BAB 2
MATA Levi tidak lepas daripada memandang Louis yang masih terbaring kaku di atas katil. Dia duduk di kerusi yang disediakan bersebelahan dengan katil itu. Sebelah tangan Louis digenggam. Sudah hampir empat bulan berlalu sejak pertemuan mereka yang terakhir. Louis sibuk dengan konsert jelajah dunianya sempena kejayaan albumnya yang terbaharu. Itu tidak termasuk lagi dengan memenuhi pelbagai jemputan di seluruh dunia. Levi bangga dengan kejayaan adiknya di dalam bidang muzik yang digemari oleh Louis sejak kecil lagi. Dia menyokong sahaja setiap pilihan adiknya itu.
Louis meminati muzik sejak melihat bapa mereka bermain gitar. Bapa mereka juga seorang peminat muzik, tetapi minat itu tidak diturunkan kepada Levi. Hanya Louis sahaja yang meminati bidang muzik. Sejak hari itu, Louis akan menyatakan impiannya untuk menjadi seorang penyanyi. Levi akan tergelak dan mengusap kepala Louis yang baru berusia enam tahun pada saat itu.
Memikirkan privasi Louis, Levi tidak memberitahu sesiapa bahawa Louis Ray adalah adik kandungnya walaupun Louis membantah pilihannya. Louis tidak kisah sekiranya satu dunia tahu Louis Ray adalah adik kepada Detektif Levi Reid. Tetapi Levi berkeras dengan keputusannya. Dia tidak mahu jika ada apa-apa yang terjadi kepadanya, Louis akan terlibat sama. Levi merasakan dia bertanggungjawab untuk tidak memusnahkan karier muzik Louis. Hanya beberapa orang yang terpilih sahaja tahu mengenai perkara ini. Media hanya memaklumkan bahawa Louis Ray mempunyai seorang bapa dan abang yang tidak diketahui umum.
Mereka bekerja di dalam bidang yang langsung tidak berkait tetapi hubungan mereka berdua masih erat seperti dahulu. Louis akan selalu menelefonnya pada masa terluang dan menceritakan apa yang dilaluinya pada hari itu. Levi juga akan berbuat perkara yang sama. Walaupun Levi sebenarnya risau sekiranya dia akan menganggu masa rehat Louis. Levi tahu setiap cerita mengenai Louis. Malah dia tahu mengenai kisah cinta Louis yang langsung tidak diketahui media. Hanya agensinya sahaja yang tahu perkara itu. Itu pun selepas hampir tujuh bulan kisah cinta Louis bermula.
Louis sudah tiga tahun bercinta dengan Ema Rosa.
Setiap kali Louis membuka cerita mengenai gadis itu, Levi tahu Louis benar-benar sayangkan Ema Rosa. Dia dapat melihatnya daripada sinaran mata Louis tatkala bercerita kepadanya dan juga daripada suara Louis. Ianya benar-benar berbeza dengan kekasih-kekasih Louis yang sebelumnya.
Maksud Levi, kekasih-kekasih yang diaturkan oleh agensi Louis untuk menarik minat peminatnya dan juga media massa.
Levi sendiri pernah bertemu dengan aktres itu. Louis ingin memperkenalkan kekasih hatinya kepada Levi, jadi satu sesi makan malam diadakan. Mereka melakukan pertemuan itu di rumah kedua Louis yang tidak diketahui umum. Daripada pemerhatiannya, Ema Rosa seorang gadis muda yang menghormati orang dan sentiasa menjaga adabnya. Levi tidak nampak sikap pura-pura gadis itu. Ema Rosa tidak segan silu menegur Louis sekiranya melakukan sesuatu yang dianggap tidak sopan olehnya.
Jadi, kenapa Ema Rosa dilibatkan sebagai tertuduh dalam kes ini? Benarkan gadis itu berniat untuk membunuh adiknya?
Pastinya Ema Rosa tahu tindakannya itu akan mengundang kepada kejatuhan kariernya yang sedang memuncak. Sejak dua tahun kebelakangan ini, Levi asyik mendengar berita mengenai kejayaan aktres itu. Sama ada di skrin kecil atau pun di wayang. Takkanlah gadis itu mahu memusnahkan segala-galanya? Malah dia akan menerima kebencian masyarakat juga.
Levi yakin Ema Rosa bukanlah sasaran utama mereka. Ada pelbagai kemungkinan bermain dalam fikirannya kini. Levi berjanji kepada dirinya sendiri, dia akan menangkap orang yang bertanggungjawab meletakkan Louis dalam keadaan hidup atau mati sebegini. Dia akan mengheret orang itu ke muka pengadilan. Jika benar Ema Rosa adalah dalangnya, dia juga tidak akan teragak-agak untuk melakukan perkara yang sama.
HARUMAN kopi terasa mencucuk hidungnya sebaik sahaja Levi memasuki kafeteria hospital itu. Vanness sedang duduk menikmati secawan kopi di suatu sudut. Ketiga-tiga lelaki tadi sudah tiada di situ. Mungkin Vanness sudah melepaskan mereka untuk pulang. Anak-anak buahnya juga tiada di situ.
Levi terserempak dengan mereka dalam perjalanannya ke kafeteria. Mereka mengatakan Vanness mengarahkan mereka untuk mengawal wad peribadi Louis. Wakil dari agensi Louis dan pengurusnya pula sudah berada di dalam wad itu. Levi meminta mereka untuk tidak berbuat bising dan segera bertemu dengan polis sekiranya ingin mengatakan apa-apa.
Bagi mengelakkan kemunculan wakil daripada pelbagai media massa di hospital ini sekaligus menganggu ketenteraman Louis, agensi Louis merahsiakan keberadaan Louis. Pada masa sebeginilah wartawan akan menyerbu bangunan agensi dan di mana sahaja tempat mereka boleh fikirkan yang menjadi persembunyian Louis. Sebagai abang kandung Louis, Levi amat berterima kasih.
“ Kau lepaskan mereka pergi?” Levi melabuhkan punggung di atas kerusi yang berhadapan dengan Vanness. Matanya jatuh kepada beberapa keping kertas berconteng di atas meja. Tulisan Vanness memenuhi permukaan kertas itu.
Vanness mengangguk. “ Aku fikir baik aku lepaskan mereka dahulu untuk malam ni. Aku akan hubungi mereka lagi. Kau nak kopi?”
Levi menggeleng. Dia tidak terasa untuk makan atau minum walaupun hanyalah setitik air mineral. Fikirannya lebih tertumpu kepada Louis yang masih belum sedarkan diri. Doktor yang merawat Louis ada memberitahunya mengenai keadaan adik lelakinya itu. Louis bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai jantung sebaliknya tersasar kepada bahagian abdomen bawahnya. Doktor mengandaikan Louis akan sedarkan diri tidak lama lagi.
Levi melihat kepada jam di pergelangan tangannya. Sudah mencecah angka 1 pagi. Jika tadi dia bermalas-malasan di balai polis, kini perasaan mengantuknya sudah hilang. Apa yang penting, dia harus menyelesaikan kes ini secepat mungkin. Levi tidak mahu nyawa Louis kembali berada di ambang bahaya.
“ Kau ada pendapat pasal kes ni?” Vanness bertanya.
“ Aku tak fikir Ema Rosa akan cuba bunuh Louis. Bayangkan, di hadapan orang ramai. Wakil media pun ramai di MUSE.”
Vanness mengangguk. “ Aku pun fikir perkara yang sama. Kalau aku sebagai pembunuh, aku tak akan sebodoh itu untuk bunuh mangsa aku di tempat awam. Mungkin pistol itu ditukar.”
“ Tapi kenapa Ema Rosa larikan diri kalau dia tak bersalah? Secara psikologinya, dia pastinya akan terkejut dengan apa yang berlaku, apa yang tidak dijangka olehnya. Tidak tahu apa yang patut dia buat. Tapi lepas tembakan tu dilepaskan, dia terus lari dari pentas. Menghilang tanpa dapat dikesan.”
“ Bagi aku mustahil dia berjaya larikan diri. Dewan tu dipenuhi dengan orang.”
“ Ada kemungkinan untuk dia rancang terlebih dahulu?”
Vanness kembali menghirup kopinya. Dia menghala kertas yang diconteng itu kepada Levi. Levi menyambut kertas tersebut dan terus membacanya. Vanness ada membuat catatan berdasarkan pendapat peribadinya berserta laporan daripada lelaki-lelaki tadi. Levi kembali merenung kepada Vanness.
“ Penyamaran?”
Vanness mengangguk. “ Ada kemungkinan ada orang yang menyamar jadi Ema Rosa. Tapi aku masih belum jelas lagi dengan tujuannya. Aku dah arahkan anak buah kau siasat pasal hal ni. Minta mereka perhatikan setiap CCTV dan laluan keluar masuk di dewan tu.”
“ Terima kasih, Vanness. Aku buntu sekejap.” Levi mengeluh. Vanness ketawa.
“ Jangan risau. Kalau aku jadi kau pun, aku tentu terkejut sampai tak tahu nak buat apa. Kau dah lama tak jumpa adik kau, kan?”
Levi mengangguk. “ Mungkin dalam empat, lima bulan?”
“ Siapa sangka, kau akan jumpa dia balik dalam situasi macam ni.”
“ Aku…”
Kata-kata Levi dipotong oleh bunyi telefon pintar milik Vanness. Tanpa berlengah Vanness terus mencapai telefon yang berada di dalam poket jaket. Suatu panggilan masuk. Panggilan itu dijawab. Vanness meminta pemanggil melaporkan penemuan terbaharu kepadanya. Levi dapat melihat riak terkejut pada wajah Vanness. Sabar dia menunggu Vanness selesai bercakap dengan pemanggil.
“ Siapa?” Levi bertanya pada saat Vanness menjatuhkan telefonnya daripada telinga.
“ Anak buah kau, Eric. Dia kata mereka ada jumpa Ema Rosa dalam dewan tu. Tapi…”
Vanness terdiam seketika. Levi mengangkat keningnya. Meminta Vanness meneruskan kata-katanya.
“ Mereka jumpa Ema Rosa dalam keadaan tak sedarkan diri di bawah pentas, seolah-olah dia dipaksa makan dadah atau ubat tidur. Buat masa sekarang, mereka cuba stabilkan keadaan dia. Aku rasa elok kalau kita pergi ke sana sekarang.”
“ Baiklah.”
Levi dan Vanness meninggalkan kafeteria hospital lalu menuju ke tempat parkir kereta. Levi cuba membayangkan situasi yang sedang berlaku di dewan itu tetapi tiada satu pun bayangan yang sesuai. Dia harus bertanyakan kepada Ema Rosa. Benar atau tidak dia ingin membunuh Louis?
Share this novel