BAB 10
ANNA ROSALIE KNOWLES
SELEPAS berjam-jam berada di balai polis untuk memberi keterangan kepada Abang Levi, aku dibawa ke hospital untuk diperiksa keadaanku. Segala keterangan dan apa yang perlu aku beritahu kepada Abang Levi, aku dedahkan kepadanya termasuklah dengan kisah pada 20 tahun yang lalu. Aku tidak mahu menyimpan rahsia itu lagi. Biarlah semuanya dilepaskan keluar.
“ Ema!”
Louis muncul di wad tempat aku ditempatkan. Walaupun aku masih dapat melihat gerak tubuhnya yang masih tidak cergas seperti kebiasaan, tetapi dia kelihatan amat gembira untuk menemuiku kembali. Louis melabuhkan punggung di kerusi yang berada bersebelahan dengan katilku. Aku sedang duduk bersandar pada kepala katil.
“ Macam mana awak boleh hilang begitu aje? Saya fikir awak… diapa-apakan.”
Perlahan aku menggeleng. Sekuntum senyuman aku hadiakan untuk Louis.
“ Abang Levi dah beritahu awak semuanya?” aku bertanya.
Louis mengangguk. “ Dia ada beritahu, tapi bukan semuanya. Saya tak sangka yang awak…”
“ Awak nak saya beritahu?”
“ Saya memang tak sabar nak tahu tapi biarlah awak berehat dahulu. Saya datang nak jenguk awak. Awak rehatlah,” Louis mengusap wajahku. Dia kelihatan kelegaan apabila melihat aku kini sudah berada di hadapan matanya. “ Tidurlah. Lain kali pun awak boleh beritahu saya.”
“ Tak mahu.” Aku menggeleng. “ Saya nak beritahu awak semua yang awak perlu tahu. Dan saya tak mahu awak dengar daripada Abang Levi. Biarlah saya yang beritahu awak, boleh?”
Louis mengangguk walaupun dia kelihatan teragak-agak. Kedua-dua tanganku digenggam erat olehnya.
“ Baiklah. Kalau betul awak nak lepaskan semuanya, lepaskan. Jangan bebankan diri awak lagi.”
Aku menarik senyum lagi. Perlahan aku menarik nafas, mempersiapkan diriku untuk memberitahu Louis mengenai sejarah hidupku yang tidak diketahui sesiapa kecuali Abang Levi.
“ Saya…”
“ EMMA! ANNA!”
Aku memandang cemas kepada wajah kakak kembarku, Emma yang sedang duduk di hadapanku. Aku dan Emma segera mengemas permainan kami yang sedang bersepah di atas lantai. Baru sahaja aku dan Emma ingin bermain dengan permainan yang diberikan oleh jiran-jiran kami itu sehinggalah suara ayah kedengaran kuat dari muka pintu.
“ Apa yang kau buat? Sakit tekak aku panggil kuat-kuat!”
Ayah muncul dengan wajah bengisnya. Aku sudah menggigil ketakutan. Wajah ayah merah padam. Bau busuk alkohol yang melekat pada tubuh ayah hampir membuatkan aku termuntah. Langkah ayah longlai mendapatkan kami berdua yang hanya berada beberapa langkah sahaja daripadanya. Nampak benar ayah telah menghabiskan berbotol-botol minuman alkohol murah sepanjang ketiadaannya di rumah sejak beberapa hari yang lalu.
" Ayah nak makan?" aku bertanya teragak-teragak-agak, risau akan menaikkan lagi kemarahan ayah yang sudah sedia menggelegak tanpa sebab yang munasabah.
“ Cepat! Ikut aku!”
Ayah menarik kasar lengan aku dan Emma. Kami berdua cuba untuk melepaskan diri kami tetapi cengkaman ayah kuat dan menyakitkan. Aku mahu pun Emma tak akan berupaya untuk melawan kudrat ayah walaupun dalam keadaannya yang mabuk. Emma berteriak sambil menendang kaki ayah. Aku turut mengikuti perbuatan kakak kembarku itu.
“ Bodoh!”
“ Aduh!”
Mataku terasa berpinar. Imej objek yang berada di hadapanku bertindih-tindih, menyukarkan aku untuk fokus pada pandangan di hadapan. Aku dan Emma ditolak kuat sehingga jatuh ke atas lantai. Emma bangun dengan perlahan untuk mengelak daripada menjadi mangsa pukulan ayah.
“ Cepat! Ikut aku cepat!”
Aku dan Emma yang sememangnya tidak mampu melawan kudrat ayah, terpaksa menurut sahaja sewaktu ayah menarik kasar lengan kami. Kami berdua diam sahaja, takut untuk meronta lagi sehinggalah kami berdua tiba di hadapan sebuah gudang terbiar yang berdekatan dengan kawasan hutan. Aku mencuri pandang kepada wajah Emma. Aku dapat melihat bahawa Emma memikirkan perkara yang sama denganku.
Ayah mengheret kami berdua masuk ke dalam gudang itu. Riuh rendah bunyi orang sedang sibuk berjudi menjadi perhatian aku. Kesemua mereka tenggelam dalam dunia mereka masing-masing. Aku takut dengan pemandangan di hadapanku. Kebanyakan yang mabuk sedang bergurau senda dengan dealer perempuan yang berpakaian seksi. Ada juga yang sedang bergaduh di meja judi, barangkali berang apabila keputusan tidak memihak kepada diri mereka.
“ Berdiri elok-elok!”
Ayah menolak kami di hadapan sekumpulan lelaki. Seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengan ayah duduk di antara kumpulan lelaki yang sedang berdiri itu. Wajah lelaki itu menakutkan aku dengan parut pada dahi kirinya. Sebatang tongkat hitam berada di tangan kirinya. Tajam matanya merenung kami. Aku menunduk daripada membalas renungan lelaki itu. Emma turut berbuat demikian.
“ Pandang depan!” Ayah membentak. Dengan kasar ayah mengangkat wajah kami agar bertentang mata dengan lelaki berparut itu.
“ Ini anak-anak kau?” lelaki berparut itu bertanya.
“ Ya, tuan.” Suara ayah berubah mesra. “ Mereka kembar. Tuan boleh pilih yang mana-mana aje tuan nak.”
Kata-kata ayah mengejutkan aku. Apa maksud ayah? Pilih yang mana-mana aje?
Lelaki berparut itu ketawa. Matanya masih lagi merenung kami. Tongkat hitam yang berada di tangan kirinya diangkat perlahan-lahan sebelum dipusing-pusing di antara kami berdua. Aku sudah menggigil ketakutan. Apakah yang lelaki itu mahu lakukan? Adakah di dalam batang tongkat itu tersimpan sebilah pedang yang tajam?
“ Dia.”
Aku dan Emma terpaku. Dengan wajah tidak percaya aku melihat hujung tongkat itu dihala kepada Emma. Emma melihat kepadaku. Wajahnya pucat seakan-akan tiada langsung darah yang mengalir. Suasana yang pada asalnya riuh rendah berubah sepi kepadaku. Dengan sekelip mata sahaja aku melihat Emma dibawa pergi oleh dua orang lelaki yang bertubuh sasa.
“ Emma... Emma! Emma!”
Aku berlari ingin mendapatkan Emma yang cuba melepaskan diri daripada genggaman lelaki-lelaki itu tetapi ayah merentap tanganku sebelum menghumban aku ke belakang. Aku mengaduh kesakitan apabila tubuhnya terhentak kuat pada lantai.
“ Kau patut bersyukur dia tak pilih kau! Kakak kau yang tak guna tu dah dibeli orang! Baik kau duduk diam-diam sebelum aku jual kau pula!”
Apa? Dibeli?
Aku memandang ayah dengan wajah yang tidak dapat kugambarkan bagaimana. Aku mungkin seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun tetapi aku sudah berupaya untuk berfikir dengan matang. Tanpa mempedulikan ayah yang sedang melepaskan amarahnya aku bangun lalu berlari mendapatkan Emma yang sudah hilang di balik orang ramai di dalam gudang ini. Larianku berjaya membebaskan aku daripada ayah yang turut sama mengejarku. Pastinya ayah sudah semakin mabuk.
Di luar gudang itu mata aku menangkap sebuah van yang berwarna hitam. Kelihatan dua orang lelaki yang mengheret Emma tadi berdiri di luar van itu sambil berbual-bual. Aku dapat melihat Emma sedang mengetuk-ngetuk cermin van itu, merayu agar dirinya dilepaskan. Tetapi lelaki-lelaki itu langsung tidak mempedulikan ketukan yang kuat itu.
Aku cuba memikirkan cara untuk mendekati Emma tanpa disedari lelaki-lelaki itu. Mataku meliar untuk mencari sesuatu. Aku menarik senyum nipis apabila menemui sebongkah batu yang besar. Batu itu kulempar kuat ke arah lelaki-lelaki itu. Aku hampir ketawa apabila kedengaran jeritan salah seorang daripada lelaki itu. Dia melompat-lompat sambil memegang sebelah kakinya. Mungkin batu itu kuat mengenai kaki itu.
Dengan terhincut-hincut lelaki itu meninggalkan kawannya di van itu. Lelaki itu masuk kembali ke dalam gudang terbiar itu. Sekali lagi aku mencari bongkah batu yang besar. Selepas menemuinya, aku bersembunyi di sebalik semak yang tidak jauh daripada van hitam itu. Batu itu kulempar kuat mengenai tulang belikat lelaki itu. Lelaki itu terjatuh menyembam tanah. Tanpa membuang masa aku berlari untuk menyembunyikan diri di belakang pokok sebelum lelaki itu mencariku.
Lelaki itu bangun dengan wajah yang membengis. Dia menoleh ke kiri dan kanan mencari orang yang menyebabkan dia terjatuh tadi. Sebelum sempat dia menemuiku di kawasan semak samun yang tinggi itu, aku dapat melihat lelaki yang menjadi mangsa pertamaku tadi muncul kembali. Dia melaung sesuatu sebelum lelaki yang kedua itu menuju kepadanya. Aku menarik nafas lega apabila kedua-dua mereka hilang dari kawasan itu.
Tanpa membuang masa lagi aku mendapatkan van hitam itu. Aku bergerak dengan berhati-hati, risau sekiranya ada salah seorang ahli kumpulan lelaki berparut itu muncul kembali di situ. Aku terpaksa menunjukkan isyarat agar Emma diam sambil memikirkan cara untuk melepaskan Emma. Aku menuju ke bahagian belakang van itu.
Bukankah ada van yang boleh dibuka bahagian belakangnya tanpa kunci? Aku pernah melihatnya sewaktu menonton televisyen di rumah Anne, salah seorang kawan sepermainanku. Aku cuba menekan bahagian pembuka itu sebelum kedengaran bunyi klik. Dengan segera aku membuka pintu bahagian simpanan barang van itu. Emma segera keluar dari van tersebut. Dia memegang kedua-dua bahuku erat. Wajahnya kelihatan terdesak.
“ Masuk ke dalam.”
“ A... apa?”
“ Kau masuk dahulu ke dalam. Aku pergi dapatkan bantuan.”
“Tapi..”
“ Kalau mereka nampak aku tiada, mereka akan cari kita balik. Lebih baik...” Bahuku digoyang kuat oleh Emma. “ Lebih baik... kau masuk ke dalam.”
“ Tak nak.” Aku merayu. “ Aku takut. Macam mana...”
“ Jangan risau. Aku akan panggil Pak Cik Arthur dan Pak Cik Joseph. Mereka akan tolong kita. Kau percayakan aku, kan?”
“ Emma...”
“ Tolong, Anna!” Emma hampir menjerit. Matanya melihat cemas ke arah gudang itu. “ Tolonglah...”
Bunyi suara beberapa orang lelaki kedengaran dari arah gudang itu. Dari kejauhan aku dapat melihat tiga hingga empat orang lelaki muncul dari pintu gudang tersebut. Aku cam dua daripadanya adalah lelaki yang menjadi mangsaku tadi.
“ Maafkan aku, Anna.”
Emma pantas berlari meninggalkan aku yang terpinga-pinga dengan tindakannya. Mataku merenungnya dengan tidak percaya. Bayang Emma hilang dalam kegelapan malam. Tanpa kusedari aku sudah berada di dalam van hitam itu. Tubuh kecilku dipukul berulang kali sebelum kedua-dua tanganku diikat kemas. Aku menangis perlahan. Masih terbayang dalam fikiranku belakang tubuh Emma sewaktu dia berlari meninggalkan aku tadi.
Aku dibawa ke sebuah rumah lama yang kelihatan menyeramkan dan ditempatkan di sebuah bilik yang dipenuhi dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya dengan diriku. Aku yang masih terkejut dengan tindakan Emma hanya duduk sahaja di suatu sudut tanpa memikirkan keadaan diriku. Kami diberi makan sebuku roti dua kali sehari. Pergerakan kami dikawal dengan ketat. Sesekali datang seorang perempuan yang berpakaian seksi ke bilik kami. Dia akan memerhatikan kami atas bawah sebelum tersenyum sinis.
Hampir dua bulan aku berada di rumah itu sehinggalah pada suatu hari, aku dan beberapa orang kanak-kanak perempuan yang lain dipaksa masuk ke dalam sebuah van. Tanpa memberitahu apa-apa, kami diberikan pakaian cantik. Walaupun sudah lama tidak berpakaian cantik sebegini tetapi kami terlalu takut mengenangkan nasib kami selepas ini sehingga kami langsung tidak bersuara di dalam van itu.
Ternyata nasib amat menyebelahi kami pada hari itu. Dalam perjalanan itu, van itu ditahan oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Empat orang lelaki yang mengiringi kami cuba melarikan diri tetapi mereka berjaya ditangkap oleh polis. Kami menangis bersungguh-sungguh, tidak tahu bagaimana untuk menceritakan perasaan kami pada saat itu. Selepas itu kami dibawa ke rumah kebajikan. Termasuklah kanak-kanak perempuan yang masih berada di rumah lama itu. Sesiapa yang masih mempunyai keluarga, pihak rumah kebajikan akan menghubungi mereka. Hampir kesemua mereka kembali kepada keluarga mereka.
Dan aku?
Aku mengatakan aku tiada ibu bapa mahu pun ahli keluarga yang lain.
Aku tinggal di rumah kebajikan itu sehinggalah umurku mencecah 18 tahun. Aku keluar untuk berdikari dan berjaya mendapatkan kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran kecil-kecilan. Aku langsung tidak cuba mencari Emma mahu pun ayah. Aku lebih gembira dengan hidupku sekarang. Walaupun aku tidaklah semewah kebanyakan gadis lain tetapi kebahagiaan aku tidak dapat dijual beli.
Sehinggalah pada suatu hari, aku membaca mengenai seorang aktres muda yang bernama Ema Rosa.
Wajahnya yang mirip denganku, tingkah lakunya yang kulihat di kaca televisyen dan juga cara dia senyum, semuanya mengingatkan aku pasal Emma. Aku yakin itu Emma. Emma yang tiba-tiba sahaja mengabaikan aku dahulu.
Selepas lama berfikir, akhirnya aku membuat keputusan untuk menemuinya. Pada waktu itu Emma sedang bercuti di sebuah kawasan pantai. Aku yang sudah lama mengekorinya, akhirnya berjaya juga mendapatkan dia ketika dia sedang bersendirian di tebing tinggi yang berdekatan dengan rumah api kawasan pantai itu pada waktu senja. Emma yang terkejut melihatku mula menuduh aku dengan berbagai-bagai kata-kata kesat selepas aku memperkenalkan diriku sebagai Anna, adik kembarnya.
“ Kau datang nak balas dendam, kan?” Emma berdesis. Wajahnya mencerlung garang memandangku.
“ Tak! Aku cuma datang...”
“ Jangan nak tipu aku, Anna! Bila kau nampak aku berjaya, kau datang cari aku sebab nak burukkan aku, kan? Kau nak ugut aku sebab kejadian 15 tahun lalu, kan?”
“ Anna!”
“ Aku tahu kau yang tinggalkan kertas berdarah itu! Kau nak buat aku takut! Kau... nak aku jatuh, kan?”
Aku tergamam. Apakah yang Emma maksudkan? Aku langsung tidak pernah menghantar sebarang surat layang kepadanya. Aku datang menemuinya hanyalah untuk mendapatkan permohonan maaf kepadanya. Maaf kerana telah mengabaikan diriku dahulu, menjadikan aku korban pengganti dirinya.
“ Kau tulis ‘15 tahun lalu’ dengan darah! Kau datang balik sebab nak balas dendam pada aku! Jangan bermimpi, Anna,” Emma tersenyum sinis, senyuman yang langsung tidak pernah kulihat sebelum ini. “ Kau tak akan berjaya. Lebih baik kau kembali ke tempat yang sepatutnya kau pergi.”
“ Emma! Aku tak buat semua tu! Aku tak pernah hantar apa-apa ugutan pada kau!” Aku naik marah.
“ Kalau bukan kau siapa lagi?” Emma memandangku dengan pandangan penuh keji. “ Cuma aku, kau dan ayah saja yang tahu pasal itu.”
Aku terdiam. Pada saat itulah baru aku sedar bahawa sudah lama aku tidak mendengar berita mengenai ayah. Selepas malam kejadian itu, aku langsung tidak mempedulikan ayah sehinggalah Emma menyebut mengenai ugutan itu. Tubuhku terasa menggigil. Aku dapat merasakan wajahku sudah pucat.
“ Emma... ayah...”
Pang!
“ Aduh!”
“ Emma!”
Emma ditolak jauh ke atas tanah oleh sebuah lembaga yang muncul secara tiba-tiba. Aku terundur ke belakang. Selepas beberapa ketika aku dapat melihat lembaga itu dengan jelas. Seorang lelaki yang sudah beruban rambutnya perlahan-lahan berpusing menghadapku. Aku tergamam. Lidahku kelu untuk berkata-kata.
“ A... ayah?”
Walaupun wajah itu sudah dimamah usia tetapi aku tahu lelaki itu adalah ayah. Mata ayah yang kelihatan merah beralih pandang daripadaku kepada Emma yang masih terlantar di atas tanah silih berganti. Sudah hampir 15 tahun aku tidak bersemuka dengan ayah dan aku langsung tidak mahu melihat walau bayang ayah sekalipun! Apa yang ayah lakukan kepada aku dan Emma dahulu tidak dapat dimaafkan. Cukuplah dengan sepak teranjang yang selalu kami terima. Ketika ayah ingin menjual salah seorang daripada kami dahulu, tindakan ayah sudah melampaui batas.
“ Bagus. Akhirnya, aku dapat jumpa kau berdua,” ayah bersuara dengan senyum sinisnya.
“ Apa yang kau buat kat sini?” Emma bangun dari tanah. Wajahnya bertambah merah, marah dengan tindakan ayah walaupun ada riak ketakutan pada wajahnya.
“ Aku? Apa aku buat kat sini?” Ayah ketawa besar. “ Anak-anak gadis aku dah berjaya malah seorang dah jadi pelakon. Bukankah aku patut terima ganjaran sebagai ayah kau berdua?”
Mendengarkan kata-kata ayah, rasa takutku apabila melihat ayah hilang. Apa? Ganjaran? Apakah sumbangan dan baktinya kepada kami berdua selain daripada hanya memegang pangkat sebagai bapa kandung kami semata-mata? Ayah tidak layak untuk mendapatkan apa-apa!
“ Baik ayah pergi sebelum saya panggil pengawal keselamatan di sini,” aku memberi amaran kepada ayah. Pertama kali aku berani bertindak sebegitu dalam hidupku. Jika dahulu aku langsung tidak berani melawan ayah dengan bersungguh-sungguh, hari ini adalah harinya.
“ Kau tak payah buat baik, Anna.”
Tuduhan Emma mengejutkan aku. Pantas aku menoleh kepadanya.
“ Apa maksud kau?” aku kehairanan.
Emma tersenyum sinis. “ Kau dah berpakat dengan ayah untuk ugut aku, kan? Memandangkan aku lebih berjaya daripada kau, daripada ayah, kau dan lelaki tak guna ni nak tumpang kekayaan aku, kan?”
Bibir aku ketap kuat. Geram dengan tuduhan tidak berasas Emma. Ini adalah kali pertama aku menemui ayah sejak peristiwa pada 15 tahun yang lalu. Bagaimana pula aku dapat merancang sesuatu dengan ayah sekiranya aku langsung tidak tahu dia masih hidup hingga hari ini? Malah aku langsung tidak berniat untuk mencari ayah, apatah lagi bersekongkol untuk berbuat jahat dengannya.
Aku tidak mahu menjadi seperti ayah.
“ Sanggup kau tuduh aku macam tu, Emma?” Aku terkilan. Amarahku cuba disabarkan sedaya upayaku. “ Aku langsung... langsung tak pernah berniat nak balas dendam atau apa-apakan kau. Walaupun...”
“ Walaupun apa?” Emma mencebik.
“ Walaupun kau tinggalkan aku dulu untuk gantikan tempat kau!”
Sudah 15 tahun kemarahan dan kekecewaan aku terhadap Emma membekas kesan kepadaku. Sehingga kini aku langsung tidak menyangka bahawa dia sanggup menjadikan aku korban untuk dia melepaskan diri. Aku tidak mahu berdendam dengan saudara kembarku sendiri tetapi aku tidak dapat melupakan bagaimana Emma dengan teganya berlari meninggalkan aku dahulu.
“ Sudah! Kau!”
Aku tergamam apabila melihat ayah tiba-tiba sahaja meluru ke arah Emma. Kedua-dua tangan ayah mencekik leher Emma yang turut sama terkejut dengan tindakan ayah. Emma cuba melepaskan diri daripada ayah tetapi semakin lama pergerakannya semakin perlahan. Aku berlari ke arah mereka untuk membantu Emma tetapi dengan pantas sebelah kaki ayah menendang tubuhku. Aku terduduk di atas tanah.
“ Kau... tunggu giliran kau lepas ni.” Ayah menyeringai. Senyumannya membuatkan wajah ayah kelihatan seperti menggila. “ Aku akan selesaikan kakak kau dulu kemudian... kau.”
“ Lepaskan Emma!” aku menjerit.
Aku ingin meminta tolong tetapi hanya ada kami bertiga sahaja di atas tebing tinggi ini. Ketika aku kalut ingin mencari bantuan, Emma seakan-akan berjaya mendapatkan tenaganya untuk melawan ayah kembali. Kakinya berulang kali menendang kaki ayah tetapi ayah tidak terusik walau sekalipun.
“ Kalau kau nak mati...” ayah ketawa lagi. “ Kita akan mati sama-sama.”
“ Aku tak akan mati dengan kau! Kau yang akan mati dulu!” Emma membentak. Sekali lagi dia menendang kuat kaki ayah. Kali ini ayah hilang keseimbangan sebelum jatuh ke tanah bersama-sama Emma.
“ Emma! Lari!”
Emma dan ayah kembali bergelut di atas tanah. Mereka berdua sudah bangun tetapi pergelutan itu membuatkan tubuh mereka kembali tidak stabil. Aku panik apabila menyedari kedua-dua Emma dan ayah sudah hampir dengan sempadan tebing tinggi itu.
“ Emma! Lari dari situ! Lari!”
“ Tidak!!!” ayah melaung lantas merentap tubuh Emma ke arahnya ketika Emma cuba mencuri peluang untuk lari dari kawasan itu.
“ Argh!”
“ Emma!”
Jeritan Emma dan ayah kedengaran sayup-sayup selepas beberapa ketika. Aku melihat ke bahagian bawah tebing itu tetapi aku langsung tidak dapat melihat Emma mahu pun ayah di situ. Aku ingin menjerit tetapi suaraku langsung tidak keluar. Tubuhku kaku di sempadan tebing tinggi tersebut sebelum bahuku ditarik ke belakang. Aku melihat wajah seorang lelaki yang asing denganku meletakkan tuala putih di sekelilingku.
“ Kenapa, Ema? Apa yang jadi? Apa... pakaian apa ni? Dari tadi saya cari tapi awak tak ada.”
Aku hanya mendiamkan diri sepanjang malam itu. Aku langsung tidak memperkenalkan diriku yang sebenarnya. Aku dianggap sebagai Ema Rosa si aktres muda. Lelaki yang menemuiku di tebing itu adalah Kyle Harris, seorang pengurus yang baru seminggu bekerja dengan Emma sejak pengurus pertamanya berhenti kerja.
Mayat ayah ditemui beberapa hari kemudian. Aku hanya mengatakan lelaki itu terjatuh ketika ingin mencapai topinya yang terbang dibawa angin. Mayat Emma langsung tidak ditemui malah sehingga hari itu, aku masih dengan identiti baharuku sebagai Ema Rosa.
Bukan niatku untuk menyamar sebagai Emma, tetapi aku tidak mahu diapa-apakan oleh sesiapa sahaja. Cukuplah aku menderita selama ini. Sampai bila aku harus berdiam diri sahaja?
Sebagai Ema Rosa yang baharu, aku diberi cuti untukku berehat dan memulihkan diri daripada kejutan yang kononnya kualami kerana menyaksikan lelaki tua itu, ayahku, jatuh dari tebing yang tinggi itu. Ibu dan bapa angkat Emma juga menganggap aku sebenarnya mengalami kejutan kerana aku tidak mengingati siapa mereka. Tetapi ibu dan bapa angkat Emma mengatakan mereka gembira kerana aku lebih mesra dengan mereka berbanding tempoh 15 tahun ‘aku’ tinggal bersama-sama mereka.
Selepas hampir dua bulan aku berehat, aku mendapat tawaran untuk membawa watak sampingan dalam sebuah drama. Walaupun aku langsung tidak mempunyai asas lakonan tetapi aku merasakan aku gembira pada setiap kali aku melakonkan watakku. Aku merasakan diriku bebas sebebasnya.
Nama Ema Rosa naik selepas aku berlakon sebagai seorang gadis buta dan bisu di dalam sebuah drama. Pengkritik memuji aku kerana berjaya membawa watak itu dengan berkesan. Sejak hari itu, tawaran untukku berlakon sebagai watak utama langsung tidak putus-putus.
Walaupun dalam kejayaanku sebagai aktres, tetapi aku tidak pernah berhenti memikirkan mengenai Emma.
Setahun selepas drama yang berjaya melonjakkan nama Ema Rosa dalam dunia seni, aku bertemu dengan Louis Ray dalam suatu majlis untuk meraikan filem terbaharuku. Louis hadir untuk memberi sokongan kepada sahabat baiknya Edward Jones yang memegang watak lelaki utama dalam filem itu. Sejak hari itu, aku selalu menemuinya di mana-mana majlis yang dihadiri kami berdua.
Louis terlebih dahulu menghulurkan salam perkenalan kepadaku. Aku ragu-ragu pada mulanya, apatah lagi mengenangkan statusnya sebagai bintang yang terkenal di serata dunia malah aku turut memikirkan Emma yang sehingga hari itu senyap tanpa khabar berita. Kerana keikhlasan Louis, aku menerima dirinya sebagai kekasihku. Walaupun jadual kami yang sentiasa sibuk tetapi kami akan tetap meluangkan masa untuk bertemu walaupun untuk masa yang sekejap. Pada masa itu, hidupku sudah semakin bahagia walaupun kerjaya sebagai aktres tetap memenatkan aku.
Sehinggalah pada suatu hari aku menerima surat ancaman daripada ER. Pada masa itu aku yakin penghantar surat itu adalah Emma.
Aku tidak risaukan reputasiku sebagai seorang aktres sebaliknya aku risaukan Emma. Walaupun Emma pernah mengkhianatiku dahulu tetapi dia masih kakak kembarku. Malah, bukankah aku juga mengkhianati dirinya dengan menyamar sebagai Ema Rosa?
Share this novel