Chapter 9

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 9

DENGAN penuh berhati-hati Levi dan Vanness memasuki gudang yang dikatakan oleh Ema pada siang hari tadi. Danial telah membantu Levi mengenal pasti yang mana satukah gudang yang menjadi tempat perjudian haram yang selalu menjadi tempat Peter berkunjung. Memandangkan di pekan ini masih ada banyak gudang lama yang terbiar, Levi perlu benar-benar tahu yang mana satukah gudang itu.

Kawasan hutan belukar mengelilingi gudang yang jauh dari kawasan penduduk pekan itu tinggal. Tempat ini memang sesuai dijadikan markas perjudian haram atau apa-apa sahaja aktiviti yang tidak sah undang-udangnya. Suasana di kawasan sekitar gudang ini amat sepi, mereka begitu berhati-hati agar tidak meninggalkan sebarang kesan bunyi. Hampir sahaja Levi terlanggar sebuah meja patah kerana kegelapan di kawasan itu.

“ Kau yakin mereka ada di sini?” Vanness berbisik.

Levi mengangguk sahaja. Vanness sudah tahu apa yang bermain dalam fikirannya tadi dan juga rancangannya untuk menangkap Anna. Pada mulanya Vanness agak meragui teori yang dikemukan oleh Levi tetapi Levi berjaya juga menyakinkan Vanness. Akhirnya, mereka berdua bertolak ke pekan itu.

Mereka berdua berjaya menyelinap masuk ke dalam gudang tersebut. Di bahagian tengah gudang tersebut adalah suatu ruang kosong. Pada bahagian atas gudang itu ada pelantar yang dihubungkan dengan tangga kayu yang sudah reput. Levi memberi isyarat agar Vanness mengikutnya untuk bersembunyi di sebalik tiang yang dilonggokkan dengan perabot-perabot lama di suatu sudut. Suatu tin besar yang dipenuhi dengan kayu dan akhbar lama berada di tengah-tengah gudang itu. Kayu-kayu itu terbakar menjadi arang dengan api yang masih menyala membakar isi tin besar itu.

“ Kau fikir Anna yang letakkan pelita tu?” Vanness berbisik teramat perlahan, nyaris sahaja tidak didengari Levi walaupun dalam suasana sepi seperti ini.

Levi menjongket bahu. “ Mungkin. Kita tunggu dan lihat sahaja.”

Peluh dingin terasa membasahi tubuh Levi. Degupan jantungnya yang lebih pantas daripada biasa seakan-akan dapat didengari bunyinya. Matanya tidak lepas daripada memerhati setiap sudut di dalam gudang lama itu. Telinganya dibuka seluas-luas mungkin, berwaspada dengan setiap bunyi yang mungkin akan terhasil.

Hampir tiga puluh minit mereka menunggu, kelihatan seorang gadis menuju ke tengah-tengah gudang itu. Gadis itu memakai jaket berhud besar berwarna hitam. Hud dibiarkan menutupi bahagian atas wajahnya. Gadis itu berjalan mengelilingi tin besar tersebut. Matanya melihat sahaja kepada api yang masih membakar kayu dan kertas di dalam tin besar itu.

“ Anna?” Vanness bertanya.

Levi mengangguk cemas. “ Aku tak fikir itu Ema. Pakaiannya juga berbeza dengan Ema tadi.”

Gadis itu berdiri dari sudut yang mampu dilihat dengan jelas oleh Levi dan Vanness. Hud itu diturunkan ke bawah. Gadis yang bernama Anna itu kelihatan muram. Mata Anna tepat melihat kepada api itu. Kedua-dua tangan gadis itu ditaut rapat.

Tidak lama kemudian, seorang gadis yang mirip wajahnya dengan Anna muncul dari pintu kecil yang bersebelahan dengan ruang masuk utama gudang itu. Wajah gadis itu kelihatan seakan-akan nekad dengan sesuatu keputusan. Levi dan Vanness menyaksikan pertemuan pasangan kembar yang sudah 20 tahun terpisah itu. Ema memakai pakaian yang dipakainya sewaktu ditemui Levi tadi.

“ Kau seorang diri?” Anna bertanya. Wajahnya masih kelihatan muram.

Ema mengangguk.

Lama kedua-dua pasangan kembar itu saling merenung antara satu sama lain. Mereka berdua sedang bertukar-tukar pandangan. Tempoh 20 tahun yang lalu amat memberi kesan kepada mereka berdua. Tiada walau satu patah perkataan pun keluar daripada bibir mereka.

Levi dan Vanness melihat kepada pasangan kembar itu dengan debaran. Mereka berdua masih bersembunyi di balik tiang dan timbunan perabot lama di dalam gudang itu. Mata mereka tidak lari daripada pasangan kembar itu. Ema merenung Anna. Anna merenung Ema. Kedua-duanya seperti mahu melihat siapa yang akan kalah dengan renungan masing-masing.

" Kenapa kau buat aku macam ni?" perlahan sahaja Ema bersuara. Nadanya lirih menunjukkan dia tidak menyangka adik kembarnya akan merancang sesuatu yang buruk untuk dirinya.

Wajah Anna masih muram seperti tadi. Tetapi Levi dapat menangkap riak terkejut pada wajah yang mirip dengan wajah Ema itu.

" Apa maksud kau? Kau yang heret aku dalam perkara ni. Kenapa? Kita kembar! Aku bukannya orang asing dalam hidup kau!" Anna kelihatan tertekan.

" Bila kau nak terjah mereka?" Vanness berbisik.

Levi berfikir. Situasi yang disaksikannya ini tidaklah keadaan buruk tapi dia masih risau dengan kemungkinan yang akan berlaku. Apatah lagi apabila dia melihat api yang menyala di dalam tin besar yang berada di antara Ema dan Anna. Sebelum Anna berjaya mengapa-apakan Ema, lebih baik dia dan Vanness bertindak terlebih dahulu.

Levi memberi isyarat meminta Vanness berada di tempat mereka bersembunyi sementara dia menyelinap untuk berlindung di sebalik tiang yang berada beberapa meter dari kedudukan mereka. Vanness menurut sahaja permintaan Levi. Dengan pantas dan senyap Levi menuju ke tiang itu. Dia melihat kepada Vanness yang sedang melihat ke arahnya.

Vanness menaikkan sedikit tangannya. Sebagai isyarat untuk aksi mereka yang seterusnya. Mereka berdua sudah berbincang mengenai strategi mereka untuk memberkas Anna tanpa terjadinya musibah. Levi mengangguk perlahan. Dia menggunakan jarinya untuk membuat kiraan. Perhatian Vanness tertumpu kepada tangan Levi. Posisi yang sesuai turut diambil.

Tiga…

Dua…

Satu!

“ Jangan bergerak!”

Sepantas kilat Levi dan Vanness berlari mendapatkan Ema dan Anna yang kelihatan terpegun dengan kemunculan mereka yang tidak diduga. Levi mendapatkan Ema manakala Vanness berjaya menghalang Anna daripada melarikan diri. Kedua-dua tangan Anna dibawa ke belakang sebelum dipegang kemas.

“ Abang Levi!”

Levi melihat kepada Anna yang berada dalam tahanan Vanness. Wajah itu menunjukkan ketakutan yang teramat dan juga kebingungan. Ema yang berada di sebelah Levi menarik senyum lega. Dia melihat kepada Levi yang masih memerhatikan Anna.

“ Nasib baik abang datang cepat…” Ema benar-benar kelihatan lega. “ Saya fikir abang tak ada di sini. Saya risau… Anna akan apa-apakan saya.”

Levi turut menarik senyum. Matanya melirik kepada wajah Ema dan Anna silih berganti.

“ Apa semua ni?” Anna bersuara kebingungan. Dia tidak cuba untuk melepaskan diri daripada cengkaman Vanness sebaliknya tumpuannya lebih kepada Levi. “ Apa yang…”

“ Jangan risau, Ema.” Levi meletakkan sebelah tangannya pada bahu Ema. Matanya merenung kepada Anna. “ Kita akan ke balai lepas ni. Kita akan letakkan dia dalam lokap.”

“ Apa?” Mata Anna membulat. “ Tak! Ini salah sangka sahaja! Saya…”

“ Baguslah, abang.” Ema memotong kata-kata Anna. “ Sebelum dia larikan diri, lebih baik abang segera bawa dia ke balai. Saya tak nak dia terlepas.”

“ Dia tipu abang!” Anna separuh menjerit. “ Saya Ema yang abang kenal! Bukannya dia!”

“ Abang, jangan terpedaya dengan dia,” Ema kelihatan takut. “ Dia gunakan wajah kami yang sama untuk mengelirukan abang.”

Ema merenung kepada wajah Levi yang tidak menunjukkan riak apa-apa dengan kata-kata Anna. Pastinya abang kekasihnya itu tidak termakan dengan helah Anna, kan? Sekali lagi Ema menarik senyuman lega. Hampir sahaja dia ketakutan kerana risau Levi akan mempercayai Anna.

“ Maksud abang, abang akan bawa kamu…” Cekap Levi menggari sebelah tangannya dengan sebelah tangan Ema. “ … ke balai. Bukannya dia.”

“ Apa?”

Dalam suram gudang itu Levi dapat melihat dengan jelas bagaimana perubahan pada wajah Ema kelihatan ketara. Ema melihatnya dengan wajah yang tidak percaya. Levi tenang sahaja selepas mengucapkan kata-kata itu.

“ Kenapa abang gari saya? Dia… dia yang cuba hancurkan hidup saya! Bukannya…”

“ Emma Rosalie Knowles, itu kamu, kan?”

Teragak-agak Ema mengangguk. “ Abang tahu… nama sebenar saya?”

Levi tersenyum. “ Tapi nampaknya dalam masa empat tahun ini, Anna Rosalie Knowles yang bergiat sebagai aktres dengan nama Ema Rosa, kan?”

Mata Levi kembali kepada wajah Anna yang kelihatan bercampur baur dengan segala perasaan. “ Abang tahu Ema Rosa adalah Anna Rosalie Knowles, bukannya Emma Rosalie Knowles.”

“ Abang Levi…” Anna Rosalie Knowles atau lebih dikenali sebagai Ema Rosa menarik senyum nipis.

“ Kita bincang pasal hal ini di balai. Boleh?”

Emma cuba untuk melepaskan diri daripada tahanan Levi tetapi usahanya sia-sia sahaja lantaran gari itu bersambung dengan gari pada sebelah tangan Levi. Emma membantah kata-kata Levi, memujuk lelaki itu agar mempercayainya.

“ Kenapa abang cakap macam tu? Saya Ema! Ema yang abang kenal selama ini! Dia!” Emma menunjuk kepada Anna yang kelihatan bersedih melihatkan gari pada tangan Emma. Wajah Emma jelas menunjukkan amarah yang sedang meletus. “ Dia penipu! Dia dah perdayakan abang!”

“ Sudah! Kita ceritakan perkara yang selanjutnya di balai. Vanness,” Levi melihat kepada Vanness yang telah melepaskan pegangannya pada kedua-dua tangan Anna. “ Kita ke balai, sekarang.”

Vanness mengangguk sahaja tanpa berkata apa-apa. Levi terlebih dahulu berjalan meninggalkan kawasan itu diikuti Vanness dan Anna di belakang. Untuk mengelak Emma daripada terus meronta-ronta, Levi terpaksa memegang kemas pada tangan Emma yang masih bebas.

Kes ini sudah hampir ke penghujungnya. Sekarang, Levi hanya perlukan pengesahannya daripada Anna selain daripada mengenai kes yang berlaku pada 20 tahun yang lalu. Dia ingin tahu apakah yang berlaku dahulu sehingga pasangan kembar ini bermusuhan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience