BAB 7
LEVI berjaya memujuk Vanness untuk menemaninya ke tempat yang pernah menjadi tempat tinggal Ema dahulu. Dia boleh sahaja membawa Jimmy atau anak-anak buahnya yang lain, tapi Levi lebih selesa sekiranya Vanness yang menemaninya memandangkan Vanness tahu sejarah hidup Ema sebelum dia bertemu Puan Niven.
Kawasan itu berada di pinggir ibu kota dan hampir memakan masa selama tiga jam perjalanan dari balai polis. Levi memberitahu Jimmy bahawa dia dan Vanness akan ke luar bandar dan meminta lelaki itu memantau keadaan semasa. Levi tahu dia boleh percayakan Jimmy. Jimmy adalah salah seorang anak buahnya yang paling berdedikasi dengan tugasnya sebagai seorang anggota polis.
Perjalanan ke tempat itu membawa mereka berdua ke kawasan yang tidak pernah dijejaki sebelum ini. Pokok-pokok yang menghijau berada di kiri dan kanan mereka sebelum mereka menemui suatu kawasan yang dipenuhi dengan kilang-kilang perindustrian di tempat yang dituju mereka itu.
Levi memandu memasuki sebuah selekoh yang menandakan papan tanda kampung itu. Matanya memerhatikan kawasan sekitarnya. Ada beberapa deretan rumah kedai di kawasan itu. Kelihatan penduduk kawasan ini sedang keluar masuk dari kedai-kedai yang terdapat di situ. Ada juga yang sedang bersembang sambil menikmati secawan kopi. Tempat ini tidaklah seteruk seperti apa yang digambarkan oleh Levi sebelum ini. Mungkin kerana kawasan ini sudah dibangunkan sebagai kawasan perindustrian, penduduk-penduduk kawasan ini lebih terjaga hidup mereka dengan pelbagai peluang pekerjaan baharu diadakan untuk mereka.
“ Kau tahu nak jumpa siapa di sini?” Vanness yang duduk di tempat duduk penumpang bertanya.
Levi mengangguk. “ Aku dah hubungi polis di kawasan ni. Kita akan jumpa mereka di balai. Selepas tu, mereka akan bawa kita jumpa penduduk di kawasan ini.”
“ Kau yakin masih ada penduduk yang ingat pada bapa Cik Rosa?”
“ Aku yakin tentu masih ada penduduk yang sama 20 tahun yang lalu. Apa yang penting, kita kena cari juga sesiapa yang ingat pasal mereka sekeluarga. Mungkin kes ini ada kaitan dengan bapa Cik Rosa.”
Levi memarkirkan kereta di hadapan balai polis kawasan itu. Ketua polis di balai itu menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka. Selepas berbual buat seketika, Danial Hill, ketua polis tersebut membawa mereka ke balai raya yang menjadi tempat perkumpulan penduduk-penduduk di kawasan itu.
“ Saya dah kumpulkan beberapa orang penduduk yang mungkin dapat membantu tuan,” kata Danial sewaktu mereka berjalan menuju ke balai raya itu. Jarak yang dekat di antara balai polis dan balai raya itu membuatkan mereka berjalan kaki sahaja.
Terdapat hampir tiga orang lelaki dan dua orang wanita yang kelihatan sebaya dengan bapa Levi sedang berkumpul di sebuah meja bulat yang terdapat di dalam balai raya itu. Kesemua mereka bangun menyambut kehadiran Levi dan Vanness sebaik sahaja mereka berdua termasuk Danial mendekati mereka.
“ Saya Detektif Levi Reid,” ucap Levi ringkas.
“ Saya Inspektor Vanness Walker,” kata Vanness pula.
“ Saya George Williams, pengawal keselamatan di kilang besi.” Lelaki yang memakai kemeja petak biru-hijau itu memperkenalkan dirinya.
Setiap seorang daripada mereka memperkenalkan diri masing-masing. Danial mempelawa Levi dan Vanness duduk bersama-sama penduduk kampung itu. Danial turut mengambil tempat di sebelah Levi. Dia meminta Levi memberitahu dahulu tujuannya ke sini walaupun penduduk-penduduk itu sudah tahu.
“ Saya ke sini nak siasat pasal Peter Knowles. Mengikut laporan, Encik Knowles tinggal di sini 20 tahun yang lalu, betul?”
Hampir kesemua mereka mengangguk, mengiyakan kata-kata Levi.
“ Peter dan keluarganya memang tinggal di sini. Isteri dan anak-anak dia pun tinggal di sini. Tapi kenapa dengan dia? Sudah lama kami tak nampak dia atau dengar berita pasal dia,” Joseph Gaiman yang memiliki sebuah bar di kampung ini bertanya.
“ Pihak kami tak jumpa sebarang maklumat pasal anak-anak Encik Knowles. Tiada pendaftaran dilakukan. Hanya ada rekod mengatakan dia berkahwin dengan Sally Flynn sahaja. Tuan dan puan semua tahu pasal ini?”
“ Kalau nak cakap pasal Peter tu, kami tak tahu nak cakap macam mana,” Annie Miles, yang mengatakan dia tinggal berjiran dengan keluarga Knowles mencelah, “ sepanjang tinggal berjiran dengan mereka, selalu dengar Peter marah-marah dengan anak isteri dia. Hampir sepanjang masa. Rumah tu hanya aman bila Peter keluar.”
“ Puan Knowles tak adukan pasal suami dia pada sesiapa?” Levi kehairanan.
Puan Miles menggeleng. “ Saya dah ibu-ibu lain di kampung ni cuba pujuk dia, tapi dia tak mahu. Katanya, dia tak mahu suami dia masuk dalam penjara lagi.”
“ Encik Knowles tak bekerja?”
Athur Miles, suami Puan Miles menggeleng. “ Dia pernah kerja di pekan sebelah, tapi sekejap saja sebab ada kes bergaduh dengan pekerja yang lain. Selepas itu, kerjanya hanya keluar berjudi dan minum alkohol sahaja. Jika tidak pun, dia pergi kutip hutang ceti haram yang sesekali gunakan khidmat dia.”
Levi mengeluh. Tidak sangka Peter Knowles, bapa kandung Ema Rosa itu mempunyai tabiat yang amat buruk. Bagaimanakah hidup Ema sewaktu kecil? Tidak sanggup dia membayangkan tubuh kecil seorang kanak-kanak menjadi mangsa pukul dan teranjang bapanya sendiri.
“ Kasihan pada Sally sejak dia berkahwin dengan Peter. Tapi Sally terlalu sayangkan Peter walaupun semua orang tahu bagaimana perangai Peter. Boleh kata setiap kali jumpa Sally, mesti dia cuba sorokkan lebam pada tubuh dia. Peter memang tak berhati perut, wanita macam Sally, isterinya sendiri, sanggup dia dera,” cerita Sarah Garland, pemilik sebuah kafe di pekan kecil ini.
“ Bagaimana mereka boleh berkahwin?” tanya Levi ingin tahu.
“ Peter memang asal tinggal di pekan ini. Sally pula berpindah ke sini lepas ibu bapanya muflis dan tinggalkan dia di bandar seorang diri. Mereka berdua kenal sejak Sally berkenalan dengan ibu Peter,” kata Encik Williams.
“ Peter memang terkenal dengan sikapnya yang suka bergaduh, jadi kami terkejut bila Sally kata dia akan berkahwin dengan Peter. Masa tu ibu Peter baru meninggal sebab demam panas. Kami cuba halang Sally tapi Sally tetap bertegas nak kahwin dengan Peter. Katanya, Peter tak akan berkasar dengan dirinya,” kata Puan Miles.
“ Mungkin Sally kecewa dengan ibu bapa dia yang tinggalkan dia seorang diri lepas mereka muflis, jadi Sally fikir Peter dapat kembalikan kebahagiaan dia walaupun dia sendiri tahu Peter itu bagaimana orangnya.” Puan Garland mengeluh.
Encik Miles mengangguk. “ Masa tu, kami semua baru nak mulakan hidup berkeluarga. Kerajaan pun masih belum ambil peduli dengan pekan kecil kami ni. Pada awal perkahwinan mereka, Sally nampak gembira. Kami pun sangka Peter dah berubah. Tapi lepas anak mereka lahir, Peter kembali pada perangai asal dia.”
“ Boleh saya tahu nama anak sulung Encik dan Puan Knowles?”
“ Emma Rosalie. Baik budaknya, tapi malangnya bapa dia berubah sikap lepas dia lahir. Katanya, Emma dan Sally menyusahkan hidupnya.”
“ Bagaimana pula dengan anak kedua mereka? Beza sangatkah umur mereka?” Levi teringatkan adik Ema yang tidak diketahui jantina dan umurnya.
“ Tak beza pun,” Puan Miles mencelah. “ Emma dan Anna tu saudara kembar. Anna lahir beberapa minit selepas Emma lahir.”
“ Kembar?” Levi terperanjat. Dia dapat merasakan Vanness turut mengalami kejutan itu.
Puan Miles mengangguk. “ Saya dan ibu yang tolong sambut kelahiran mereka sebab masa tu Peter tiada di rumah. Sally pun tak mahu ke klinik atau hospital. Dia mahu bersalin di rumah sahaja.”
“ Nama adik Emma Rosalie tu… Anna?”
“ Anna Rosalie. Nama tengah mereka sama.”
Levi terkedu. Tidak menyangka Ema mempunyai seorang adik kembar yang tidak diketahui keberadaannya.
“ Mereka kembar seiraskah? Atau kembar tidak seiras?” Levi merasakan jantungnya berdegup kencang.
“ Mereka kembar seiras,” Puan Garland menarik senyum, pastinya teringatkan dua saudara kembar itu. “ Susah nak bezakan mereka berdua kecuali Anna ada tahi lalat kecil pada bahagian bawah cuping telinga kanannya. Jika tidak perasan, tentu tertukar Emma dan Anna. Tapi yalah, tahi lalat tu ada pada bahagian yang susah nak ditengok sekali lalu.”
“ Jadi…” Levi hampir kehilangan kata-kata. “ Ada sesiapa tahu apa yang jadi pada malam Emma Rosalie larikan diri?”
Hampir serentak mereka berlima menggeleng. Levi sedikit hampa dengan jawapan itu.
“ Kami tak pasti apa yang jadi pada malam itu, tapi…” Encik Gaiman membuka mulut. “ …pada malam tu, ada suatu pesta judi besar-besaran di salah sebuah gudang terbiar di hujung pekan ini. Ada penduduk nampak Peter bawa kedua-dua anak dia ke sana. Selepas tu, kami dengar Emma larikan diri daripada pekan ini.”
“ Bagaimana pula dengan Anna?” tanya Levi tidak sabar.
“ Pada malam Emma larikan diri tu, Peter bawa Anna ke sungai pekan ini. Hampir mati budak tu dikerjakannya. Nasib baik ada penduduk yang perasan Peter nak lemaskan Anna, mereka sempat halang Peter. Tapi mereka tak dapat buat apa-apa dengan Anna, Peter heret dia balik ke rumah mereka. Beberapa hari selepas tu, Anna pula yang hilang.”
“ Saya ada dengar yang Encik Knowles hidup mewah selepas kedua-dua anak perempuannya hilang. Dia menang judi ke?”
Encik Miles ketawa sinis. “ Pada masa tu ada khabar angin kata sindiket jual beli organ manusia datang ke pekan ini untuk cari budak-budak. Saya tak pasti, tapi mungkin sebenarnya Emma dijual Peter pada sindiket itu. Jika tidak, bagaimana dia dapat hidup mewah? Bukannya dia bekerja atau menang judi pun pada masa itu.”
“ Hampir setahun lepas kedua-dua beradik itu hilang, Encik Knowles menjadi buruan ceti haram, kan?”
Encik Williams mengiyakan kata-kata Levi. “ Kekayaan Peter lepas anak-anaknya hilang tak lama. Semuanya hilang di meja judi. Selepas itu, dia banyak berhutang dengan ceti haram. Akhirnya tindakannya itu memakan dirinya sendiri. Ceti haram tu nak jual organ-organ Peter untuk lunaskan hutang Peter. Sebab itulah Peter lari.”
“ Jadi sampai sekarang tiada siapa tahu atau nampak Encik Knowles lagi?”
“ Tiada. Sampai sekarang kami langsung tak dengar berita pasal dia.”
Peter Knowles melarikan diri dari pekan ini hampir 20 tahun yang lalu. Setahun sebelum itu, Ema melarikan diri daripada cengkaman bapa kandungnya. Anna pula hilang secara misteri. Memikirkan mengenai Anna membuatkan Levi tidak senang duduk.
Bagaimana jika Anna adalah perempuan yang menyamar sebagai Ema itu? Adakah motifnya adalah dendam? Apa yang berlaku pada malam Ema larikan diri? Apa yang berlaku pada malam Anna hilang?
Semakin Levi cuba menyelesaikan kes ini, semakin banyak misteri yang belum dirungkai datang kepadanya.
Share this novel