BAB 3
MEREKA tiba di dewan yang sudah sepi daripada golongan artis dan pelakon. Hanya tinggal sekumpulan polis dan beberapa orang yang terdiri daripada pengurus Ema Rosa dan beberapa orang yang mewakili penganjur MUSE Music Awards. Kumpulan wartawan yang datang untuk mendapatkan maklumat mengenai kes ini sudah disekat oleh pihak polis daripada memasuki dewan ini.
Berita ini boleh dianggap sensasi dan menjadi pelaris kepada mana-mana akhbar atau buletin di kaca televisyen. Jika mereka berjaya masuk ke dalam dewan ini dan menarik mana-mana orang yang terlibat untuk memberi pendapat, sudah pasti semakin cepat berita mengenai kes ini naik di media. Baik Levi mahupun wakil agensi Ema Rosa dan Louis tidak mahu melibatkan media massa dalam perkara ini.
Mata Levi tertumpu kepada Ema Rosa yang sedang duduk di atas sebuah sofa panjang. Wajah gadis itu kelihatan berserabut. Tubuhnya diselimut dengan sehelai gebar tebal. Gadis itu kelihatan boleh pitam pada bila-bila masa sahaja. Kulit gadis itu juga pucat.
“ Apa yang berlaku?” Levi bertanya kepada salah seorang anak buahnya, Joe.
“ Kami jumpa Cik Rosa di bawah pentas. Tubuhnya diikat dan dia tak sedarkan diri. Kami jangka dia sudah diletakkan di situ sebelum anugerah itu bermula lagi.”
“ Ada kesan dadah mudarat digunakan?”
Joe menggeleng. “ Hanya pil tidur, tuan. Selain daripada itu, pakaian Cik Rosa bukanlah pakaian untuk gimik di pentas. Dia memakai gaun untuk acara karpet merah. Seolah-olah dia diserang sebaik sahaja masuk ke dalam bilik persalinan.”
“ Jadi, ada kemungkinan bukan Cik Rosa yang menembak Encik Ray.”
“ Ya, tuan. Tapi ada sesuatu yang pelik.”
“ Apa dia?”
Joe menyerahkan beberapa keping gambar kepada Levi. Levi segera meneliti gambar-gambar tersebut. Kesemuanya gambar daripada rakaman CCTV yang paling dekat dengan pentas, tertumpu kepada Ema Rosa yang sedang memegang pistol. Dahi Levi berkerut. Dia segera melihat kepada Joe.
“ Ini kan…”
Joe mengangguk. “ Gadis di dalam gambar ni 99% sama dengan Cik Rosa walaupun melalui CCTV. Ada juga orang yang berjaya tangkap gambar Cik Rosa. Saya dah telitikan gambar tu. Wajah mereka sama, terlampau sama. Seolah-olah Cik Rosa sendiri yang melakukan tembakan itu.”
“ Ada kemungkinan orang menyamar, kan?”
“ Ada, tuan.”
Levi memerah otaknya untuk berfikir. Teknik penyamaran masa kini sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Tidak mustahil untuk pembunuh mendapatkan rupa yang sama dengan orang yang ingin mereka perangkap sebagai pembunuh. Dia juga memikirkan kemungkinan sekiranya Ema Rosa ada kembar seiras yang berniat jahat dengannya. Tetapi ianya mustahil. Ema Rosa merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Lainlah jika ini adalah suatu drama dan dia merupakan salah seorang pelakon di dalam drama ini. Drama yang bertemakan kemunculan saudara kembar yang ingin membalas dendam kepada kembarnya.
Levi meminta Joe mencari maklumat mengenai kesemua laluan keluar dari dewan ini sebelum dia berjalan mendapat Ema Rosa. Aktres itu hanya menundukkan wajahnya merenung lantai. Secawan kopi panas terletak di sebelah gadis itu. Levi menghela nafas. Ema Rosa yang sedang dihadapnya kini bukanlah Ema Rosa yang pernah ditemuinya sebelum ini. Dahulu, gadis itu kelihatan manis dan sopan dengan tingkah lakunya yang tertib. Kini, gadis itu kelihatan seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman dijatuhkan kepadanya.
“ Cik Rosa,” perlahan Levi memanggil.
Gadis itu kelihatan terkejut dengan panggilan itu. Dengan perlahan Ema Rosa mengangkat wajahnya untuk melihat kepada si pemanggil. Matanya yang kelam kelihatan bercahaya sebaik sahaja dia melihat wajah Levi. Dia kenal lelaki yang berdiri di hadapannya kini. Abang kepada kekasihnya, Louis.
Tapi kini adakah dia masih berhak memanggil Louis sebagai kekasihnya?
Ema Rosa kembali menundukkan wajahnya. Dia tidak berani bertentang mata dengan Levi. Bukankah dia punca Louis menderita kesakitan di hospital sekarang? Ema Rosa tidak mahu memberi sebarang alasan. Dia harus membayar penderitaan Louis. Dia sayangkan lelaki itu. Dia tidak mahu Louis menjadi mangsa lagi.
“ Cik Rosa.”
Levi melembutkan panggilannya. Sebelah tangannya diletakkan pada bahu gadis itu. Levi duduk menongkat kaki kanannya dihadapan gadis itu. Dia dapat melihat gadis itu sebenarnya takut untuk bersemuka dengannya. Dia dapat menduga sebabnya tetapi tingkah Ema Rosa pada saat ini tidak akan dapat membantunya. Levi mahu menolong adiknya. Levi juga mahu menolong Ema Rosa.
“ Abang Levi…”
Ema Rosa tidak dapat meneruskan kata-katanya. Air mata yang ditahan sejak tadi pecah juga. Mengalir lebat menuruni pipinya. Levi tidak berkata apa-apa. Dia mengukir senyum kepada gadis itu. Kedua-dua tangannya menepuk bahu gadis itu.
“ Louis… dia…”
“ Dia tak apa-apa. Peluru tu tak mengenai organ penting. Doktor kata dia mungkin sedar dalam masa yang terdekat.”
Wajah Ema Rosa jelas menunjukkan kelegaan. Levi senyum lagi. Dia faham. Pastinya gadis itu risaukan keselamatan adiknya. Levi berharap Louis akan sedar dengan cepat. Pastinya Louis ada tahu sedikit sebanyak mengenai kejadian yang menimpanya di atas pentas itu.
“ Saya…”
“ Abang tahu bukan salah Ema.” Levi mengubah panggilannya kepada Ema Rosa. Gadis itu sudah kelihatan tenang sedikit.
Levi bangun lalu mengambil tempat di sebelah gadis itu. Kedua-dua tangan gadis itu digenggam erat.
“ Abang yakin Louis pun tahu ini bukan salah Ema. Tapi Ema kena beritahu abang semua yang Ema tahu. Abang akan tolong Ema sedaya-upaya abang. Boleh?”
Ema mendiamkan diri. Matanya singgah kepada lantai lagi. Dalam fikirannya yang tidak tentu ini dia tidak tahu apakah yang patut dia ceritakan kepada abang Louis. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Apa yang dia ingat, tiba-tiba sahaja dia diserang dari belakang sewaktu dia sedang bersiap-siap untuk gimik itu. Pada saat itu hanya dia seorang sahaja yang berada di dalam bilik persalinan. Koordinatornya sedang berbincang sesuatu dengan pengurus pentas.
Tapi Ema tahu siapa punya angkara yang meletakkan dirinya sebagai penjenayah.
“ Ema, ada ingat apa-apa?” Levi bertanya lagi.
Ema mengangkat wajah. Matanya merenung terus kepada wajah Levi. Levi seorang lelaki yang boleh dipercayai. Sama seperti Louis, mereka berdua akan mempercayai apa yang akan dikatakan olehnya. Tetapi Ema tahu apakah yang patut dia buat.
“ Tak… tak ada apa-apa.”
Ema menggeleng perlahan. Dia memberanikan dirinya untuk bertentang mata dengan Levi. Tidak mahu memberi peluang kepada lelaki itu untuk meneka apa yang dirahsiakan olehnya. Levi kelihatan termakan dengan kata-katanya tadi apabila lelaki itu terus bertanyakan soalan yang sama.
“ Betul Ema tak ingat apa-apa? Apa-apa sahaja?”
Ema menggeleng lagi. Levi kelihatan kecewa tetapi dia kembali bersikap profesional.
“ Tak apalah. Abang tahu Ema masih terkejut. Jangan risaukan Louis, ya? Bila dia sedar, abang akan beritahu kamu.”
“ Terima kasih, abang.”
Kerana kekurangan bukti, Ema dilepaskan daripada tuduhan pembunuh. Apatah lagi gadis itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah pentas. Pihak polis menyatakan bahawa Ema berada di pengaruh ubat tidur itu sebelum persembahan yang pertama bermula lagi sehinggalah gadis itu ditemui di bawah pentas. Tetapi Ema masih berada dalam pengawasan pihak polis.
“ Kami akan hantar Cik Rosa ke hospital. Nampaknya Cik Rosa perlukan pemeriksaan lanjut,” putus salah seorang anggota polis itu kepada Levi.
“ Tak boleh!”
Baik Levi mahu pun semua orang yang berada di situ menoleh ke arah suara itu. Levi merenung kepada Kyle Harris, pengurus Ema yang membantah apa yang pegawai polis itu katakan. Levi mendekati lelaki itu. Dia memerhati dari hujung rambut ke hujung kaki. Dengan tenang Levi membuka mulut.
“ Kenapa tak boleh?”
Kyle kelihatan cemas. “ Wartawan masih ramai di luar sana. Macam mana kalau mereka berjaya jejak Cik Rosa di hospital? Kami tak mahu kejadian ni bertambah kecoh. Wartawan tak akan berhenti ganggu Cik Rosa dan kami kalau mereka tahu di mana Cik Rosa berada.”
Kami. Agensi yang menguruskan kerjaya Ema. Levi tersenyum sinis.
“ Encik Harris ada cadangan untuk keluarkan Cik Rosa dari tempat ni tanpa dijejaki wartawan?”
Kyle diam. Dalam keadaan buntu sebegini dia seakan-akan hilang punca. Levi mengeluh. Dia menoleh kepada Rachel, detektif perempuan yang berada dalam kumpulannya. Seperti biasa, Rachel memakai jaket besar berhud, bertopi dan berkasut but hitam. Kemeja T dan seluar jean turut menjadi pilihan gadis itu. Levi tersengih. Dia memanggil nama Rachel.
“ Kenapa, tuan?” Rachel menunggu arahan yang selanjutnya.
Levi merenung lagi kepada anak buahnya itu. Tubuhnya lebih kurang sahaja dengan tubuh Ema walaupun Rachel berselindung di sebalik jaket besar dan pakaian yang lebih berkelelakian. Baiklah. Teruskan sahaja rancangan yang sedang berlegar dalam fikirannya kini.
“ Kamu.” Levi menunding jari kepada Rachel. “ Tukar pakaian dengan Cik Rosa.”
“ Apa?”
Wajah Rachel berubah. Dia melihat kepada Ema yang turut sama kelihatan terkejut.
“ Tapi…”
“ Jangan bantah. Cepat.” Levi merenung pula kepada Ema yang masih mendiamkan diri walaupun dirinya kelihatan bingung. “ Cik Rosa, ikut Rachel. Tukar pakaian kamu berdua.”
Rachel kelihatan tidak berpuas hati dengan arahan ketuanya itu tetapi dia menurut sahaja. Ema, Rachel dan dua orang pegawai polis wanita berjalan ke bilik persalinan. Dua orang pegawai polis lelaki turut mengekori mereka. Levi berdiri berpeluk tubuh. Kyle datang menghampirinya.
“ Apa rancangan tuan?”
Levi tersengih. Dia sudah boleh membayangkan reaksi yang akan diterima daripada wartawan-wartawan yang sedang dahagakan isu sensasi itu selepas mendapat tahu mereka ditipu hidup-hidup selepas ini.
MATA Levi singgah kepada Ema yang sedari tadi membatu. Gadis itu sedang duduk di bahagian belakang keretanya. Vanness pula sedang memandu di sebelah Levi. Dia menawarkan diri untuk menjadi pemandu sementara Levi berbincang dengan Ema.
“ Turunkanlah hud tu. Wartawan tengah kejar Rachel sekarang ni.”
Ema menurut sahaja kata-kata Levi. Hud yang menutupi sebahagian besar kepalanya diturunkan. Topi Rachel yang dipinjamnya juga ditanggalkan. Rambut panjangnya dibiarkan lepas bebas. Terasa lega kerana tiada bayang wartawan mengejar mereka.
“ Terima kasih, Abang Levi.”
Levi mengangguk. “ Abang bawa Ema ke hospital tempat Louis dirawat, ya? Buat masa sekarang, duduk sahaja di situ. Bahaya kalau Ema pulang ke rumah sekarang. Abang yakin wartawan itu semua takkan berganjak selagi tak dapatkan Ema.”
Apa yang dikatakan oleh Levi ada kebenarannya. Ema tahu dirinya kini sedang menjadi mangsa buruan wartawan-wartawan tersebut. Dia sudah tidak punya kekuatan untuk menepis serangan mereka. Sakit yang dialaminya tidak akan dipedulikan oleh media sekiranya dengan menangkap dia, mereka dapat melariskan lagi jualan akhbar dan buletin di kaca televisyen. Tidak pernah terlintas dalam fikiran Ema bahawa suatu hari nanti, hari ini, dia akan menjadi buruan wartawan untuk kes yang sebegini.
“ Macam mana abang boleh terfikir rancangan tu? Saya pun ada fikirkan cara tu juga tapi risau, takut gagal. Makin teruk kesannya kalau rancangan tadi gagal.”
Tawa Levi mendominasi ruang kereta itu. Vanness masih mendiamkan diri. Tidak mahu campur tangan dengan perbualan Levi dan Ema. Tumpuannya lebih kepada jalan raya di hadapan. Cuma sesekali dia ada juga melihat kepada cermin sisi kereta, memastikan mereka tidak diekori oleh sesiapa.
Selepas Ema dan Rachel bertukar pakaian tadi, Levi meminta anak-anak buahnya mengiringi Rachel yang menyamar sebagai Ema Rosa ke kereta polis. Ema yang sudah berpakaian seperti Rachel turut serta mengiringinya sebelum masuk ke dalam kereta Levi.
Wartawan yang berkumpul di pintu belakang dewan itu menumpukan perhatian mereka kepada Rachel. Mereka tidak sedar akan penyamaran Ema yang betul-betul berjalan di sebelah Rachel. Sebelum mereka keluar dari dewan itu, Levi mengarahkan Ema memeluk lengan Rachel dengan gaya pegawai polis menahan suspek daripada melarikan diri.
Selepas Rachel masuk ke dalam kereta polis itu, pihak wartawan semakin giat menghalang kereta polis itu daripada bergerak meninggalkan kawasan. Pancaran cahaya kamera yang menyakitkan mata keluar bertubi-tubi dalam usaha pihak wartawan dalam mengambil gambar ‘Ema’ yang sudah duduk diapit dua orang anggota polis di dalam kereta.
Vanness memandu dahulu keretanya meninggalkan kawasan dewan itu diikuti kereta polis yang lain di belakang. Mereka berpecah selepas yakin mereka berjaya meninggalkan wartawan-wartawan tersebut di belakang. Levi tidak mahu mereka berjaya menghidu tempat dia akan membawa Ema pergi kelak.
“ Encik Harris minta kamu berhati-hati. Dia akan datang jumpa kamu lepas keadaan reda sedikit. Risau ada wartawan yang akan jejak dia.”
“ Baiklah.”
Mereka bertiga menyepikan diri sehinggalah tiba di hospital. Levi sudah menemui doktor dan meminta tolong doktor itu merahsiakan keberadaan Ema di hospital ini. Dia tahu kod etika doktor tersebut. Sekiranya ada mulut yang bocor, perkara itu akan menyusahkan dirinya dan pegawai-pegawai polis yang lain. Ema diletakkan di wad yang bersebelahan dengan wad Louis.
“ Abang akan datang balik esok. Rehatlah. Jangan fikirkan sangat apa yang berlaku malam ini.”
Ema mengangguk. Dia sedang berbaring di katil hospital. Lengannya dicucuk dengan IV. Bibirnya tersenyum lemah. Wajahnya sudah tidak sepucat tadi walaupun kelihatan keletihan.
“ Terima kasih, abang.”
Levi tersenyum. “ Abang harap Louis akan sedarkan diri tak lama lagi. Kalau Ema tahu, terus hubungi abang ya? Abang perlu pulang ke balai dulu.”
“ Hati-hati, abang. Dan…” Mata Ema bergenang dengan air mata. “ Terima kasih.”
Tidak putus-putus ucapan terima kasih dituturkan oleh Ema kepada Levi. Levi mengangguk perlahan. Dengan perlahan dia menutup pintu wad. Dia tersenyum kepada tiga orang anggota polis yang sedang mengawal pintu wad Louis. Mereka berdua turut sama mengawal wad Ema yang berada bersebelahan sahaja.
“ Kalau ada wartawan tiba-tiba datang atau sesiapa aje yang mencurigakan, terus lapor pada pegawai keselamatan hospital ini. Kalau tak dapat kawal, terus hubungi balai. Jangan biarkan wad mereka tanpa kawalan.”
“ Baiklah, tuan.”
“ Sekurang-kurangnya ada dua anggota yang kawal wad mereka. Kita tak boleh jangka apa yang jadi. Mungkin pembunuh sebenar akan muncul lagi.”
“ Kami faham, tuan janganlah risau. Tuan nampak letih, baliklah berehat dulu.”
Levi mengangguk. Dia terus berlalu dari tempat itu selepas mengucapkan selamat tinggal. Meninggalkan anak-anak buahnya berkawal di kedua-dua wad tersebut. Mereka bertiga amat dipercayainya. Levi yakin mereka tidak akan mengambil remeh tugas yang diberi.
Perlahan sahaja langkah Levi menuju ke lif. Vanness sedang menunggu di dalam keretanya. Mata Levi melihat kepada jam di pergelangan tangan. Sudah mencecah angka 3 pagi. Suatu malam yang panjang. Dia yakin dia tidak akan dapat tidur dengan lena selagi kes ini masih belum selesai.
Ema.
Gadis itu kelihatan mencurigakan walaupun bukanlah dalam keadaan yang membahaya.
Levi dapat merasakan gadis itu ada merahsiakan sesuatu daripadanya. Mungkin Ema perlukan masa sebelum menceritakan apa yang menimpanya sebelum ditemui di bawah pentas. Kejadian seperti ini boleh menyebabkan gadis itu trauma.
Tidak mengapalah. Walau apapun yang berlaku, Levi akan menjejak pembunuh sebenar hingga ke lubang cacing jika perlu. Dia tidak akan membenarkan pembunuh itu terlepas selepas cuba untuk membunuh Louis.
Share this novel