Chapter 6

Mystery & Detective Completed 7294

BAB 6

PANGGILAN telefon daripada Jimmy membuatkan Levi dan Vanness bergegas ke hospital selepas pertemuan mereka dengan Puan Niven. Pihak media sudah tahu Louis berada di hospital itu. Kebanjiran wakil-wakil media massa membuatkan pihak polis dan anggota keselamatan hospital itu mengalami kesukaran untuk menghalang mereka daripada menyerbu masuk ke dalam hospital.

“ Macam mana mereka boleh tahu?”

Levi merungut. Selesai satu masalah, masalah lain pula yang timbul.

Vanness ketawa hambar. “ Kau jangan fikir mereka tak akan dapat jejak Louis. Walaupun Louis terbang ke negara lain, mereka tentu ada cara untuk jejak Louis.”

Levi mengeluh berat. Sudahlah dia masih belum hilang dengan kejutan yang Puan Niven berikan kepadanya tadi. Satu demi satu kepingan jigsaw yang melibatkan Ema dengan kes ini disusun dengan rapi dalam fikirannya. Hanya tinggal beberapa perkara sahaja lagi yang perlu diselesaikan olehnya.

Setibanya mereka di hospital, Vanness meletakkan kereta jauh dari kawasan pintu hadapan hospital yang menjadi tempat para wartawan berkumpul. Nampaknya kekecohan yang diberitahu oleh Jimmy tadi sudah terkawal. Mungkin para wartawan itu tidak mahu dikenakan tindakan kerana menganggu kawasan hospital.

“ Masuk dari pintu belakang?” Vanness bertanya.

Levi menggeleng. “ Aku fikir ada wartawan juga di sana. Kita masuk saja dari pintu hadapan. Berlakon seperti kita pelawat di hospital ini.”

Pantas Vanness mengangguk. Levi dan Vanness berjalan beriringin menuju ke pintu masuk hospital. Wartawan-wartawan itu sedang sibuk dengan telefon peribadi dan kamera masing-masing. Tidak ketinggalan juga dengan perakam suara di tangan. Masih ada beberapa orang pengawal keselamatan berada di situ, memastikan kumpulan wartawan itu tidak bertindak melampaui batas.

Levi dan Vanness segera menuju ke wad peribadi yang menempatkan Louis. Anak-anak buah Levi masih berada di situ. Masing-masing menampilkan wajah kelegaan selepas ternampak kehadiran Levi. Levi menjangka kumpulan wartawan itu masih belum tiba di wad Louis tadi.

“ Mereka tak sampai di sini?” Levi bertanya.

Danny mengangguk. “ Nampaknya ada orang berikan maklumat palsu kepada mereka. Mereka menuju ke sayap utara hospital sedangkan wad Encik Ray di sayap timur. Sehingga kini mereka masih tak dapat jejak Encik Ray. Anggota keselamatan hospital berjaya kerahkan mereka untuk keluar dari dalam hospital.”

“ Ada apa-apa yang mereka dah lakukan?”

Danny tersengih. “ Mereka menganggu perjalanan dua pesakit untuk pembedahan penting. Nasib baik tiada apa-apa yang buruk berlaku pada pesakit-pesakit tu.”

“ Baiklah, terima kasih semua.”

Levi masuk ke dalam wad Louis manakala Vanness duduk di luar bersama-sama anak-anak buahnya. Senyuman Levi tercetus apabila melihat Louis sedang membaca majalah sambil bersandar pada kepala katil. Pengurus Louis, Kurt Wilde, sedang duduk di kerusi yang bersebelahan dengan katil Louis. Kurt bangun daripada duduknya, menegur Levi yang masuk ke dalam wad itu.

Kurt Wilde tahu akan identiti sebenar Levi sebagai abang kandung Louis Ray. Sudah beberapa kali mereka berdua bertemu sebelum ini. Levi amat berterima kasih kepada Kurt yang menjaga kebajikan adiknya dengan baik sekali. Kurt tidak bertindak sebagai pengurus Louis dengan sambil lewa. Jika Louis mempunyai apa-apa masalah, dengan segera Kurt membantunya untuk menguruskan masalah itu walaupun Kurt akan dipanggil oleh agensi Louis kerana bertindak tanpa mengikut arahan agensi.

“ Kamu dah lama sampai?” Levi bertanya. Kurt mengangguk.

“ Kami dah jangka pihak media akan terus ke sini bila mereka tahu di mana Louis ditempatkan. Apa yang penting, tiada apa-apa terjadi. Mereka tidak tahu Cik Ema Rosa pernah ditempatkan di sini.”

“ Ada apa-apa maklumat mengenai Cik Rosa? Dia ada hubungi pengurus atau agensinya?”

Kurt menggeleng. “ Mereka betul-betul terputus hubungan dengan Cik Rosa. Saya ada hubungi Encik Harris, mereka masih cuba menjejaki Cik Rosa.”

Levi menghela nafas. Ke manakah Ema menghilang?

Kurt keluar dari wad itu untuk memberi privasi kepada Levi dan Louis. Pintu wad ditutup rapat. Levi mengambil tempat di kerusi yang menjadi tempat duduk Kurt tadi. Louis menutup majalah yang dibacanya lalu diletakkan di atas meja kecil di sebelah katil. Wajah abangnya dipandang.

“ Abang dari mana?”

“ Dari rumah anak-anak yatim tempat Ema tinggal dahulu.”

Louis mengangguk perlahan. Wajahnya kelihatan berserabut. Nampaknya kehilangan Ema membuatkan Louis tidak senang duduk. Yalah, kekasih hati tiba-tiba sahaja menghilangkan diri pada saat mata-mata media berada di mana-mana sahaja untuk mengerumuni mereka demi mendapatkan maklumat mengenai kes yang berlaku itu. Gara-gara menjadi buruan media, Ema seakan-akan pelarian daripada kem tahanan. Entah bagaimanalah nasib gadis itu sekarang.

“ Apa yang abang tahu? Ada apa-apa yang boleh membantu?” Louis bertanya lagi.

Levi mendiamkan diri seketika. Mindanya masih mencongak sama ada dia beritahu mengenai apa yang didengari daripada Puan Niven kepada Louis sekarang juga atau pun dia perlu menunggu sehingga Ema ditemui. Tetapi sampai bila dia harus menunggu? Levi sendiri tidak tahu sekiranya Ema akan ditemui dalam masa terdekat. Ema hilang dibawa angin lalu.

“ Abang…”

Levi diam lagi. Patutkah dia beritahu Louis sekarang? Bagaimana kalau Louis akan bertambah risaukan Ema? Levi tidak mahu keadaan adiknya akan bertambah buruk. Sudahlah Louis masih belum pulih dengan sebenarnya. Seboleh-bolehnya Levi tidak mahu membimbangkan Louis.

“ Abang, kalau abang fikirkan pasal keadaan saya, tolong beritahu.”

Bagaikan dapat membaca fikiran Levi, Louis memberitahu dengan wajah yang tegas.

Bukannya sehari dua Louis kenal abang sulungnya itu. Louis yakin Levi ada berita yang tidak menyenangkan untuknya. Disebabkan itulah Levi teragak-agak untuk memberitahunya. Louis sudah teramat kenal abangnya itu.

“ Louis fikir Louis sedia untuk dengar apa-apa sahaja pasal Ema?” Levi menduga.

Louis mengangguk. Pandangan matanya tidak dilepaskan daripada wajah abangnya.

“ Apa-apa sahaja?” Sekali lagi Levi bertanya.

“ Abang,” Louis bersuara. “ Tak semua perkara yang kita fikir baik untuk disembunyikan, elok biarkan sahaja tanpa orang tahu. Ada kalanya perkara itulah yang penting untuk kita dedahkan.”

Levi menghela nafas. Louis sudah kelihatan bersungguh-sungguh benar untuk tahu mengenai pertemuannya dengan Puan Niven tadi.

“ Baiklah. Abang cerita, tapi abang harap Louis akan bertenang. Dengar dahulu apa yang abang nak beritahu ni.”

Louis mengangguk. Dia dapat merasakan debaran pada dadanya tetapi Louis cuba mengawal riak pada wajahnya. Walau apapun yang abangnya akan beritahu selepas ini, dia harus menerimanya. Dia yakin abangnya menemui apa yang tidak pernah diketahui olehnya selama ini mengenai Ema.

“ Dah sedia?”

Kepalanya diangguk perlahan. Perhatian Louis tertumpu sepenuhnya kepada Levi.

“ Baiklah. Abang mulakan.”

Levi menarik nafas lalu dihembuskan perlahan. Cuba diingati kembali bagaimana Puan Niven membuka cerita mengenai Ema dahulu. Ketika Ema tiba-tiba sahaja muncul di rumah anak-anak yatim itu.

“ Apa yang abang nak beritahu ni, berkait rapat dengan Ema dan sebab kenapa dia tinggal di rumah anak-anak yatim itu. Louis tahu kan, tiada rekod pasal keluarga Ema sebelum dia tinggal di rumah anak-anak yatim?”

Louis mengangguk. “ Tiada siapa tahu kenapa dia ada di situ.”

“ Sebenarnya, rekod pasal Ema sebelum ini ada. Cuma rekod itu dirahsiakan atas permintaan keluarga angkat Ema. Puan Niven, pengetua rumah anak-anak yatim itu juga bersetuju. Bagi mereka, itu adalah jalan yang terbaik bagi melindungi Ema.”

“ Melindungi Ema?” Louis kehairanan. “ Apa maksud abang?”

Levi mengeluh. Dia cuba mengukir senyum walaupun terasa senyumannya hambar sahaja.

“ Pada malam Ema muncul di rumah anak-anak yatim itu, Puan Niven kata, tubuh Ema penuh dengan luka-luka dan kesan lebam. Ema diam sahaja masa Puan Niven tanya pasal identiti sebenar dia, dari mana dia berasal.”

Wajah Louis berubah terkejut. “ Maksud abang… Ema didera?”

Levi mengangguk perlahan.

“ Puan Niven cuba cari rekod mengenai Ema dengan sistem kerajaan, tapi malangnya dia tak jumpa apa-apa. Apatah lagi Ema tak beritahu nama sebenarnya masa itu. Tiada langsung petunjuk pasal diri dia. Sehinggalah suatu hari, Puan Niven terjumpa tanda nama Ema pada pakaian yang dia pakai pada malam itu.”

“ Bila Puan Niven tanya Ema pasal keluarga dia lagi,” Levi menyambung. “ Ema nampak takut-takut. Puan Niven yakin Ema adalah mangsa penderaan kanak-kanak. Puan Niven cuba lagi cari rekod mengenai Ema, tapi lagi sekali dia tak jumpa apa-apa. Puan Niven kata, mungkin bapa Ema tak daftarkan kelahiran Ema dahulu.”

“ Ada juga kes macam tu? Tak mustahil?”

“ Tak. Memang ada kes seperti ni. Biasanya sebab ibu bapa kanak-kanak itu tidak pedulikan anak mereka. Itu tidak termasuk dengan kes-kes lain seperti mereka memang sengaja ingin rahsiakan mengenai kelahiran itu.”

“ Jadi, apa yang berlaku pada Ema lepas tu?” Louis bertanya lagi, kembali kepada perkara yang melibatkan Ema.

“ Puan Niven kata, ibu bapa angkat Ema ada mengupah detektif persendirian untuk menyiasat pasal latar belakang Ema, cuba cari apa-apa sahaja mengenai keluarga Ema sebelum ini. Walaupun banyak kali siasatan ini gagal, tapi akhirnya detektif tu jumpa bapa Ema.”

“ Maksudnya, keluarga angkat Ema rahsiakan hal ini daripada Ema? Mereka jalankan siasatan tanpa pengetahuan Ema?”

Anggukan Levi membuatkan Louis terdiam. sudah beberapa kali dia bertemu dengan ibu dan bapa angkat Ema. Kedua-duanya kelihatan amat menyayangi Ema malah kehadirannya sebagai kekasih Ema juga diterima dengan baik oleh mereka berdua. Sering kali juga mereka makan bersama-sama sekiranya mereka berpeluang dan ada masa. Ibu bapa Ema berada di luar negara sekarang. Louis mendapat tahu daripada pengurus Ema bahawa mereka berdua amat terkejut dengan berita yang melibatkan Ema baru-baru ini.

“ Ibu bapa angkat Ema dan Puan Niven tak pernah buka cerita atau tanya pasal ibu bapa kandung Ema. Apatah lagi selepas mereka tahu apakah yang berlaku pada Ema dulu.”

“ Apa lagi yang abang tahu?” tanya Louis agak tidak sabar. “ Apa lagi yang Puan Niven tahu?”

“ Louis, bertenang.” Levi cuba menenangkan adiknya. Levi tahu Louis semakin risaukan Ema, apatah lagi apabila dikhabarkan dengan berita yang tidak pernah diketahui olehnya selama ini. “ Abang akan beritahu semuanya pada Louis, apa sahaja yang abang tahu.”

Louis mengangguk. Wajahnya kelihatan keruh.

“ Puan Niven beritahu, bapa kandung Ema ada banyak rekod jenayah. Ibu kandung Ema pula meninggal masa dia berumur 5 tahun, katanya disebabkan penderaan oleh bapanya juga. Penduduk kawasan tempat tinggal Ema dahulu memang kenal dengan sikap bapa kandung Ema, mereka tidak berani buat apa-apa walaupun tahu Ema didera hampir setiap masa oleh bapanya.”

“ Mereka tahu ada budak kena dera dengan lelaki tu? Mereka tak buat apa-apa?” Louis melahar marah.

Levi mengangguk. “ Mereka tinggal di kawasan penduduk miskin, Louis. Pegawai awam juga jarang ke sana. Puan Niven kata kawasan itu memang teruk. Dia tidak sangka ada juga orang tinggal beramai-ramai di kawasan seperti itu. Di kawasan tu juga ada gudang-gudang lama terbiar.”

“ Tempat itu ada lagi ke?”

“ Masih ada. Kerajaan bangunkan tempat itu sebagai kawasan perindustrian. Khabarnya penduduk-penduduk di sana ramai yang bekerja di kilang-kilang yang dibangunkan itu.”

“ Bagaimana dengan lelaki tu?”

Tidak layak rasanya Louis bahasakan lelaki itu sebagai bapa kandung Ema.

“ Hilang. Dia hilang lepas setahun Ema lari daripadanya. Cuma, ada sesuatu yang menghairankan abang.”

“ Hairan? Ada apa-apa lagi ke?” Louis merasakan dia sudah tidak mampu untuk menerima berita ini. Demi Ema, dia gagahkan juga hatinya.

Levi mengangguk. “ Berdasarkan maklumat penduduk-penduduk di sana, Ema ada seorang adik. Mereka kata, pada malam sebelum Ema larikan diri, bapa Ema bawa Ema dan adik dia ke salah satu gudang terbiar itu. Biasanya tempat tu dijadikan tempat perjudian haram. Pada keesokan harinya, mereka kata Ema hilang tanpa dapat dikesan tapi adik Ema masih ada lagi.”

“ Beberapa hari selepas itu, adik Ema turut hilang. Pada masa yang sama, bapa Ema kelihatan bermewah-mewahan. Ada penduduk yang kata, adik Ema dijual kepada sindiket haram. Ada juga yang kata, adik Ema dijadikan barang taruhan bapa Ema masa berjudi. Kemudian, dia hilang secara tiba-tiba. Penduduk kawasan itu kata bapa Ema lari daripada lintah darat.”

Louis mendiamkan diri. Cuba mencerna dengan baik setiap perkataan yang abangnya ucapkan. Suatu kenyataan yang benar-benar mengejutkan dirinya. Dia tidak menyangka Ema mengalami masa silam yang menakutkan. Selama ini Louis fikir kedua-dua ibu bapa kandung Ema meninggal dunia, sebab itulah dia diambil sebagai anak angkat oleh keluarga yang lain.

“ Abang tahu pasal adik Ema?” Perlahan Louis bertanya. Matanya jatuh kepada selimut putih yang masih menyelimuti kedua-dua kakinya.

Levi menggeleng. “ Abang langsung tak ada maklumat pasal adik Ema. Jantina, nama sebenar, semuanya abang tak tahu.”

“ Ada kemungkinan lelaki tu… ayah Ema yang jerat dia dalam kes ni?” Louis kembali merenung kepada abangnya.

Levi kelihatan tergamam dengan apa yang keluar daripada mulut Louis. Keningnya bertaut, kehairanan.

“ Kenapa Louis tanya macam tu?”

“ Ada kemungkinan, kan?” Louis menduga. “ Mungkin lelaki tu nak balas dendam sebab Ema tinggalkan dia dahulu. Abang tak boleh tolak kemungkinan itu. Bukankah ada banyak kes macam ni? Motif sama cuma sebab kenapa perkara macam ni jadi sahaja berbeza. Lagipun Ema aktres popular sekarang.”

Levi tidak dapat menafikan kata-kata Louis. Ada kebenaran pada setiap perkara yang Louis katakan itu.

“ Sampai sekarang kita tak tahu di mana ayah dia berada. Tak apalah. Abang akan siasat hal ini. Abang pun terkejut dengan apa yang Puan Niven beritahu tadi. Puan Niven pesan, jangan sampai media tahu pasal ini. Dia beritahu abang tadi pun sebab fikir mungkin benda ni dapat tolong kita selesaikan kes ini.”

“ Apa yang abang nak siasat lepas ni?” tanya Louis.

“ Abang akan ke tempat tinggal Ema dahulu. Mungkin ada petunjuk di sana, atau penduduk yang masih ingat pada mereka. Tapi apa yang penting, abang harap pihak polis akan dapat berita mengenai keberadaan Ema sekarang. Abang risau kalau ada apa-apa terjadi pada dia.”

Louis terdiam. Wajahnya ditundukkan. Fikirannya buntu memikirkan Ema yang tidak diketahui keberadaannya. Selamatkah gadis itu? Tidak sihatkah dia? Adakah dia dapat makan dengan cukup? Tidak sejukkah dia dalam cuaca malam?

“ Abang, tolong cari Ema,” Louis bersuara separuh merayu.

“ Abang akan tolong Louis. Abang akan cari Ema.”

Louis mengangguk perlahan. Dia merasakan dia seorang lelaki yang tidak berguna, yang lemah. Sewaktu gadis yang disayanginya berada dalam kesusahan seperti ini, dia hanya mampu mendengar berita sambil terbaring di katil hospital. Sudah berkali-kali dia menahan dirinya daripada turut sama lari dari hospital, keluar mencari Ema. Tetapi tindakannya itu tidak dapat membantu dalam pencarian Ema, malah menyukarkan lagi keadaan.

“ Louis rehatlah. Abang perlu pulang ke balai. Kalau ada apa-apa hal, abang akan terus hubungi Louis. Jangan risau, okey?”

Louis mengangguk lagi. Perlahan bahu kanannya ditepuk Levi sebelum abangnya keluar dari wad itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience