BAB 8
“ KAU okey?”
Vanness menoleh kepada Levi yang duduk mendiamkan diri di sebelahnya. Vanness menawarkan diri untuk memandu kereta Levi dalam perjalanan mereka kembali ke bandar. Tanpa banyak soal Levi bersetuju sahaja. Fikirannya sedang kusut dengan setiap cerita yang didengarinya mengenai keluarga Ema.
“ Aku buntu, Vanness. Aku rasa kunci penting pada kes ini adalah pada malam Ema larikan diri dan juga pada malam Anna hilang secara tiba-tiba. Mungkin kejadian yang berlaku 20 tahun lalu menjadi penyebab Ema dikambinghitamkan dengan kes ini.”
“ Kau fikir Anna dalangnya?”
Levi menjongketkan bahunya. “ Aku hanya syak sahaja. Entah mengapa, Anna tiba-tiba sahaja muncul dalam siasatan kita malah mereka kata Ema dan Anna itu kembar seiras. Rakaman CCTV yang pernah aku tengok sebelum ini benar-benar mirip wajah Ema. Walaupun aku tak menolak kemungkinan ada orang menyamar sebagai Ema.”
Pandangan Levi dilontar ke luar cermin kereta. Jalan raya lengang dengan kenderaan. Mereka baru sahaja keluar dari kawasan pekan itu, menuju ke bandar. Malam sudah menjengah tiba. Anak bulan kelihatan pada dada langit. Langit malam di kawasan luar bandar itu dilatari dengan bintang-bintang yang bergermelapan.
“ Ini dah macam filem,” getus Vanness. “ Kalaulah betul Anna muncul untuk balas dendam sebab apa yang terjadi dulu, kita perlu siasat apakah yang berlaku sampai mereka bermusuhan. Pastinya ada sesuatu yang menyebabkan Anna berdendam dengan kakak kandungnya.”
Levi mengangguk perlahan. “ Tapi hanya Ema, Anna dan Encik Knowles sahaja yang tahu apakah yang berlaku dahulu. Kenapa Ema lari? Kenapa Anna hilang secara misteri. Hanya mereka bertiga sahaja yang tahu. Melainkan ada saksi kejadian itu.”
“ Susah juga kita nak cari kalau betul ada saksi. Tambahan lagi kes ini berlaku hampir 20 tahun yang lalu. Penduduk yang tinggal di pekan itu ada yang berpindah keluar, ada yang masih menetap di situ. Lagipun aku tak fikir Encik Knowles ada sahabat baik di pekan tu.”
“ Encik Williams pun kata macam tu. Encik Knowles tak ada kawan, dia hanya ada musuh dan orang-orang yang takut dengan dirinya. Jika ada pun, aku fikir kawan-kawan dia pun sama sahaja seperti dia.”
“ Tak apalah,” kata Vanness, cuba menenangkan Levi. “ Aku akan periksa balik rekod pasal Peter Knowles. Mungkin ada maklumat yang aku terlepas pandang. Kau tumpukan sahaja pada kes Ema. Aku yakin kau boleh bongkar apa yang berlaku 20 tahun yang lalu. Cuma kau kena sabar sikit, ini bukannya kes yang biasa.”
Levi mengangguk perlahan. Tiada hati untuk membalas kata-kata Vanness.
Mereka berdua tiba di balai polis ketika jam hampir mencecah tengah malam. Jimmy dan Rachel masih menelaah kerja mereka manakala Joe sudah tertidur di atas meja kerja. Levi menyuruh Jimmy dan Rachel agar berehat sahaja untuk malam ini. Dia sendiri mahu berehat sahaja, memulihkan kembali fikirannya yang kusut.
“ Apa yang kau nak buat esok?”
Vanness menghulurkan secawan kopi panas kepada Levi yang sedang duduk bersandarkan sofa. Dia duduk di hadapan Levi. Vanness baru kembali dari pantri untuk membuat kopi.
Huluran Vanness disambut. Haruman kopi menusuk hidung Levi, terasa menyegarkan mindanya buat seketika. Kopi panas itu diminum sedikit sebelum Levi menjawab pertanyaan Vanness. Vanness turut menghirup kopi buatannya itu.
“ Kalau benar kes ini melibatkan Anna, besar kemungkinan Ema dan Anna akan bertemu di tempat yang menyimpan kenangan untuk mereka. Tambahan lagi jika ianya melibatkan dendam. Jika tidak pun, Ema pastinya tahu di mana dia dapat mencari Anna.”
“ Maksud kau, Ema sengaja melarikan diri dari hospital untuk pergi mencari adik kembarnya?”
Levi mengangguk. “ Ada kemungkinan Ema tidak diculik.”
Vanness mengeluh. Dia menghabiskan baki kopi yang bersisa dalam cawan. Walaupun dia tidaklah sepenat Levi, tetapi fikirannya juga terasa kusut dengan apa yang didengarinya daripada penduduk-penduduk pekan yang mengenali keluarga Ema itu tadi.
“ Tak apalah, esok kita rangka balik rancangan kita. Kau nak berehat kat balai? Tak nak balik rumah?”
“ Aku dah tak larat nak balik. Lagipun aku ada pakaian bersih untuk esok. Kau nak pulang ke rumah?”
Vanness mengangguk. Dia mengambil cawan Levi yang sudah tiada sisa kopi buatannya. Vanness ingin membawa cawan-cawan itu ke pantri.
“ Bising pula isteri aku kalau aku tidur di balai lagi. Esok aku jumpa kau. Selamat malam.”
“ Terima kasih, Vanness.” Levi tersengih.
Vanness ketawa perlahan. “ Apa-apalah kau.”
Sebaik sahaja Vanness keluar dari ruang berehat di balai polis itu, Levi segera merebahkan tubuhnya di sofa panjang itu. Matanya merenung siling yang kelihatan sudah lama tidak dibersihkan itu. Kebanyakan lampu di dalam balai polis ini sudah dipadamkan. Hanya beberapa buah lampu sahaja yang masih terpasang.
Levi cuba memejamkan matanya, memaksa dirinya untuk tidur tetapi fikirannya menerawang kepada Ema dan juga Anna Rosalie Knowles yang dikatakan mempunyai wajah yang amat seiras dengan Ema. Ianya tidak mustahil kerana mereka berdua kembar seiras. Adakah benar Anna berdendam dengan Ema? Tetapi, apakah yang terjadi sehingga adik kembar Ema menyimpan dendam terhadapnya?
Pada keesokan hari, Levi perlu berusaha dengan lebih lanjut lagi mengenai misteri yang masih belum terbongkar ini. Dia juga perlu mengerahkan anak-anak buahnya agar lebih giat lagi menjejak Ema. Selagi Ema tidak dijumpai, selagi itulah Levi tidak akan senang duduk. Dia risaukan keselamatan Ema.
DENGAN kerjasama Kyle, Levi dan Vanness berjaya masuk ke dalam kediaman Ema tanpa dikesan oleh kumpulan wartawan yang sedang berkumpul di hadapan kediaman itu. Walaupun ada anggota polis berada di situ, tetapi Levi tidak mahu menjadi sasaran wartawan tersebut sebagai kaunter pertanyaan mengenai kes yang melibatkan Ema dan Louis.
“ Kamu ada jumpa perkara baru?” Levi bertanya kepada salah seorang pegawai polis yang menyiasat kediaman Ema.
“ Tak ada apa-apa yang mencurigakan di kediaman Cik Rosa. Tapi kami ada jumpa sekeping gambar lama, tarikh pada gambar tu kira-kira 20 tahun yang lalu.”
“ Gambar lama?” Levi terkejut. “ Di manakah gambar itu?”
Anggota polis itu menghulurkan sekeping gambar yang berada di dalam plastik jernih. Levi meneliti gambar yang sudah kelihatan sedikit pudar warnanya. Di dalam gambar itu terdapat dua orang kanak-kanak perempuan kecil, mungkin dalam lingkungan umur 5 tahun. Kedua-duanya comel dengan rambut ditocang dua. Wajah mereka berdua yang amat seiras mengejutkan Levi.
Walaupun Levi sudah diberitahu mengenai pasangan kembar Ema dan Anna, tetapi dia tidak menyangka wajah mereka amat mirip sehingga sukar untuknya membezakan mereka berdua. Dia kenal wajah itu daripada gambar yang ditunjukkan oleh Puan Niven sebelum ini. Pasangan kembar itu sedang duduk sebelah menyebelah dengan sebelah tangan mereka saling berpegang erat.
“ Ini gambar Cik Rosa sewaktu kecilkah, tuan?”
Levi mengangguk perlahan. “ Kamu jumpa gambar ini di mana?”
“ Di dalam lapisan dalam tilam Cik Rosa.”
“ Terima kasih. Teruskan kerja kamu.”
Anggota polis itu berlalu meninggalkan Levi yang masih meneliti gambar itu. Sukar untuknya melihat gambar itu dengan jelas kerana pudar pada gambar itu. Dia cuba melihat tahi lalat yang dikatakan oleh penduduk pekan itu, yang menjadi tanda siapakah Emma dan siapakah Anna. Nampaknya dia perlu meminta tolong Unit Forensik bagi menyelesaikan apa yang sedang difikirkan olehnya itu.
Vanness datang mendekati Levi sebelum mereka berdua keluar dari kediaman Ema untuk ke tempat lain. Kyle, pengurus Ema masih berada di dalam. Levi menunjukkan gambar itu kepada Vanness sebaik sahaja mereka sudah selamat masuk ke dalam kereta. Tanpa membuang masa lagi Vanness turut meneliti gambar itu.
“ Cik Rosa dan adiknya?”
“ Mungkin. Lagipun wajah mereka sama dengan gambar yang Puan Niven tunjukkan dahulu.”
Vanness mengangguk bersetuju. Dia juga pernah melihat gambar Ema sewaktu gadis itu berada di rumah anak-anak yatim itu. Tidak salah lagi, salah seorang daripada kanak-kanak perempuan di dalam gambar ini adalah Ema manakala seorang lagi adalah adik kembar perempuannya, Anna.
“ Jadi, apa langkah kau yang seterusnya?”
“ Kita pergi jumpa Louis dahulu. Mungkin Louis tahu pasal perkara ini, cuma dia ingin rahsiakannya daripada kita sahaja.”
Tanpa berlengah Vanness menurut sahaja kata-kata rakan sekerjanya itu. Levi memandu kereta menuju ke hospital. Levi sudah tidak sabar untuk mengakhiri kes ini walaupun Ema masih belum ditemui. Dia berpendapat bahawa Ema akan dapat ditemui kembali sekiranya kes ini dapat diselesaikan dengan segera.
“ Kau turunlah dulu, aku pergi parkirkan kereta ini,” kata Levi kepada Vanness sebaik sahaja mereka berdua tiba di hospital. Memandangkan kebanyakan tempat letak kereta sudah penuh, Levi harus mencari tempat yang kosong dan ianya mungkin akan mengambil masa yang lama. Lebih baik sekiranya Vanness pergi dahulu ke wad Louis.
“ Baiklah. Jumpa kau kat atas.”
Mata Levi meliar mencari ruang yang kosong tetapi dia hampa kerana kebanyakan ruang parkir yang berdekatan dengan bangunan hospital sudah penuh. Entahlah mengapa ada banyak sangat kenderaan di hospital pada hari ini. Levi cuba mencari lagi. Kereta dipandu ke sebuah kawasan letak kereta yang terletak agak jauh dari bangunan hospital.
Sebuah ruang kosong yang bersebelahan dengan sebatang pokok yang rendang menjadi tumpuan Levi. Tanpa membuang masa lagi dia memandu memasuki ruang parkir itu. Suatu senyuman terukir pada wajahnya. Dapat juga dia menemui ruang parkir yang kosong selepas hampir 15 minit mencari tadi. Tanpa membuang masa lagi dia terus keluar daripada keretanya.
Tatkala Levi melintasi kereta-kereta yang turut sama diletak di tempat itu, matanya terpandang pada susuk tubuh seseorang. Dia terkejut kerana dia amat mengenali wajah itu. Walaupun jaket berhud besar membaluti tubuh itu dan sepasang kaca mata hitam kelihatan daripada balik hud itu, Levi tahu susuk tubuh itu milik Ema. Laju langkahnya mendapatkan gadis yang sedang berjalan tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu. Lengan gadis itu direntap, menghalang gadis itu berjalan.
“ Ema!” Levi separuh menjerit.
Gadis itu kelihatan terkejut dengan tindakan mendadak Levi. Dari balik kaca mata hitam yang besar itu, Levi dapat melihat wajah Ema. Sebelah tangannya menarik kaca mata hitam Ema, ingin melihat wajah gadis itu dengan lebih jelas lagi. Wajah ketakutan dan bingung Ema berada pada ruang matanya.
“ Apa Ema buat kat sini?” Levi berbisik seraya menarik gadis itu berselindung di sebalik sebuah kereta yang besar. Mereka berdua duduk mencangkung tetapi tangan Levi masih tidak melepaskan lengan Ema.
“ Saya… nak jumpa Louis tapi… wartawan ramai. Saya tak dapat…” perlahan sahaja gadis itu bersuara.
Levi mengeluh berat. “ Kenapa Ema lari dari hospital? Ada orang ugut Ema kah?”
Teragak-agak Ema menggeleng. “ Tak ada apa-apa, Abang Levi.”
“ Ema, Ema jangan risau. Kalau ada apa-apa, beritahu sahaja abang. Abang akan tolong Ema,” Levi cuba menyakinkan Ema.
“ Betul, abang.” Ema menundukkan wajahnya sedikit. “ Tak ada apa-apa. Saya cuma… lari sebab wartawan…”
“ Abang tahu pasal Ema dan Anna.”
Wajah Ema berubah kelat. Perubahan pada wajah itu menyakinkan Levi bahawa telahannya benar.
“ Anna ugut Ema, kan? Dia yang cuba tembak Louis masa persembahan itu, kan?”
Ema mengunci mulut, tidak mahu mengatakan apa-apa. Jelas pada mata Levi bahawa gadis itu kelihatan gelisah dengan apa yang dikatakan olehnya tadi. Pastinya Ema tidak menyangka dia berjaya mencari Anna yang sudah 20 tahun hilang daripada pengetahuan sesiapa.
“ Abang tolong Ema, ya? Jika tidak, macam mana Ema nak selesaikan semua ini. Abang tahu Ema nak lindungi Anna, tapi kalaulah betul Anna cuba bahayakan Ema, Ema betul-betul dalam keadaan bahaya. Abang akan tolong sehabis baik.”
Ema diam lagi. Dia kelihatannya sedang memikirkan kata-kata Levi.
“ Abang akan pastikan Anna tidak dihukum dengan berat. Kalaulah kita dapat tangkap Anna sekarang, sebelum dia apa-apakan Ema, abang yakin hukumannya tidak akan berat mana. Ema nak tolong Anna kan? Inilah masanya. Tentu Ema tak mahu hidup adik Ema musnah dengan jenayah yang dia lakukan? Ema nak Anna cederakan orang lain pula ke?”
Levi tidak putus-putus cuba memujuk Ema bersetuju untuk menerima bantuannya. Dia ikhlas dengan apa yang dikatakannya kepada Ema. Walaupun Ema itu bukanlah sesiapa dalam hidupnya tetapi kehadiran Ema amat penting dalam hidup Louis, adiknya. Levi tidak mahu insan yang dicintai adiknya itu hidup merana.
“ Ema? Abang tolong Ema, ya?”
Perlahan-lahan Ema mengangguk. Levi tersenyum lega. Nampaknya Ema sudah termakan dengan kata-katanya. Pegangannya pada lengan Ema dilonggarkan.
“ Baiklah… saya pun tak mahu Anna… musnahkan hidupnya sendiri.” Ema tersenyum hambar.
“ Ema tahu Anna di mana?”
Ema mengangguk lagi. Kali ini dia kelihatan lebih tekad dengan keputusannya.
“ Abang Levi tahu kan gudang lama yang jadi tempat perjudian ayah saya dahulu? Anna nak jumpa saya di situ pada malam ini. Dia…” Ema terdiam seketika. “ … nak selesaikan semuanya di antara kami.”
Levi mengeluh. “ Baiklah. Abang akan ke sana. Tapi jangan lakukan apa-apa yang boleh bahayakan diri kamu. Abang akan selamatkan kamu dan Anna.”
“ Abang kena janji hanya ada abang sahaja di sana, ya? Saya tak mahu ada polis lain. Saya… saya risau Anna akan tahu.”
“ Baiklah,” Levi mengangguk. “ Abang janji. Jadi, selepas ini Ema mahu ke mana?”
“ Saya akan ke pekan itu, abang. Saya akan jumpa Anna di sana.”
“ Tak ada orang cam Ema?”
Ema menggeleng. “ Abang jangan risau. Saya pandai menyamar. Cuma hari ini, saya fikir saya tak mahu menyamar sangat. Tapi tak sangka, akan terserempak dengan abang di sini.”
“ Hati-hati dalam perjalanan kamu ke sana. Abang akan jumpa kamu pada malam ini. Jangan biarkan Anna cederakan kamu, ya?”
Ema mengangguk perlahan. “ Saya perlu pergi sekarang, abang. Saya risau akan ada orang nampak saya. Saya bergantung pada abang malam ini.”
“ Baiklah. Hati-hati.”
Levi memerhatikan Ema yang menghilang di sebalik pokok-pokok yang berada di dalam kawasan hospital itu. Dia tersentak apabila menyedari kaca mata Ema masih berada di tangannya. Terlupa pula dia ingin serahkan kepada Ema kembali tadi. Harap-harap tiada sesiapa cam gadis itu.
Baru sahaja Levi bangun daripada balik kereta besar itu, langkahnya terhenti tiba-tiba pada saat suatu imej bermain dalam pandangan matanya. Wajah Ema yang rapat dengan wajahnya sewaktu dia menanggalkan kaca mata hitam gadis itu bermain dalam mindanya. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya pada wajah itu.
Tanpa berlengah lagi Levi segera berlari menuju ke wad Louis. Dia ingin memastikan sesuatu. Jika apa yang difikirkannya betul, dia yakin dia sudah mendapat rangka yang kukuh bagi menyelesaikan kes ini. Walaupun apa yang tercetus dalam fikirannya itu adalah sesuatu yang kedengaran mustahil tetapi Levi yakin telahannya ada kebenarannya juga.
Share this novel