Chapter 12

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 12

“ TAK ada petunjuk?”

Jimmy menggeleng. Wajahnya kelihatan kepenatan.

“ Sehingga kini tiada petunjuk ke mana Anna Rosalie Knowles dan Emma Rosalie Knowles menghilang. Jejak terakhir mereka hanyalah di hospital.”

Levi menggosok kepalanya yang langsung tidak gatal. Dia buntu memikirkan kehilangan Anna dari hospital dan juga Emma yang berjaya melepaskan diri daripada tahanan pihak polis. Hanya sekeping kertas kecil sahaja yang ditinggalkan oleh Anna di bawah bantal di dalam wad peribadinya.

Saya tak dapat lari daripada dia.

Jangan risaukan saya. Louis, teruskan hidup awak.

Maafkan saya.

Memo itu sudah disahkan ditulis oleh Anna sendiri oleh Louis dan juga pengurusnya. Isi memo itu menganggu tumpuan Levi terhadap kehilangan Anna. Adakah Anna dengan rela hati mengikut Emma lantaran rasa bersalah yang ditanggungnya kerana menyamar sebagai Ema Rosa sejak empat tahun yang lalu? Atau Emma yang memaksa Anna untuk mengikutnya pergi, hilang dari dunia ini?

Pada malam Levi menyoal siasat Anna, gadis itu mengatakan sudah banyak kali Emma menghantar ugutan kepadanya tetapi kerana sayangkan Emma, Anna tidak mahu melakukan apa-apa laporan kepada pihak polis. Dia membiarkan sahaja Emma dengan ugutannya. Sehinggalah pada malam MUSE Music Awards itu berlangsung. Anna langsung tidak menyangka Emma tergamak memperlakukan dirinya sebegitu.

Anna juga ada menyebut, Emma hanya akan memaafkan diri Anna sekiranya Anna memilih untuk hilang dari dunia ini. Levi tidak tahu apakah maksud sebenar Anna. Tetapi yang pasti pilihan itu bukanlah sesuatu yang baik.

Sebelum Levi yakin dengan keputusannya untuk menahan Emma pada malam itu, Vanness datang dengan suatu berita kepadanya. Peter Knowles telah meninggal dunia pada empat tahun yang lalu akibat lemas di laut. Selepas siasatan yang lebih terperinci, ianya didedahkan bahawa aktres Ema Rosa adalah saksi kepada kejadian lemas itu.

Sudah hampir empat bulan berlalu sejak kehilangan Anna dan Emma yang bagaikan angin lalu. Banyak laporan diterima mereka tetapi tiada satu pun laporan yang tepat. Walaupun Anna dan Emma adalah aktres Ema Rosa yang terkenal tetapi tiada seorang pun yang benar-benar menemui mereka. Mereka bagaikan hilang dibawa angin lalu. Hilang tanpa sebarang jejak.

Louis pula seakan-akan tidak dapat menerima kehilangan Anna. Sejak Anna menghilang, Louis menyibukkan dirinya dengan jadual kerjanya sehingga rayuan Levi dan bapa mereka agar Louis berehat tidak diendahkan oleh adik lelakinya itu. Louis benar-benar patah hati dengan tindakan Anna. Mendengar nama Anna atau Ema Rosa sahaja pun akan membuatkan wajah itu muram.

Tetapi, Louis tetap berharap agar gadis itu akan kembali.

“ Dia akan kembali. Saya percayakan dia.”

Itu adalah kata-kata Louis setiap kali Levi dan bapa meminta Louis memikirkan mengenai dirinya.

Levi merasakan masih ada misteri mengenai saudara kembar Rosalie itu yang masih belum diketahui olehnya. Sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh Anna mahu pun Emma sebelum ini. Tetapi bagaimana dia dapat merungkai misteri itu sekiranya dia masih belum menemui Anna dan Emma?

Dia tidak akan berputus asa. Selagi kelibat Anna dan Emma masih belum ditemui, dia tidak akan berhenti mencari.

Sehinggalah dia yakin bahawa mereka berdua tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.

Tidak semua misteri di dunia ini ada jalan penyelesaiannya.

Akan ada walau satu pun misteri yang akan kekal misteri.

Walaupun pelbagai jalan diukir bagi menuju ke pengakhiran misteri itu.

- The End –

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience