BAB 1

Thriller Completed 205

Pesta keramaian berlangsung dengan meriah. Bunyi gendang dipalu memekakkan telinga. Di tengah orang ramai, beberapa orang gadis sunti meliuk-liukkan tubuh seiring dengan rentak muzik. Seiring menggerak-gerakkan tangan dan kaki menghiburkan lelaki-lelaki yang melihatnya.

“Tuan Khattab ,” Satu suara memanggilnya dari belakang. Suara itu hampir tidak kedengaran kerana ditenggelami bunyi muzik dan gelak tawa orang ramai. Khattab menoleh. Dua orang pembantu rumahnya sedang berdiri di belakangnya. Seorang membawa sepersalinan pakaian yang terlipat kemas manakala seorang lagi membawa kotak merah yang Khattab pasti di dalamnya terdapat perhiasan dan wangian-wangian.

“Ini persalinan tuan.” Salah seorang dari mereka bersuara.

Khattab mengambil persalinan itu. Dibuka lipatannya. Sehelai jubah berwarna merah melambangkan kemegahan. Labuh baju itu sehingga menutup kaki melambangkan ketinggian kedudukan. Sulaman emas di baju itu pula melambangkan kekayaannya. Khattab tersenyum puas.

Khattab segera bangkit menuju ke bilik persalinan. Persalinan megah itu disarung ke tubuhnya yang sasa. Kalung-kalung kebesaran digantung di lehernya. Tidak lupa juga wangian-wangian kerabat bangsawan yang mahal harganya.

Keluar sahaja dari bilik persalinan, gadis-gadis perawan menyambutnya. Semuanya cantik dan manja. Khattab hampir lemas dikerumuni gadis-gadis cantik tersebut. Semua merebut perhatian Khattab .

Itulah Khattab Shaukan, pemuda bangsawan yang dikenali seantero negara ini. Anak kepada orang kanan kepercayaan Raja Ramesh , Baron Shaukan. Ketampanannya menjadi kegilaan gadis-gadis. Tambahan pula, dengan segala kemewahan yang dimilikinya, Khattab selalu tampil kemas dan bergaya. Bajunya sentiasa bertukar ganti dan tidak pernah sama. Namun semuanya jenis berkain sutera yang mahal harganya. Khattab juga merupakan anak kebanggaan ayahandanya, Baron Shaukan. Ketangkasannya bermain senjata tidak dapat dinafikan lagi. Semua terduduk apabila berlawan dengannya. Bondanya juga amat menyayanginya. Semua permintaannya dituruti. Hingga kadangkala menimbulkan iri di hati abangnya, Malik Shaukan.

“Khattab .” Suara garau ayahandanya menjengah cuping telinganya. Kelihatan ayahnya bersama panglima-panglima dan menteri-menteri diraja sedang meneguk arak keluarga diraja yang mahal harganya. Khattab mendekati ayahandanya dan berdiri di sampingnya dengan penuh bangga.

“Dengar sini semua.” Suara Baron Shaukan berjaya menarik perhatian orang ramai. Muzik dan tarian terhenti. Senyap.

“Dengan ini…” Baron Shaukan memegang tangan Khattab . “…aku mengisytiharkan Khattab sebagai penggantiku apabila aku tiada kelak.” Tangan Khattab diangkat.

Paluan gendang kedengaran. Semboyan dibunyikan. Semua bertepuk tangan.

Baron Shaukan memberikan pedang kesayangannya kepada Khattab . Khattab menjulang bangga. Pedang bertatah berlian itu adalah pedang warisan yang telah memakan berjuta nyawa. Pedang Pahlawan.

Hari ini adalah hari yang bersejarah buat Khattab .

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience