Chapter 11

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 11

SUASANA dalam wad peribadi yang menempatkan Anna sepi selepas hampir dua jam dia bercerita kepada Louis mengenai hidupnya sebelum ini. Anna melarikan pandangan daripada wajah Louis. Dia tidak berani untuk menatap wajah itu. Kini, Louis sudah tahu segala-galanya mengenai dirinya dan juga keluarganya. Cerita yang sama diceritakan kepada Levi sebelum ini.

“ ...Anna?”

Anna memejamkan matanya. Terasa air bergenang di matanya. Kepalanya ditundukkan sahaja ke bawah, merenung selimut yang berada pada bahagian kakinya. Dia sebenarnya tidak sanggup untuk mendengar kata-kata Louis selepas ini.

Bagaimana kalau Louis memanggil dia penipu? Anna tidak kisah sekiranya satu dunia memanggilnya sedemikian tetapi bukannya Louis. Selama tiga tahun mereka bercinta, Anna tidak pernah walau sekalipun menipu perasaannya terhadap Louis. Dia amat sayangkan Louis.

Anna membuka matanya perlahan apabila menyedari tangan Louis masih menggenggam erat kedua-dua tangannya. Mata Louis juga tidak lari daripada wajahnya. Wajah itu tidak menzahirkan apa-apa yang berunsur kecewa. Sebaliknya Louis kelihatan risau.

“ Awak Ema Rosa yang saya kenal, walaupun awak bukannya Ema Rosa yang sebenar-benarnya. Saya tak nak awak salahkan diri awak. Ya, awak menyamar sebagai Ema Rosa sedangkan kakak kembar awak Ema Rosa yang sebenarnya tapi bagi saya, awak tetap Ema Rosa yang saya kenal. Yang saya sayang selama ini.”

Setitik air mata Anna mengalir daripada matanya menuruni lekuk pipi. Dia kehilangan kata-kata. Louis ikhlas dengan kata-katanya tetapi dia tetap ragu-ragu. Dia sudah menipu lelaki itu selama ini. Bolehkah hubungan mereka akan pulih seperti biasa?

“ Tak apa, Anna.” Louis tersenyum nipis. “ Awak rehat dahulu. Esok kita sambung lagi, ya?”

Perlahan-lahan Anna mengangguk. Suaranya tidak keluar. Air matanya mengalir lagi ketika Louis mengucup dahinya. Anna letih. Dia teramat letih. Apa yang berlaku sejak peristiwa di MUSE Music Awards tempoh hari sehingga kini membuatkan seluruh tenaganya hilang. Apatah lagi selepas bersemuka dengan Emma sendiri.

“ Selamat malam,” ucap Louis perlahan.

Anna mengangguk lagi. Louis membantu dia berbaring di atas katil dan menyelimutkan Anna sehingga paras dadanya. Lampu tidur yang berada di sebelah katil Anna dimalapkan cahayanya. Tidak lama kemudian Louis keluar dari wad itu.

Anna mengiring menghadap tingkap wad. Matanya merenung ke luar, melihat kepada langit malam. Memikirkan Emma yang kini berada di lokap polis. Abang Levi sendiri yang membawa Emma ke balai polis untuk soal siasat. Apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Emma?

Sewaktu bercakap dengan Abang Levi tadi, Anna bertanya bagaimana Levi boleh yakin bahawa gadis yang ditemuinya di hospital secara tiba-tiba itu adalah Emma Rosalie, bukannya Anna Rosalie? Wajah mereka yang amat mirip membuatkan akan ada orang keliru, apatah lagi mereka yang tidak rapat dengan diri mereka berdua.

Abang Levi mengatakan dia mengesahkan perkara itu selepas meneliti bahagian bawah telinga Emma ketika mereka bertemu secara tidak sengaja di hospital itu. Apabila ragu-ragu melihatkan ketiadaan tanda yang mampu membezakan mereka, Abang Levi menelefon Kyle untuk bertanya mengenai Ema Rosa sejak awal kemunculannya dahulu dalam dunia seni.

Sebelum Kyle menjadi pengurus Ema Rosa, ada pengurus lain yang bekerja untuk aktres muda itu. Kyle memberitahu perangai Ema terhadap pengurusnya langsung tidak seperti peribadi Ema Rosa yang dikenalinya. Ema Rosa dahulu seorang aktres yang amat memilih wataknya, tidak mahu membawa watak kecil-kecilan dan agak berlagak. Disebabkan pada masa itu masih belum ramai yang mengenali Ema Rosa, tidak banyak berita tidak enak mengenai Ema Rosa keluar di media massa. Malah, peminat Ema Rosa juga hanya segelintir sahaja pada masa itu.

Sehinggalah selepas pengurus itu berhenti dan digantikan dengan Kyle. Kyle juga mengesahkan perkara itu, mengatakan pada minggu pertama dia berkhidmat untuk aktres itu, dia dapat melihat sikap aktres itu agak hidung tinggi walaupun tidak keterlaluan. Kemudian, pada suatu hari Kyle menemui Ema Rosa di atas tebing tinggi yang berada di pantai. Aktres itu kelihatan ketakutan dan mengatakan ada orang terjatuh dari tebing tinggi. Sejak itu, Ema Rosa seakan-akan berubah sikap. Menjadi lebih baik dan bertimbang rasa, berbeza dengan awal perkenalan mereka.

Kyle tidak tahu bahawa Ema Rosa yang dikenalinya dahulu adalah tidak sama dengan Ema Rosa yang ditemuinya di tebing tinggi itu.

Angka sudah mencecah 3:30 pagi tetapi Anna masih belum dapat melelapkan dirinya. Anna bangun daripada katil dan menyarungkan kardigan yang terletak di kepala kerusi. Perlahan-lahan dia keluar dari wad itu. Tiada walau seorang pengawal pun berada di hadapan pintu wad. Nampaknya selepas Emma ditangkap, Abang Levi telah memanggil balik anggota-anggota bawahannya. Para wartawan juga sudah beransur tiada.

Dengan langkah yang perlahan Anna menuju ke bahagian hujung bangunan hospital itu. Dinding kaca yang tinggi membolehkan dia melihat pemandangan di luar hospital. Suasana di luar hospital agak kelam. Hanya ada lampu jalan sahaja yang menerangi kawasan itu. Tempat letak kenderaan juga hampir kosong. Barangkali hanya ada kenderaan pada doktor dan petugas di hospital ini sahaja.

Mata Anna melekat kepada bulan di dada langit. Kedua-dua tangannya ditautkan rapat dan dibawa ke dadanya. Pelbagai perkara sedang bermain di dalam fikirannya kini. Dia ragu-ragu tetapi dia perlu melakukannya. Dia perlu kuatkan semangatnya.

Bunyi tapak kaki sedang berjalan ke arahnya membuatkan Anna menjatuhkan matanya daripada dada langit. Dia merenung pula kepada dataran kosong di luar hospital. Walaupun dia tidak menoleh ke belakang, dia tahu siapakah manusia yang sedang berdiri memerhatikannya itu.

“ Kau muncul balik?”

Tawa sinis seorang gadis kedengaran.

“ Kau dan aku... sampai bila-bila tak akan dapat berpisah.”

Anna mengeluh.

“ Berikan aku masa sekejap. Aku perlu uruskan sesuatu.”

“ Jangan lama sangat.”

Anna mengangguk perlahan.Wajah Louis terbayang di hadapan matanya. Air matanya ingin menitis lagi. Malah kali ini mungkin akan lebih lebat daripada sebelumnya.

“ Selamat tinggal, Louis.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience