Ada kecemasan ni!”

“ Janganlah ganggu… aku baru nak rehat ni…”

Levi hanya menyahut malas walaupun sudah berkali-kali Vanness menggocangkan tubuhnya. Dia lebih tertarik dengan godaan sofa yang empuk daripada melayan panggilan Vanness. Sudah hampir dua hari dia tidak dapat merehatkan diri kerana menyelesaikan suatu kes, jadi dia ingin berehat walaupun untuk sekejap. Lagipun, bukankah masih ada detektif lain di balai polis ini? Bukannya dia seorang sahaja.

“ Levi, kita ada kecemasan ni!”

“ Detektif lain kan ada…” Suara Levi tenggelam pada hujung ayat.

Vanness mengeluh berat. Dia berdiri bercekak pinggang. Matanya dijatuhkan kepada Levi yang sedang menarik jaket untuk menutup bahagian tubuhnya ke atas. Wajahnya disembunyikan di sebalik jaket hitam itu. Vanness tepuk dahi. Nafasnya dihela sebelum satu jeritan dilepaskan.

“ Bangun, Detektif Levi! Kita ada kes kecemasan ni!”

Tanpa teragak-agak Vanness menarik jaket yang menutupi wajah Levi lalu menampar kuat kedua-dua pipi lelaki itu. Pantas Levi bangun sambil mengaduh kesakitan. Kedua-dua tangannya dilekap kuat kepada pipi yang sakit ditampar Vanness. Sudahlah tapak tangan Vanness itu besar. Pastinya akan meninggalkan kesan pada pipinya selepas ini.

“ Sakitlah! Apa yang kecemasan sangat ni?” Levi mengeluh.

Vanness merenung lama pada wajah Levi. Buat seketika, dia kelihatan seperti teragak-agak untuk membuka cerita kepada Levi. Banyak perkara yang sedang Vanness timbangkan pada saat terakhir ini. Ini bukannya berita kecemasan yang biasa. Berita ini berkait rapat dengan Levi sendiri. Vanness mula membuka mulut selepas memikirkan tiada gunanya dia cuba berdolak dalih.

“ Ada laporan mengatakan ada cubaan membunuh di MUSE Music Awards.”

“ Apa?”

Levi terkejut mendengarkan nama anugerah muzik berprestij yang sepatutnya berlangsung pada malam ini. Cubaan membunuh di anugerah muzik yang semestinya dihadiri ribuan manusia itu? Nampaknya pembunuh benar-benar nekad untuk mencabut nyawa mangsa. Tetapi itu bukanlah perkara utama yang sedang difikirkan olehnya sekarang.

“ Siapa mangsa?” Suara Levi mengendur. Matanya tidak lari daripada wajah Vanness.

Vanness diam. Lantang suaranya tatkala mengejutkan Levi daripada tidur tadi seakan-akan hilang. Dia hanya merenung sahaja kepada wajah pucat Levi. Vanness tahu Levi dapat menduga siapkah mangsa cubaan bunuh itu walaupun dia tidak memberitahu Levi. Levi termengkelan.

“ Takkanlah…”

Teragak-agak Vanness mengangguk. Wajahnya dirundung resah.

“ Mangsanya… Louis…” perlahan Vanness bersuara.

Levi kaku. Tubuhnya seakan-akan tidak mampu untuk bergerak. Tidak percaya dengan berita yang didengarinya. Vanness masih resah. Dia risau dengan penerimaan rakan sekerjanya itu. Sebelah tangannya diletakkan pada bahu Levi.

“ Levi…”

“ Apa yang jadi?” Pandangan Levi kosong merenung Vanness di hadapannya. Dia membiarkan sahaja tangan Vanness berada pada bahunya.

“ Aku dah hantar kumpulan kau ke sana. Jangan risau.”

“ Kau pasti mangsa tu Louis? Memang dia?”

“ Levi…”

Levi terus bangun daripada sofa yang menjadi tempat tidurnya tadi. Jaket hitam disarungkan ke tubuhnya. Vanness cuba menghalang Levi daripada meninggalkan bilik rehat di balai polis tempat mereka ditugaskan. Dia faham apa yang sedang Levi rasakan kini. Dia tidak mahu Levi bertindak terburu-buru.

“ Levi, kau nak ke mana ni?”

Vanness bertanyakan soalan yang paling jelas jawapannya tetapi Levi tidak menjawab soalan itu. Langkah Levi tergesa-gesa menuju ke pintu keluar sehingga dia hampir terjatuh lantaran tersadung pada meja kopi. Levi cuba melepasi Vanness yang sedang menghalang laluan keluar dari bilik rehat itu.

“ Vanness, ke tepi. Sekarang!”

“ Bawa bertenang dulu, Levi. Polis dah ke tempat kejadian.” Vanness memegang kedua-dua belah bahu Levi, menolak Levi ke belakang.

“ Ke tepi, Vanness.” Levi terasa penat. Penat mahu bergaduh dengan Vanness. Pegangan Vanness pada bahunya direntap kasar.

“ Levi…”

“ Ke tepi!”

Levi menolak Vanness ke tepi. Vanness segera mengimbangi tubuhnya sebelum terjatuh kerana tolakan yang kuat itu. Tanpa berlengah Vanness terus mengekori Levi yang kelihatan tergesa-gesa menuju ke tempat parkir kereta.

“ Levi! Louis tak apa-apa! Dia dah dihantar ke hospital!”

Vanness tidak jemu-jemu cuba menenangkan Levi yang kelihatan tidak tentu arah malangnya Levi langsung tidak mempedulikan dirinya. Levi membuka pintu keretanya tetapi sebelum sempat dia masuk ke dalam kereta, Vanness menarik kasar bahu lelaki itu. Vanness menghempas tubuh Levi pada keretanya.

“ Fokus, Levi! Fokus! Kau tak boleh macam ni! Louis…”

“ Adik aku, Vanness! Adik aku!” Levi menyergah. Kali ini dia tidak merentap lagi pegangan Vanness pada bahunya. Matanya merenung tajam kepada wajah Vanness.

Vanness terdiam. Dia tahu kenapa Levi tiba-tiba bersikap seperti ini. Dia tahu satu-satunya adik Levi menjadi mangsa cubaan bunuh dalam kes terbaharu itu. Dia tahu kenapa Levi cemas sebegini.

“ Ya. Aku tahu Louis adik kau. Aku satu-satunya orang di balai polis ni yang tahu Louis Ray tu adik kau. Sekarang Louis dalam bahaya tapi kau tak boleh bertindak melulu macam ni.”

“ Aku…”

“ Kau tahu kan susah kau nak terlibat dalam kes ni kalau ada pihak atasan tahu yang kau ada hubungan dengan mangsa? Aku boleh tolong kau libatkan diri dalam kes ni tapi aku minta tolong sangat-sangat Levi, aku minta kau jangan terburu-buru macam ni.”

Vanness cuba mengumpan Levi. Levi diam memikirkan kata-kata Vanness. Buat pertama kalinya sejak Vanness membuka cerita mengenai kes itu, Levi kelihatan tenang. Levi sebenarnya cuba untuk menenangkan dirinya. Vanness tahu. Dia menarik senyum sedikit apabila melihat perubahan pada wajah teman sekerjanya itu.

“ Boleh kau beritahu aku? Pasal kes ni?” perlahan Levi bertanya.

Vanness mengangguk. Dia menyuruh Levi duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Dalam keadaan Levi sebegini, lebih baik sekiranya dia yang memandu kereta itu. Vanness tidak mahu menjadi mangsa kemalangan kerana sikap pemandu yang memandu melebihi had laju, ditambah pula dengan emosi Levi yang tidak stabil.

“ Kita bercakap dalam kereta. Sebelum tu, mari kita ke hospital dulu.”

Levi menarik nafas lega. Dia menurut sahaja kehendak Vanness yang ingin menjadi pemandu untuknya pada malam itu.

KAKI Levi seakan-akan dipaku ke lantai hospital tatkala dia melihat Louis sedang terbaring kaku di atas katil. Tiub-tiub berselirat pada tubuhnya. Nafas Louis kedengaran lemah walaupun adiknya itu tidak memerlukan bantuan penafasan. Vanness yang berdiri di sebelah Levi menepuk perlahan bahu lelaki itu. Mereka berdiri di belakang beberapa orang pegawai polis yang sedang berbincang sesuatu dengan tiga orang lelaki yang memakai sut kemas. Anggota-anggota polis itu merupakan ahli kumpulan yang diketuai oleh Levi.

“ Apa yang berlaku?”

Vanness mencelah perbualan mereka. Kesemuanya menoleh ke arah Vanness dan Levi, seakan-akan baru sahaja menyedari kehadiran mereka berdua.

“ Inspektor Walker! Detektif Reid!”

Vanness memberi isyarat agar anggota-anggota polis itu memberi maklumat terbaru mengenai cubaan membunuh Louis Ray. Levi menanti dengan penuh debar. Dia membiarkan sahaja Vanness mengeluarkan arahan kepada anak-anak buahnya itu. Dia tidak yakin dia mampu mengendalikan siasatan itu. Levi masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“ Pada 4 April 2015, masa 8:35 petang. Mangsa, penyanyi Louis Ray sedang membuat persembahan kedua untuk MUSE Music Awards. Pada masa itu Louis Ray baru sahaja selesai dengan persembahannya sebelum cubaan bunuh itu berlaku. Tertuduh, aktres Ema Rosa didakwa menembak mangsa dengan pistol yang digunakan untuk persembahan mangsa.”

Levi tersentak saat mendengar nama aktres itu disebut. Dia sangat mengenali aktres jelita itu. Ema Rosa terkenal dengan imej gadis naif tetapi berpendirian teguh di kalangan peminatnya. Tidak pernah walau sekalipun dia mendengar kontroversi yang melibatkan Ema Rosa. Rekod gadis itu masih lagi bersih daripada sebarang kontroversi liar walaupun dia pernah mendengar khabar angin yang tidak enak mengenai perangai aktres itu di awal kemunculannya.

Dan Levi tahu betapa pentingnya Ema Rosa dalam hidup Louis.

“ Pistol sebenar? Tertuduh ada peranan dalam persembahan mangsa?” Vanness kembali menyoal.

“ Ya, tuan. Mengikut koordinator, sebaik sahaja Louis Ray selesai dengan persembahannya, Ema Rosa akan muncul dari belakang pentas dengan sepucuk pistol. Berlakon seolah-olah Ema Rosa akan menembak Louis Ray dengan pistol tersebut. Tanpa dijangka, pistol itu pistol sebenar.”

“ Ada kemungkinan pistol itu ditukarkan oleh pihak ketiga?”

“ Ada tuan. Pistol itu dipegang oleh Ema Rosa selepas sesi latihan pada pagi itu. Pengurus Ema Rosa sendiri tidak tahu di mana tertuduh menyimpan pistol itu. Sama ada Ema Rosa sendiri yang menukar pistol palsu itu kepada pistol sebenar atau ada pihak ketiga yang cuba mensabotaj tertuduh, kedua-dua kemungkinan itu ada.”

Kata-kata anggota polis itu bagaikan angin lalu di telinga Levi. Fokusnya hanya kepada Louis yang masih terbaring kaku di katil hospital. Wajah adiknya itu pucat seperti mayat, seolah-olah darah sudah berhenti mengalir di dalam tubuhnya. Hilang bayangan seorang Louis Ray yang tanpa gagal akan beraksi dengan penuh keyakinan, melontarkan vokalnya kepada banjiran peminat-peminatnya di setiap persembahan berlaku. Kini dia melihat seorang Louis Reid, satu-satunya adik kandungnya di dunia ini.

“ Berikan saya laporan penuh kes ini. Buat sementara waktu, kembali ke tempat kejadian. Sekarang.”

“ Baik tuan.”

Kesemua anggota polis itu meninggalkan bilik yang menempatkan Louis. Vanness mendapatkan tiga orang lelaki yang bersut itu. Levi masih mendiamkan diri. Matanya silih berganti melihat kepada wajah setiap lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Cuba membaca apa yang difikirkan oleh mereka.

“ Ada pengurus Louis Ray atau Ema Rosa di sini?”

Seorang lelaki mengangkat tangan. Vanness meminta lelaki itu memperkenalkan dirinya.

“ Saya pengurus Ema Rosa, Kyle Harris.”

“ Encik berdua?”

“ Jack Chris, koordinator majlis.”

“ Stanley Clark, wakil daripada penganjur.”

Vanness tersenyum. “ Boleh saya bercakap dengan encik semua?”

“ Ada apa-apa lagi yang boleh kami bantu? Kami dah beritahu apa yang diperlukan kepada polis tadi,” Encik Clark bersuara. Wajahnya kelihatan kepenatan. Mungkin masih terkejut dengan kejadian yang berlaku di MUSE Music Awards tadi.

“ Saya ada soalan lain lagi untuk tuan bertiga. Mungkin kita boleh bercakap di luar?”

“ Baiklah.”

Vanness menepuk lagi bahu Levi sebelum membawa ketiga-tiga lelaki itu keluar dari wad peribadi itu. Dia tidak mahu memaksa Vanness menyertainya untuk sesi soal jawab dengan lelaki-lelaki tersebut. Buat masa ini, lebih baik sekiranya Levi meluangkan masa dengan adiknya. Biarlah Levi menenangkan dirinya terlebih dahulu. Vanness yakin, Levi tidak akan menghampakan sesiapa dalam usaha untuk mencari akar kepada kes ini.

Levi bukanlah seorang detektif yang boleh dipandang remeh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience