Chapter 4

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 4

SUDAH beberapa kali Levi menguap. Dia sedang meneliti laporan daripada anak-anak buahnya sejak dia tiba di balai selepas pulang dari hospital lagi. Levi mendongakkan kepalanya ke atas. Lehernya diurut berulang kali sebelum dia bangun daripada kerusi. Levi mendepangkan kedua-dua lengannya lalu melakukan senaman ringkas, cukup untuk menyegarkan dirinya kembali.

Mata Levi jatuh kepada anak-anak buahnya. Mereka sudah tertidur kerana keletihan selepas berperang dengan kumpulan wartawan tadi dan juga membantunya menyediakan laporan yang diterima. Levi tidak sampai hati ingin mengejutkan mereka. Biarlah mereka tidur dahulu. Siang hari nanti akan menjadi suatu hari yang panjang. Kes ini akan mengambil masa lena mereka.

Levi mengharapkan Louis agar sedar esok hari. Dia tidak akan senang hati selagi Louis belum membuka matanya. Walaupun dia telah meletakkan tiga orang anak buahnya di hospital itu tetapi hati Levi tetap tidak tenang. Levi telah memaklumkan keadaan Louis kepada bapa mereka yang tinggal jauh di kampung. Bapa hanya tinggal berdua dengan anjing kesayangan mereka sahaja selepas pemergian ibu beberapa tahun yang lalu.

“ Betul Louis tidak apa-apa?” Suara bapa mereka kedengaran mendesak sewaktu perbualan mereka di telefon tadi.

“ Louis tak mengalami sebarang komplikasi. Peluru tu tak cederakan organ penting, tersasar sedikit. Ayah janganlah risau.”

Bersungguh-sungguh Levi meredakan kerisauan bapa mereka.

“ Ayah nak lawat Louis tapi… ayah risau dengan wartawan. Macam mana? Kamu uruskan mereka? Ayah tak nak mereka ganggu Louis di hospital.”

“ Buat masa sekarang media tak tahu di hospital mana Louis dirawat. Kami akan cuba alih perhatian mereka. Saya pun tak mahu mereka ganggu Louis, ayah. Apa yang Louis perlukan sekarang adalah masa untuk pulih, bukannya tekanan daripada media.”

Kedengaran hembusan nafas ayah. Levi tahu ayah masih risaukan Louis.

“ Terus telefon ayah bila Louis dah sedar. Ayah nak bercakap dengan dia. Kalau ada apa-apa pun, telefon ayah juga. Ayah tak senang duduk selagi tak tahu apa yang jadi.”

“ Baiklah, ayah. Jangan risau, saya akan uruskan kes Louis. Saya akan cari penjenayah sebenar.”

“ Kamu pun hati-hati. Jangan abaikan makan dan tidur semata-mata nak cari penjenayah tu. Kamu tahu kan, ayah tak suka kamu abaikan kesihatan? Louis pun tentu sedih bila dia tahu kamu abaikan diri sebab uruskan kes dia.”

Levi tersengih. Selepas berbual untuk beberapa minit lagi, dia memutuskan talian. Dia meminta ayahnya untuk terus tidur tanpa memikirkan apa-apa lagi. Ayah yang tua tidak sepatutnya berjaga hingga lewat malam. Apatah lagi dengan kesihatan ayah yang tidak berapa menentu sejak akhir-akhir ini. Tapi Levi tahu dia tidak perlu terlalu risaukan bapa mereka. Ayah ada jiran-jiran sekampung yang sentiasa datang menziarahinya. Berbual-bual sambil menikmati secawan kopi. Mereka boleh tengok-tengokkan ayah.

Jam sudah menginjak ke angka 6 pagi. Tidak lama lagi balai polis ini akan dipenuhi dengan anggota-anggota polis yang lain. Levi mengangkat kaki menuju ke pantri. Dia perlukan secawan kopi panas pada masa-masa sebegini. Tangannya lincah membuat secawan kopi untuknya. Haruman kopi terasa menyegarkan tubuhnya.

Setakat ini masih tiada laporan yang mencurigakan mengenai kes ini. Tetapi pengurus pentas MUSE Music Awards ingin bertemu dengannya selepas ini. Ada sesuatu yang ingin diberitahu dan diberikan kepadanya. Begitu juga dengan Kyle, pengurus Ema. Mereka mahu bersemuka dengannya, bukan sekadar menyampaikan melalui panggilan telefon.

Tiga puluh minit selepas itu, Levi segera mengejutkan anak-anak buahnya daripada terus lena. Dia mengarahkan mereka untuk segera menyegarkan diri sebelum tugas mereka bermula. Levi tersengih sahaja apabila mendengar rungutan mereka kerana tidak cukup tidur. Perkara biasa yang akan dialami setiap kali ada kes besar berlaku.

Levi sendiri menuju ke bilik mandi. Dia sudah bersiap-sedia dengan set pakaian yang bersih. Menyediakan set pakaian bersih sebegitu sememangnya amalan Levi sejak pertama kali bekerja sebagai detektif. Dia tidak mahu ke sana sini dengan pakaian yang sudah dipakai selama beberapa hari tanpa bertukar.

“ Tuan.”

Jimmy, salah seorang anggota kumpulan Levi, muncul di dalam bilik persalinan. Lelaki yang sebaya dengan Louis itu sudah kelihatan segar selepas membersihkan diri. Di tangan Jimmy terdapat telefon pejabat. Gayanya seperti ingin menyampaikan sesuatu.

“ Kenapa?”

Levi menoleh sekejap kepada Jimmy sebelum perhatiannya tertumpu kepada membutangkan baju kemeja. Rambutnya yang masih berserabai disikat kemas.

“ Encik Harris dalam perjalanan ke sini, sementara Encik Randall nak jumpa tuan pada waktu makan tengah hari. Encik Randall perlu berjumpa dengan wartawan dahulu untuk redakan keadaan.”

Levi mengeluh. Pihak wartawan kelihatan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan maklumat yang lebih teliti mengenai kes ini. Padahal masa kes itu terjadi tidak mencapai 24 jam lagi. Pastinya mereka sedang berkerumun di bangunan-bangunan agensi yang terlibat, pejabat pihak yang menganjurkan MUSE Music Awards serta rumah Ema serta Louis yang semestinya kosong.

“ Beritahu Encik Randall, jangan dedahkan lagi apa yang dia nak beritahu saya. Jangan sesekali biarkan wartawan tahu. Keadaan boleh bertambah buruk. Kita tak mahu wartawan guna peluang ini untuk memanipulasikan keadaan. Terus datang jumpa saya lepas temu janji dengan wartawan itu.”

“ Baiklah, tuan.”

Jimmy terus beredar dari bilik persalinan tersebut. Levi duduk di kerusi yang disediakan. Berat keluhan yang dihembus olehnya. Serabut memikirkan kerenah wartawan yang dahagakan isu sensasi sebegini. Apatah lagi dia belum mendapat sebarang berita daripada doktor yang merawat Louis. Selepas bertemu dengan Encik Randall, dia akan terus ke hospital sebentar untuk melawat Louis dan juga Ema.

Kyle muncul lima belas minit selepas Jimmy menemui Levi tadi. Lelaki itu kelihatan begitu berhati-hati, seakan-akan tidak mahu kehadirannya diekori sesiapa. Levi mempelawa Kyle masuk ke dalam bilik mesyuarat yang kosong. Dia tahu Kyle tidak selesa dengan mata-mata yang mungkin sedang memerhatikannya. Levi juga berharap tiada wartawan berjaya mengekori Kyle.

“ Bagaimana keadaan di agensi?”

Levi bertanya. Dia meletakkan secawan kopi dan dua keping sandwich di hadapan Kyle, sandwich yang dia minta Jimmy beli di bakeri seberang jalan. Kyle mengucapkan terima kasih kepada Levi sebelum menjawab pertanyaannya.

“ Kecoh. Dari semalam lagi media berkumpul di luar bangunan agensi. Mereka cuba cari tempat Encik Ray dan Cik Ema dibawa. Kami cuba sembunyikan mereka, risau media akan serang hospital tu pula. Kami terpaksa panggil pengawai keselamatan tambahan untuk elak mereka daripada pecah masuk ke dalam agensi.”

“ Agensi tak ada berikan sebarang kenyataan?”

Kyle meletakkan kopi yang sudah diminum di atas meja. Dia menarik nafas panjang lalu mengangguk.

“ Kami sudah keluarkan kenyataan rasmi, mengatakan perkara ini masih dalam siasatan. Tapi media tak akan berputus asa. Mereka akan cuba korek tempat persembunyian mereka berdua sedaya upaya.”

“ Pihak polis ada mengawal di dewan tapi nampaknya, pihak media semakin tak terkawal. Susah untuk Encik Randall datang ke balai. Dia ada maklumat baru.”

Mereka berdua sepi buat seketika. Masing-masing memikirkan kejadian yang menimpa Louis di MUSE Music Awards semalam. Satu kejadian yang tidak diduga. Selepas sekian lama menyepi, Levi mula bersuara. Bertanyakan tujuan sebenar Kyle datang menemuinya.

“ Apa yang Encik Harris nak beritahu saya?”

Kyle kelihatan teragak-agak untuk membuka mulut. Levi sabar menanti sehingga lelaki itu bersedia. Dia tidak mahu mendesak lelaki itu. Sesetengah perkara perlukan masa untuk diberitahu.

“ Pasal Cik Rosa.”

Kening Levi terangkat. Apakah yang pengurus Ema Rosa ingin beritahu kepadanya?

“ Kenapa dengan Cik Rosa?”

Kyle memejamkan matanya. Kedua-dua tangannya ditaut rapat. Mencari ayat yang sesuai untuk diucapkan kepada detektif yang sedang memerhatikan dirinya kini. Dia juga sebenarnya berbelah bahagi untuk menceritakan perkara yang sebenar. Bagaimana jika dia terlepas cakap? Adakah karier Ema Rosa akan musnah sepenuhnya?

Kyle telah menjadi pengurus kepada aktres yang sedang meningkat naik itu sejak awal kemunculannya hampir lima tahun yang lalu. Karier lakonan Ema Rosa semakin bertambah semenjak berjaya membawa watak seorang gadis buta dan bisu di dalam sebuah drama empat tahun yang lalu. Lakonan yang mendapat pandangan positif daripada para pengkritik dunia seni. Apatah lagi imej gadis itu bersih daripada sebarang kontroversi. Secara peribadinya, Ema Rosa sememangnya seorang gadis yang baik dan bertimbang rasa.

Jadi bagaimana jika dia menjadi orang yang bertanggungjawab dalam memusnahkan karier gadis itu?

“ Encik Harris?”

Kyle membuka matanya. Merenung kepada Levi yang masih sabar menunggunya untuk membuka mulut.

“ Encik dah bersedia?” Levi menduga.

Jelas pada mata Levi bahawa Kyle sedang berperang dengan kemahuan dan perkara yang perlu dia lindungi. Sebagai pengurus kepada seorang aktres yang popular, semestinya Kyle perlu menjaga privasi Ema. Baik daripada media mahu pun orang awam.

“ Saya tak mahu paksa encik. Tapi kalaulah encik tahu apa-apa pasal kes ini, saya harap encik boleh beritahu pihak kami. Keselamatan dan reputasi Cik Rosa turut sama bergantung pada Encik Harris. Kenyataan encik mungkin dapat membantu Cik Rosa daripada dilabel sebagai pembunuh.”

Levi merenung tajam kepada Kyle yang kelihatannya terkejut dengan apa yang dia ucapkan tadi. Dia cuba memanipulasi fikiran Kyle walaupun sedikit. Tugas Kyle sebagai pengurus Ema semestinya menjadikan dia orang yang sentiasa berada dengan Ema. Tidak mustahil juga sebagai orang yang menyimpan rahsia Ema.

Senyuman nipis terukir pada wajah Levi apabila melihat lelaki itu mengangguk walaupun teragak-agak. Sekurang-kurangnya Kyle telah membuat satu keputusan yang bijak. Levi menekan butang pada perakam suara.

“ Sedia?”

Kyle mengangguk lagi. Dia berdehem sebelum membuka mulut.

“ Sebenarnya, beberapa bulan yang lalu…”

SEORANG lelaki yang kelihatan sebaya dengan Levi masuk ke dalam bilik mesyuarat yang kosong itu.

Levi tersenyum menyambut kedatangan Phillip Randall, pengurus pentas MUSE Music Awards. Phillip berpakaian santai sahaja. Levi menjemput lelaki itu untuk duduk di hadapannya. Dia baru sahaja selesai menemubual Kyle sebelum menerima berita mengenai kehadiran pengurus pentas MUSE Music Awards itu.

“ Pihak media tak ikut encik?”

Phillip menggeleng. “ Pegawai keselamatan di dewan berjaya halang mereka masa saya ke sini. Keadaan tak seteruk semalam. Mungkin sebab tumpuan media lebih di agensi.”

Levi mengangguk. Sama sahaja seperti apa yang Kyle beritahu kepadanya tadi.

“ Boleh kita mulakan sekarang?” Levi bertanya. “ Tentang apa yang encik nak beritahu saya?”

“ Ya, boleh. Saya nak tunjukkan ini sebenarnya.”

Phillip mengeluarkan fail daripada beg yang dibawanya. Fail jernih itu dihulurkan kepada Levi. Tanpa berlengah lagi Levi segera membuka fail tersebut, mengeluarkan kertas-kertas yang berada di dalamnya. Matanya meneliti kertas-kertas tersebut.

“ Bukankah ini…” Levi kembali merenung kepada Phillip.

“ Pihak kami baru jumpa rakaman CCTV ini. Ini gambar daripada rakaman tersebut.”

Levi kembali melihat kepada gambar-gambar yang dicetak pada kertas tersebut. Seorang wanita yang berpakaian kostum yang dikhaskan untuk Ema pada malam semalam menghilang di balik pentas. Gambar yang lain pula menunjukkan seorang lembaga berpakaian hitam menyelinap keluar dalam kekecohan akibat insiden tembakan itu. Wajah lembaga itu tidak jelas berikutan ditutup dengan kaca mata hitam besar dan penutup mulut.

“ Di mana kamu nampak rakaman ni?”

“ Di bahagian stor yang dah lama kami tak gunakan. Biasanya tiada siapa berada di kawasan itu dan pintu stor sentiasa dikunci. Di dalam stor itu ada pintu keluar dari dewan. Tapi bila kami bawa pihak polis pergi ke tempat itu tadi, ada tanda pintu stor dibuka. Yang jelas, tiada siapa ada kunci pintu stor itu kecuali pengawal keselamatan itu.”

“ Kunci itu ditemui di pos pengawal?”

Phillip mengangguk. “ Kunci itu disimpan di dalam peti besi. Bersama dengan kunci-kunci untuk bilik-bilik penting. Tak ada tanda pintu besi itu dibuka. Mungkin penjenayah guna taktik sendiri untuk buka pintu stor itu.”

Levi mengeluh. Dia merenung kepada gambar lembaga hitam itu.

“ Bagaimana jarak antara stor lama itu dengan pentas?”

“ Pentas berada di tengah-tengah dewan, stor lama pula berada di bahagian hujung dewan. Ambil masa 5 minit sahaja kalau berlari. Saya tak pasti dengan ukuran meter.”

“ Ada salinan video CCTV?”

“ Saya beritahu anak buah tuan untuk bawa sendiri ke sini.” Phillip menghulurkan pula thumb drive kepada Levi.

“ Terima kasih. Ada apa-apa lagi yang encik nak beritahu?”

“ Ada anak buah saya beritahu, mereka ada jumpa Cik Rosa di bahagian belakang dewan sebelum acara karpet merah bermula. Mereka hairan kerana penyanyi dan pelakon jemputan sepatutnya sudah bersiap-sedia di hadapan dewan.”

“ Bagaimana dengan pakaian Cik Rosa pada masa tu?”

Phillip diam seketika, cuba mengingati apa yang disampaikan oleh anak buahnya.

“ Kalau tak salah… gaun hitam? Ya, gaun hitam. Cik Rosa bergaun dan berkot labuh hitam masa mereka jumpa di belakang dewan. Cuaca semalam agak sejuk, mungkin sebab itu dia berkot.”

“ Tapi pakaian Cik Rosa masa acara karpet merah warna lain, kan?”

“ Ya, ya!” Phillip mengangguk pantas. “ Seingat saya, Cik Rosa bergaun merah jambu masa saya jumpa dia di belakang pentas, sebelum dia ke bilik persalinan.”

Levi mendongakkan kepalanya ke atas, merenung siling. Dia tersenyum sinis. Adakah ini bermakna Ema Rosa yang ditemui di belakang dewan itu adalah penjenayahnya? Adakah ini bermakna teori penyamaran atau kembar seiras Ema Rosa adalah kenyataannya? Berdasarkan penerangan Phillip, teori itu mungkin benar.

“ Menurut laporan, bahagian belakang dewan itu tidak dikawal pada malam semalam. Memang pengawal keselamatan tiada buat rondaan di kawasan itu? Bagaimana pula dengan kawasan yang berhampiran?”

“ Mereka ada buat rondaan tapi tidak terlalu kerap memandangkan tumpuan orang di bahagian depan dan dalam dewan. Kami cuba minimakan bilangan peminat yang cuba merapati idola kegemaran mereka. Sebab itu bilangan pengawal di depan dan dalam dewan lebih penting.”

“ Pihak keselamatan tak pernah terfikir ke kemungkinan untuk peminat sebegitu masuk dari belakang?”

Phillip terdiam mendengarkan soalan itu. Dia berdehem.

“ Pintu belakang akan sentiasa dikunci dan krew kami akan sentiasa berada di situ. Jadi kemungkinan itu kecil.”

Levi ketawa perlahan. “ Tak apalah, Encik Randall. Tugas saya bukan untuk tinjau aspek keselamatan di bahagian belakang dewan itu.”

Thumb drive yang diberikan oleh Phillip dimain-mainkan dengan jarinya. Selepas ini dia akan meneliti rakaman CCTV yang berjaya merakam lembaga hitam itu. Deringan telefon peribadi miliknya mengejutkan Levi. Levi meminta kebenaran daripada Phillip untuk menyambut panggilan itu. Panggilan itu dijawab oleh Levi tanpa melihat nama si pemanggil.

“ Helo, Detektif Levi Reid.”

“ Helo, tuan.”

Levi bingkas bangun daripada duduknya. Itu adalah suara salah seorang anak buahnya yang ditugaskan menjaga Louis dan Ema di hospital. Pastinya ada berita yang ingin disampaikan oleh anak buahnya itu.

“ Kenapa, Danny? Ada berita?”

“ Sebenarnya…” Suara Danny kedengaran teragak-agak, berubah perlahan. “ Saya ada berita baik dan buruk untuk tuan.”

Levi menelan liur. “ Cepat, beritahu saya.”

“ Berita baiknya… Encik Ray dah sedar.”

“ Apa?”

Levi menghela nafas lega. Dia tidak sangka secepat ini Louis akan sedarkan diri. Dia harus menelefon bapa mereka selepas ini. Pastinya ayah sedang ternanti-nanti panggilannya.

“ Berita buruk tu pula?” Levi cuba mengawal kegembiraannya.

“ Berita buruknya…” Sekali lagi suara Danny perlahan. “ Cik Rosa hilang dari hospital.”

Senyuman Levi hilang. Tubuhnya terasa kaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience